Sunday, May 22, 2011

DALAM DUNIA PENUH DENGAN UJIAN...ADA YANG BERJAYA DAN ADA YANG GAGAL...BERSABARLAH...BERTAUBAT SERTA BERTAQWALAH....

Doktor hilang selepas ditepuk gadis bertudung merah


NATRAH menunjukkan gambar anaknya yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu.


ALOR SETAR – Kehilangan seorang doktor pelatih, Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, sejak lima hari lalu menjadi bertambah misteri apabila dia pernah hilang sebanyak dua kali bulan ini selepas dipercayai dipukau seorang gadis bertudung merah.
Ibunya, Natrah Shaari, 52, memberitahu, anaknya menghilangkan diri pada 3 Mei dan 12 Mei lalu selepas keluar bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Katanya, dalam kejadian pada 3 Mei lalu itu, anak sulungnya itu hanya pulang ke rumah dua hari kemudian.
“Dia cerita kepada saya bahawa ada seorang wanita muda bertudung merah berusia lingkungan 20-an menegurnya ketika mahu naik lif di HSB kira-kira pukul 6.30 pagi.
“Wanita itu bertindak menepuk dahi anak saya menyebabkan dia tidak sedar. Dia hanya tersedar di dalam kereta di kompleks beli-belah City Square di Sungai Petani dua hari selepas itu dan hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM500,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, pada 12 Mei lalu, Mohd. Noor Azam sekali lagi hilang ketika berada di kawasan HSB dan pulang ke rumah semula dua hari kemudian.


Dua beranak mati lemas


ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat seorang mangsa lemas di Pantai Kelanang, Kuala Langat semalam. Gambar kecil, Abdul Rahman.


KUALA LANGAT – Keceriaan dua beranak memasang jaring ikan berakhir tragedi apabila mereka ditemui mati lemas di dua lokasi berasingan di Pantai Kelanang, Banting di sini. Mayat bapa, Abdul Rahman Ameerijam, 39, dijumpai oleh seorang nelayan kira-kira satu kilometer dari pantai Tongkah pada pukul 7.30 malam kelmarin.
Mayat anaknya, Mohamad Adam Hafiz, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad pula ditemui pukul 11 pagi semalam kira-kira 50 meter dari situ. Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba Banting, Ahmad Fadzilah Tahir berkata, pihaknya difahamkan mangsa bersama anaknya memasang jaring dengan cara mengharung air laut ketika ia surut.
Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa sedang asyik dengan aktiviti tersebut sehingga tidak sedar air pasang besar.


Penoreh getah dibunuh

22/05/2011 4:54pm

IPOH — Seorang penoreh getah, yang juga adik ipar kepada Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, ditemui mati dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan di rumahnya di Taman Muhibbah, Sungai Siput, kira-kira 40 kilometer dari sini, hari ini.
Mangsa G. Gajahmugam, 34, ditemui berlumuran darah dalam keadaan terbaring dalam bilik tidur utama oleh isterinya yang pulang dari rumah mertuanya pada pukul 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, siasatan awal mendapati mangsa mati akibat tetakan di beberapa bahagian tangan, kaki dan leher dan tiada barangan berharga hilang dari rumah berkenaan.
Katanya mangsa tinggal bersendirian di rumahnya sejak malam tadi kerana isterinya, R. Kasturi, 32, bersama empat orang anaknya pergi ke rumah mertuanya di kawasan berdekatan. - Bernama


Sedih besarkan anak dalam penjara


SEORANG banduan wanita (kanan) memeluk ahli keluarganya pada Program Hari Ibu Bersama Maybank di Penjara Kajang di Kajang semalam.


KAJANG – Pengalaman melahir dan membesarkan anak di dalam penjara memberi keinsafan kepada seorang banduan di Penjara Kajang di sini. Menurut Aida (bukan nama sebenar), dia merasa sedih kerana anak lelakinya itu yang kini berumur setahun tidak dapat menjalani hidup seperti kanak-kanak seusianya.
“Saya sesal dengan apa yang berlaku. Saya tidak mahu anak saya kenal keadaan hidup di penjara. “Selepas berumur tiga tahun, dia tidak akan dibenarkan tinggal di sini (penjara) lagi bersama saya. Mengikut undang-undang, hanya anak berusia bawah tiga tahun sahaja dibenarkan,” katanya di sini semalam.
Aida merupakan salah seorang daripada sepuluh banduan wanita yang dipilih untuk bertemu ahli keluarga masing-masing pada Majlis Sambutan Hari Ibu yang diraikan oleh Penjara Kajang bersama Maybank. Turut hadir Pengarah penjara tersebut, Rohana Abdullah dan Ketua Bahagian Sumber Manusia Maybank, Nora Manaf.
Aida yang dipenjarakan selama enam tahun kerana kesalahan mengedar dadah berkata, dia sangat rindukan anak-anak, suami dan keluarganya. “Kalau boleh saya tidak mahu berada di sini lagi. Saya hanya mahu keluar dari sini dan tinggal bersama mereka di luar sana. “Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa rindunya saya kepada mereka. Tapi saya sedar bahawa hukuman perlu dilaksanakan mengikut kesalahan yang dilakukan,” katanya.


Penyangak pasir degil diserbu lagi


BEBERAPA orang penguat kuasa memotong rantai besi pada pintu zink ketika memasuki sebuah kawasan mencuri pasir di Jinjang Selatan semalam.


KUALA LUMPUR - Walaupun baru diserbu tiga bulan lalu, satu sindiket mencuri pasir didapati terus menjalankan kegiatan tersebut di Jinjang Selatan di sini.
Perkara itu terbongkar selepas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan operasi di kawasan sama buat kali kedua semalam.
Serbuan itu dilakukan selepas orang ramai memberi maklumat bahawa kegiatan haram tersebut aktif semula sejak beberapa hari lalu.
Dalam operasi pada pukul 12.30 tengah hari itu, pihak PTG menahan seorang pemandu lori berusia 30-an yang baru keluar kira-kira 30 meter dari lokasi pasir haram tersebut.
Ketika ditahan, lelaki tersebut membawa lori seberat 10 tan yang sarat dengan muatan pasir.
Difahamkan, ketika serbuan terdapat empat individu dipercayai pekerja di kawasan tersebut tetapi mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Ketua Unit Penguat Kuasa PTG Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Salleh Sadri berkata, pihaknya percaya kumpulan itu kembali mencuri pasir di kawasan terbabit sejak tiga atau empat hari lalu selepas berhenti hampir tiga bulan.
"Dipercayai kira-kira 30 hingga 50 buah lori terlibat dalam operasi pengeluaran pasir haram dari kawasan ini setiap hari," katanya di sini semalam.
Dianggarkan harga pasaran pasir bagi sebuah lori seberat 10 tan adalah sekitar RM800.
Dalam serbuan itu, pihak PTG turut menahan seorang lelaki berusia 20-an dipercayai tonto yang berada tidak jauh dari lokasi tersebut.


Seniwati Mahyon Ismail meninggal dunia


MAHYON ISMAIL


KUALA LUMPUR - Seniwati Mahyon Ismail atau nama sebenarnya Mayayun Ismail, 69, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini semalam selepas tiga minggu mengalami demam dan batuk. Menurut anak sulungnya, Fadila Hussien, 47, ibunya terpaksa dipindahkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) hospital itu sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.
"Mulanya arwah dibawa ke klinik tetapi doktor menyarankan rawatan susulan di hospital. Sebelum ini ibu hanya demam dan batuk yang biasa. "Kami sempat pergi ke Wangsa Walk di Wangsa Maju dan membeli lauk-pauk semalam (kelmarin)," katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Ampang Puteri. Tambah Dilla, arwah tidak menghidap penyakit serius kecuali penyakit diabetes. "Sebelum ini arwah tidak pernah mengalami sakit teruk dan sentiasa beringat terutama soal pemakanan kerana kandungan gula dalam darahnya tinggi," ujarnya.
Selain Fadila, Mahyon yang mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan pelakon terkenal, Allahyarham Hussein Abu Hassan dikurniakan tiga anak iaitu Fairuz (penyanyi), 46, dan Faizal (pelakon), 44, serta lima cucu. Hussein meninggal dunia pada 25 November 2007. Jenazah Mahyon telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ibu Kota, Danau Kota di sini.


Hari bahagia dua pelajar kelainan upaya


FARAHIYAH (kiri) dan Shyang Chyi menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Kejuruteraan Awam.


IPOH - Dua pelajar orang kelainan upaya (OKU) membuktikan kecacatan mereka bukan halangan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Farahiyah Hussin, 23 dan Chuah Shyang Chyi, 22, yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil masing-masing menerima Sijil Kejuruteraan Awam (Pembinaan) pada Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-40 di sini semalam.
Dua bekas penuntut Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang itu masing-masing meraih keputusan Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.83 dan 3.53.
Menurut Farahiyah, dia dan para pelajar senasib seperti Shyang Chyi sudah mula mengulang kaji sejak semester pertama untuk memastikan mereka tidak ketinggalan.
"Kami bernasib baik kerana sentiasa mendapat sokongan tenaga pengajar biarpun terpaksa mengikuti pengajian bersama pelajar normal lain," katanya dalam bahasa isyarat yang diterjemah oleh kakak ketiganya, Hamidah, 36.
Mereka ditemui selepas menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar pada sidang pertama Majlis Konvokesyen PUO ke-40 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini semalam.
Shyang Chyi dari Bayan Lepas, Pulau Pinang pula kini berkhidmat sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat pembinaan tidak jauh dari rumahnya setelah tamat pengajian akhir tahun lalu.

No comments:

Post a Comment