Saturday, May 28, 2011

40 HADIS AKHIR ZAMAN...

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman ini sebenarnya adalah hasil daripada susunan
ABU ALI AL BANJARI AN NADWI (AHMAD FAHMI ZAMZAM)

Hadis Pertama : -

TAKWA DAN PERPADUAN
ASAS KESELAMATAN DI AKHIR ZAMAN


H.R. ABU DAUD DAN TIRMIZI


Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah ra. berkata : "Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda pun bersabda : "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umur nya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnah ku dan sunnah para Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-Khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat".

Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga dari pada Rasulullah saw bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadis ini iaitulah : -

1. Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam apa juga keadaan pun dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Nabi saw dan sunnah-sunnah khulafa ArRasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi saw.

3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi saw dan sunnah para khulafa ArRasyidin Al Mahdiyin (Abu Bakar, Omar, Osman dan Ali ra) yang mana mereka telah mendapat pertunjuk daripada Allah Taala, iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalanm ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti. InsyaAllah...

4. Menjauhi perkara-perkara atau apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama.



Hadis Kedua

KENAPA DUNIA ISLAM MENJADI
SASARAN PEMUSNAHAN?


H.R. BUKHARI MUSLIM



Daripada Ummul Mu'minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw), beliau berkata :" (pada suatu hari) Rasulullah saw masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini", dan Baginda menemukan ujung ibu jari dan hujung jari sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya :"Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?" Lalu Nabi saw bersabda :"Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak".


Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.


Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kafasiqan hendaklah segera dibasmi dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi melapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.

Dalam hadis di atas, walaupun disebutkan secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita saw, sendiri dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain. Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju-mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab.

Kemudian Ya'juj dan Ma'juj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam as) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hampir tibanya hari qiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa itu dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan di permukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari qiamat sudah dekat sekali tibanya.



Hadis Ketiga : -

SELURUH DUNIA DATANG MENGERUMINI
DUNIA ISLAM


H.R. ABU DAUD


Daripada Tsauban ra berkata : Rasulullah saw bersabda : "Hampir tiba suatu masa di mana bnagsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?". Nabi menjawab : "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw itu. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk dunia) tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka di tindas, di injak-injak, di sakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walau pun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.

Sebenarnya segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit 'wahan' yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu "cinta dunia" dan "takut mati". Kedua-dua penyakit itu tidak dapat dipisahkan. Cinta dunia bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta ke jalan Allah SWT. Takut mati pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

Kita berdoa agar Allah SWT menurunkan nusrahNya kepada kaum muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat.
 
 
 
Hadis keempat :


ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG



H.R. MUSLIM



Daripada Abdullah bin Amr bin ash' ra berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :" Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."

Sekarang ini alim-ulama sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan "patah tumbuh hilang berganti", peribahasa itu tidak tepat berlaku kepada alim-ulama.
Mereka patah sayap payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu masa nanti permukaan bumi ini akan kosong dari ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya alim-ulama lah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

Di akhir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi. Dimana bilangan ulama-ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkan pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.



Hadis Kelima : -



UMAT ISLAM MENGIKUTI
LANGKAH-LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI




H.R. MUSLIM



Daripada Abu Said Al-Kudri ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :" Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, " "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?" Nabi SAW menjawab, " Siapa lagi kalau bukan mereka".

Umat Islam yang mengikut jejak langkah apapun "cara hidup" orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan orang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikut mereka.

Zaman sekarang ini kita dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah SAW ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mere hanya meniru "cara hidup" Yahudi dan Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang menjadi alat dan tali barut mereka.

Ya Allah ! Selamatkan lah kami daripada mereka.

 Hadis Ke Enam : -


GOLONGAN ANTI HADIS



H.R. ABU DAUD DAN IBNU MAJAH



Daripada Miqdam bin Ma'dikariba ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : " Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadis ku maka ia berkata : "Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkam". (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya): "Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah SAW, samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah SWT".


Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah seorang yang mengingkari kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas al-Quran. Ia hanya percaya kepada al-Quran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar dari ikatan Agama Islam. Dan pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahami al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi SAW. al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan al-Quran sahaja, tetapi ia mesti disertai dengan hadis Nabi SAW.


Hadis Ketujuh : -



GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG



H.R. BUKHARI



Daripada Mughirah bin Syu'bah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai suatu saat yang dikehendaki oleh Allah SWT. Mereka sentiasa berjaya"


Allah SWT telah menjadikan umat Islam ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu Allah SWT berjanji akan memelihara kitabNya (al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul
tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin di permukaan bumi ini.

Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita
akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat.
Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafikin, Yahudi dan Nasrani di Madinah, seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah
dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Moghol dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamaddun
Baghdad pada pertengahan abad ke enam Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai terhadap kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan seterusnya di sambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak dan seterusnya serangan di segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya ... dan sebagainya ..... . Walaupun ujian yang sangat dashyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia di hari ini.

Walaupun di hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka
tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan
memperjuangkannya. Walaupun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar-syiar Islam diinjak-injak di sebahagian tempat tetapi di tempat lain syiar-syiar Islam masih lagi gagah dan teguh. Walaupun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa pada suatu tempat tetapi di tempat lain mereka akan disanjung dan dihormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari permukaan bumi ini......, hinggalah sampai pada masa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Maka pada masa itu Allah SWT akan mematikan semua orang-orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal setelah itu hanyalah orang-orang jahat atau orang kafir, maka pada saat itulah akan berlaku hari qiamat.


Hadis Kelapan : -


PENYAKIT UMAT-UMAT DAHULU


H.R.HAKIM



Daripada Abu Hurairah ra katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab, " Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasud menghasud sehingga zalim menzalim".


Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum Muslimin di hari ini.

Disana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam di landa krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyak nya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya.

Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!!!!!


Hadis Kesembilan : -


ISLAM KEMBALI DAGANG


H.R. MUSLIM



Daripada Abu Hurairah ra berkata : Bersabda Rasulullah SAW : " Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing".


Islam mulai tersebar di Mekah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh dua per tiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan di rasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan dari pandangan Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komited) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yagn meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Begitulah seterusnya nasib Islam di akhir zaman..................ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.


Hadis Kesepuluh : -


BAHAYA KEMEWAHAN


H.R. TIRMIZI



Daripada Ali Bin Abi Thalib ra ;"Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab Bin Umair ra dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi SAW bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".


Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi-petang pakaian bersilih ganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Dimana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad SAW mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang itu dari berbuat ibadat kepada Allah SWT, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari membuat ibadat. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak harta lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW, "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Oleh itu, janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan.

Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak.

Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

No comments:

Post a Comment