Friday, November 19, 2010

ORANG NAK KAYA CEPAT DAN BERANGAN2 TINGGI MUDAH KENA TIPU...MENIPU SERTA BERGAUL BEBAS MEMANG HARAM...

Bayar ribu dapat juta

Oleh Iskandar Shah Mohamed

SEREMBAN: Terpengaruh untuk mendapatkan harta yang dikatakan milik bekas Presiden Sukarno, enam rakan sepejabat kerugian RM16,000 yang mereka laburkan kononnya untuk mencairkan harta bekas pemimpin nombor satu Indonesia itu.
Seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Shamsul, 30-an, berkata, segalanya bermula apabila dia bersama rakan diperkenalkan mengenai pelaburan pencairan harta Sukarno itu oleh seorang lelaki berusia 40-an di sebuah restoran di sekitar Bandar Baru Nilai, di sini, pada 13 Oktober lalu.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu pewaris harta yang kononnya berjumlah AS$3.2 bilion (RM10 billion) itu adalah anak Sukarno yang dibawa ke negara ini ketika masih kecil dan dia kini dalam proses mendapatkan semula harta berkenaan yang didakwa berada dalam kawalan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Bagaimanapun, kami diberitahu harta itu perlu ‘dicairkan’ terlebih dulu dan memerlukan bantuan daripada pelabur atau digelar ‘jemaah’ untuk menyalurkan kos pelepasan mencecah puluhan ribu ringgit.


“Kos itu dianggap sebagai pelaburan untuk memastikan kelancaran proses pencairan harta berkenaan antaranya membabitkan urusan polis, kastam, imigresen dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Selepas harta itu dicairkan, setiap pelabur akan menerima pulangan balik pelaburan sebanyak lima kali ganda termasuk bonus yang didakwa mencecah jutaan ringgit dalam tempoh hanya seminggu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, pada masa yang sama pelabur juga diminta tidak mendedahkan hal berkenaan kepada sesiapa kerana semua urusan adalah sulit.

Shamsul berkata, untuk meyakinkannya dan rakan lelaki itu turut menunjukkan dokumen didakwa surat asal Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang menyatakan terdapat perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan White House (kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat) serta FBI (Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat).

“Selain itu, lelaki berkenaan turut menunjukkan slip pemindahan wang sebanyak RM250 juta dari sebuah bank di London ke akaun bank tempatan yang dikatakan milik pewaris harta terbabit bertarikh 12 Oktober 2010,” katanya.

Shamsul yang terpengaruh dengan kata-kata lelaki itu kemudian bersetuju membayar kos pelepasan dengan memasukkan wang berjumlah RM2,500 ke dalam akaun bank seorang lelaki dipercayai orang kanan sindiket terbabit.

“Namun, janji yang diberikan berkaitan pulangan balik pelaburan termasuk bonus dalam tempoh seminggu ternyata palsu semata-mata dan gagal diperoleh sehingga ke hari ini,” katanya yang membuat laporan polis.

Menurutnya, selain dirinya, lima lagi rakan sepejabatnya turut membuat pelaburan dengan jumlah berbeza-beza antara RM2,000 dan RM3,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM16,000.

“Saya percaya selain kami berenam, ramai lagi individu termasuk di negeri lain turut terpedaya dengan helah licik sindiket ini. Saya membuat pendedahan ini supaya orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak turut menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan berkata seorang lelaki berusia 30-an dipercayai orang kanan sindiket berkenaan ditahan pihaknya di sekitar Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, minggu lalu.

“Kami merampas sebuah komputer riba dipercayai milik ketua sindiket berkenaan dan beberapa slip atau resit bank.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang memburu dalang sindiket yang berasal dari Muar, Johor,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu dan turut memburu mangsa di beberapa negeri lain.

“Sehubungan itu, kami meminta mangsa yang turut terpedaya supaya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya


Budak Aids dakwa anak gitaris May

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SEIRAS...Yus (kiri) dalam poster kumpulan May.
SEIRAS...Yus (kiri) dalam poster kumpulan May.
TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu berusia sembilan tahun dan menghidap Aids mencetuskan misteri apabila mendakwa dia anak pemain gitar kumpulan rock May, sedangkan pemuzik itu masih hidup dan langsung tidak mengenalinya.
Kanak-kanak itu yang mahu dikenali sebagai S mendakwa, ayah, ibu serta adiknya yang berusia empat tahun semuanya meninggal dunia akibat Aids dan dia dijangkiti penyakit berbahaya itu daripada ibu dan bapanya.
“Ayah saya seorang pemain gitar, dia meninggal dunia lima tahun lalu kerana Aids. Ibu juga meninggal dunia kerana penyakit sama pada Jun lalu manakala adik meninggal dunia tahun lalu,” katanya.

Ketika ditanya lebih lanjut siapa ayahnya, S mengeluarkan poster kumpulan May dan menunjukkan gambar pemain gitar bass, Yus sebagai ayahnya


Bagaimanapun, S memberitahu nama ayahnya adalah Md Nor sedangkan nama sebenar Yus adalah Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48.

Ibu saudara S yang enggan identitinya didedahkan mengiakan dakwaan murid darjah tiga itu bahawa Yus ayah kanak-kanak itu.

Menurutnya, S kini terpaksa bergantung hidup dan mengharap belas kasihnya dan besar kemungkinan hanya menanti detik ajal seperti dilalui ahli keluarganya lain.

Katanya, dia bersimpati terhadap nasib dilalui anak saudaranya itu dan menjaganya selepas adik perempuannya meninggal dunia pada Jun lalu.

“Adik saya sebelum ini berkahwin dengan artis kumpulan rock terkenal berkenaan sebelum dikurniakan dua cahaya mata berusia empat dan sembilan tahun.

“Namun segalanya penuh misteri apabila suami adik saya itu yang berusia 38 tahun mati mendadak kira-kira lima tahun lalu tanpa diketahui punca kematiannya, manakala anak lelaki mereka yang berusia empat tahun menghembuskan nafas terakhir tahun lalu sebelum adik perempuan saya itu mati mengejut pada Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Wanita itu mendakwa, arwah adiknya tidak pernah mendedahkan penyakit dialami dan dia hanya mengetahui punca kematian itu selepas dimaklumkan pihak hospital.

“Adik saya tidak pernah berterus-terang dan memberitahu menghidap Aids sehingga dia menghembuskan nafas terakhir. Mungkin dia malu atau mahu menjaga nama baik keluarga.

“Kini, saya perlu membawa anak saudara saya (S) ke hospital untuk menjalani pemeriksaan darah dan mengambil ubat bagi merawat penyakitnya,” katanya.

Katanya, biarpun mengalami demam dan batuk yang berterusan, S aktif dan lincah seperti kanak-kanak lain seusianya, malah memasang impian menjadi doktor haiwan apabila besar.

Menurutnya, pihak sekolah sudah mengetahui penyakit S dan mereka sudah maklum mengenai langkah yang perlu dilakukan sepanjang anak saudaranya itu berada di sekolah termasuk ketika makan dan menyertai aktiviti sukan.

Ketika ditemubual, S tidak putus-putus menahan batuk dan setiap kali batuk dia akan menutup mulutnya dengan tangan.


Sekadar wajah seiras



IPOH: “Segala bukti termasuk gambar yang didedahkan ahli keluarga kanak-kanak perempuan itu bukan milik saya. Sekali imbas, memang wajah arwah bapa kanak-kanak itu ada iras muka saya.
“Dia (arwah bapa kanak-kanak itu) mungkin peminat tegar saya sehingga bergaya dan meniru gaya saya seperti yang ditunjukkan dalam gambar berkenaan. Tetapi, yang pasti dia bukan saya.” Demkian kata pemain gitar bass kumpulan May, Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48, atau dikenali dengan nama Yus mengenai dakwaan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bernama S bahawa Yus ayahnya dan meninggal dunia lima tahun lalu akibat Aids.

Mohd Mokhtar berkata, dia terkejut selepas namanya dikaitkan dengan kanak-kanak terbabit seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 15 November lalu.
“Berita itu tidak benar dan ia membuatkan saya tersentak berikutan ia boleh menyebabkan reputasi kumpulan May tercalar.

“Saya tidak kenal kanak-kanak itu dan kenyataannya tidak betul. Malah, nama Md Nor yang didakwa nama bapa kanak-kanak itu berlainan dengan nama saya. Saya tidak pasti dari mana cerita tidak benar ini timbul, namun perkara ini perlu dijelaskan,” katanya ketika ditemui.

Yus berkata, apa yang pasti dia, isteri bersama tiga anak berusia tujuh hingga 21 tahun masih sihat walafiat dan hidup bahagia di bandar ini


Menurut Yus, dia bersama ahli kumpulan May sibuk menjalani rakaman album terbaru bagi menyambut ulang tahun ke-25 kumpulan itu tidak lama lagi.

“Waris keluarga kanak-kanak terbabit seharusnya meneliti terlebih dulu dakwaan terbabit selain menunjukkan bukti jelas berhubung identiti bapa kanak-kanak itu.
“Bagaimanapun, saya maafkan perkara itu jika ini hanya salah faham dari mereka (waris kanak-kanak) berkenaan. Mungkin bapa kanak-kanak terbabit individu lain yang mempunyai iras wajah dengan saya,” katanya.

Katanya, dia sudah meneliti gambar dimaksudkan waris keluarga kanak-kanak perempuan itu dan mengesahkan bukan dirinya berdasarkan beberapa perbezaan nyata.

“Muka arwah bapa kanak-kanak itu ada iras saya, tetapi saya tidak pernah memakai jam tangan sebelah kiri kerana saya memakainya pada tangan kanan walaupun gaya rambut dan berpakaian sama dengan saya.

“Saya menyifatkan arwah bapa kanak-kanak itu sebagai peminat tegar saya sehingga dia sanggup meniru setiap gaya saya. Memang kami ada peminat tegar, dia mungkin seorang daripada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, atas dasar perikemanusiaan, dia bersama ahli kumpulan May yang lain sanggup bertemu kanak-kanak perempuan itu bagi menghulurkan sedikit sumbangan, sekali gus mengurangkan beban serta penyakit yang dihidapi.

Wanita dinodai dua polis palsu



PETALING JAYA: Seorang pelayan restoran warga Myanmar dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki yang menyamar sebagai polis di sebuah kawasan perindustrian di Kelana Jaya, dekat sini, malam kelmarin.
Ketika kejadian jam 10 malam itu, mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum ditahan dua lelaki terbabit yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Dua lelaki berkenaan yang menaiki kereta Proton Waja berwarna perak pada mulanya meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri dan selepas diberi, mereka meminta mangsa memberikan wang pula.
Mangsa yang ketika itu tiada wang dipaksa masuk ke dalam kereta dengan alasan ingin membawanya ke balai polis namun sebaliknya dibawa ke sebuah kawasan perindustrian.

Mangsa yang tidak tahu muslihat dua lelaki terbabit hanya mengikut arahan mereka namun tidak menyangka ia menjadi sejarah hitam dalam hidupnya apabila menjadi pemuas nafsu seks dua lelaki berkenaan yang merogolnya secara bergilir-gilir di tempat duduk belakang kereta. Selepas puas meratah tubuh mangsa, mereka meninggalkan mangsa bersendirian.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang kontraktor kerugian RM25,000 apabila disamun di tepi jalan SS 7, Kelana Jaya, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang baru mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank dan dalam perjalanan ke pejabat berhenti seketika di kawasan kejadian untuk membuang air kecil.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba mangsa didatangi empat lelaki menunggang dua motosikal berhenti dan mengacu pisau kepadanya serta meminta menyerahkan wang kepada mereka.

Mangsa dipercayai sudah mengekori sejak dia mengeluarkan duit dari bank dan penjenayah terbabit menunggu peluang terbaik untuk menyamun.


Tidak rela berpisah

LENGGONG: “Saya dan isteri, Maliha Abdul Hadi, 59, tidak rela menyerahkan kedua-dua anak arwah, Firdaus, 8, dan Fatiha, 4, kepada orang lain kerana mereka amat rapat dengan kami sebelum ini,” kata Shahar Mohd Ariffin, 61, bapa kepada arwah Shaiful Fadzilah Shahar, 36, yang maut dalam kemalangan ngeri yang turut mengorbankan tiga ahli keluarganya yang lain, malam Selasa lalu.
Nahas ngeri yang berlaku di Kilometer 377.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berdekatan Slim River itu meninggalkan detik pahit buat dua anak arwah yang terselamat dalam kejadian itu, Fatiha dan Firdaus, kini terpaksa menumpang kasih datuk dan neneknya yang menetap di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Gua Badak.

Selain kehilangan ibu tersayang, Siti Suzana Mohd Nor, 33, dua beradik itu turut kehilangan dua abang kembar mereka, Fitri dan Fikri, 6.
Shahar berkata, dia bersama isteri akan memikul tanggungjawab itu dan akan mendidik kedua-dua cucunya itu dengan pendidikan yang secukupnya.

Beliau berkata, kedua-dua cucunya itu termasuk arwah pasangan kembar memang rapat dengannya kerana setiap kali musim cuti sekolah, mereka berempat akan bercuti di kampung.

“Mereka sudah biasa tinggal bersama kami terutama setiap kali musim cuti sekolah. Malah, sepanjang cuti sekolah yang bakal bermula minggu depan, arwah Shaiful memang merancang untuk menghantar kesemua anaknya bercuti bersama saya di kampung. Bagaimanapun, hasrat itu tidak tercapai,” katanya ketika ditemui di sini semalam
Katanya, dia juga akan memastikan kedua-dua cucunya bersekolah di Lenggong dan akan menukarkan Firdaus ke Sekolah Kebangsaan Lenggong (SKL), manakala Fatiha pula akan memasuki taman bimbingan kanak-Kanak (tabika) di sini pada tahun depan.

Shahar berkata, Firdaus yang kini berada dalam tahun dua di Sekolah Integrasi di Salak Tinggi, Nilai, Negeri Sembilan, akan dipindahkan ke tahun tiga di SKL.
“Buat masa ini, Firdaus sering mengadu sakit kerana kesan melecur yang dialaminya akibat kemalangan itu selain sukar untuk tidur pada waktu malam kerana mengerang kesakitan. Sebelum ini, Firdaus menerima rawatan di Hospital Slim River sebelum dibenarkan keluar petang semalam (kelmarin),” katanya.

Katanya, Fatiha kini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan selain kesan melecur di tangan kiri.

Sementara itu, Maliha berkata, dia berharap kecederaan teruk yang dialami kedua-dua cucunya itu segera sembuh sekali gus dapat memulakan persekolahan pada awal Januari depan.


NEGARA


Dua beradik yatim dipelihara datuk


SHAHAR (kanan) menemani cucunya, Firdaus yang cedera di Kampung Guar Badak, Lenggong semalam. Gambar kecil, Fatihah masih dirawat di HRPB, Ipoh.



IPOH – “Selagi hidup, saya akan jaga cucu-cucu saya.” Itu kata Shahar Mohd. Ariffin, 61, datuk kepada dua adik-beradik, Firdaus Shaiful Fadzilah, 8, dan Fatiha, 4, yang menjadi yatim piatu setelah kedua-dua ibu bapa mereka terbunuh selepas sebuah kereta dirempuh treler di Slim River kelmarin.
Kedua-dua kanak-kanak itu akan tinggal bersama Shahar dan isterinya di Kampung Guar Badak, Lenggong.
“Saya dan ahli keluarga tidak sesekali akan membenarkan dua cucu saya itu dipelihara oleh orang lain selepas ibu bapa mereka meninggal dunia,” ujarnya ketika dihubungi semalam.
Shahar berkata, dia akan menguruskan pertukaran sekolah Firdaus yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Integrasi di Salak Tinggi, Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
“Saya mahu dia meneruskan tahun tiga persekolahan di Sekolah Kebangsaan Lenggong. Selagi hayat dikandung badan, saya akan memastikan dia dan adiknya mendapat pendidikan sewajarnya sehinggalah ke menara gading,” ujarnya.
Shahar berkata, Fatiha yang masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini akan didaftarkan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak berdekatan kediamannya


FATIHA Shaiful Fadzilah, 4, cedera kaki kanan dan melecur sebahagian tangan kiri dan belakang badan ditempatkan di wad kebakaran Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Ibu bapa dan dua abang kembarnya terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Slim River, pada malam Aidiladha lalu. Fatiha dan abang sulungnya, Firdaus, 8, cedera parah.

Pemandu dibebas selepas beri keterangan



SLIM RIVER: Pemandu lori yang terbabit dalam satu kemalangan jalan raya yang menyebabkan empat beranak maut di Kilometer 377.6, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berdekatan Slim River, pada malam Selasa lalu dibebaskan semalam selepas diambil keterangan dan disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim.
Dalam kejadian itu, kereta Proton Iswara dinaiki suami isteri, Shaiful Fadzilah Shahar, 36, dan Siti Suzana Mohd Nor, 33, bersama empat anak dari Labu, Seremban, dirempuh dari belakang oleh sebuah lori menyebabkan pasangan itu serta dua anak kembar lelaki mereka Fikri dan Fitri, 6, maut dalam kemalangan ngeri itu. Anak sulung pasangan itu, Firdaus 8, cedera ringan dan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Slim River petang kelmarin, manakala anak bongsu mereka, Fatiha, 4, melecur di tangan kiri dan badan serta masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Deputi Superintendan Anuar Othman, berkata pemandu lori membawa muatan minyak masak itu ditahan semalaman dan semua keterangan diambil bagi membantu siasatan.
Katanya, pemandu itu akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan dan jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000.

Berikutan itu, Anuar menasihatkan pemandu berhati-hati dan sekiranya memandu di waktu malam, dinasihatkan berehat seketika jika keletihan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku


Warga asing jadi drebar teksi di Sungai Buloh



SEWAKAN TEKSI...pemandu teksi disyaki warga asing mengambil penumpang di Sungai Buloh.
SEWAKAN TEKSI...pemandu teksi disyaki warga asing mengambil penumpang di Sungai Buloh.
SUNGAI BULOH: Segelintir pemandu teksi tempatan di daerah ini dikenal pasti menjadi tauke dan hidup goyang kaki apabila menyewakan teksi mereka kepada warga asing bagi mengaut keuntungan mudah.
Kegiatan mereka mengakibatkan pemandu teksi warga asing terutama rakyat Indonesia menjadikan beberapa kawasan tumpuan orang ramai sebagai ‘port rasmi’ mereka, malah dipercayai turut mengenakan tambang sesuka hati.

Tinjauan Harian Metro di sebuah pusat beli-belah di sini mendapati pemandu teksi berkenaan mula berkumpul dan menunggu penumpang sekitar jam 5 petang berikutan terdapat ramai pekerja yang pulang ketika itu.
Seorang pengadu yang dikenali sebagai Mohamed, 27, berkata, kegiatan pemandu teksi yang terdiri daripada warga asing terbabit semakin berleluasa kerana tiada tindakan daripada pihak berkuasa.

Katanya, memandangkan kawasan itu turut dipenuhi warga asing berkenaan maka dia tidak hairan kegiatan pemandu teksi itu sering mendapat sambutan penumpang.

“Memang tidak logik apabila melihat pemandu teksi di kalangan warga asing kerana setahu saya mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk memiliki lesen atau menyewa daripada warga tempatan
“Setakat ini tidak ada kejadian buruk atau masalah jenayah membabitkan golongan itu namun sebagai warga tempatan, saya pasti mereka menutup ‘periuk nasi’ pemandu tempatan yang masuk di kawasan Sungai Buloh,” katanya.

Penumpang, Siti Norfatimah Zulkifli, 19, mengakui terdapat pemandu teksi warga asing di setiap perhentian bas atau teksi di daerah ini.
Menurut Siti, kebiasaannya pemandu warga asing akan menunggu penumpang di kawasan tumpuan orang ramai seperti Stesen Komuter Sungai Buloh, perhentian bas atau pondok teksi.

“Selalunya, mereka menggunakan teksi lama iaitu Proton Iswara dan mempunyai lokasi khas untuk menunggu dan mengambil penumpang.

“Saya tidak pernah guna perkhidmatan mereka kerana bimbang keselamatan diri dan tambang dicaj juga tanpa menggunakan meter,” katanya


Penangan cemburu



KUALA LUMPUR: Sikap cemburu melampau terhadap teman wanita dituduh masih menjalin hubungan cinta dengan bekas suami menyebabkan seorang lelaki sanggup membelasah selain menghempuk telefon bimbit miliknya berulang kali ke muka teman wanitanya itu hingga berlumuran darah.
Dalam kejadian itu, suspek yang hilang pertimbangan kerana terlalu geram turut menendang perut kekasihnya itu tiga kali dengan alasan sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang kelmarin, ketika mangsa yang berusia 28 tahun sedang menaiki kereta bersama teman lelakinya itu berhampiran kawasan meletak kenderaan di Menara Berkembar Petronas KLCC, di sini.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pelayan restoran dikatakan sedang berbual mesra dengan kekasihnya itu sebelum tiba-tiba menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bekas suaminya.

“Suspek yang mengetahui mengenai SMS dihantar bekas suami mangsa kemudian bertindak memarahi kekasihnya itu yang dituduh masih berhubung dengan bekas suaminya. Tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek yang terlalu marah kemudian merampas telefon bimbit mangsa sebelum memukulnya berulang kali ke muka mangsa. Tidak cukup dengan itu perut mangsa turut ditendang,” katanya

Menurutnya, mangsa yang cedera dipukul kemudian dipaksa menghubungi bekas suaminya itu untuk mengatur temu janji berikutan suspek mahu bersemuka dengan lelaki berkenaan.

“Berikutan bimbang terus dipukul, mangsa kemudian akur dengan arahan itu. Suspek kemudian membawa mangsa bertemu bekas suaminya yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini.
“Sebaik bertemu, kekasih mangsa dikatakan bertengkar pula dengan bekas suami mangsa yang dituduh sengaja mahu mengganggu hubungan cinta berkenaan. Bagaimanapun, mangsa yang kesakitan sempat beredar sebelum ke balai polis berhampiran membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang jurujual lelaki berusia 27 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa diugut seorang wanita membayar wang tunai RM10,000.

Mangsa dikatakan tertekan selepas gadis berusia 21 tahun terbabit meminta mangsa membayar wang berkenaan jika mahu laporan polis mengaitkannya dengan kes cubaan cabul kehormatan ditarik semula.

“Berdasar laporan sebelum ini, gadis berusia 21 tahun terbabit mendakwa pernah cuba dicabul ketika mangsa datang menghantar barang ke premis tempatnya bekerja di Jalan P Ramlee di sini, bulan lalu.

“Susulan laporan dibuat itu, polis menahan mangsa sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil. Bagaimanapun gadis terbabit didakwa menggunakan kesempatan itu untuk memeras ugut mangsa supaya membayar sejumlah wang bagi menggugurkan kes itu,” katanya

No comments:

Post a Comment