Thursday, August 4, 2011

HANYA ALLAH SAJA YANG TAHU.....

Jenayah makin turun

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Indeks Jenayah negara bagi separuh pertama tahun ini mencatat penurunan 9.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus petanda positif terhadap usaha dilaksana kerajaan.
Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Pengurangan Jenayah, Eugene Teh Yee berkata, ini juga disertai indeks Jenayah Jalanan yang berkurang 41.6 peratus berbanding penanda aras 2009.

“Dari Januari hingga Jun lalu, Indeks Jenayah mencatat 80,248 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 88,785 kes, sementara Jenayah Jalanan pula direkodkan sekitar 11,299 kes saja, kurang 8,047 kes.
“Kami juga mendapati 55 peratus responden berpuas hati dengan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 35.8 pada Disember 2009. Ini berdasarkan kaji selidik Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan terkini Inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi separuh tahun pertama 2011 yang diterajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Katanya, kaji selidik dilaksana Mac hingga Mei juga menunjukkan kadar kebimbangan terhadap jenayah di kalangan rakyat Malaysia menurun secara keseluruhan dari 52 peratus pada Disember 2009 kepada 48.9 peratus.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan akan berlaku perubahan persepsi orang awam terhadap polis dan kebimbangan mereka berhubung jenayah dalam negara berikutan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai lalu.

“Ya, (tahap persepsi orang ramai terhadap polis) terjejas, tetapi mudah-mudahan kami boleh memperbaikinya,” katanya.
Sehubungan itu, mulai Ogos depan, mesin maklum balas disediakan di stesen PDRM seluruh negara untuk membolehkan orang ramai menilai perkhidmatan dan prestasi pegawai siasatan di kaunter ketika membuat laporan.

Bagi NKRA membanteras rasuah, Pengarahnya, Ravindran Devagunam menjelaskan inisiatif kerajaan memperkenalkan Ikrar Integriti Korporat (CIP) mendapat perhatian syarikat swasta dengan 26 daripada mereka menandatangani ikrar sehingga Jun.

Katanya, pihak terbabit termasuk 13 daripada 19 Projek Permulaan (Entry Point Projects - EPP) yang diumumkan April lalu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“CIP adalah usahasama kerajaan, pihak kawal selia dan sektor swasta untuk menggalakkan syarikat memainkan peranan membanteras rasuah.

“Justeru, kami menggalakkan lebih banyak syarikat turut serta dalam inisiatif CIP, sekali gus membantu usaha membendung amalan rasuah di negara ini,” katanya.

Sehingga kini, 1,951 daripada 2,324 kontrak yang diberikan kerajaan atau 84 peratus tertakluk kepada Pakatan Integriti (Integrity Pact) di bawah Kementerian Kewangan termasuk projek MRT.

Ravindran berkata, projek itu turut menjadi projek pertama Pakatan Integriti secara menyeluruh dengan Ketua Audit Negara terbabit dalam proses pemantauan projek selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, 237 nama pesalah rasuah sudah didaftarkan dalam pangkalan data pesalah rasuah setakat ini, mengatasi sasaran 100 nama menjelang hujung tahun.

Ustaz tertoreh kepala pelajar


zafiyah IBRAHIM menunjukkan kepala anaknya, Muhamad Hafidza yang terpaksa menerima beberapa jahitan di Kampung Pengadang Baru, Marang semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala selepas tertoreh pisau kecil yang dipegang seorang ustaz dalam kejadian di sebuah sekolah di Marang dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu didakwa berlaku ketika guru agama berusia 55 tahun berkenaan cuba menarik pelajar tingkatan dua itu yang berada di kelas bersebelahan kerana ponteng dari kelas sendiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, ustaz berkenaan bertindak demikian selepas didakwa tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa, Muhamad Hafidza Wajahid, 14, yang dikatakan sengaja keluar dari kelas untuk ponteng.
Sebelum kejadian, menurut beliau, mangsa ada berjumpa dengan ustaz terbabit dan meminta kebenaran untuk keluar membuang air kecil.
Namun, ustaz itu enggan membenarkan mangsa keluar kerana mengesyaki dia mahu ponteng kelas.


Mercun meletup dalam genggaman


NASRUDIN yang cedera tangan kiri akibat terkena mercun dirawat di HRPZ II, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Ketika umat Islam baru empat hari menjalani ibadah puasa, sudah ada yang terpaksa melaksanakan ibadah itu di hospital dan meratapi tiga jari yang hilang gara-gara bermain mercun bola.
Selain putus tiga jari, mangsa, Nasrudin Mohd. Nazli, 19, turut mengalami luka di muka dan tangan kanan akibat letupan mercun tersebut dalam kejadian di Kampung Dewan Beta di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa yang bermain mercun sambil membonceng sebuah motosikal dikatakan tidak sempat untuk melontar mercun tersebut dan ia meletup dalam genggamannya yang menyebabkan ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah tangan kirinya putus.
Nasrudin berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia dan rakannya menunggang motosikal di kawasan kampung berkenaan.
"Masa itu saya membonceng motosikal tersebut. Saya kemudiannya menghidup mercun bola itu dan tiba-tiba ia meletup di tangan kiri saya tanpa sempat melontarnya.
"Selepas bunyi letupan itu, tangan saya berlumuran darah dan jari sudah tiada. Kawan saya kemudiannya membawa saya pulang sebelum ke Klinik Ludang Paku untuk mendapatkan rawatan sebelum dihantar hospital untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di Wad Cempaka, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.
Nasrudin berkata, ekoran kejadian itu, dia sudah serik dan tidak mahu lagi bermain mercun selepas ini.


Duit zakat, pampasan RM3,350 jadi abu


BEBERAPA ahli keluarga Nik Fatimah mengutip barang-barang selepas rumah mereka hangus dijilat api di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal kelmarin.


KUALA TERENGGANU – Kegembiraan seorang warga emas mendapat wang pampasan kemalangan serta zakat tidak berpanjangan apabila rumahnya hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, wang pampasan kemalangan berjumlah RM3,000 dan wang zakat RM350 milik mangsa, Nik Fatimah Embong, 60, hangus menjadi abu.
Dia yang juga ibu tunggal berkata, wang itu diterimanya kira-kira dua minggu lalu ekoran kemalangan motosikal yang dialaminya tahun lalu.
“Baru-baru ini, saya juga dapat wang zakat sempena Ramadan sebanyak RM350. Semua duit itu saya simpan di dalam almari dan bercadang untuk menggunakannya sempena Hari Raya Aidilfitri nanti,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.


Tajikistan haramkan remaja Islam berjemaah di masjid

DUSHANBE - Tindakan Presiden Tajikistan, Imomali Rakhmon mengharamkan remaja Islam daripada bersembahyang di masjid menyebabkan para pemimpin Islam di negara ini menyifatkan arahan itu sebagai 'hadiah kejam' untuk umat Islam di bulan Ramadan.
Rakhmon yang berkuasa sejak tahun 1992 menandatangani rang undang-undang 'tanggungjawab ibu bapa itu' pada Rabu lalu dan berkuat kuasa mulai semalam.
Beliau menyatakan tindakan itu perlu bagi mencegah penyebaran fahaman fundamental agama di negara yang memiliki seramai 7.5 juta orang penduduk dengan 98 peratus daripadanya beragama Islam.
Semua individu yang berusia 18 tahun ke bawah, kecuali mereka yang belajar di sekolah agama diharamkan daripada bersolat di masjid atau rumah ibadat lain.
Golongan gadis pula diharamkan daripada memakai barang kemas kecuali anting-anting.
Mereka yang berusia 20 tahun ke bawah juga dilarang mencacah tatu, pergi ke kelab malam, menonton filem atau membaca material yang menyebarkan unsur-unsur pornografi, keganasan dan ekstremisme. - Reuters

Gadis 'hamil' setiap kali selepas makan


[kiri]KERRI DOWDSWELL semasa dalam keadaan normal.
[kanan]PERUT Kerri Dowdswell membesar selepas dia makan.


CANNOCK, Britain - Perut seorang gadis, Kerri Dowdswell akan membesar seperti dia sedang hamil setiap kali selepas makan, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, perut gadis berusia 23 tahun itu akan kembali kepada keadaan normal beberapa jam selepas itu.
"Saya kerap kali ditanya bila akan bersalin dan ia agak tidak menyelesakan apabila berada dalam keadaan seperti ini," katanya yang berasal dari Cannock, Staffordshire.
Masalah tersebut membuatkan dia terpaksa memakai seluar untuk ibu bersalin setiap kali keluar makan.
Setakat ini, doktor-doktor masih bingung kerana mereka masih tidak mengetahui punca kejadian itu.
Kerri menghidap penyakit itu semasa dia mendapat haid buat kali pertama.
Menurut gadis itu, perutnya akan membesar dalam tempoh 15 minit semasa dia makan.
Namun, katanya, ada ketika perutnya mengambil masa selama beberapa jam selepas waktu makan untuk kelihatan seperti wanita hamil.
Kerri berkata, perutnya itu akan kembali normal beberapa jam selepas ia membesar. - Agensi


