Wednesday, November 24, 2010

TAKDIR ALLAH MENGUJI KEIMANAN DAN SANGAT PERLU SABAR SERTA TABAH YANG TINGGI...ALLAH MAHA TINGGI ILMUNYA

Anak hamil dikelar menantu

Oleh Salman Hamat

SEDIH...Hamzah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya menunggu jenazah Rohana di HSI, semalam.
SEDIH...Hamzah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya menunggu jenazah Rohana di HSI, semalam.
JOHOR BAHRU: Hasrat seorang bapa untuk menimang cucu sulung musnah apabila anaknya yang hamil sebulan ditemui mati dengan kesan dikelar pada lehernya di sebuah rumah di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram, di sini, petang kelmarin.
Lebih menyayat hati, pembunuhan kejam Rohana Hamzah, 26, yang didakwa keluarga mangsa sebagai angkara suaminya berlaku pada tahun kelima perkahwinan pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga.

Bapa mangsa, Hamzah Mohamad, 51, berkata, dia rebah kerana hatinya hancur sejurus melihat jenazah Rohana tertiarap berlumuran darah di bilik tidur di rumah sewa pasangan berkenaan.

Menurutnya, dia bergegas ke rumah itu selepas menerima panggilan daripada bapa saudara menantunya yang memaklumkan timbul masalah membabitkan pasangan berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, dia mula cemas selepas melihat polis dan orang ramai mengerumuni rumah anak perempuannya itu sebelum rebah sejurus melihat jenazah anak ketiganya itu dengan tangan terkilas ke belakang.

“Saya mula rasa ada yang tak kena apabila melihat menantu berusia 24 tahun dalam keadaan bergari dan dibawa polis,” katanya yang ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam.

Hamzah berkata, kali terakhir dia berjumpa Rohana ketika anaknya itu pulang bercuti seminggu iaitu sebelum Aidiladha lalu di rumahnya di Taman Sri Pulai di Skudai pada 14 November lalu.

“Kali terakhir Rohana menghubungi adiknya pula kira-kira jam 11.15 pagi pada hari kejadian. Dia bertanyakan salinan MyKad miliknya yang tertinggal di rumah kami.

“Bagaimanapun, perbualan singkat itu terhenti dan pada masa sama, adiknya mendengar bunyi bising sebelum talian terputus,” katanya.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka sekali lagi cuba menghubungi Rohana, tetapi panggilan tidak berjawab.

“Kami tahu sangat sikap cemburu dan panas baran suaminya kerana pernah melihat dia memukul Rohana di depan kami.

“Malah, kami juga berat melepaskan Rohana pulang pada malam sebelum kejadian memandangkan dia baru saja dicederakan suami sebelum pulang ke rumah kami,” katanya.

Hamzah berkata, kecederaan itu menyebabkan Rohana dirawat di wad selama tiga hari selain menerima lapan jahitan dan ketika ditanya, arwah anaknya itu mengatakan ia akibat terkena kaca.

Bagaimanapun, keluarga Rohana sangsi dan percaya ia akibat kelaran menggunakan pisau, malah doktor yang merawatnya juga meragui kecederaan itu berpunca daripada kaca.

“Tapi, semuanya sudah ditakdirkan dan sekelip mata bukan saja kehilangan anak tersayang, malah cucu dalam kandungan,” katanya.

Jenazah mangsa dihantar ke HSI untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Skudai.


Sesak nafas sebelum rebah

Oleh Ibrahim Isa dan Sharifah Zulaikha Syed Amali

LEDANG: “Saya sedang menoreh getah ketika menerima panggilan mengatakan anak yang hendak menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tenat.
“Saya kemudian bergegas ke sekolah tapi Hazizul disahkan sudah meninggal dunia kerana diserang sakit jantung,” kata Hasah Eunos, 56, bapa calon SPM yang mati ketika sedang mendengar taklimat peperiksaan itu di sekolahnya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi di Sekolah Menengah kebangsaan Ledang, Tangkak, Hazizul berada dalam kelas bersama rakan untuk mendengar taklimat peperiksaan mata pelajaran Bahasa Malaysia 1, sebelum dia mengadu sesak nafas.

Arwah kemudian dibawa ke bilik rawatan dan petugas perubatan yang tiba kira-kira 10 minit kemudian bagaimanapun mengesahkan pelajar itu sudah meninggal dunia

Hasah yang ditemui di rumahnya di Kampung Seri Maamor di sini, berkata arwah anaknya mengalami komplikasi jantung sejak dilahirkan dan mereka sering ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Tiada sebarang perubahan ditunjukkan Hazizul ketika menghantarnya ke sekolah kira-kira jam 6.50 pagi.

“Hazizul yang juga anak lelaki tunggal saya dalam keadaan stabil dan ceria serta tidak sabar untuk menduduki peperiksaan, dia hanya batuk biasa saja,” katanya.

