HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG AKHIR ZAMAN.
          Umat Islam akan berpecah menjadi 73 kumpulan.
     Sabda Rasulullah      sallallahu ‘alaihi wasallam:
          Ketahuilah bahawa orang-orang      sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua      kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada      tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka      dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah.[1]
               Kemusykilan:
          Apakah maksud sebenar hadis ini ?      Ia seolah-olah meramalkan bahawa banyak umat Islam yang akhirnya akan masuk      neraka. Bagaimanakah kita hendak meletakkan diri kita dalam kumpulan      al-Jamaah ?
               Penjelasannya:
          Hadis ini adalah antara yang paling      disalah-fahami dan disalah-gunakan. Dengan hadis ini ramai pihak yang      memisahkan dirinya daripada kesatuan umat atas alasan kononnya Rasulullah      telah meramalkannya. Dan banyak kumpulan yang membenarkan kumpulan sendiri      sebagai hanya yang satu-satunya layak masuk syurga manakala lain-lain      kumpulan semuanya akan masuk neraka.
          Sementara itu sebahagian lain pula      menolak hadis ini kerana bagi mereka adalah mustahil kebanyakan umat Islam      akan masuk neraka. Telah sabit dalam pelbagai hadis yang sahih bahawa      umat Islam, yakni mereka yang mengucap dua kalimah syahadah akan masuk      syurga secara pasti. Mereka mungkin akan masuk ke neraka untuk sementara      waktu bergantung kepada dosa-dosa besar yang dilakukan masing-masing tetapi      akhirnya akan tetap masuk ke syurga.
          Oleh itu      apakah maksud hadis di atas ?      Marilah      kita mengkaji maksud kalimahnya satu persatu.
          Sabda baginda: …      dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh      tiga (kumpulan)… bukanlah merupakan satu ramalan yang menetapkan      tetapi adalah satu peringatan kepada apa yang mungkin akan terjadi.     
          Jumlah 73 yang baginda      sebut mengisyaratkan kepada jumlah yang banyak sebagaimana kebiasaan      penggunaan angka 7 atau 70 oleh masyarakat Arab untuk mengisyaratkan sesuatu      yang besar jumlahnya. Ini seperti yang telah diterangkan ketika menjelaskan      hadis orang kafir ada tujuh usus. Angka 2 dan 3 bagi jumlah 72 dan 73      pula mengisyaratkan bahawa umat Islam berkemungkinan akan berpecah menjadi      kumpulan-kumpulan yang lebih banyak jumlahnya daripada perpecahan Ahli      Kitab.
          Daripada      kumpulan-kumpulan ini hanya al-Jamaah yang akan masuk syurga. Apa dan      siapakah al-Jamaah ?
          Dari sudut bahasa al-Jamaah      adalah persatuan di mana lawannya adalah perpecahan. Dari      sudut istilah, al-Jamaah adalah persatuan umat Islam di atas      kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan perpecahan, pengasingan dan      pemulauan sesama umat sama ada dalam bentuk yang kecil atau besar.
          Justeru Rasulullah sallallahu      ‘alaihi wasallam menyampaikan hadis di atas dalam rangka memberi amaran      keras kepada umatnya untuk tidak berpecah-belah menjadi kumpulan dan      kelompok yang saling berselisih antara satu sama lain. Hendaklah umat Islam      semuanya bersatu sebagai satu jamaah. 
          Amaran Rasulullah sallallahu      ‘alaihi wasallam dalam hadis ini adalah selari dengan ayat al-Qur’an berikut      ini:
                Dan kalaulah Tuhanmu      (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya      menurut agama yang satu.      (Tetapi Ia      tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.
          Kecuali      orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam      agama Allah); dan untuk itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang      demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka      jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”      [Hud      11:118-119]
          Dalam ayat ini Allah      Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan tabiat manusia yang suka berpecah-belah dan      ini termasuklah umat Islam sendiri. Semuanya akan memenuhi neraka kecuali      mereka yang bersatu atas kebenaran, iaitu jamaah umat Islam.
          Dalam sebuah ayat lain      Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
          Dan      janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik - Iaitu      orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut      kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak;      tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan      amalan yang terpesong itu).      [al-Rum      30:31-32]
          Dalam ayat di atas Allah      Tabaraka wa Ta‘ala menerangkan sifat orang-orang musyrik yang      memecah-belahkan agama mereka, masing-masing bergembira dengan pecahan      masing-masing. Maka hendaklah orang-orang yang mentauhidkan Allah, yakni      umat Islam bertindak berbalik daripada tindakan orang-orang musyrik      tersebut, iaitu hendaklah umat Islam bersatu dalam satu jamaah dan      mengelakkan perpecahan.
          Sikap      berjamaah yang menjauhi perpecahan juga sangat ditekankan oleh Rasulullah      sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis-hadis baginda.      Antaranya:
          Sesungguhnya orang yang memisahkan      dirinya daripada jamaah sekalipun dengan jarak sehasta lalu dia mati, maka      matinya adalah dalam keadaan jahiliyah.[2]
          Tiga orang, jangan engkau bertanya      tentang mereka: (1) seseorang yang memisahkan dirinya dari jamaah dan      menderhakai imamnya dan mati dalam keadaan menderhaka, (2) Seorang budak      perempuan atau budak lelaki yang melarikan diri dari tuannya lalu dia (budak      tersebut) mati dan (3) seorang isteri yang suaminya pergi lalu ditinggalkan      bekalan (nafkah) duniawi yang mencukupi namun kemudian dia (si-isteri)      mengkhianati (suaminya).[3]
          Sabda Rasulullah: Tiga orang, jangan      engkau bertanya tentang mereka bermaksud tiga orang yang akan      menghadapi kemusnahan di Hari Akhirat nanti.[4]
          Berjamaah adalah rahmat dan      berpecah adalah azab.[5]
          Sesungguhnya Allah tidak akan      menghimpun umatku (atau umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam) atas      kesesatan. Dan tangan Allah atas al-Jamaah dan sesiapa yang mengasingkan      diri, maka dia mengasing ke neraka.[6]
          Wahai manusia, berjamaahlah kalian      dan janganlah kalian berpecah-belah. Sesiapa yang hendak tempat di      tengah-tengah syurga maka hendaklah dia selalu berjamaah.[7]
          Akan datang sesudah aku orang-orang      yang berbuat fitnah, keburukan dan kejahatan. Maka sesiapa kamu yang      melihatnya memecah-belahkan al-Jamaah atau hendak memecah-belahkan antara      umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam atau memecah-belahkan urusan      mereka, maka bunuhlah dia siapapun orangnya.
          Sesungguhnya tangan Allah bersama      al-Jamaah dan sesungguhnya Syaitan berlari bersama orang yang      memecah-belahkan al-Jamaah.[8]
          Demikian beberapa hadis Rasulullah      sallallahu ‘alaihi wasallam yang memerintah umat untuk berjamaah dan ancaman      keras bagi mereka yang memecah-belahkan jamaah atau mengasingkan diri      darinya. 
          Timbul persoalan seterusnya,      bagaimanakah seharusnya kita umat Islam hidup berjamaah ? 
          Sepertimana yang      telah diterangkan, dari sudut bahasa al-Jamaah adalah persatuan      di mana lawannya adalah perpecahan. Dari sudut istilah, al-Jamaah      adalah persatuan umat Islam di atas kebenaran dan usaha mereka untuk      menjauhkan perpecahan, pengasingan dan pemulauan sesama umat sama ada dalam      bentuk yang kecil atau besar. Untuk memperincikan konsep al-Jamaah      memerlukan sebuah buku yang berasingan kerana ini adalah satu subjek yang      luas dan penting.      Justeru      berikut ini hanya digariskan perkara-perkara penting tentang konsep      berjamaah dalam Islam:
          Pertama:
          Berjamaah adalah atas      kebenaran iaitu umat Islam bersatu atas kebenaran yang berasal dari      al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tidak boleh bersatu di atas      sesuatu yang batil atau terkeluar dari batas-batas Islam. Ini adalah dasar      pertama yang terpenting sehingga Abdullah ibnu Mas‘ud radiallahu ‘anhu      pernah berkata: al-Jamaah adalah apa yang menepati kebenaran sekalipun      engkau bersendirian.[9]     
          Namun perlu diingatkan      bahawa kebenaran itu sendiri adalah sesuatu yang sangat luas, justeru      hendaklah ia ditentukan oleh seseorang mujtahid atau sekumpulan ilmuan yang      jujur dan adil. Jika didapati seseorang atau sesebuah kumpulan itu jelas      menyalahi kebenaran, maka tidak perlu berjamaah dengannya seperti orang yang      menyindir Rasulullah atau kumpulan tariqat yang meletakkan syari‘at Islam di      tangga kedua selepas shaikh mereka.
          Kedua:
          Berjamaah adalah kepada      satu pemimpin yakni seorang khalifah Islam. Dalam suasana tidak ada khalifah      pada masa kini, berjamaah adalah kepada pimpinan al-Qur’an dan al-Sunnah dan      para ahlinya. Dalam ertikata lain, para ilmuan Islam yang berdiri di atas      al-Qur’an dan al-Sunnah bertindak sebagai pemimpin umat Islam masa kini      sehinggalah lahir sistem khalifah yang berwibawa.
          Ketiga:
          Berjamaah bukanlah      bererti persatuan pendapat tetapi adalah toleran terhadap beberapa pendapat      yang sedia ada. Sebahagian ahli hikmah berkata: Yang dibolehkan adalah      perbezaan pendapat sementara yang dilarang adalah perpecahan umat. Namun      perlu diingatkan bahawa sikap toleran hanyalah terhadap beberapa      pendapat dan bukannya semua pendapat kerana pendapat yang batil wajib      ditolak atau diperbetulkan. 
          Keempat:
          Berjamaah bukanlah      bererti tidak boleh wujud beberapa kumpulan atau gerakan tetapi berjamaah      adalah bekerjasama sesama kumpulan dan gerakan. Dalam hal ini bersambung      kata-kata para ahli hikmah: Bersatu dalam perkara yang kita sepakati,      berdiam diri dalam perkara yang kita selisihi.
          Kelima:
          Berjamaah adalah saling      menghormati antara satu sama lain. Namun di waktu yang sama gerakan dakwah      dan ‘amar ma‘aruf nahi mungkar wajib berjalan sesama ahli termasuk      pemimpinnya supaya kebenaran sentiasa berada bersama jamaah. Seandainya      pemimpin memerintahkan sesuatu yang bercanggah dengan al-Qur’an dan      al-Sunnah maka tidak ada ketaatan kepada perintah tersebut melainkan      kewajipan membetulkannya. Seandainya pemimpin tetap berdegil maka hendaklah      diusahakan perlantikan atau penggantian pemimpin yang baru secara      bermesyuarat sesama jamaah (Majlis Syura). Semua ini tetap dijalankan      dalam jamaah, tidak di luarnya.
               Demikian lima dasar utama      konsep jamaah dalam Islam. Berjamaah berlandaskan dasar-dasar di atas      wajib ditegakkan dan dipelihara sesama umat Islam tanpa mengira mazhab fiqh      dan fikrah politik. Tidak boleh memecahkan jamaah semata-mata kerana      perbezaan pendapat dalam hukum fiqh. Tidak boleh membahagi-bahagikan jamaah      semata-mata kerana perbezaan pandangan dalam berpolitik. Tidak boleh saling      memulau antara jamaah semata-mata kerana sesuatu amalan bid‘ah yang tidak      jelas kebid‘ahannya. Sesiapa yang memecah-belahkan jamaah atau menyisihkan      diri atau memulau daripada jamaah maka dia termasuk salah satu daripada 72      kumpulan yang akan masuk ke dalam neraka.
                                                  [1]                       Hasan: Hadis daripada sejumlah sahabat dengan lafaz          yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang sama, dikeluarkan oleh          Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah          salah satu dari lafaz Abu Daud, lihat Sunan Abu Daud – no: 4429 (Awal          kitab al-Sunnah). Hadis-hadis ini memiliki jalan periwayatan yang          banyak, sebahagiannya sahih, sebahagiannya hasan dan          sebahagian lain dha‘if, lihat semakan dan penilaiannya oleh Nasr          al-Din al-Albani dalam Silsilah Hadits Shahih – no: 203.
                                             [2]                       Sahih: Sebahagian hadis daripada ‘Abdullah ibn Abbas         radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim,          Darimi dan lain-lain, di atas adalah dengan lafaz Muslim, lihat Sahih          Muslim – no: 1849 (Kitab al-Imarah, Bab kewajipan bersatu dengan          jamaah.....).
                                             [3]                       Sahih: Sebahagian hadis daripada Fadhalah bin ‘Ubaid         radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari (Adab          al-Mufrad), Ibn Hibban, al-Hakim dan lain-lain, di atas dengan lafaz          Ibn Hibban dan ia disahihkan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam          Sahih Ibn Hibban – no: 4559 (Kitab al-Siyar, Bab Taat kepada pemimpin).
                                             [4]                       al-Munawi dalam Faidh al-Qadir Syarah al-Jamii’          al-Sagheir (Maktabah Tijarah al-Kubra, Mesir 1356H), jld 3, ms          324.
                                             [5]                       Hasan: Sebahagian hadis daripada Nu’man bin Basyir         radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Abi ‘Ashim,          al-Bazzar, Ibn Abi Dunya, al-Qudho‘i dan al-Baihaqi (Syu‘abu al-Iman),          dinukil oleh al-Munziri dalam al-Targib wa al-Tarhib dan dinilai         hasan oleh para penyemaknya: Muhyiddin Dibb Mastu, Samir Ahmad          ‘Atha & Yusuf ‘Ali Badiwi.
                                             [6]                       Hasan: Hadis daripada ‘Abdulullah ibn ‘Umar          radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan di dalam isnadnya          terdapat kelemahan. Namun bahagian awal hadis ini memiliki beberapa          penguat dari sudut sanad dan matan sehingga dapat diangkat          ke taraf sahih, demikian penilaian Nasr al-Din al-Albani dalam          Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 2167 (Kitab al-Fitan, Bab Keperluan kepada          al-Jamaah). Bahagian akhir hadis: dan sesiapa yang          mengasingkan diri, maka dia mengasing ke neraka tidak memiliki          penguat dari sudut sanad tetapi memiliki kebenaran dari sudut          matan sebagaimana disokongi oleh beberapa hadis dalam bab ini yang          telah dikemukakan di atas. Oleh itu al-Suyuti menilai keseluruhan hadis          ini sebagai hasan, lihat al-Jamii’ al-Sagheir – no: 1818.
                                             [7]                       Sahih: Hadis daripada ‘Umar bin al-Khattab          radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ibn Abi ‘Ashim dan dinilai          sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Kitab al-Sunnah – no: 897.
                                             [8]                       Sahih: Hadis daripada Arfajah bin Syuraihin          radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Abi Syaibah, Abu Daud,          al-Nasa’i (al-Sunan & al-Kubra), Ibn Hibban, al-Hakim dan          lain-lain, di atas dengan lafaz Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh          Syu‘aib al-Arna’uth dalam Sahih Ibn Hibban – no: 4577 (Kitab          al-Siyar, Bab Taat kepada pemimpin), demikian juga oleh Nasr al-Din          al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 3621. Juga          dikeluarkan secara ringkas oleh Muslim dalam kitab Sahihnya,          no: 1852.
                                             [9]                       Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir dalam Tarikh          Damshq (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld 46, ms 409          dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani sepertimana jelas          beliau dalam notakaki Misykat al-Masabih (Maktabah al-Islami,          Beirut 1985), jld 1, ms 61. Juga dinukil oleh al-Mizzi dalam          Tahzib al-Kamal (Muasasah al-Risalah, Beirut 1980), jld 22, ms          264.
 
No comments:
Post a Comment