Cedera dipukul abang kandung

KUALA LUMPUR: Angkara membawa keluar barang elektrik ketika berpindah rumah, seorang wanita berusia 27 tahun cedera dipukul abang kandungnya dalam kejadian di Taman Batu Muda, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa sedang berehat di rumah sewa barunya bersama seorang kakak apabila didatangi abangnya yang berusia 30-an yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Sumber polis berkata, lelaki itu kemudian masuk ke dalam rumah sebelum memaki hamun mangsa kerana membawa keluar barang elektrik termasuk mesin basuh dan pinggan mangkuk.
Katanya, berlaku pertengkaran antara mereka selama beberapa minit sebelum lelaki itu menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkan mangsa pening dan hilang pertimbangan.


Tauke kek lapis samak peralatan

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

KUCHING: Tidak sampai 24 jam selepas menerima arahan Majlis Islam Sarawak (MIS), beberapa pengusaha kek lapis di negeri ini yang menggunakan mentega Golden Churn disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi, mula menyamak semua peralatan dan kelengkapan mereka, semalam.
Pengusaha kedai kek lapis Di Wannie Cake di Satok, antara yang pertama mengambil tindakan menyamak semua peralatan dengan menggunakan air tanah liat di premis perniagaan mereka sambil dipantau pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) pada kira-kira jam 8 pagi.

Pegawai Unit Pembangunan Halal Jais, Mohamad Sanusi berkata, pemilik Di Wannie Cake tampil secara sukarela bagi melakukan proses menyamak walaupun premis berkenaan pernah melakukannya sebelum ini.
“Semua pengusaha kek lapis yang mendapat pengiktirafan halal perlu melakukan proses menyamak terhadap semua peralatan dan kelengkapan menyediakan kek berkenaan. “Ia adalah peraturan yang ditetapkan ketika memohon status halal produk mereka.

“Semua pengusaha perlu melaporkan kepada Jais untuk menyamak dan kami akan menghantar wakil bagi menyaksikan proses berkenaan. Ia bagi memudahkan wakil Jais membuat pengesahan, sekali gus melanjutkan pengesahan sijil halal pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pengusaha kek lapis di Sarawak belum memiliki sijil halal dan mereka beroperasi secara kecil-kecilan atau berkumpulan di rumah dan tidak mempunyai premis tetap.

Harian Metro semalam melaporkan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman mengarahkan pengusaha pernah menggunakan mentega berkenaan supaya menyamak serta menghapuskan stok berikutan terdapat DNA babi dalam mentega itu.

Mohamad berkata, setakat ini, hanya dua pengusaha kek lapis mempunyai status halal dan masih sah iaitu Di Wannie Cake dan Kek Lapis Sarawak Maria, manakala kek lapis Rabiah Amit dan Mariam dalam proses untuk diperbaharui.
“Apa yang dibimbangkan ialah pengusaha kek lapis persendirian di kampung kerana mereka sepatutnya melakukan proses sama (menyamak semua peralatan) seperti dilakukan premis mempunyai status halal.

“Jais sedia memberikan nasihat kepada mereka termasuk membantu melakukan proses menyamak mengikut hukum syarak ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, pemilik Di Wannie Cake, Zoraidah Leen berkata, pihaknya tampil secara sukarela kerana berpendapat adalah lebih baik proses menyamak dilakukan segera daripada terpaksa menanggung kerugian bagi tempoh jangka panjang.

“Pihak kami memberhentikan penggunaan mentega berjenama itu sejak April lalu selepas mendapat tahu laporan dari Johor yang mengatakan ia haram sebelum melakukan proses menyamak peralatan.

“Bagaimanapun, Jais memaklumkan proses menyamak harus dilakukan dengan kehadiran pegawai mereka, jadi hari ini kami melakukan proses sama bagi mengelak was-was.” katanya.

Jakim tak sanggah penemuan DNA babi



PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak menyanggah penemuan asid deoksiribunuklik (DNA) babi dalam sampel produk mentega, Golden Churn Butter yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais).
Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, ini disebabkan ujian dilakukan Jakim dan Jais adalah membabitkan sampel daripada pengimport berbeza, sekali gus tidak timbul isu kekeliruan terhadap perbezaan status halal produk berkenaan.

“Jakim ingin memaklumkan sampel yang diambil Jakim dan Jais daripada nombor kelompok dan pembungkusan berbeza, termasuk perbezaan pengimport dan tempat pengambilan sampel,” katanya, semalam.
Sebelum ini orang ramai keliru apabila Jakim dalam surat bertarikh 30 Jun lalu kepada pembuat mentega berkenaan mengesahkan mentega jenis itu tidak mengandungi DNA babi, sedangkan Majlis Islam Sarawak dalam kenyataan pada 28 Julai lalu, mengesahkan ia haram disebabkan bahan terbabit.

Ia tambah bercelaru apabila kebanyakan pengusaha kek lapis menggunakan surat Jakim kepada syarikat pembuat mentega berkenaan mengesahkan ia halal, malah ada iklan di akhbar tempatan mendakwa mentega itu mendapat pengiktirafan pihak berkuasa berkenaan.

Othman berkata, dalam ujian kandungan DNA babi membabitkan sesuatu produk, beberapa faktor perlu diambil kira seperti nombor kelompok keluaran produk yang diambil, pembungkusan, tempat pengambilan sampel dan faktor lain ketika produk dikilangkan.


Enggan lari takut dibelasah

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Seorang amah warga Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa dia tidak melarikan diri walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian kerana sudah mengetahui nasib yang akan menimpanya.
Siti Hamidah Karnas, 18, yang bekerja sebagai pembantu rumah tertuduh keempat, R Khatavarayan atau lebih dikenali Ravi di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, berkata demikian ketika di soal semula Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani.

Dia mengakui mempunyai peluang untuk melarikan diri semasa bersembunyi di ladang jiran tetapi tidak melakukannya kerana pernah melihat nasib seseorang bernama Vicky yang cuba melarikan diri kemudian ditangkap dan dipukul sehingga tidak boleh berjalan.

IDHAM: Kamu lihat sendiri Vicky dipukul?


SITI: Ya, saya lihat sendiri.

IDHAM: Sebab itu kamu tidak melarikan diri.

SITI: Ya.

IDHAM: Kamu kata kamu lari keluar ke ladang lembu milik jiran sebelah, siapa yang suruh?

SITI: Ravi.

IDHAM: Ada dia beritahu bahawa polis datang.

SITI: Tidak.

IDHAM: Tahu kenapa Ravi suruh kamu keluar?

SITI: Saya tidak tahu.

IDHAM: Berhubung isu pukul, kamu kata isteri kepada N Pathmanabhan (tertuduh pertama) ada memukul kamu dan tanpa diketahui sebab. Adakah kamu marah apabila dipukul?

SITI: Tidak ada. Tiada sebab untuk marah, jika marah pun tidak guna kerana nanti kena lagi teruk.

IDHAM: Semalam kamu ditanya dipukul isteri Pathmanabhan dan kamu tidak rasa apa-apa tetapi apabila isteri Ravi iaitu Jacinta kamu kata kamu sayang dia walaupun dia juga pukul kamu. Kenapa?

SITI: Kerana Jacinta bukan mahu pukul saya tetapi dia buat sebab ada orang suruh.

IDHAM: Tahu siapa yang suruh?

SITI: Tahu.

IDHAM: Kamu ditanya kenapa tidak membuat aduan kepada Kedutaan Indonesia dan ketika ditangkap polis juga tidak ada.

SITI: Saya buntu ketika itu.

IDHAM: Ketika disoal peguam bela Amer Hamzah Arshad tentang masa kejadian dan kamu boleh jawab dengan tepat. Bagaimana kamu boleh ingat sedangkan kamu tidak membuat sebarang catatan?

SITI: Ia adalah kerana saya sudah lama berada di situ dan sudah biasa dengan waktu.

IDHAM: Adakah kamu boleh ingat waktu anggaran atau waktu tepat?

SITI: Waktu tepat.

IDHAM: Ketika disoal pembelaan, kamu sering memberitahu berhubung jam di bilik Ravi malah menggiling tosai juga di dalam bilik itu. Kenapa?

SITI: Jacinta yang menggiling tosai. Ketika itu dia takut sebab itu dia minta saya temankan dia.

IDHAM: Berhubung isu mandi kunyit. Kamu kata Ravi akan mandi kunyit jika ada kebakaran atau perkara tertentu. Sepanjang kamu berada di situ selama sembilan bulan berapa kali Ravi mandi kunyit?

SITI: Lima hingga enam kali.

IDHAM: Adakah kamu mempunyai motif atau niat apabila hadir dan memberi keterangan di mahkamah ini?

SITI: Tidak.

IDHAM: Kenapa kamu hadir ke mahkamah ini?

SITI: Saya mahu beritahu perkara yang berlaku.


Buang ‘barang sembahyang’



SHAH ALAM: Pekerja ladang, U Suresh yang menjadi saksi dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, mendakwa diupah empat lelaki dan individu tidak dikenali yang menaiki kereta bercermin gelap untuk membuang ‘sesuatu’ di beberapa sungai dan kawasan sekitar Banting awal September 2010.
Menurutnya, sepanjang perjalanan tidak sampai satu jam itu, dia hanya memandu lori dan mengekori sebuah kenderaan jenis jip dan sebuah lagi kereta hitam bercermin gelap sebagaimana yang diarahkan dan melihat sendiri dua daripada lelaki itu membuang ‘sesuatu’ di beberapa sungai.

Suresh mendakwa ada melihat sendiri salah seorang lelaki itu yang menumpang lorinya untuk ke kawasan USJ Subang Mewah membuang kotak rokok di dalam longkang kecil serta dia dipaksa untuk mengambil dua telefon bimbit diberikan lelaki yang sama itu.

Dia yang memberi keterangan dalam bahasa Tamil bagaimanapun mendakwa sudah membuang dua telefon bimbit itu ke dalam longkang berdekatan Pasar Besar, Banting selepas dimarah tertuduh keempat R Khatavarayan yang juga majikan serta pemilik lori yang dipandunya.


Suresh berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela, Manjeet Singh Dhillon dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Dia kini sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bersama rakannya, K Sarawanan, 20, kerana mengaku melupuskan mayat mangsa pembunuhan itu.

Prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu dibuat selepas Suresh mendakwa terdapat 22 percanggahan di dalam rakaman percakapan yang diambil daripadanya oleh pegawai perakam Asisten Superintendan (ASP) Ong Seng Keong, 36, di Penjara Sungai Undang, Melaka, pada 26 Oktober 2010.

Suresh adalah saksi pendakwaan ke-29 memberi keterangan dalam kes pembunuhan Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Terdahulu menjawab soalan peguam Manjeet, Suresh memberitahu mahkamah bahawa dia bekerja sebagai pemandu lori milik Khatavarayan atau Ravi untuk membawa pelbagai barangan antaranya mengangkut barang ke kilang atau membawa peralatan muzik ke ladang itu.

Menurutnya, lori itu juga boleh disewa orang lain dan bayaran akan diserahkan kepada Ravi dan dia sebagai pemandu menerima gaji RM1,000 sebulan.

MANJEET: Pihak pendakwaan mendakwa kamu ada membuang barang bukti antaranya zink dan kamu tidak mengakui ada membuat kenyataan itu. Membabitkan kes ini, ada kamu lihat orang lain membuang sesuatu?

SURESH: Ya, saya ada nampak.

MANJEET: Pada 4 September 2010, ada sesiapa menyewa lori kamu?

SURESH: Ada. Seorang lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki bangsa Melayu.

MANJEET: Jam berapa?

SURESH: Jam 7 malam.

MANJEET: Beritahu mahkamah di mana kamu jumpa penyewa ini.

SURESH: Pada tarikh itu, ketika keluar dari ladang, berdekatan dengan sebuah kuil, saya jumpa mereka. Mereka menaiki kereta jenis jip warna biru. Mereka menahan lori saya. Ada seorang lelaki turun dari kereta itu dan tanya sama ada boleh menyewa lori saya. Saya maklumkan bahawa saya perlu pergi ke Puchong, tetapi mereka kata hanya mahu sewa selama satu jam saja. Saya setuju dengan permintaan itu dan menetapkan harga RM250.

MANJEET: Ada penyewa itu beritahu ia untuk apa?

SURESH: Lelaki itu beritahu untuk buang ‘barang sembahyang’.

MANJEET: Selepas itu apa yang jadi?

SURESH: Lelaki warga Indonesia itu menaiki lori saya dan saya memandu. Tiga yang lain masih di dalam jip. Saya diarahkan untuk mengekori jip itu. Jip itu bergerak dan berhenti di satu tempat yang sebelahnya ada sungai. Saya lihat dua lelaki dari jip turun dan membuang satu karung berwarna putih ke dalam sungai yang kecil itu. Selepas buang, mereka naik semula ke kenderaan mereka dan meneruskan perjalanan. Saya mengekori dari belakang. Kemudian kami tiba di sebuah jambatan dan sekali lagi berhenti. Saya melihat mereka buang sesuatu, tetapi tidak nampak apa.

MANJEET: Berapa jauh dari ladang?

SURESH: Lebih kurang empat hingga enam kilometer dari ladang.

MANJEET: Ketika ini, lori kamu masih belum diisi dengan apa-apa?

SURESH: Tidak.

MANJEET: Jadi di mana lori kamu diisi?

SURESH: Selepas itu, saya masih mengekori jip itu dan sampai di satu tempat berhampiran Jalan Klanang berdekatan kawasan hutan. Jip berhenti dan ketika saya nampak sebuah kereta berwarna hitam di depan sekali. Bagaimanapun, saya tidak nampak sesiapa di dalam kereta memandangkan kereta itu bercermin gelap. Selepas itu saya membuka pintu belakang lori. Lelaki warga Indonesia itu hanya meminta saya memandu lori dan beritahu ada orang lain akan angkut barang.

MANJEET: Boleh gambarkan tempat itu?

SURESH: Di sebelah kiri adalah ladang kelapa sawit manakala sebelah kanan tempat buang sampah.

MANJEET: Kemudian apa yang berlaku?

SURESH: Saya di bahagian pemandu di dalam lori, ketika itu saya nampak dua lelaki mengisi barang ke dalam belakang lori saya. Proses mengisi barang itu singkat saja iaitu kira-kira 10 minit saja. Selepas selesai mereka menutup semula pintu lori. Kemudian kereta berwarna hitam itu bergerak dan diikuti oleh jip serta lori saya. Kira-kira lima hingga 10 minit semua kenderaan berhenti di tepi sungai. Lelaki warga Indonesia itu turun, tetapi saya tidak dibenarkan turun manakala dua lelaki dari jip juga turun. Saya nampak melalui cermin ketiga-tiga lelaki itu membuka pintu belakang lori, keluarkan semua barang dan membuangnya ke dalam sungai. Saya tidak nampak barang apa dibuang tetapi ada mendengar seolah-olah zink dipijak. Tidak sampai lima minit, semua selesai dengan cepat sekali.

MANJEET: Adakah kamu mendapat bayaran?

SURESH: Saya lihat pemandu jip meminta duit daripada seseorang di dalam kereta berwarna hitam, tetapi saya tidak nampak siapa.

MANJEET: Berapa yang dia beri kamu?

SURESH: RM300. Saya beritahu dia cuma RM250, tetapi dia kata tidak mengapa dan suruh saya ambil RM300.

MANJEET: Selepas itu?

SURESH: Saya perlu ke Puchong, bagaimanapun lelaki warga Indonesia itu mahu menumpang sehingga ke Subang Jaya, jadi saya bawa dia memandangkan ia satu perjalanan ke tempat yang saya mahu pergi. Sampai di Subang Jaya, dia (lelaki warga Indonesia) ada menawarkan saya wang bagaimanapun saya tolak.

MANJEET: Jika kamu jumpa lelaki warga Indonesia ini semula, boleh kamu cam dia?

SURESH: Tidak.

MANJEET: Apa berlaku di Subang Jaya?

SURESH: Lelaki warga Indonesia itu menunjukkan arah jalan. Saya nampak kawasan kilang dan berdekatan dengan kawasan perumahan flat. Dia minta saya tunggu sebentar untuk dia memeriksa sama ada rakan yang mahu ditemuinya ada atau tidak. Keadaan ketika itu hujan dan selepas lima minit, saya nampak lelaki warga Indonesia itu datang kembali ke tempat saya. Saya nampak dia buang kotak rokok di sebuah longkang kecil di situ. Dia minta saya beredar dan ketika itu dia beri saya dua telefon bimbit, saya menolaknya bagaimanapun dia paksa saya mengambilnya. Selepas itu saya pergi ke Puchong dan kembali semula ke ladang serta menyerahkan duit RM300 kepada Ravi. Saya beritahu Ravi saya dapat dua telefon bimbit dan minta dia ambil satu. Ravi bertanya di mana saya dapat telefon bimbit itu saya beritahu apa yang berlaku. Ravi kemudian marah dan minta saya buang telefon bimbit itu. Ketika saya menghantar sayur ke Pasar Besar Banting saya buang telefon itu di sebuah kunci air.

MANJEET: Ada kamu beritahu pihak polis berhubung perkara ini?

SURESH: Saya beritahu kepada Cif Inspektor N Govindan.

Kencing dalam mulut

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: “Depa (tiga pelajar senior) melakukan seks bahagian belakang menyebabkan saya berasa sakit dan mahu menjerit, tetapi depa tutup mulut saya dengan tangan, selain diberi amaran tidak melaporkan kejadian kepada ibu bapa.”
Begitu kata murid yang mahu dikenali sebagai Din, sembilan tahun, dipercayai menjadi mangsa liwat tiga pelajar senior di sebuah sekolah tahfiz di Baling, dekat sini, pada bulan lalu.

Kejadian berlaku pada minggu kedua selepas mangsa memasuki sekolah itu pada 20 Jun lalu, namun kejadian terbabit hanya diketahui ibu bapanya ketika dijemput selepas sesi orientasi selama 40 hari pada 30 Julai lalu berikutan terdapat kesan lebam pada tubuhnya.
Din mendakwa dia bukan sahaja diliwat berulang kali oleh tiga pelajar berusia 12 tahun terbabit, malah dipukul dengan pelbagai objek selain diugut tidak menceritakan segala kejadian kepada sesiapa.

Menurutnya, perbuatan terbabit dilakukan tiga pelajar itu setiap hari, adakalanya pada waktu tengah hari, tetapi lebih kerap pada malam sama ada dalam bilik asrama, bilik air, surau dan tandas.

“Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 10 malam walaupun saya sedang tidur dalam bilik, tetapi mereka mengejutkan saya dan meliwat berulang kali. Saya hanya menangis kerana amat sakit.

“Saya tak boleh menjerit kerana mereka menutup mulut. Perbuatan itu berlaku beberapa minit sahaja dan sebelum keluar, mereka memberi amaran dan mengugut akan melakukan perbuatan lebih teruk jika diketahui orang lain,” katanya.

Selain diliwat, dia mendakwa dipukul dengan pelbagai objek antaranya kayu, kerusi, besi, penyangkut baju, getah paip serta ditumbuk, malah ketiga-tiga pelajar itu membuang air kencing ke dalam mulutnya.
Menurut Din, dia dan murid lain tidak mampu melawan kerana takut dengan tiga pelajar terbabit.

“Kejadian liwat dan dera berlaku berulang kali, namun saya tidak berani melaporkan kepada pengurusan sekolah kerana takut dipukul. Sebelum itu saya pernah dipukul dengan batang paip plastik kerana enggan bercakap akibat dipaksa makan tulang ikan oleh tiga pelajar itu.

“Pada mulanya, saya mahu memberitahu kejadian kepada ayah yang datang pada 25 Julai lalu, namun terpaksa berdiam diri dan memberitahu saya sihat kerana diberi amaran oleh pelajar itu dan pengurusan.

“Namun, saya lega apabila ayah datang pada 30 Julai lalu dan membawa saya keluar dari tahfiz itu sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan perubatan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Johari Pak Zain, 44, berkata kejadian menimpa anaknya disedari ketika datang ke tahfiz berkenaan pada 25 Julai lalu selepas rakannya membuat laporan polis berhubung kecederaan yang berlaku terhadap anak kembarnya.

Menurutnya, pada mulanya dia terkejut melihat ada kesan lebam dan kecederaan pada muka dan telinga anaknya, lalu bertanya kepada pengurusan tahfiz itu, namun diberitahu Din mungkin mengalami alahan manakala cedera di telinga akibat bermain.

“Saya cuba bertanya kepada anak, namun memberitahu dia sihat dan tidak ada apa yang berlaku. Saya akur penjelasan daripada pengurusan sekolah lalu pulang.

“Tetapi, saya terkejut apabila mendapati ada kesan lebam pada tubuh anaknya apabila kembali melawatnya pada 30 Julai lalu. Justeru, saya kini akan membuat laporan polis lagi terhadap pengurusan tahfiz berkenaan untuk tindakan,” katanya.

‘Andaian Raja Petra’

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner di sini, semalam diberitahu kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane pada April lalu diklasifikasikan sebagai mati mengejut bukannya bunuh diri atau dibunuh.
Menurut Asisten Superintendan, Zuhairi Mohamed, 46, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, dia berpendapat hasil siasatan dijalankan, kematian Ahmad Sarbaini, 56, itu akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Sampel cat putih pada seluar dan kasut Ahmad Sarbaini juga sepadan dengan cat di kawasan pantri di aras tiga bangunan itu,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas.
Dia berpendapat pasti ada sebab dan akibat arwah Ahmad Sarbini keluar dari tingkap pantri itu.

Apabila disoal peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM, saksi ke-34 itu mengesahkan 90 peratus siasatannya lengkap manakala 10 peratus lagi masih tidak dapat dipastikan mengapa arwah Ahmad Sarbaini keluar dari tingkap pantri itu.

Dia bagaimanapun menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh kerana tiada sebarang elemen jenayah atau kesan kecederaan mempertahankan diri pada mayat Ahmad Sarbaini serta pergelutan yang boleh menimbulkan syak di bilik pantri.

“Tiada juga keterangan saksi yang nampak kejadian dan hasil bedah siasat dijalankan ahli patologi juga tidak menunjukkan sebarang tanda arwah membunuh diri,” jelasnya.

Dia juga memberitahu tiada keterangan saksi yang nampak arwah Ahmad Sarbaini dipukul dan didera ketika disoal siasat SPRM.
“Sebaliknya, ada keterangan daripada pegawai kastam yang memberitahu bahawa arwah tertekan dari segi psikologi selepas mengibaratkan penjara seperti ‘neraka dunia’,” katanya.

Sementara itu, dia turut mengesahkan isteri arwah, Masiah @ Maziah Manap membuat laporan polis kedua berhubung artikel di blog Raja Petra Kamarudin bertajuk ‘Ahmad Sarbaini’s death: The Lies And Deception Part 7’, bertarikh 20 Julai lalu yang dikatakan wujud unsur ‘foul play’ (unsur jenayah) dan yakin suaminya itu tidak membunuh diri.

Apabila diminta Muhammad Shafee merujuk keratan blog itu yang menceritakan bagaimana Ahmad Sarbaini boleh jatuh dari tingkap pantri berkenaan, dia memberitahu sebagai pegawai penyiasat kes ini, dia tidak mengetahui bagaimana Raja Petra boleh mendapat maklumat seperti itu.

Katanya, berdasarkan keterangan 57 saksi, nyata ia berbeza dengan siasatan dijalankannya.

“Saya menganggap itu hanya andaian penulis blog sendiri,” katanya.


3 murid ditahan



ALOR SETAR: Polis menahan tiga murid sebuah sekolah tahfiz di Kuala Pegang, Baling kerana disyaki memukul, mendera dan meliwat tiga murid junior sekolah berkenaan sejak sebulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah, berkata semua suspek ditahan di surau sekolah tahfiz berkenaan kira-kira jam 2 pagi, Selasa lalu.

“Berdasarkan laporan ibu bapa mangsa pada 30 Julai lalu, kami menjalankan siasatan dan menahan ketiga-tiga suspek terbabit di surau tahfiz itu.
“Kami menahan mereka berikutan aduan bapa mangsa berhubung anaknya berusia sembilan tahun dipercayai diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera tiga pelajar senior berusia 12 tahun.

“Berikutan itu, murid berkenaan terlantar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan ketika menjalankan aktiviti keagamaan di sekolah tahfiz berkenaan, tetapi mereka dibebaskan sementara dengan jaminan polis kerana masih di bawah umur. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii,” katanya. Semalam Harian Metro melaporkan seorang bapa kesal dengan tindakan tiga pelajar senior sebuah sekolah agama di Baling yang mendera dan meliwat tiga murid berusia sembilan tahun dan sepasang kembar berusia lapan tahun sejak 20 Jun lalu.

Curi kereta lebih RM1j

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Satu sindiket curi kenderaan dikenali ‘Geng Ah Hong’ yang aktif mencuri pelbagai kenderaan membabitkan nilai lebih RM1 juta tumpas selepas diberkas polis.
Difahamkan, hasil penahanan kumpulan dianggotai tiga lelaki itu, polis turut berjaya merampas 17 kereta pelbagai jenis.

Geng Ah Hong itu diberkas polis pada 27 Julai lalu secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur selepas polis menerima maklumat berhubung kegiatan mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan Disember 2010.

“Kumpulan berkenaan diketuai lelaki dikenali sebagai Ah Hong berusia 35 tahun dikesan akan mencuri sesebuah kereta yang disasarkan sebelum komponennya dileraikan untuk dijual di pasaran gelap.

”Bertindak atas laporan polis yang dibuat mangsa, polis menjalankan siasatan lanjut sebelum berjaya mengesan sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Othman berkata, hasil siasatan sekumpulan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 41 tahun ditahan di beberapa kawasan berasingan.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah membuat kunci pendua berdasarkan tempat kunci pada but kereta.
Menurutnya, pihaknya berjaya menemui semula 17 kereta pelbagai jenis antaranya Proton Waja, Wira, Kia Citra, Kia Spectra dan Nissan Vanette.

“Kami percaya sindiket berkenaan sudah mencuri lebih 30 kereta di Lembah Klang sebelum meleraikan komponen dan dijual di kedai alat ganti kereta dan aksesori.

“Berikutan peningkatan kes curi kenderaan di daerah Sentul, polis kini sedang berusaha mengesan kegiatan sindiket lain yang mungkin terbabit dalam kes kecurian kenderaan,” katanya.

Othman berkata, dua daripada tiga suspek itu didapati memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan, pecah rumah dan dadah.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka ditahan reman hingga Sabtu ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment