Wednesday, December 8, 2010

JANGAN CAKAP AJE...LAKSANAKAN HUKUM ALLAH...TEGAKKAN NEGARA ISLAM....ALLAH AKAN TURUNKAN RAHMAT....TAPI KALAU DAH DEGIL DAN BANYAK SONGEL SUSAH....CAKAP PANDAI...BERAPI2...TAPI HABUK PUN TARA@TAK DE

Jadikan Rasulullah SAW contoh



JOHOR BAHRU – Perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana lebih aman, maju dan selamat dengan berkongsi masa depan serta terus berusaha mencari persamaan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sejajar tema Maal Hijrah 1432/2010 Masihi, ‘Satu Malaysia, Satu Ummah’ seharusnya dijadikan renungan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk bergerak seiring dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan.

Menurutnya, bagi mencapai matlamat sedemikian memerlukan kerjasama dalam mengutamakan persamaan asas-asas untuk berkongsi kegembiraan, kejayaan selain sama mengalas bebanan.

“Hijrah pada zaman Rasulullah bertujuan membawa aspirasi memperbaiki hubungan kaum dan terbukti selepas penghijrahan Baginda ke Kota Madinah berjaya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar serta membuat perjanjian dengan kaum Yahudi di Madinah.

“Ia amat bertepatan dengan keadaan di negara kita yang mempunyai rakyat berbilang agama, bangsa dan budaya, berada di bawah satu pemerintahan dengan naungan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Maal Hijrah Tahun 1432H/2010M di Kompleks Islam Iskandar, di sini, semalam.

Hadir di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman; Speaker Dewan Negeri, Datuk Ali Hassan; Pengarah Jabatan Agama Johor, Datuk Abdul Latif Yusof dan Penasihat Agama kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Sultan Johor, Datuk Noh Gadut dan Mufti Negeri, Datuk Tahrir Samsudin.

Abdul Ghani berkata, menguruskan masyarakat berbilang kaum memerlukan sikap sederhana dalam apa jua tindakan dan menggunakan isu perkauman dan agama bagi mendapatkan populariti sesetengah pihak adalah berbahaya.

Menurutnya, pejuang sebenar dalam masyarakat adalah mereka yang mengutarakan kesederhanaan, bersedia mempertahankan prinsip dan pada masa sama sanggup bangun dan berdepan dengan tuntutan ekstrem.

“Keupayaan pelbagai kaum dapat duduk semeja dalam merancang pembangunan negara tanpa wujud percanggahan dengan ajaran Islam merupakan perkongsian kuasa yang bijak dam memberi faedah kepada semua,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan Islam di Malaysia telah mendahului kebanyakan negara Islam lain menggunakan al-Quran dan Sunnah diserap dalam segenap bidang kehidupan secara praktikal bersesuaian realiti semasa.

“Sebagai contoh, pendidikan agama dibangunkan, perbankan Islam tersebar luas, institusi masjid diimarah, pentadbiran kehakiman dan mahkamah syariah diperkemaskan manakala pembangunan kekeluargaan dan sosial diperkukuhkan,” katanya.

Majlis dihadiri lebih 1,000 orang dan sambutan turut diisi dengan ceramah bertajuk ‘Satu Malaysia, Satu Ummah’ disampaikan Prof Datuk Dr Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Sejarah Maal Hijrah perlu dipraktikkan


SENAI - Awal Muharam yang juga dikenali sebagai Maal Hijrah adalah hari penting buat seluruh umat Islam di dunia kerana ia menandakan peristiwa yang berlaku dalam sejarah Islam.

Penasihat Majlis Agama Johor, Datuk Noh Gadut berkata, semua iktibar dan pengajaran berikutan peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi perlu dipraktikkan dan menjadi suntikan oleh rakyat di negara ini tanpa me�ngira kaum dan agama.

Menurutnya, kejayaan Maal Hijrah adalah menerusi kerjasama, perpaduan dan kesatuan yang jitu, serta memerlukan pengorbanan dan juga ilmu pengetahuan untuk me�ngatur strategi bagi mengelak daripada serangan musuh serta ketabahan menghadapi pelbagai cabaran .

“Terdapat banyak nilai-nilai murni berikutan peristiwa Maal Hijrah yang boleh dijadikan pengajaran.

“Jika semua sejarah yang berlaku ini dapat diterapkan di negara kita, saya yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara aman damai tanpa sebarang masalah yang timbul daripada pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata, penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah telah memberi kesan seluruh umat Islam sehingga kini.

Penghijrahan ini juga telah menjadi tauladan bagi umat Islam tentang kesabaran yang perlu dihadapi, begitu juga dengan penindasan dan cabaran yang akhirnya membawa kepada kejayaan.

Katanya, peristiwa Piagam Madinah juga perlu dilihat oleh selu�ruh umat Islam kerana ia merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia dan sehingga kini piagam ini menjadi bahan rujukan pelbagai pihak.

Kandungan Piagam Madinah ini adalah mengenai hak setiap kaum yang ada di Madinah yang telah dijamin oleh perlembagaan tersebut dan setiap kaum bertanggungjawab untuk mempertahankan Madinah.

Noh berkata, jika Piagam Madinah turut diterapkan di dalam perlembagaan negara ini, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang seimbang dan aman makmur.

Selain itu, beliau juga berkata, amalan-amalan baik yang boleh dilakukan sempena Maal Hijrah ini adalah menunaikan ibadah-ibadah sunat seperti berpuasa pada hari Asyura’ iaitu pada hari ke-10 Muharam dan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Taala.

Menurutnya, umat Islam juga perlu berdoa dan berazam sempena Maal Hijrah ini dan azam yang harus dipasang adalah mempertahankan agama Allah, mempertahankan nyawa, menjaga akal fikiran, menjaga keturunan dan membina ekonomi yang seimbang serta mempertahankan kedaulatan negara

Bendung masalah sosial remaja


KG DATUK SHARIFF AHMAD - Lalai dengan pelbagai bentuk hiburan dan gemarkan keseronokan menjadi faktor golongan remaja mudah terjebak dalam gejala sosial, lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak mendapat didikan agama.

Inspektor Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh, Cif Inspektor Mohd Fadzli Abdul Malek berkata, faktor usia juga menyumbang kepada berlakunya masalah sosial kerana remaja mudah dipengaruhi budaya persekitaran.

Menurutnya, masalah sosial yang tidak dibendung boleh menjerumus kepada perlakuan jenayah seperti samun, rogol, membunuh, penagihan dadah, sumbang mahram dan banyak lagi.

“Masalah sosial remaja ini perlu kita bendung ketika mereka masih di bangku sekolah.

“Ini kerana kebanyakan pelajar sekolah sudah terjebak dengan pelbagai masalah seperti ponteng sekolah, hisap rokok, buli, gengsterisme, vandalisme, judi, merempit dan penagihan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Program Motivasi Bersama Pemimpin di sini, anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ahli jawatankuasa masjid.

Majlis dirasmikan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Mohd Fadzli berkata, ibu bapa perlu memantau kegiatan anak-anak terutama ketika mereka melayari internet kerana di situ pelbagai perkara negatif boleh diakses dengan mudah.

“Remaja kini hidup dalam era globalisasi dan modenisasi mudah mendapat bahan atau akses kepada bahan-bahan yang tidak baik seperti video serta gambar pornografi. Mereka mudah mendapat bahan ini melalui media massa dan internet.

“Kita sedia maklum internet kini sangat penting dalam kehidupan kita, namun ibu bapa harus memantau anak masing-masing supaya mereka tidak melayari laman sesawang yang negatif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fadzli meminta penduduk terutama di luar bandar mendaftar sebagai ahli Rakan Cop supaya mereka dapat menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ternampak atau berlakunya kejadian jenayah di kawasan mereka.

Katanya, orang ramai kini boleh menyalurkan maklumat dengan mudah iaitu dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS).

“Polis sangat memerlukan kerjasama orang ramai untuk membanteras sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing,” katanya


Pesara jururawat ditemui mati ditikam


PASIR MAS - Polis menahan seorang suspek kes bunuh kira-kira lima jam selepas seorang bekas jururawat klinik pergigian, ditemui dengan kesan tikaman di Kampung Kekabu, di sini tengah hari, semalam.

Suspek itu, dipercayai seorang pembantu rumah berumur dalam lingkungan 20-an, ditahan di To' Uban pada kira-kira jam 5.15 petang.

Yeap Seok Pen, dalam lingkungan 60-an, ditemui terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumah oleh suaminya, Lee Lai Wing, 64, pada jam 2 petang.

Lai Wing, seorang peniaga, berkata dia terkejut mendapati isterinya tidak sedarkan diri dan darah banyak di muka dan leher.

Katanya, dua minggu lalu mereka menggaji seorang pembantu rumah untuk menjaga Seok Pen yang menghidap Parkinson.

Saksi kejadian, Che Noh Harun berkata, dia melihat kelibat seorang wanita lingkungan umur 20-an, berkemeja T putih dan berseluar jeans paras lutut, meluru keluar ke jalan besar dengan membawa beg galas.

“Ketika itu, saya lihat mukanya pucat dan tergesa-gesa keluar untuk ke jalan besar, namun saya tidak menyangka dia adalah pembantu rumah berkenaan,” katanya.

“Jirannya ada beritahu mereka terdengar bunyi bising dari arah rumah mangsa yang mengesyaki ada berlaku pergaduhan, sebelum anak lelakinya yang berniaga di bandar ini pulang,” katanya


Garis panduan elak seleweng

SHAH ALAM – Garis panduan melarang individu mengutip wang untuk membiayai aktiviti politik langkah efisien untuk mengatasi masalah politik wang yang makin membimbangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Yap Ee Wah berkata, indeks rasuah yang meningkat berbanding tahun lepas dapat dikurangkan dengan wujudnya garis panduan ini.

Menurutnya, sumbangan yang diperoleh adalah untuk pembangunan sesuatu parti politik bukan bersifat kepentingan diri.

“Garis panduan itu sebagai salah satu usaha dan diharap dapat mengurangkan rasuah.

“Ketegasan Kerajaan Persekutuan ini jelas menunjukkan langkah kerajaan menghapuskan gejala rasuah yang telah menjadi tabiat dalam masyarakat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, Kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan satu garis panduan yang melarang individu mengutip wang bagi membiayai aktiviti politik,

Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata semua kutipan dana pada masa depan hanya boleh dilakukan oleh parti politik dan bukannya atas kapasiti peribadi individu.

Sementara itu, ADUN Taman Medan , Haniza Mohamed Talha berkata, terdapat segelintir individu menggunakan nama parti untuk kepentingan diri maka perlunya penstrukturan bagi mengelakkan salah guna wang.

“Sesuatu kutipan itu perlu dibuat secara terbuka, selepas tamatnya kempen, petugas yang bertanggung jawab perlu mengira dan mengumumkan jumlah kutipan di hadapan khalayak ramai pada hari itu juga.

“Ia (pengumuman kutipan) bertujuan supaya umum tahu jumlah hasil kutipan dan tahu wang tersebut disalurkan untuk perkara yang betul serta tidak rasa ditipu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menyokong pandangan Haniza dan menambah perlunya ada akaun yang boleh disemak dan dirujuk oleh umum.

Menurutnya, langkah itu (akaun khusus) dapat mengelakkan penyalahgunaan .

“Setiap tahun akaun itu perlu diaudit dan masyarakat tahu wang sumbangan itu disalurkan untuk tujuan positif dan berfaedah.

“Laporan tahunan juga perlu telus dengan menyediakan pembentangan termasuk perolehan pendapatan dan perbelanjaan yang telah dikeluarkan,” katanya. 
3 sekawan kena sembelih

GEORGE TOWN – Entah apa motif sebenar tragedi tiga sekawan dibunuh kejam di sebuah rumah sewa di di Menara 1C Lorong Semarak Api, Ayer Itam di sini, semalam.

Mayat mereka yang ditemui orang ramai dalam keadaan yang sangat mengerikan dengan kesan kelar, disembelih dan ditikam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, tiga lelaki warga Myanmar itu dijumpai mati di rumah sewa, dipercayai berlaku pergaduhan antara ketiga-tiga mangsa dan suspek.

“Ditikam, disembelih dan dikelar dalam kejadian kira-kira jam 9.25 pagi. Mangsa dikenali sebagai Tin Maung Lwin, 44; Htoo Kyan, 31 dan Naga, 40an, ditemui mati di dua lokasi berasingan iaitu dua di dapur dan seorang di bilik tidur.

“Kesemua mangsa dipercayai terlibat dalam pergaduhan bersama seorang rakan senegara yang turut menghuni rumah itu sebelum dibunuh dengan kejam. Kita sudah menahan rakan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya kepada media di tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, mereka bekerja di kawasan berhampiran manakala seorang daripadanya ialah pekerja penyelenggaraan di perumahan itu.

“Polis menerima laporan daripada orang awam selepas setengah jam kejadian berlaku. Hasil siasatan di dalam rumah itu mendapati mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan ngeri dan banyak kecederaan di bahagian badan.

“Polis turut menjumpai sebilah pisau potong sayur dan pisau pemotong daging di atas lantai berhampiran mayat-mayat yang mempunyai kesan darah. Salah seorang daripada mangsa adalah penghidap asma,” katanya.

Kong Meng berkata, polis sedang menyiasat punca kejadian dan kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 atau balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Bhupinder Singh yang ditemui di tempat kejadian berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai mati akibat dikelar dan ditikam kerana mempunyai banyak kesan kecederaan di tubuh mereka.

Semua mayat dihantar ke HPP untuk bedah siasat.



Nikah adik tidak sah


PANTAI REMIS – Seorang ahli keluarga, menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mendakwa keluarganya seperti dipermainkan pihak berkenaan dalam urusan berhubung kes faraq dalam kes pernikahan adik perempuannya 4 Disember tahun lalu.

Wan Mohd Rosman Wan Hassan, 26, berkata, pada 13 Mei lalu Mahkamah Rendah Syariah Seri Manjung telah memutuskan pernikahan Wan Roszila, 20, di Wilayah Pattani, Selatan Thailand itu sebagai tidak sah mengikut Seksyen 50 (b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2004.

Menurutnya, mahkamah juga mengeluarkan surat perintah hukuman faraq sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, berserta surat perintah penggantungan sijil nikah berkuat kuasa 6 November lalu.

“Kami menerima draf surat perintah faraq secara terus pada hari hukuman dijatuhkan dan adik saya menghilangkan diri dari kawasan pekarangan mahkamah sebaik sahaja keputusan itu dibuat, manakala surat perintah penggantungan sijil nikah diterima pada 2 November lalu.

“Malangnya, sungguhpun kedua-dua surat perintah ini sudah diterima, tiada sebarang tindakan diambil Pejabat Agama Islam Seri Manjung sehingga kini,” katanya ketika ditemui di kedai bapanya, Wan Hassan Wan Ismail, 60, di sini, semalam.

Wan Mohd Rosman berkata, sejak tarikh hukuman faraq dijatuhkan, sebanyak empat hingga lima laporan polis dibuat, tetapi keadaan sama berlaku iaitu tiada sebarang tindakan dilakukan.

Katanya, dia dan keluarga kecewa apabila perkara itu seperti tidak diambil berat oleh pihak berkenaan.

“Sejak awal masalah ini, kami telah membuat 19 laporan polis iaitu bermula dengan laporan kehilangan Wan Roszila pada 21 November 2009.

“Namun kami kecewa apabila sepanjang kes ini berlangsung, jawapan diterima dari semua pihak yang dirujuk adalah kes ini berada di luar bidang kuasa mereka, sedangkan mereka adalah pihak berwajib dan perintah mahkamah telah dikeluarkan,” katanya.

Katanya, selama lebih setahun, dia berulang alik ke pejabat pihak berkenaan me�nguruskan masalah itu.

“Saya mengikut segala prosedur yang diperlukan dan melalui saluran yang betul tanpa membelakangkan perundangan. Namun kami seperti dipermainkan secara berterusan dan tindakan semua pihak terlibat seolah-olah cuba melengahkan masa agar saya sekeluarga berputus asa,” katanya.

Wan Mohd Rosman berkata, perkara itu sepatutnya telah lama diselesaikan jika semua pihak berwajib melaksanakan tugas mereka.

“Saya akan terus berusaha menyelesaikan kes ini kerana ia membuka peluang untuk mendedahkan kemungkaran yang berlaku, selain berpeluang memastikan anggota masyarakat lain tidak melalui pengalaman sama.

“Diharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua dan selepas ini tiada lagi berlaku pernikahan tanpa kehadiran wali yang sah. Bukan kemenangan kes yang dicari, tetapi keadilan dan berharap undang-undang syariah dikuatkuasakan sebaiknya," katanya.



Gempar jumpa ikan gergasi


MERSING - Hampir 20 nelayan di Jalan Dato Onn di sini gempar apabila pertama kali terjumpa ikan air tawar seberat 55 kilogram dan sepanjang 1.8 meter dipercayai terdampar di muara Sungai Mersing, kelmarin.

Ikan berkenaan yang dikenali dengan nama Ara Pama dipercayai mati akibat cedera dan tersadai di muara sungai, dekat jeti Lembaga Ikan Malaysia (LKIM).

Seorang saksi warga Myanmar, Auti Htay, 33, berkata, dia menjumpai ikan berkenaan semasa hendak ke botnya kira-kira jam sembilan malam.

Katanya, dia ternampak sesuatu dalam air yang pada mulanya disangkakan buaya.

“Saya melihat objek besar tersadai di tepi muara sungai. Ingatkan buaya, kemudian rakan-rakan saya datang dan menyuluhnya dan terlihatlah ikan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Auti berkata, ikan itu dijumpai dalam keadaan lemah dan tidak bergerak.

“Saya dan rakan-rakan mengangkat ikan tersebut ke darat dan meletakkannya dalam bekas air batu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kilang air batu tempat ikan tersebut ditempatkan mendapati rata-rata nelayan terkejut dengan penemuan ikan gergasi itu.

Salah seorang nelayan, Ariffin Jusoh, 46, berkata, sepanjang hayatnya tidak pernah menjumpai ikan Ara Pama sebesar itu.

“Pertama kali dalam hidup saya melihat ikan sebesar ini. Kalau ikan air masin sudah biasa, tetapi ikan seperti ini belum pernah lagi,” katanya.

Menurutnya, ikan tersebut yang seberat 55 kilogram dan sepanjang 1.8 meter pertama kali dijumpai di Muara Sungai Mersing.

“Bagi penduduk Mersing, ini adalah pertama kali bagi kami semua. Kebanyakan nelayan di sini tidak pernah tertangkap atau terjumpa ikan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, ikan itu amat menarik kerana mempunyai kepala berbentuk buaya serta sisik yang cantik.

“Bentuk ikan seperti kelisa, tetapi kepalanya seperti buaya kerana keras. Sisiknya pula berwarna merah,” katanya.

Sementara itu, bagi nelayan pukat tunda, Tan Chai Tuan, 51, dia terkejut apabila diberitahu rakannya berkaitan ikan berkenaan.

“Mula-mula saya tidak percaya, kerana sebelum ini sepanjang saya menjadi nelayan, belum pernah menjumpai ikan air tawar sebesar dan seberat ikan ini.

“Dalam masyarakat Cina, ikan ini dipanggil ikan naga kerana sisik dan kepalanya berbentuk naga,” katanya.

No comments:

Post a Comment