Sunday, May 22, 2011

SEMUA SUDAH JADI TAKDIR..BUATLAH BAIK KEPADA SEMUA ORANG...LEBIH2 KEPADA IBUBAPA....PEMIMPIN PADA RAKYAT...JANGAN DAH TIADA BARU NAK KESAL ATAU TERKILAN.....

Tragedi ketika latihan nasyid



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa keluar salah seorang mangsa yang
terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa, Hulu Langat semalam.



HULU LANGAT - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala tiga lagi dilaporkan masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa blok dewan makan di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini petang semalam.
Sehingga pukul 11 malam tadi, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan sembilan mangsa yang terselamat termasuk seorang warden asrama berusia 22 tahun.
Kesemua yang terselamat dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, seramai 49 penghuni yang kesemuanya lelaki bersama lima penjaga berada di dalam bangunan tersebut dan sedang mengadakan latihan nasyid serta menghias dewan makan untuk majlis sumbangan derma bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dijangka berlangsung pada pukul 5 petang.
Ketika kejadian, seramai 24 penghuni sempat melarikan diri manakala 25 yang lain termasuk lima penjaga dilaporkan hilang.
Kesemua penghuni yang terperangkap berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
Runtuhan tanah itu dikatakan menimbus keseluruhan dewan makan yang terletak di bawah bukit tersebut.
Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seramai lima mangsa pertama dapat dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan mereka dilaporkan selamat.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian.
Mayat pertama semalam dibawa keluar pada pukul 4.30 petang oleh pasukan penyelamat selepas tertimbus di bawah runtuhan batu-bata manakala mayat kedua pula dibawa keluar kira-kira setengah jam kemudian.





Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai oleh pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Relawan Ikatan Rakyat (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, sebanyak tujuh ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan dalam operasi tersebut bagi mengesan mangsa yang tertimbus.
Seramai 384 anggota terlibat dalam operasi SAR yang bermula pada pukul 3 petang itu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui.
Ketika ditemu bual menerusi saluran Astro Awani, Ismail turut meminta orang ramai menjauhi tempat kejadian bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku di samping untuk memberi laluan kepada pasukan operasi menjalankan tugas dengan lancar.
"Setakat ini, saya difahamkan masih ada pergerakan berlaku pada tanah kerana cuaca yang masih hujan," tegasnya.
Bangunan rumah anak yatim dan madrasah itu dibina sejak tahun 2003.


Lari dikejar runtuhan tanah bukit



ANGGOTA penyelamat membantu seorang mangsa yang cedera dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di Hulu Langat semalam.



HULU LANGAT - Penghuni Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini, Mohd. Jihad Jalal, 14, hanya sempat mengingat keadaan cemas dia dikejar runtuhan tanah sehingga separuh daripada tubuhnya tertimbus.
Kejadian pukul 2.15 petang semalam digambarkan berlaku begitu pantas sehinggakan Mohd. Jihad yang berada di bawah khemah yang terletak di sebelah dewan makan rumah anak yatim itu tergamam.
"Saya terus lari sampai terjatuh sebelum kena timbus dengan tanah dan batu hampir separuh badan.
"Nasib saya baik sebab ada orang kampung datang menarik saya keluar,'' cerita Mohd. Jihad yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.
Remaja yang berasal dari Puchong, Selangor itu baharu tiga bulan menghuni rumah tersebut.
Sementara itu, seorang lagi penghuni, Mohd. Shahrizal Amrizal, 14, memberitahu, ketika kejadian dia sedang berjalan menuju ke dewan makan tersebut.
"Saya nampak ada beberapa orang rakan sedang mengelap kerusi dalam dewan itu. Bila saya nampak tanah runtuh, saya hanya sempat menjerit minta mereka lari,'' katanya.



Tanah Runtuh : 7 Mangsa Dikebumikan Satu Liang Lahad

http://www.bharian.com.my/bharian/PixFront/jenazah.jpg
Hulu Langat, 22.5 : Suasana sayu menyelubungi sekitar Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah Batu 14 bagi menunaikan solat jenazah sebelum dikebumikan selepas Zohor.
Kesemua tujuh jenazah kanak-kanak mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Malaysia Madrasah Al-Taqwa di Batu14, Hulu Langat, akan dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan orang IslamDusun Naning pada pukul 2 petang ini.
Terdahulu lima mayat kanak-kanak iaitu Mohd Azret Azahari, 8; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Imal Fahad, 9; Mohd Mustakim Mamat, 12 dan Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11 sampai di masjid sekitar pukul 10.45 pagi.
Sementara dua lagi mayat terakhir iaitu Dzahir Haziq, 11 dan Mohd Hazim Sapri, 10 selamat
sampai di masjid pada pukul 11.05 pagi.
Pembantu rumah anak-anak yatim berkenaan, Yazid Ishak ketika ditemui berkata baki sembilan lagi mayat yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh telah dituntut oleh waris masing-masing untuk diurus dan dikebumikan.
“Di sini kita akan solat dan kebumikan tujuh jenazah secara bersama…jenazah-jenazah lain sudahpun dituntut waris mereka,” katanya.
Hingga berita ini ditulis, waris tujuh mangsa berkenaan diberi pelung terakhir untuk melihat jenazah sebelum ditutup untuk disolat dan dikebumikan.
Kira-kira 500 orang awam termasuk waris mangsa berada di sekitar kawasan masjid.
Sumber : BERNAMA

Kerajaan sumbang Rm10,000 untuk setiap keluarga



MUHYIDDIN tiba di lokasi tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa, Hulu Langat malam tadi.



HULU LANGAT - Kerajaan akan memberikan bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh melibatkan anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di Hulu Langat semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kos rawatan mangsa yang cedera juga akan ditanggung oleh kerajaan.
"Kita akan menyediakan bantuan kesihatan dan tempat tinggal sementara kepada mangsa dan semuanya ditanggung oleh kerajaan," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian di sini malam tadi.
Muhyiddin turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kejadian tanah runtuh itu sebenarnya boleh dielakkan.
Menurut beliau, ada kes pergerakan tanah berlaku berdekatan kawasan itu sebelum ini tetapi ia mungkin tidak dilaporkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).


Tanah runtuh: Pulau Pinang sumbang RM25,000
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 22 Mei: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mencadangkan pemberian sebanyak RM25,000 kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Beliau yang juga Setiausaha DAP turut mengucapkan takziah kepada semua 16 orang mangsa yang terkorban dan 9 orang lain yang cedera dalam mala petaka  tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat.
“Mala petaka ini amat menyayat hati dan telah menyentuh hati semua rakyat Malaysia tanpa kira bangsa dan agama yang penuh simpati dan kesedihan kepada mangsa-mangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
DAP juga, katanya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat dan pihak polis yang bertungkus-lumus menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa dengan penuh dedikasi.
Beliau yang juga ahli Parlimen Bagan menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan tragedi seperti itu dapat dielakkan.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pulau Pinang akan mencadangkan pemberian sebanyak RM25,000 kepada semua mangsa dan Rumah Anak Yatim," ujarnya.
Menurutnya, sungguhpun wang tidak seberapa, ia adalah sokongan moral untuk memberikan semangat kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terselamat meneruskan kehidupan dengan tabah hati.

Tanah runtuh: MB Selangor arah bantuan segera
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 21 Mei: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat untuk memberikan bantuan segera.
“Sedih dengan berita kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang menyebab kematian. Kerajaan negeri akan sedia tabung bantuan mangsa dengan segera,” tulisnya di laman twitter petang tadi.
Sementara Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar memaklumkan Khalid serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat.
Kerajaan Negeri telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini serta petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.
Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini.
Menteri Besar telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.
Buat sementara waktu, kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.
Menteri Besar menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan redha dengan kejadian ini. Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan di laman sama memberitahu, Unit Amal bergegas ke Lembah Azwin Sungai Semungkis di mana tanah runtuh menimpa rumah anak yatim.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berharap Unit Amal dapat menyelamatkan mangsa sambil mengiringi doa agar tidak ramai yang terkorban.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.
Dilaporkan tiga mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan telah dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 6.30 petang tadi.


7 jenazah disemadi dalam satu liang

22/05/2011 2:54pm

KUALA LUMPUR — Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, waris dan penduduk setempat hadir di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, pekan Batu 14, Hulu Langat bagi menunaikan solat jenazah untuk tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat.
Ketujuh-tujuh jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zohor di masjid berkenaan.
Masjid berkenaan mulai dipenuhi jemaah sejak pukul 10 pagi tadi untuk menunaikan solat jenazah bagi mangsa-mangsa terbabit.
Tujuh jenazah itu ialah Dzahir Haziq M.Muin (18 tahun), Mohd Azret Azahari (lapan), Wan Ahmad Hasrim Hazim (11), Mohd Mustakim Mamat (12), Mohd Zaid Azahari (14), Mohd Imal Fahad (sembilan) dan Mohd Hazim Sapri (10).
Kesemua mereka akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14, Hulu Langat. - Bernama


9 yang terselamat stabil

22/05/2011 4:13pm

KUALA LUMPUR — Semua sembilan orang yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Batu 14 Hulu Langat semalam, yang sedang dirawat di hospital, berada dalam keadaan stabil, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Beliau berkata, enam mangsa kejadian di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa itu ditempatkan di wad khas (bencana) manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak diselamatkan semalam.
"Tiga di ICU kini stabil, dua lagi yang berumur 13 dan 33 tahun terpaksa dipotong kaki kerana kecederaan teruk manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kepala,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat mereka di Hospital Ampang di sini beliau berkata, semua mereka berumur antara sembilan dan 33 tahun. - Bernama


Tanah runtuh: Bapa Boboy terkilan

22/05/2011 1:29pm

KUALA LUMPUR — Bapa Allahyarham Mohd Kamarul Amizan Johari, 11, atau Boboy, seorang daripada mangsa kejadian tanah runtuh di Hulu Langat semalam meluahkan rasa terkilannya kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhir anaknya yang mahukan sebuah beg sandang.
Johari Awang, 40, seorang pemandu lori berkata, anaknya itu telah menyampaikan hasrat itu kepadanya beberapa bulan yang lepas, dan beliau bercadang mahu menyerahkan beg itu kepada Boboy dalam seminggu dua ini, malangnya tidak kesampaian.
"Memang hati saya ini beratkan kepada dia (teringat) kan Boboy sahaja dua tiga hari ini, tetapi atas tuntutan pekerjaan saya sebagai pemandu lori tidak berkesempatan untuk pergi melawatnya dan berikan beg itu kepadanya yang saya beli baru-baru ini.
"Nak buat macam mana, dah takdir jadi begini, saya reda dengan ketentuan Allah, terima ini sebagai ujian,” katanya yang mendapat tahu mengenai insiden tersebut kira-kira 6 petang semalam.
Boboy, anak ketiga daripada lima beradik merupakan mangsa terakhir yang ditemui pasukan penyelamat pada 5.05 pagi tadi dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini.
Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat. - Bernama

No comments:

Post a Comment