Hasah berkata, walaupun kesihatan Hazizul kurang baik, anak ketiga daripada empat beradik itu tetap mahu ke sekolah bagi meneruskan pelajaran.

Katanya, doktor di IJN memaklumkan penyakit jantung Hazizul agak kronik manakala pembedahan pula tidak boleh dilakukan untuk menyembuhkannya tetapi mereka sekeluarga tetap tidak berputus asa dan membawanya ke hospital dari semasa ke semasa.

“Hazizul mampu belajar seperti biasa tapi tak boleh aktif kerana badannya akan bertukar kebiruan.

“Dia juga meminati mata pelajaran lukisan dan tak sabar menunggu untuk menduduki peperiksaan mata pelajaran itu,” katanya.

Katanya, walaupun Hazizul bukan tergolong di kalangan pelajar cemerlang, kesungguhannya untuk belajar menyebabkan mereka sekeluarga tidak mampu menghalangnya walaupun bimbang keadaan kesihatannya yang makin buruk.

“Sebagai bapa, saya bangga dengan kesungguhan ditunjukkan Hazizul dan kerana itu saya tidak pernah ketinggalan menghantar dan menjemputnya pulang dari sekolah,” katanya.

Ibunya, Wagisah Marzuki, 46, pula berkata, anaknya itu sempat menjamah pisang goreng sebelum ke sekolah.

“Hazizul bersarapan seperti biasa dan saya sempat berpesan supaya menjaga diri serta menjawab peperiksaan dengan tenang. Tidak sangka dia meninggalkan kami pada usia muda,” katanya.

Jenazah Hazizul dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Maamor, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran pada sidang media berkata, kejadian berlaku kira-kira 15 minit sebelum calon mula menduduki peperiksaan.

“Hazizul tiba-tiba mengadu sesak nafas sebelum rebah. Dia kemudian dibawa ke bilik rawatan manakala guru menghubungi pusat perubatan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan oleh petugas perubatan mendapati Hazizul sudah meninggal dunia. Kami mengucapkan takziah di atas pemergian arwah dan berharap keluarganya bersabar,” katanya.

Sementara itu, di Kluang, Bernama melaporkan seorang lagi calon SPM meninggal dunia pada jam 4 petang kelmarin akibat penyakit buah pinggang.


Kereta terbang rempuh van

Oleh Muhammad Apendy Issahak

REMUK...keadaan kereta yang terbabit kemalangan maut di Jalan Syed Putra, semalam.
REMUK...keadaan kereta yang terbabit kemalangan maut di Jalan Syed Putra, semalam.
SEBAK...Kamilia (kiri) sebak ketika menuntut jenazah suaminya di bilik mayat HKL.
SEBAK...Kamilia (kiri) sebak ketika menuntut jenazah suaminya di bilik mayat HKL.
KUALA LUMPUR: Sebuah kereta dipercayai dipandu laju terbabas dan 'terbang’ ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah van mengakibatkan tiga maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Syed Putra berhampiran Sekolah Menengah Kuan Cheng, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kontraktor penghantaran akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Raja Nazree Raja Sulong, 34, memandu van Nissan Vanette yang dalam perjalanan mengambil akhbar di Balai Berita 2 (BB2), Shah Alam, maut di tempat kejadian apabila vannya dirempuh sebuah kereta Honda Civic yang dipercayai dipandu laju.

Pemandu kereta berkenaan yang juga bertugas sebagai tukang masak sebuah restoran di Jalan Klang Lama, di sini dikenali sebagai Lee Fong Hoon, 36, dari Sepang, Selangor dan Oo Der Hing, 25, dari Sri Petaling di sini, turut maut.

Pada masa sama sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang wanita, Siti Aisyah Ahmad Shahidan, 23, yang mengekori van berkenaan turut merempuh belakang van itu, tetapi dia hanya cedera ringan

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, siasatan mendapati kereta Honda Civic yang dinaiki tukang masak berkenaan arah Petaling Jaya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dan sebatang tiang lampu.

Katanya, kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah van.

Menurutnya, polis percaya pemandu kereta terbabit memandu dengan laju menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk manakala kereta Honda itu turut terbalik dan pada masa sama sebuah kereta Proton Saga yang mengekori van berkenaan turut merempuh belakang van itu,” katanya.

Rusli berkata, kemalangan itu menyebabkan semua mangsa tersepit di tempat duduk kenderaan.

“Semua mangsa yang cedera parah di kepala maut di lokasi kejadian.

“Sebuah jentera bomba dan penyelamat dengan tujuh anggota terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa. Mayat mangsa dikeluarkan kira-kira 30 minit kemudian sebelum mangsa dihantar Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya

No comments:

Post a Comment