Sunday, May 22, 2011

BAPA JUGA ADA PENGORBANAN....BILA ZAMAN REMAJA DAH ROSAK....AGAK SUSAH NAK DIPERBETULKAN KECUALI ADANYA TAUFIK DAN HIDAYAH DARI ALLAH...PEMERINTAH TAK BOLEH LEPAS TANGAN...JANGAN PEMERINTAH MEMBIARKAN MAKSIAT DAN MUNGKAR BERLAKU...MALANG LAGI JIKA PEMERINTAH SENDIRI MENGANJURKAN MUNGKAR ITU.....

Sangat menyedihkan, tak terkata: Warden

HULU LANGAT - Tiga jam sebelum kejadian tanah runtuh yang meragut enam nyawa sekurang-kurangnya hingga jam 10 malam tadi, mangsa yang terdiri daripada penghuni sebuah rumah anak yatim di sini menjalani latihan nasyid untuk persembahan menyambut kunjungan rombongan Perbadanan Filem Nasional (Finas).

Warden asrama, Mohd Hambali Ismail, 34, berkata, delegasi itu dijangka hadir pada satu majlis di sini kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, kejadian terbabit berlaku selepas makan tengah hari kira-kira jam 2.15 petang.

“Hanya sebahagian penghuni tinggal di dewan makan untuk kerja-kerja mengemas, selebihnya berada di khemah untuk berlatih.

“Ketika itu, saya berada di asrama dan terdengar bunyi dentuman serta pokok patah,” katanya.

Mohd Hambali berkata, sepatutnya dia berada bersama mangsa, tetapi ditangguhkan kerana ada urusan lain.

“Apa yang saya lihat tak dapat digambarkan de-ngan kata-kata kerana keadaannya sangat tragis dan menyedihkan,” katanya.

Menurutnya, kejadian tanah runtuh itu adalah kali dua berlaku sejak awal bulan ini.

“Runtuhan pertama hanya 50 meter dari bangunan dan sekadar runtuhan kecil.

“Runtuhan kali ini lebih besar dan berkemungkinan terjadi akibat runtuhan pertama,” katanya.

Menurutnya, kejadian pertama itu bagaimana tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.


Anak yatim maut tertimbus syahid


SHAH ALAM - Kematian mereka bukan sia-sia. Allah sudah janjikan ganjaran syahid bagi sekumpulan anak yatim terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, petang semalam.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengikut hukum, Islam yang menemui ajal secara tragis se-perti akibat kebakaran, kemalangan jalan raya atau bencana alam dan mati ketika tidur, dikategorikan sebagai syahid.

“Mereka dapat syafaat Allah, itu janjiNya,” katanya.

Beliau mengulas kematian anak-anak yatim penghuni Rumah Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, petang semalam.

Bagaimanapun menurut Mohd Tamyes, jenazah mereka masih perlu diurus seperti jenazah mati biasa, iaitu mandi, kafan dan disolatkan.

Beliau mengingatkan pengasas rumah kebajikan, termasuk rumah anak yatim di seluruh negara, pastikan bangunan mereka tiada risiko musibah.

“Jangan bina di lereng bukit atau berhampiran dekawasan bahaya kepada penghuni,” katanya.


Lelaki hilang ditemui selamat

TANAH MERAH – Suara misteri sejak tiga bulan lalu menghantui kehidupan seorang lelaki membawa kehilangannya sejak 11 Mei lalu.

Bagaimanapun, dia yang dikatakan hilang di kawasan Hutan Simpan Sokor pulang dengan selamat kira-kira jam 4 petang semalam.

Hanapi Deris, 41, dipercayai pulang sendiri setelah berjumpa seorang penduduk kampung di tempat pemeliharaan lembu lelaki itu tidak jauh dari tempat dia dipercayai hilang.

Hanapi berkata, dia takut berada di rumah memandangkan ada suara yang sering memanggilnya, tetapi tidak berasa takut biar pun lama dalam hutan.

“Sepanjang berada di dalam hutan, saya hanya makan buah hutan di samping meminum air sungai, namun suara yang misteri itu tidak ada dalam hutan,” katanya.

Ditanya keadaan di hutan, Hanapi tidak dapat mengingati apa yang berlaku dan berapa lama dia berada di tempat tersebut, malah mangsa masih ketakutan.

Sementara itu, abang mangsa, Baharuddin Deris, 58, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat mencari adiknya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana adiknya pulang dalam keadaan selamat walaupun masih keletihan.

“Sepanjang adik saya hilang, penduduk sanggup meninggalkan kerja masing-masing yang kebanyakannya menoreh getah semata-mata untuk mencarinya.

“Justeru saya mengucapkan terima kasih, berkat kesungguhan, doa serta solat hajat dilakukan semua pihak, dia berjaya ditemui,” katanya, semalam.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Mohd Nor Salleh, 41, berkata, dia pelik bagaimana abang iparnya boleh berada lama di dalam hutan dan tidak takut dengan suasana di tempat tersebut.

“Selalunya jika ke kedai, dia takut untuk balik dan penduduk kampung akan menghantarnya pulang.

“Tetapi apa yang dilaluinya di luar dugaan,” katanya yang turut membawa abang iparnya tinggal bersama dengannya di Pasir Puteh sebelum kehilangan mangsa.

Hanapi yang masih bujang sebelum ini dikatakan sering menerima gangguan berupa suara tidak diketahui datang dari arah mana yang membuatkannya sering ketakutan dan sukar tidur malam.

Suara tersebut dikatakan sering memanggilnya pada sebelah petang dan turut diselang seli dengan suara seolah-olah mengugut mahu memukulnya.

Difahamkan anak kelima daripada enam beradik itu pendiam, dan rapat dengan ahli keluarga berubah menjadi takut terutama dengan orang tidak dikenali selepas menerima gangguan itu.

Hanapi juga pernah dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan dan pulih seperti biasa serta dapat bekerja tanpa sebarang gangguan dan diberikan surat untuk membuat rawatan lanjut .

Pada hari kejadian, motosikal mangsa ditemui dua kilometer dari rumah, sementara mangsa dikatakan hilang kira-kira 500 meter dari tempat motosikal ditemui.

Sementara itu, Pengarah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha mengucapkan terima kasih semua pihak yang terbabit mencari Hanapi.

Kempunan jumpa anak

MARANG – Sudah menjadi rutin setiap minggu, seorang penyelia teknikal sebuah syarikat perkapa-lan dari Kemaman, Tengku Azman Tengku Saibon, 38, akan pulang menjenguk isteri dan tiga anaknya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dengan memandu kereta seorang diri.

Bagaimanapun, suratan takdir sudah menentukan minggu ini adalah minggu terakhir mangsa yang beralamat dari Kampung Putat Pendek, Pasir Mas dapat berbuat demikian selepas bapa tiga anak itu maut dalam kemalangan malam kelmarin.

Kemalangan yang berlaku lebih kurang jam 9 malam di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, ketika Tengku Azman dalam perjalanan pulang ke Pengkalan Chepa selepas pulang dari kerja.

Sepupu mangsa, Mohd Faisal Mohd Fauzai, 28, berkata, kebiasaannya arwah akan ke rumah isterinya di Pengkalan Chepa untuk bertemu anaknya terlebih dahulu sebelum pergi melawat keluarganya di Kampung Rupek, Pasir Hor pada keesokan harinya.

Menurutnya, sejak bekerja sebagai penyelia teknikal di sebuah syarikat perkapalan di Kemaman lebih kurang setahun lalu arwah tidak pernah terlepas dan pasti akan pulang menjenguk keluarga setiap minggu dengan memandu seorang diri.

“Bagaimanapun semalam, kami semua terkejut dengan kejadian kemalangan yang menimpanya namun kami tetap reda dengan ketentuan Tuhan kerana Tuhan lebih menyayanginya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan, nahas itu dipercayai berlaku apabila kereta Mercedes yang dipandu Tengku Azman gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh penghadang jalan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu .

Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang diketuai Penolong Kanan Penguasaha Bomba, Mohd Zamri Awang Long dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Mohd Zamri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kemalangan tersebut setengah jam kemudian sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira jam 10 malam.

“Kita terpaksa menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa berikutan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta dipandunya merempuh besi pengadang jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan menerima lapo-ran mengenai kejadian kemalangan di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk di dada dan siasatan awal polis mendapati kemala-ngan berlaku tanpa melibatkan pertembungan dengan kenderaan lain.

“Mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga mangsa pagi semalam,” katanya.


11 Pesanan Ayah

Kamu bernasib baik sekiranya memiliki kekasih yang sejati, kawan yang setia, dan orang lain yang sentiasa berada disekeliling untuk menyokong setiap tindakan kamu. Tetapi kamu perlu ingat, dua orang yang paling penting dalam hidup kamu adalah ayah dan ibu.
Kamu mesti kuat supaya orang lain tidak dapat mengganggu ketenangan fikiran kamu, jangan terlalu cepat untuk marah, jangan menjadi seorang yang penakut, dan jangan sesekali kamu leka dengan kebahagiaan yang kamu ada sekarang.
Kamu perlu tahu sekiranya kamu mempunyai masalah yang besar, pasti ada orang lain yang mempunyai masalah lebih besar daripada kamu. Jangan sesekali berasa putus asa terhadap apa yang kamu lakukan. Terus mengejar terhadap apa yang kamu impikan selama ini.
Belajarlah untuk berjimat, jangan terlalu boros. Pulangan untuk jangka masa panjang adalah lebih baik daripada kepuasan jangka pendek.
Kamu jangan jadi seorang yang kaki ampu. Kamu perlu tegas dengan pendirian kamu sendiri. Buktikan juga bahawa kamu mempunyai harga diri.
Kamu tidak perlu terlalu bergantung terhadap pandangan orang lain terhadap kamu. Lupakan dan cuba buktikan kepada diri sendiri bahawa kamu boleh menjadi lebih baik daripada apa yang mereka fikirkan.
Tidak semua perkara yang kamu lalui sepanjang kehidupan ini adalah menggembirakan.
Jangan sesekali berhenti daripada melakukan perkara yang kamu suka dan bangga terhadap hasilnya.
Sekiranya kamu mencari pasangan hidup, carilah pasangan yang mampu untuk menjamin masa depan kamu, yang dapat memberikan kamu kebahagian, ketenangan dan perlindungan. Tetapi ingat, wang bukanlah segala-galanya.
Perkara paling penting sebelum kamu membuat keputusan hidup kamu adalah restu ayah dan ibu.
Sekiranya ayah dan ibu menghalang kamu daripada melakukan sesuatu perkara, ia bukan bermakna kami seratus peratus tidak setuju. Kami cuba mengingatkan agar kamu tidak tersalah langkah. Sekiranya kamu yakin dengan keputusan yang dilakukan, buktikan kepada kami.


Lepas gian dengan kekasih

BATU TIONG - Walaupun pernah melahirkan anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan beberapa teman lelaki, namun ia belum cukup memberi pengajaran kepada ibu beranak satu yang turut terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Rahsia wanita berumur 22 tahun ini dipercayai terbongkar apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berada di rumah teman lelakinya yang juga bekas banduan dekat sini, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Wanita yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan itu dikatakan bertandang ke rumah teman lelakinya di Kampung Batu Tiong untuk melepaskan gian dadah.

Namun, dia tidak bernasib baik kerana tindakannya itu dipercayai berjaya dihidu anggota Polis Narkotik yang difahamkan lebih awal membuat risi-kan ke atas gerak-geri mereka.

Hasil ujian saringan air kencing, teman lelakinya bersama suspek wanita yang mempunyai seorang anak berumur dua tahun hasil hubungan haram itu didapati positif methampethamine.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-duanya akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan berdepan hukuman denda maksimum 5,000 atau penjara dan pengawasan dua tahun jika sabit kesalahan.


Rugi besar

KUANTAN – “Sudah seminggu perniagaan saya tergendala kerana masalah talian komunikasi di pejabat. Jika ini berlanjutan, boleh gulung tikar saya,” kata Ir Rohamad Mohamad Saaid.

Ir Rohamad berkata, rata-rata pejabat di sekitar Sungai Isap Jaya di sini mengalami masalah yang sama menyebabkan mereka tidak dapat menerima panggilan masuk dan juga faks daripada pelanggan mereka.

Menurutnya, walaupun sudah dimaklumkan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun ia masih belum pulih seperti biasa malah seolah-olah aduan mereka tidak diendahkan.

“Saya orang berniaga dan pendapatan saya banyak bergantung kepada pelanggan untuk berkomunikasi melalui telefon dan juga mengirim faks, tetapi kedua-dua talian ini tidak boleh digunakan menyebabkan pelanggan fikir saya sudah tidak minat berniaga lagi serta sudah hilang beberapa pelanggan sejak seminggu yang lalu.

“Apa yang menyebabkan saya kecewa, walaupun sudah membuat aduan, pihak terbabit meminta saya bersabar dan saya telah mengusulkan agar pihaknya mengambil alternatif lain agar telefon dan faks di pejabat saya berfungsi, malangnya tiada apa-apa tindakan,” katanya.

Selain itu, pihak pengurusan itu juga menyuruh beberapa pelanggan mereka yang menghadapi masalah yang sama agar menukar nombor telefon mereka dan ini menyusahkan kerana nombor telefon dan fas yang sedia ada sudah dikenali.

“Mana boleh saya tukar nombor telefon yang baru kerana pelanggan saya yang lain hanya tahu nombor ini sahaja,”

"Jika saya bertukar, susahkan saya kerana terpaksa memulakan segala-galanya dari awal dan akan melibatkan kos,” katanya.

Bagi Wan Nazir Wan Abdul Rahman, 47, pula mendakwa sudah kehilangan beberapa projek bernilai hampir jutaan ringgit gara-gara masalah kecil yang dihadapi itu.

Menurutnya, pihak syarikat telekomunikasi tersebut seolah-olah tidak endahkan aduan yang dibuat, tetapi lebih merumitkan keadaan dengan terpaksa mengisi pelbagai borang yang lain.

“Jika masalah telefon dan faks saya ini dapat berfungsi semula walaupun terpaksa membayar
sejumlah wang yang besar, saya tidak kisah kerana perniagaan saya hanya bergantung kepada medium komunikasi itu daripada pelanggan.

“Ini membuatkan imej syarikat saya juga terjejas dan beberapa pelanggan saya sudah ‘lari’ kerana masalah ini. Mereka menyangka saya sudah tidak berminat untuk berniaga lagi,” katanya.

Selain itu, beberapa peniaga lain berharap agar pihak syarikat telekomunikasi tersebut dapat menyelesaikan masalah ini yang melibatkan periuk nasi mereka turut terjejas.


Gambar Nik Aziz RM17,000

SHAH ALAM - Sekeping bingkai gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencatat kutipan tertinggi apabila dibida RM17,000 pada Majlis Makan Malam Dana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Pas di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam semalam.

Muka depan Majalah Fikrah itu memaparkan gambar Nik Aziz dengan tajuk; Terajui Perubahan Capai Keberkatan yang dicetak pada 2008, dibida seorang ahli perniagaan, Mohd Shukri Omar yang diwakili anaknya, Ahmad Azmi.

Bingkai terbabit adalah antara empat bingkai gambar yang memaparkan wajah kepimpinan tertinggi Pas termasuk Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor dilelong dengan jumlah semua kutipan RM27,200.

Selain itu, beberapa individu turut menghulurkan sumbangan berbentuk wang, cek dan aku janji bagi mengumpul dana untuk persiapan PRU13.

Jumlah sumbangan tertinggi diterima RM50,000 yang disumbangkan individu yang menggelar dirinya hamba Allah.

Hadir di majlis, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut menyampaikan bingkai gambar kepada pembida.

Hadir sama kepimpinan Pakatan Rakyat, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak

Turut hadir, Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden; Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.


Jadi lokasi remaja melepak

LIMBONGAN - Keadaan rumah kedai satu tingkat di Jalan Limbongan Permai 14, Taman Limbongan Permai, di sini yang kosong tidak berpenghuni sejak beberapa tahun lalu didakwa dijadikan tempat segelintir remaja melakukan kegiatan tidak bermoral.

Penduduk mendakwa kegiatan itu berlaku hampir setiap hari terutama pada lewat malam.

Lebih teruk lagi, deretan premis di tingkat bawah dan tingkat atas berjumlah 19 unit itu turut mengalami kerosakan dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang bertindak memecahkan serta mencuri pelbagai struktur bangunan terbabit.

Difahamkan, segelintir remaja yang menggunakan lokasi terbabit sebagai tempat melepak dikatakan mengambil minuman keras dan sebagainya di perkarangan bawah bangunan berkenaan.

Seorang penduduk, Azmir Othman, 37, berkata, terdapat juga beberapa remaja yang melakukan aktiviti kurang sopan dan menjolok mata.

“Demi memastikan perbuatan tidak bermoral tidak terus berlaku di situ, saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Limbongan, Ishak Md Shariff sering meninjau kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kesidang, Lim Eng Teck berkata, berdasarkan kerosakan yang dialami pada bangunan itu, beliau berpendapat pihak pemaju terbabit perlu mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah itu.

Menurutnya, langkah terbaik, pihak pemaju terbabit perlu mengambil tindakan segera sama ada menjual atau membaiki semula dan kemudian disewa kepada pelajar kolej swasta.

Menerusi tinjauannya ke bangunan berkenaan, beliau berkata, pelbagai kerosakan yang terdapat di bangunan berkenaan adalah sesuatu yang amat mengejutkan.

“Saya dapati hampir semua premis tingkat atas dan bawah mengalami kerosakan seperti pintu dikopak, cermin tingkap pecah, wayar serta suis lampu tertanggal dipercayai dicuri.

“Selain itu, saya dapati dinding bangunan di tingkat bawah turut diconteng dengan pelbagai perkataan yang tidak wajar,” katanya.

Malah katanya, berharap pihak JKKK dan persatuan penduduk di kawasan itu dapat mempertingkatkan usaha memantau lokasi berkenaan selain mendapatkan kerjasama pihak berkuasa untuk memantau kawasan berkenaan dari masa ke semasa.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Limbongan Permai, Rahim Saleh, 60, berkata, keadaan di kawasan itu sememangnya tidak terurus dan meminta pihak berkuasa membuat pemantauan yang kerap.

Menurutnya, pihak persatuan ada melakukan pemantauan di situ tetapi sukar mengatasi masalah gejala sosial yang wujud itu.

“Perbuatan tidak bermoral yang dilakukan segelintir remaja itu bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik taman ini malah dibimbangi boleh mempengaruhi anak penduduk di sini.

“Kalau boleh kami mahu pihak Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) membuat operasi di kawasan ini bagi membanteras gejala tidak diingini,” katanya.


Doktor pernah hilang dua kali

JITRA - Kehilangan seorang doktor muda, Dr Mohd Noor Azam Mohd Nazri, 26, sejak enam hari lalu menjadi lebih misteri apabila dia dikatakan pernah hilang dua kali sebelum ini selepas ‘ditegur’ gadis bertudung merah.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, berkata, dalam bulan ini sahaja sudah dua kali anaknya hilang selepas keluar bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Menurutnya, kali pertama ialah pada 3 Mei dan kemudian sekali lagi anaknya itu menghilangkan diri tanpa khabar berita pada 12 Mei yang lalu.

“Pada 3 Mei lalu, anak saya hilang entah ke mana dan hanya pulang selepas dua hari kemudian, apabila ditanya dia memberitahu ada seorang wanita bertudung merah lingkungan 20-an menegurnya ketika menaiki lif di HSB kira-kira jam 6.30 pagi.

“Bagaimanapun wanita itu dikatakan bertanya sama ada anak saya Dr Azam dan mahu meminta tolong kepadanya dan anak saya mengaku boleh membantu serta kemudian dia dikatakan terus menepuk dahi anak saya sehingga anak saya tidak mengingati apa yang berlaku selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bagaimanapun anaknya itu hanya tersedar dua hari selepas kejadian dahinya ditepuk itu dan didapati berada di sebuah pusat membeli belah di Sungai Petani.

“Selepas tersedar anak saya mendapati dia kehilangan wang tunai RM500 dan sebuah telefon bimbit.

“Dalam kejadian kedua pada 12 Mei lalu, anak saya sekali lagi hilang semasa pergi bertugas di HSB dan hanya pulang dua hari kemudian. Anak saya beritahu wanita yang sama menegurnya dan perkara yang sama juga berlaku kepadanya namun tidak sedarkan diri selepas itu. Namun kali ini anak saya tersedar dia berada di Jeti Kuala Kedah dua hari selepas hilang dan kehilangan wang tunai RM300 dan seutas jam tangan,” katanya.

Natrah berkata, dia dan keluarga tidak mengenali siapa wanita bertudung merah itu malah tidak pasti sama ada wanita itu benar-benar manusia atau sebaliknya.

Menurutnya, dia juga pernah membawa anaknya itu berjumpa dengan ustaz untuk tujuan berubat namun tiada perubahan sikap yang ditunjukkan pada anaknya berikutan kehilangannya itu.

“Kami bimbang sesuatu yang buruk menimpanya kerana sehingga ke hari ini dia masih belum pulang ke rumah selepas hilang buat kali ketiga di tempat bertugas pada 16 Mei lalu dan kehilangan ini penuh misteri kerana sudah masuk kali ketiga juga dia hilang dalam bulan ini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd Noor Azam supaya segera lapor ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menerusi talian 04-9172222 atau Balai Polis Langgar (04-7876222).


Remaja dakwa pernah dicabul

KULIM - Dua remaja berumur 15 dan 17 tahun ditahan anggota Balai Polis Kulim di hentian bas Kulim kira-kira jam 3 pagi, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, remaja berkenaan ditahan ketika rondaan pencegahan jenayah dilakukan kerana berpelesiran dan mencurigakan.

Menurutnya, remaja berumur 15 tahun itu masih bersekolah dan keluar rumah kira-kira jam 11 malam bersama beberapa teman lelaki dengan menaiki motosikal. Namun, mereka ditinggalkan di stesen bas sebelum dihantar balik ke rumah oleh teman lelaki lain.

Ketika disiasat, remaja itu berkata, dia datang daripada keluarga yang bermasalah.

Bapanya meninggalkan ibu dan adiknya sejak lapan tahun lalu tanpa sebarang berita. Selain itu, ibunya terpaksa bekerja menampung kos kehidupan mereka tiga beranak.

“Saya keluar dari rumah untuk bersiar-siar bersama sepupu dan beberapa teman lelaki lain, ” katanya.

Remaja perempuan itu juga mendakwa pernah dicabul teman lelakinya ketika berkelah di Arus Deras Sedim beberapa kali. Namun, perbuatan itu tidak dilaporkan kepada polis kerana khuatir akan dimarahi ibunya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kebanyakan remaja perempuan terlibat dalam kes rogol hari ini selalunya melakukan perbuatan itu secara sukarela. Namun, ia hanya akan diklasifikasikan sebagi rogol kerana mereka masih di bawah umur.

Menurutnya, apabila laporan polis dibuat, pasangan lelaki selalunya akan ditangkap dan dibicarakan di mahkamah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan mereka boleh dikenakan hukuman rotan dan penjara manakala pasangan perempuan pula akan ditempatkan di sekolah pemulihan akhlak.

“Ibu bapa seharusnya memantau pergerakan anak mereka. Masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja hari ini semakin serius.

“Ada remaja perempuan yang membenarkan kekasih mereka masuk ke rumah ketika ibu bapa mereka sedang tidur. Ini menunjukkan pendidikan moral dan agama yang diterapkan kepada anak terlalu nipis sehingga mereka boleh melakukan sesuatu di luar dugaan, “ katanya.

Ghuzlan berkata, remaja hari ini terdedah dengan pelbagai jenis hiburan dan peranan masyarakat dalam menangani masalah ini seharusnya dipertingkatkan.

“Bagi kes rogol di bawah umur sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis dan kita akan menyiasat. Saya menasihatkan ibu bapa supaya mempertingkatkan pendidikan agama kepada anak mereka dan mengawasi pergaulan harian terutama dengan teman lelaki. Jangan terlalu percaya dengan tipu helah anak-anak, ”
katanya.


Pelajar kena cekup

KLUANG - Seorang pelajar antara ditahan dalam Operasi Sayang yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Johor Bahru di sebuah pusat karaoke terletak di Taman Kluang Baru di sini, lebih kurang jam 12.10 pagi kelmarin.

Dalam operasi tersebut, pelajar berusia 19 tahun itu dipercayai bekerja sebagai pelacur di pusat karaoke berkenaan dan dia antara 11 pelacur yang berjaya ditahan Penguatkuasa Imigresen Johor Bahru.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Negeri Johor, Gajendra Bahadur H S Sam Bahadur berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga asing yang berasal dari China.

“Ops Sayang yang dijalankan pada pagi ini (kelmarin) merupakan maklumat yang diperolehi daripada orang awam dan kami bertindak untuk melakukan serbuan terhadap pusat tersebut kerana disyaki pekerjanya terdiri daripada warga asing.

“Semasa operasi dijalankan, saya telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan Imigresen dengan menunjukkan kad kuasa jabatan kepada seorang lelaki warga Malaysia berusia 54 tahun untuk melakukan pemeriksaan terhadap pusat karaoke tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Gajendra berkata, hasil pemeriksaan, pihak Imigresen berjaya menahan 11 wanita warga asing dalam lingkungan umur 19 hingga 49 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang berhubung kait dengan warganegara asing.

Beliau berkata, mereka juga ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama yang mana mereka tinggal di Malaysia sudah melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Selain daripada itu, tiga antara yang ditahan disyaki melakukan kesalahan melanggar Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka semua yang ditahan menyalahgunakan pas lawatan sosial yang dimilikinya.

“Manakala, penjaga kaunter pusat berkenaan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/1963 yang boleh di denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 serta boleh dipenjarakan selama 12 bulan jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam lokasi berlainan, Gajendra berkata, seramai lapan pelacur warga asing yang dipercayai dari China berjaya ditahan di sebuah kedai dan minuman yang terletak di Jalan Haji Ithnin Maarof 1, Taman Kluang pada masa yang sama.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan salah guna pas lawatan dan mereka ditahan di bawah peraturan 39 (b) peraturan-peraturan Imigresen 1963 manakala pemilik kedai berkenaan di tahan di bawah di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Kesemua tahanan tersebut dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut oleh pihak Imigresen,” katanya.

No comments:

Post a Comment