Saturday, January 22, 2011

BANYAKNYA SAMPAH...HINGGA BOLEH BUAT HOTEL.....

DUN Pel. Klang Kosong: SPR Telah Dimaklumkan - Speaker


SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang.
Pada Jumaat, Teng berkata beliau difahamkan SPR telah menerima surat tersebut.
Beliau juga mengecam kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah kerana ‘berbohong’ apabila mengatakan beliau menghadiri pembukaan sidang dewan pada November.
Teng menambah, satu-satunya pembukaan sidang dewan telah diadakan pada April dan bukannya pada November, seperti yang didakwa oleh Badrul Hisham.
Beliau turut mengedarkan minit mesyuarat yang menunjukkan Bandrul Hisham tidak menandatangani borang kehadiran.
Beliau juga menafikan kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Wan Ahmad bahawa kekosongan itu mesti diisytiharkan secara konsensus oleh dewan dan bukannya hanya oleh speaker.
Teng berkata, perkara itu tidak termasuk di bawah Perlembagaan Selangor.


Waris ragui punca kematian

JERTIH - Punca sebenar kematian seorang lelaki dari di Lorong Kubur dekat Masjid Hadhari Jertih di sini kelmarin menimbulkan persoalan dalam kalangan warisnya, memandangkan dalam sijil kematiannya dinyatakan sebab kematian adalah kerana kegagalan organ berfungsi, sedangkan doktor yang merawatnya memaklumkan si mati disyaki diserang virus kencing tikus (Leptospirosis).

Sepupu lelaki berkenaan, Rosli Othman, 50, berkata, Allahyarham Ahmad Rosni Awang, 37, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan malam Rabu selepas sehari koma.

Menurutnya, pada awalnya, pegawai perubatan di HUSM mengesyaki sepupunya diserang demam denggi, namun kemudian dia disahkan bukan sakit akibat bawaan nyamuk Aedes, sebaliknya disyaki pula diserang virus kencing tikus.

“Andaian itu dibuat kerana simptom dihadapinya menyamai mangsa yang diserang virus air kencing tikus iaitu demam tinggi, sakit anggota badan dan masalah lain,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis pengebumian Ahmad Rosni di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tandak kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

Rosli yang lebih dikenali sebagai Pak Awang berkata, bagaimanapun laporan pada sijil kematian yang dikeluarkan HUSM menyatakan kematian sepupunya hanya disebabkan organ gagal berfungsi dan ia benar-benar meresahkan ahli keluarga.

Menurutnya, sekarang ahli keluarga tidak berani memasuki rumah Allahyarham kerana bimbang dijangkiti virus memandangkan doktor di HUSM pernah mengatakan sakitnya berkemungkinan besar disyaki berpunca daripada virus itu.

Ahmad Rosni yang masih bujang bekerja sendiri dan tinggal sendirian di rumah peninggalan arwah keluarganya selepas ibu bapanya meninggal dunia lebih 10 tahun lalu, pada mulanya mengadu demam pada Sabtu lalu.

Keadaannya bertambah parah dan koma pada Selasa lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada malam esoknya.

Pemergiannya mengejutkan ramai ahli keluarga dan rakannya kerana selama ini beliau sihat dan aktif dalam sukan pingpong, malah sering mewakili kelab pingpong daerah ini dalam perlawanan sukan itu di merata tempat.


Semua alami simptom sama

BESUT – Kematian dua lelaki dalam tempoh dua hari berturut-turut dan seorang lagi kini terlantar koma di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, menimbulkan rasa bimbang dan keliru dalam kalangan keluarga si mati mengenai adakah benar punca kematian mereka disebabkan virus kencing tikus.

Seorang lelaki, Ahmad Rosni Awang, 37, meninggal dunia di HUSM pada Rabu lalu selepas sehari koma apabila mengadu demam sejak Sabtu lalu.

Ahli keluarga si mati memberitahu, doktor yang merawat mangsa mengatakan Ahmad Rosni kemungkinan besar dijangkiti virus kencing tikus, namun keputusan ujian makmal bagi mengenal pasti sampel darah belum diperoleh ketika itu.

Akibat tanggapan awal itu, ahli keluarga tidak berani membawa jenazah Ahmad Rosni pulang ke rumahnya untuk diuruskan kerana bimbang kemungkinan virus itu berpunca dari rumah berkenaan di Lorong Kubur dekat Masjid Hadhari di sini.

Sehari sebelum itu, difahamkan seorang warga emas berusia 50-an yang berniaga kedai makan di Jertih juga meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Lelaki itu juga dikatakan koma dan mempunyai simptom sama seperti Ahmad Rosni, iaitu bermula dengan demam.

Jenazahnya juga dikatakan diuruskan di hospital dan terus dikebumikan.

Kini, Sinar Harian diberitahu, seorang lagi pesakit dari Kampung Gong Nering sedang terlantar koma di HUSM sejak beberapa hari lalu dan juga didakwa terkena virus air kencing tikus.

Mangsa seorang periang, peramah

KUALA BERANG -“Makcik tidak sangka dia akan pergi dengan cara begini, malah sukar untuk membayangkan keadaannya ketika lemas tadi. Makcik baru berjumpanya kira-kira seminggu lalu dalam keadaan sihat,” luah Maimun Talib, 63, penuh kesayuan.

Maimun adalah nenek kepada seorang juru x-ray di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Mohd Alif Mahade, 23, dari Pulau Kerengga, yang ditemui lemas dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam di Air Terjun Belukar Bukit sewaktu sedang manda-manda bersama 10 rakan sekerjanya yang lain.

Menurut Maimun, walaupun berat menerima berita pemergiannya cucu keduanya itu, namun dia sekeluarga tetap akur dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Malah, dia menyifatkan ia satu kehilangan besar baginya kerana mangsa begitu akrab dengannya selain sering menjenguknya di rumah di Rusila.

“Cucu makcik ini (mangsa), anak kedua daripada empat beradik dan seorang yang periang serta peramah. Malah, dia sering datang ke rumah dan seingat makcik, kali terakhir berjumpa dengannya kira-kira seminggu lalu.



“Sebagai nenek, pastinya berita kematiannya mengejutkan, apatah lagi disebabkan lemas. Namun, kami sekeluarga tabah dan menganggap ini ketentuan-Nya,” katanya kepada Sinar Harian, di Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, semalam.

Sementara itu, sepupu mangsa, Ahmad Azmi Ngah, 38, berkata, bapa mangsa, Mahade Ismail, 49, menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi daripada salah seorang rakan mangsa yang turut sama berada di tempat kejadian dan terus bergegas ke lokasi.

“Mangsa bekerja sebagai juru x-ray sejak enam bulan lalu sebaik menamatkan pengajian di Kolej Universiti Mahsa dan sebagai sepupu, saya turut berasa kehilangannya,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Forensik HHT apabila bukan sahaja ibu mangsa, Rosmani Embong, 47, mengalirkan air mata kesedihan dan cuba ditenangkan ahli keluarga lain, tetapi beberapa kanak-kanak yang juga sanak-saudara mangsa turut diselubungi kepiluan.


Pengunjung diminta patuhi amaran



BELUKAR BUKIT - Orang ramai yang berkunjung ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, diharap dapat mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk mematuhi papan tanda amaran sebagai langkah awal mengelakkan berlakunya kejadian lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK 1 Mohd Zazuli Badru berkata, kegagalan pengunjung mematuhi papan tanda amaran dipasang pihak berkuasa boleh mengundang perkara tidak diingini.

Menurutnya, papan tanda amaran memainkan peranan penting sebagai notis pemberitahuan khususnya kepada pengunjung yang baru pertama kali berkunjung ke sesuatu lokasi dan seharusnya dipatuhi.

“Mengulas lanjut kejadian lemas di Air Terjun Belukar Bukit ini, kebiasaannya ia berlaku di lokasi yang sama kerana terdapat kawasan air berpusar di situ.

“Malah, papan tanda amaran juga telah dipasang di sini. Pengunjung dinasihatkan agar mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sewaktu mengetuai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, Mohd Alif Mahade, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian berkenaan jam 11.01 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama enam anggota.

Namun, setibanya di tempat kejadian mangsa telah ditemui oleh orang awam.


Mohd Nazri bawa keluar mangsa



BELUKAR BUKIT - “Sebelum menerima panggilan memaklumkan ada kejadian lemas oleh salah seorang rakan, saya berada di rumah jiran kerana ada kenduri. Kemudian, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan terjun ke kawasan air berpusar kerana kebiasaannya mangsa lemas akan terperangkap di situ,” kata Mohd Nazri Mat Sharif, 30.

Mat Sharif adalah salah seorang penduduk tempatan yang berjaya membawa keluar Mohd Alif dalam kejadian di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, kira-kira lima minit menyelam di sekitar kawasan air berpusar itu, dia ternampak kaki mangsa dan kemudian menariknya keluar sebelum dibantu beberapa orang awam serta penduduk tempatan di situ.

“Kejadian lemas di sini sering berlaku kerana adanya kawasan air berpusar, namun kejadian hari ini (semalam) adalah kes pertama tahun ini.

“Kebiasaannya suhu air lebih sejuk selepas musim tengkujuh dan bagi penduduk setempat ia dipanggil ‘air sejuk’. Keadaan ini juga menyebabkan orang ramai lebih mudah kekejangan otot. Jadi, pengunjung dinasihatkan agar lebih berhati-hati,” katanya.

 Remaja pendiam mati tergantung


SEDAKA - Seorang remaja lelaki yang berusia 19 tahun ditemui mati tergantung di stor belakang rumahnya di Kampung Sedaka, petang semalam.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, anak bongsunya itu dari lima orang adik beradik.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari. Ketika itu saya berada di dalam rumah, kemudian saya keluar untuk cari daun pisang untuk diberikan kepada arnab.

“Selepas saya keluar, saya nampak arwah anak saya tergantung di stor. Saya panik dan tidak tahu nak buat apa. Saya ambil keputusan untuk menghubungi suami yang tiada di rumah pada masa itu,” katanya.

Menurutnya, suaminya sampai ke rumah pada jam 2 petang.

“Suami saya pun dalam keadaan bingung dan sedih. Suami memanggil rakan-rakan untuk berbincang kerana keadaan suami bercelaru dan tidak mampu membuat keputusan. Kemudian, suami menghubungi polis kira-kira jam 3.15 petang,” katanya.

Ibu mangsa yang masih dalam keadaan bersedih itu mengatakan bahawa tiada perubahan yang berlaku sebelum anaknya ditemui mati.

“Dia (mangsa) memang macam biasa. Tetapi anak saya ini memang jenis pendiam dan tidak banyak bergaul dengan rakan-rakan.

“Dia banyak menghabiskan masa di rumah dan di bilik. Perkara yang arwah minat adalah mencantikkan motosikalnya,” katanya.

Selain itu, ibu mangsa menafikan wujudnya perselisihan faham antara keluarga dan anaknya itu.

Dia berkata, anaknya itu seorang yang pembersih.

“Arwah memang seorang pembersih dan biliknya sentiasa kemas. Semua barang-barangnya berada dalam keadaan yang tersusun.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bilik arwah memang kemas sehingga peralatan di dalam laci komputer tersusun rapi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu mengesahkan kejadian tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Biar lembu berkeliaran langgar hukum syarak

KUANTAN – Sikap penternak yang mengambil jalan mudah dan membiarkan binatang peliharaan mereka mengganggu ketenteraman jiran serta penduduk setempat sebenarnya dilarang dalam Islam.

Kadi Daerah Kuantan, Ahmad Nizam Abdul Manan (gambar) berkata, lembu yang dipelihara perlu dijaga dengan baik termasuk membina kandang bagi mengelakkan ia merayau di dalam tanah hak milik orang lain.

