Saturday, May 28, 2011

40 HADIS AKHIR ZAMAN...4

Hadis Ke Tiga Puluh Satu : -


KETIADAAN IMAM UNTUK SEMBAHYANG BERJEMAAH



H.R. IBNU MAJAH



Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; "Lagi akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan sembahyang berjamaah kerana tidak mendapatkan orang yang boleh menjadi imam".


Walau pun secara pastinya pada hari ini kita belum lagi sampai ke peringkat apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW tadi, namun masyarakat kita sekarang ini sudah menghala ke sana. Banyak kampung-karnpung yang tidak mempunyai Tok Imam yang benar-benar mampu melaksanakan peranan Imam yang sebenar. Kelihatannya, masyarakat kita kekurangan kepada ilmu-ilmu syari'at. Mereka yang berilmu pula ramai yang tidak menghadiri sembahyang berjemaah, maka tinggallah orang-orang yang jahil. Maka apabila hal ini berpanjangan, pasti pada suatu hari nanti akan sampai juga ke peringkat keadaan yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi.


Hadis Ke Tiga Puluh Dua : -


ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN


H.R. AHMAD



Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda; 'Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)."


Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh Rasulullah SAW ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama. Mereka takut mendekati para ulama, kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walau pun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Terkadang, sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para Ulama untuk menyatakan rasa ego dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka. Golongan ini juga pandai bercakap dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain pada hal hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam dan memangsa musuhnya.


Hadis Ke Tiga Puluh Tiga : -


ISLAM NAMA SAHAJA



H.R. AL-BAIHAQI




Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali".



Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa.

Hadis Ke Tiga Puluh Empat : -


AL QURAN AKAN HILANG DAN ILMU AKAN DIANGKAT



H.R. IBNU MAJAH



Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda; "Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya juga". Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah"? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali).



Hadis di atas menerangkan kepada kita bahawa pada suatu masa nanti : -

1. Ilmu tentang Islam akan di angkat.

2. Al-Quran juga akan diangkat daripada permukaan bumi ini.

3. Orang ramai hanyalah mengenali beberapa istilah Islam, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah itu.

4. Begitu pula mereka hanya sekadar mampu mengucapkan kalimat “Lailaha illallah”, tetapi mereka tidak memahami apa tuntutan kalimat suci itu terhadap mereka.

Walau bagaimanapun Allah SWT dengan belas dan kasihanNya masih menghargai keimanan mereka yang sedikit itu dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga.


Hadis Ke Tiga Puluh Lima : -


LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA


H.R. TERMIZI



Daripada Ali bin Abi Thalib ra ... Rasulullah SAW Bersabda: " Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3. Zakat dijadikan hutang.

4. Suami memperturutkan kehendak isteri.

5. Anak derhaka terhadap ibunya.

6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya

7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".





Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah SAW ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.


Hadis Ke Tiga Puluh Enam : -



LIMA MAKSIAT YANG DISEGERAKAN BALASANNYA



H.R. IBNU MAJAH



Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah SAWkepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah:

1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.

4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah SWT akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ".




Hadis di atas menerangkan bahawa:

1. Penyakit Thaun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.

2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.

3. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak megeluarkan zakat.

4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Pelastin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah SWT.

Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalab berpunca daripada mengenepikan hukumhukum Allah swt. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.


Hadis Ke Tiga Puluh Tujuh : -


BILAKAH AKAN TERJADI KEHANCURAN


H.R. BUKHARI



Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu masa ketika Nabi SAW sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A'rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah SAW, "Bilakah akan terjadi hari qiamat?". Maka Nabi SAW pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, "Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu". Sehingga apabila Nabi SAW selesai dari percakapannya beliau bersabda, "Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya! Saya hai Rasulullah". Maka Nabi SAW bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu"? Nabi SAW menjawab, "Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat".




Pada hari ini banyak urusan telah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, sedangkan orang yang layak untuk menjalankan urusan tersebut tidak diberi peluang yang sewajarnya. Ini bermakna saat kehancuran tidak lama lagi akan terjadi.


Hadis Ke Tiga Puluh Lapan : -


BERMEGAH-MEGAH DENGAN MASJID


H.R. ABU DAUD


Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid".



Di antara tanda hampirnya hari qiamat, ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan masjid yang mereka bina. Masing-masing negara berbangga dan merasa megah dengan bangunan masjid.

Perhatian mereka hanya kepada keindahan masjid sahaja, tidak kepada pengisian masjid dengan ibadat dan solat berjamaah. Banyak masjid-masjid yang indah, besar dan cantik, tetapi yang datang bersembahyang di dalamnya hanya segelintir manusia sahaja.


Hadis Ke Tiga Puluh Sembilan : -



MENGGADAIKAN AGAMA KERANA DUNIA



H.R. TERMIZI



Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah SAW bersabda; "Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah SWT Berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)".




Golongan yang dimaksudkan di dalam Hadis ini ialah orangorang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama untuk meraih keuntungan dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasanalasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya sernata-mata timbul dari kelicinan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri.

Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat tajam sehingga orang alim yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan buntu dalam permasalahan yang dihadapi.

Hadis Ke Empat Puluh : -


GOLONGAN YANG SELAMAT



H.R. IBNU MAJAH



Daripada 'Auf bin Malik r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda; "Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diri ku di dalam kekuasaannya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka. Sahabat bertanya, mana yang selamat"? Nabi SAW menjawab, "Mereka adalah jamaah". (Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah).

Yang di maksudkan dengan jamaah yang selamat ini ialah golongan yang tetap berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dan juga dengan pendirian sahabat-sababat dan salafus-shaleh, atan pun yang diistilahkan oleh para ulama dengan golongan "Ahlus Sunnah wal Jamaah". Selain dari golongan ini adalah sesat dan akan menjadi penghuni neraka.


Hadis Ke Empat Puluh Satu : -


LAHIRNYA IMAM MAHADI



H.R. TERMIZI



Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Dunia tidak akan hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluarga ku (keturunan ku) yang namanya sama dengan namaku".


Hadis ini menerangkan kepada kita bahawasanya dunia ini tidak akan qiamat sehinggalah bangsa Arab dan juga bangsa Ajam dikuasai oleh seorang lelaki keturunan Rasulullah SAW, iaitu Imam Mahdi. Ia akan melaksanakan keadilan di permukaan bumi ini dan akan diikuti oleh seluruh kaum muslimin. Ia akan memerintah selama tujuh tahun. Kemudian keluarlah Dajal dan turun pula Nabi Isa 'alaihis salam, dan Nabi Isalah yang akan membunuh Dajjal itu.

Menurut kebanyakan ulama, Imam Mahdi akan lahir disaat umat Islam berpecah-belah dan dimasa pemerintahannya semua umat Islam akan bersatu dan berjaya menundukkan seluruh bangsa yang ada di dunia ini dbawah kekuasaan Islam.


Hadis Ke Empat Puluh Dua : -



SEPULUH TANDA-TANDA QIAMAT YANG BESAR



H.R MUSLIM



Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra berkata : "Datang kepada kami Rasulullah SAW dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu Baginda bersabda : "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab :"Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi SAW bersabda : "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian Baginda menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".



Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah SAW dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah:

1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.

2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.

3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah SWT.

4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah SWT tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.

5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Baginda akan mendukung pemerintahan Imam mahadi yang berdaulat pada mas itu dan baginda akan mematahkan segala salib yang dibuat oleh orang-orang Kristian dan baginda juga akan membunuh Dajjal.

6. Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan di permukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang diperbuat daripada besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

7. Gempa bumi di Timur.

8. Gempa Bumi di Barat.

9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.

10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mashyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.


Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan : "Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW bahawa keluarnya Dajjal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku di permukaan bumi ini. Keadaan ini akan disudahi dengan kematian Nabi Isa Alaihissalam (setelah baginda turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari di tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dashyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya".





Setelah kita menatapi hadis-hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan kepada kita peristiwa-peristiwa di akhir zaman, dapatlah kita mengambil beberapa kesimpulan iaitu : -


1. Hendaklah kita selalu bermuhasabah (memperhitungkan diri) dan membuat penelitian terhadap diri kita masing-masing untuk mempertingkatkan amalan yang sedia ada dan menjauhkan segala perkara-perkara yang tidak baik. Kita hendaklah menjauhkan diri dari golongan yang tersesat yang mana sifat-sifat mereka telah pun diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis yang berkenaan.


2. Hendaklah kita berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, akidah yang telah menjadi pegangan pada sahabat, tabien dan para ulama, baik salaf mahupun khalaf yang datang silih berganti dari masa ke semasa kerana golongan ini sahaja lah yang akan selamat dan yang akan memasuki syurga. Golongan yang lain daripada mereka akan menjadi penghuni Neraka.


3. Hendaklah kita berusaha mencari ilmu pengetahuan agama, terutama ilmu-ilmu yang diistilahkan oleh para ulama sebagai "Ilmu Fardhu A'in" kemudian disusuli pula dengan "Ilmu Fardhu Kifayah". Pada setiap hari, pastikan kita dapat memperuntukkan masa yang khas untuk belajar ilmu syariat, terutama dari ulama yang soleh-soleh yang mewarisi tugas Anbiya alaihimussalam. Cari dan tuntutlah sebelum ianya diangkat (dihilangkan) oleh Allah SWT dari permukaan bumi ini.


4. Hendaklah kita berusaha untuk membersihkan hati dari sifat-sifat yang kotor dan sentiasa bermujahaddah untuk menghilangkan sifat-sifat yang tercela seperti "hubbud Dunia" (Cinta kepada dunia) dan "takut mati" yang merupakan punca dari segala kelemahan kaum Muslimin dan punca kemenangan musuh terhadap kita. Untuk tujuan ini kita hendaklah mempelajari dan mendalami Ilmu Akhlak (Ilmu Tasauf) serta menghayatinya di dalam kehidupan kita.


5. Hendaklah kita berhati-hati di dalam mencari nafkah kehidupan supaya kita terhindar daripada sumber-sumber yang tidak diredhai oleh Allah SWT. Hendaklah kita menjauhi harta-harta yang haram dan jangan melakukan sebarang kezaliman terhadap hak milik orang lain kerana tubuh badan yang tumbuh daripada makanan yang haram pasti akan di bakar api neraka.


6. Hendaklah kita mengambil berat masalah pendidikan keluarga, anak isteri dan kaum kerabat. Dan hendaklah kita melapangkan masa untuk mentarbiyahkan mereka dan berusaha supaya meraka dapat mengikuti tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW. Jika kita tidak berbuat demikian, besar kemungkinan kita akan menjadi binasa dan tercebur ke dalam jurang kemiskinan, iaitu apabila kita terpaksa memenuhi kehendak dan kemahuan mereka yang terkadang bercanggah dengan kehendak agama.


7. Hendaklah kita memperuntukkan masa yang cukup pada setiap hari untuk membaca Al-Qurannul Karim. Bacalah Al-Quran sebelum ianya diangkat daripada permukaan bumi ini. Hendaklah kita membacanya dengan baik serta berusaha untuk memahami isi kandungannya. Ia adalah teman kita di malam sunyi dan wirid yang dibaca ketika manusia sedang sibuk dengan berbagai urusan di waktu petang hari dan di waktu mereka nyenyak tidur sebelum terbit fajar.


8. Hendaklah kita memperuntukkan sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita untuk dibahagikan kepada keluarga kita yang memerlukannya dan orang lain yang kurang bernasib baik, kerana sedekah itu adalah sebahagian daripada bekalan untuk kita menjalani negeri akhirat yang sangat jauh dan susah itu. Semoga apa yang kita korbankan dengan ikhlas pada hari ini akan menjadi hitungan dalam suratan kebaikan di akhirat kelak.


9. Hendaklah kita memahami Islam ini dengan bentuknya yang "Syumul" yang melengkapi seluruh aspek kehidupan. Dengan itu kita hendaklah mengikuti dan melaksanakan ajaran Islam di dalam semua bidang kehidupan kita. Islam ketika berada di masjid, Islam ketika berada di tengah masyarakat, Islam ketika bernegara dan Islam di dalam semua lapangan kehidupan kita.


10. Dan yang terakhir sekali, hendaklah kita hidup untuk agama yang kita cintai ini. Kita menjadikan Islam sebagai pilihan dan berjuang untuk menyebarkannya. Kita hendaklah memberikan pengorbanan yang sewajarnya untuk Islam disamping berusaha dengan gigih untuk memperjuangkannya. Kita hendaklah juga peka terhadap apa yang dirancangkan oleh musuh-musuh Islam, samada daripada golongan Yahudi ataupun dari golongan Nasrani dan dari golongan yang lain-lain. Dengan itu kita akan dapat memelihara diri dari termasuk ke dalam perangkap yang mereka pasangkan untuk menghancurkan umat Islam.


Inilah sepuluh (10) intisari yang merupakan sebahagian daripada mutiara-mutiara yang terkandung di dalam hadis-hadis yang telah disebutkan sebelum ini. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan daripadanya dan semoga Allah SWT selalu mencucuri kita dengan rahmatNya dan ampunanNya bagi segala dosa dan kesalahan.

Wallahu a'lam bish-shawab..
Wassallallah hu a'ala saidina Muhammad..
Wa'ala alihi wa soh bihi wasallam....

No comments:

Post a Comment