“Mereka tidak menepati hukum syarak apabila gagal mengikut kaedah yang betul memelihara binatang ternakan dan tidak halus menjaga harta dalam aspek Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau turut menasihatkan pemilik membina kandang supaya lebih sistematik sekali gus mengelakkan binatang itu merayau dan memakan hasil tanaman penduduk lain.

Katanya, jika lembu itu dilepas bebas, pendapatan pemilik atau penjaga binatang itu tidak bersih di sisi agama.

“Pembinaan kandang juga memerlukan kebenaran daripada tuan tanah kerana ia benar-benar mengikut syariat Islam. Mereka perlu lebih bertanggungjawab jika mahu rezeki halal terutama ketika menjalankan ibadah korban.

“Jika mahu meningkatkan pendapatan, mereka perlu menjaga lembu dan tidak membiarkan mereka lepas bebas sehingga mengganggu penduduk,” katanya.

Umat Islam perlu bijak cari kerja halal

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah menyokong kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kewajaran untuk tidak membenarkan orang Islam bekerja di premis-premis yang menyediakan makanan atau minuman haram.

Menurutnya, umat Islam dalam komuniti masyarakat majmuk perlu peka dengan keadaan sedemikian selain bijak mencari pekerjaan halal.

“Umat Islam tidak boleh sesekali bekerja dalam sektor yang dilarang Islam, mereka perlu tahu perkara ini kerana pekerjaan adalah untuk keperluan hidup yang perlu dicari melalui cara halal,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, Nik Aziz berpendapat, orang Islam tidak sewajarnya dibenarkan bekerja di premis arak yang jelas mengenai pengharamannya.

Kenyataan sedemikian dibuat susulan tindakan Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ronnie Liu membantah keputusan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang umat Islam bekerja di premis menjual alkohol di negeri itu.

Abu Bakar bagaimanapun meminta isu itu tidak dipolitikkan untuk tujuan memperlihatkan ketidaksefahaman yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR).



Suami Normala mungkin letak jawatan

LABIS – Suami calon Pas, Maarof Abd Mutalib mungkin akan meletak jawatan sebagai guru jika isterinya, Normala Sudirman,38, memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Maarof, 45, berkata, ia bagi membantu Normala sepenuh masa andai isterinya dipilih sebagai wakil rakyat.

“Bagaimanapun, ia bergantung pada kesesuaian dan saya bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya kepada media selepas penamaan calon hari ini.

Beliau turut menyatakan sejak Normala dipilih, beberapa urusan rumahtangga perlu dilaksanakan.

Beliau yang sudah berumahtangga dengan Normala selama 14 tahun mempunyai tiga anak yang berusia lapan hingga 13 tahun.



Hotel sampah pertama dibuka di Madrid



MADRID - Hotel pertama yang dibina dengan :menggunakan sampah dan bahan terbuang yang di kitar semula, kini dibuka di Madrid, Sepanyol, semalam.

:Hotel Sampah Pantai (Beach Garbage Hotel) yang terletak di tengah bandar Madrid dihasilkan oleh seorang artis Jerman, Ha Schult :(gambar): bersempena dengan Pesta Industri Pelancongan Tahunan negara itu.

:Menurut Schult, antara bahan terbuang yang digunakan untuk membina hotel tersebut adalah botol plastik, kayu, bingkai gambar, alat muzik, stoking koyak, tayar dan buku cerita kanak-kanak.

:Schult turut mengalu-alukan kedatangan pemenang sebuah pertandingan dalam laman sosial :Facebook: untuk penginapan percuma sebagai hadiah pertama.

:"Sampah yang dikutip adalah daripda lautan kerana ia merupakan satu tempat pembuangan sampah terbesar di dunia" katanya.

:Hotel itu dicipta untuk memberi kesedaran kepada pengunjung mengenai kepentingan kebersihan dunia di masa hadapan.

:Hampir 40 peratus hotel itu dibina menggunakan sampah yang ditinggalkan pengunjung yang dikutip daripada pantai di seluruh negara Amerika Latin.

1 comment: