Tuesday, July 10, 2012

NILAI NYAWA AMAT TINGGI...GUNAKAN NYAWA UNTUK TAAT PADA ALLAH BUKAN SEBALIKNYA....INGATLAH KITA ADA LAGI HUKUMAN DIAKHIRAT...JADI JANGAN ZALIM SERTA GANAS DIDUNIA INI...MAKHLUK TETAP MAKHLUK...YANG SERBA LEMAH...JANGAN SALAH GUNA KUASA YANG ADA....

Bayar RM250,000 untuk pulih


BILANGAN pesakit buah pinggang semakin ramai serta penderma yang sedikit mendorong segelintir pesakit berusaha mendapatkan organ itu secara haram. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kesukaran memperoleh penderma organ di negara ini menyebabkan segelintir pesakit buah pinggang sanggup menghabiskan sehingga RM250,000 bagi mendapatkan buah pinggang baharu dan menjalani pembedahan di luar negara melalui broker organ haram.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendaftaran Renal Kebangsaan (NRR), Datuk Dr. Ghazali Ahmad berkata, kos pembedahan pemindahan buah pinggang di hospital kerajaan cuma RM500 tetapi prosedur yang sama menggunakan organ haram di luar negara boleh mencecah RM250,000.
Katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga menimbulkan komplikasi kesihatan.
“Kami tidak ada statistik jumlah pesakit Malaysia yang menjalani pemindahan organ secara haram di luar negara memandangkan ia pembedahan tidak rasmi tetapi kita dapat maklumat kegiatan itu didalangi broker haram.
“Masalahnya dalam setahun hanya ada 20 hingga 30 penderma organ sedangkan senarai menunggu sudah seramai 16,000 orang. Dalam keadaan ini orang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan buah pinggang baharu,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi ceramah Risiko/Realiti Pemerdagangan dan Perniagaan Organ oleh Prof. David Matas dari Kanada di sini semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini menafikan Malaysia antara tempat pemindahan organ haram.
Tiong Lai dipetik berkata, keyakinan itu berdasarkan syarat bahawa semua hospital kerajaan mahupun swasta perlu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan sebelum melakukan pemindahan organ.
Pada masa ini pembedahan buah pinggang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan beberapa hospital swasta di sekitar Lembah Klang.

Salyo sah cerai Sasha


SASHA di Mahkamah Syariah Daerah Gombak Timur, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Mohamad Saidin bergelar janda buat kali kedua apabila dicerai talak satu oleh suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam selepas dua tahun mereka hidup berasingan.
Sasha, 36, sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris, Jason Skinner atau Johan Abdullah di London, England pada 2003 sebelum bercerai dua tahun kemudian tanpa dikurniakan anak.
Salyo, 37, yang merupakan penerbit dari Indonesia, melafazkan cerai terhadap Sasha di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaluddin pada pukul 2.55 petang setelah mencapai persetujuan bersama.
Sejurus berakhir lafaz tersebut, Sasha dilihat menadah tangan sambil berdoa, sebelum memeluk ibunya dengan perasaan sebak manakala Salyo yang hadir bersama seorang rakan turut kelihatan sedih dan terus meninggalkan mahkamah.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2007 di Masjid Baitussalam, Duren Tiga, Jakarta Selatan dan dikurniakan seorang anak lelaki Adam Aryasenna Notoemarsono yang berusia tiga tahun.
Ketika prosiding mahkamah semalam, penyanyi kacukan Melayu dan Inggeris itu menyerahkan sepucuk nota kepada Shaiful Azli bagi menjelaskan sebab-sebab dia memohon cerai.
Kakak kepada pelakon Zain Saidin itu memberitahu mahkamah bahawa mereka masih lagi tinggal serumah, namun tidur berasingan sejak dua tahun lalu.

Cemas diculik sejam

JOHOR BAHRU - Seorang ahli perniagaan terpaksa menempuh detik cemas selama hampir satu jam sebelum diselamatkan polis apabila dia dilarikan bersama kereta jenis Mini Cooper Cabriolet miliknya oleh penyamun bersenjatakan sepucuk pistol di Taman Sentosa di sini.
Kejadian pukul 3.15 pagi Jumaat lalu itu berlaku apabila wanita berusia 26 tahun dari Kuala Lumpur tersebut baru masuk ke dalam keretanya selepas selesai makan di sebuah restoran. Kereta itu direka dengan bumbungnya boleh dibuka.
Tanpa disangka, seorang lelaki berusia 35 tahun terus melompat masuk ke dalam kenderaan melalui bumbungnya yang terbuka itu sebelum mengarahkan mangsa memandu sambil mengacukan pistol ke arah mangsa.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, beberapa pelanggan restoran yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi polis.

Penceroboh alami sakit mental


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat Khalil Afandi dan Muhdalina ditembak dalam kejadian amuk di Komples B, JPM di Presint 1 Putrajaya kelmarin.


KUALA LUMPUR – Polis semalam mendedahkan siasatan lanjut terhadap dua penceroboh yang mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya kelmarin mendapati mereka mempunyai masalah mental ekoran terjebak dengan ajaran sesat selain berfikiran ekstrem.
Polis juga memberitahu, kedatangan mereka ke kompleks pentadbiran itu untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan masa kini yang didakwa menguruskan pentadbiran negara tidak mengikut lunas-lunas Islam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pencerobohan yang disusuli kejadian amuk merupakan modus operandi yang sering digunakan oleh pengikut ajaran sesat.
Katanya, kesimpulan itu dibuat selepas pihaknya meneliti perkataan yang diucapkan oleh kedua-dua suspek ketika itu.
“Kalau tengok pada apa yang diucapkan (semasa kejadian), mereka terlibat dalam ajaran sesat, tetapi kumpulan mana (mereka sertai) kita akan siasat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Khalil Afandi Abd. Hamid, 47, yang menggelarkan dirinya sebagai Imam Mahdi mati selepas terkena tembakan di bahagian bawah perut dan tangan manakala rakannya, Muhdalina Ahmad, 28, cedera di paha.

Pasangan kematian anak fail saman

SHAH ALAM - Seorang jurutera dan isterinya semalam memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan dua pihak lain kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan kemalangan yang mengorbankan anak lelaki mereka berumur lima tahun di Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah, Kedah pada Mac lepas.
Foong Kwok Mun, 40, dan isterinya, Ng Lai Kein, 39, seorang kerani memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Halim Hong & Quek.
Selain Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, pasangan suami isteri berkenaan menamakan Menteri Pengangkutan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak berkenaan, Foong Chun Yuan cedera parah akibat tercucuk kaca di pahanya selepas terlanggar pintu kaca di jeti itu sebelum meninggal dunia tiga hari kemudian di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, Kwok Mun dan Lai Kein mendakwa kira-kira pukul 6 pagi 9 Mac lepas, mereka bersama anggota keluarga termasuk Chun Yuan mengunjungi jeti berkenaan untuk mendapatkan tiket feri ke Pulau Langkawi.

Remaja ragut kerani akaun dicekup

MELAKA - Selepas tiga hari kerani akaun sebuah syarikat menjadi korban dua peragut di Jalan Benteng, Balai Panjang di sini, polis kelmarin berjaya menahan seorang remaja dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut.
Suspek yang berusia 17 tahun dan tidak bersekolah itu dicekup pada pukul 7 malam di sebuah inap desa di Merlimau, Jasin pada pukul 1.30 petang.
Jarak antara inap desa tersebut dengan Jalan Benteng kira-kira enam kilometer.
Siasatan awal, mengesyaki remaja tersebut merupakan suspek yang menarik beg tangan Tang Mui Choo, 35, yang diletakkan dalam raga motosikalnya.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan R.Gunarajan berkata, polis masih mengesan penunggang motosikal yang berusia 20-an yang bersama remaja itu semasa kejadian.
"Pada hari kejadian, remaja terbabit mengaku membonceng motosikal yang ditunggangi rakannya. Dia juga mengaku menarik beg tangan mangsa sehingga menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dari motosikalnya," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini.
Menurut beliau, selain remaja itu, polis turut menahan tiga lagi rakan suspek yang berusia 18 hingga 20 tahun yang turut berada di inap desa itu semasa serbuan.

Berpisah suami, anak kerana dikejar ah long


Pooi Sze (kiri) dan May Lai masing-masing menunjukkan gambar suami dan anak mereka kepada Chong di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang isteri dan seorang ibu masing-masing terpaksa bertindak nekad memutuskan hubungan dengan suami dan anak ekoran kegagalan mereka melangsaikan hutang dengan ah long.
Menurut seorang jurujual, Mu Pooi Sze, 37, dia terpaksa berpisah dengan suaminya, Chin Chee Foh, 41, kerana tidak sanggup lagi menanggung hutang suaminya itu yang menghilangkan diri sejak 10 Jun lalu.
Katanya, suaminya bertindak demikian kerana gagal menjelaskan faedah hutang yang kini meningkat kepada RM22,000 meskipun cuma membuat pinjaman RM2,000.
“Saya tidak mampu menjelaskan hutang tersebut kerana jumlahnya yang meningkat terlalu banyak.
“Saya kini sentiasa diganggu ah long yang tetap mahu saya menjelaskan hutang itu, malah mengancam mahu membakar rumah saya jika gagal membayar,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Jalan Ampang di sini semalam.

Pusat urut baru operasi diserbu


SEBAHAGIAN daripada gadis Vietnam yang ditahan di sebuah pusat urut di Bayu Perdana, Klang semalam.


KLANG - Kegiatan haram pengusaha sebuah pusat urut yang menawarkan khidmat seks gadis Vietnam kepada pelanggannya berakhir selepas polis menyerbu premis terbabit yang baru seminggu beroperasi di Bayu Perdana di sini kelmarin.
Dalam operasi pukul 9.30 malam itu, seramai 11 gadis seksi warga Vietnam berusia antara 20 hingga 31 tahun ditahan di dalam premis terbabit bersama seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang dipercayai penjaga pusat urut tersebut.
Turut dirampas, wang tunai RM315, minyak urut dan kondom yang digunakan dalam kegiatan itu.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, risikan dijalankan selepas menerima aduan mengenai kegiatan di premis terbabit yang menyajikan gadis warga asing sebagai tarikan.
Menurutnya, pusat urut tersebut didapati tidak mempunyai sebarang papan tanda dipercayai untuk mengaburi kegiatan haram itu.
"Bagi memastikan pusat urut itu benar-benar selamat, penjaga premis hanya akan membenarkan pelanggan yang telah membuat tempahan melalui telefon untuk masuk," katanya kepada pemberita selepas operasi itu selesai kelmarin.

Parlimen Mesir bersidang


WAKIL-WAKIL rakyat duduk dalam Dewan Rendah Parlimen Mesir yang bersidang di Kaherah semalam.


KAHERAH - Dewan Rendah Parlimen Mesir bersidang semalam sekali gus mengingkari perintah mahkamah dan tentera.
Parlimen Mesir didominasi wakil rakyat daripada parti politik berfahaman Islam.
Presiden Mesir, Mohammed Morsi pada Ahad lalu mengeluarkan dekri supaya dewan tersebut bersidang semula.
Namun, Mahkamah Perlembagaan Mesir sebelum ini mengeluarkan keputusan untuk membubarkan dewan tersebut kerana terdapat undang-undang tentang pilihan raya Parlimen didapati tidak sah.
"Kami bersidang hari ini untuk menyemak keputusan Mahkamah Agung Perlembagaan Mesir yang memutuskan bahawa dewan ini tidak sah," kata Speaker, Saad Al-Katatni.
"Saya mahu menekankan bahawa kami bukan menentang keputusan ini tetapi mahu menyemak mekanisme pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan. Tiada agenda lain pada perhimpunan kali ini," tambahnya.
Wakil rakyat daripada beberapa parti politik bertindak memboikot persidangan itu dengan sebahagian mereka menyifatkan tindakan Morsi itu satu rampasan kuasa perlembagaan.
Namun, Katatni menegaskan dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen bahawa Parlimen menghormati undang-undang negara dan keputusan mahkamah tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton meminta semua pihak berbincang untuk mencari penyelesaian berhubung isu tersebut.
Hillary membuat kenyataan itu sebelum beliau melawat Mesir pada minggu ini. - Agensi

Bashar rancang tamatkan konflik

IMEJ yang dimuat naik dari laman YouTube pada 9 Julai lalu menunjukkan asap akibat pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak kelihatan di wilayah Daraa.Bashar(gambar kecil)


GENEVA - Presiden Syria, Bashar Al-Assad bercadang untuk menamatkan konflik di Syria secara berperingkat bermula dengan beberapa daerah yang mengalami keganasan terburuk, kata Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/Liga Arab ke Syria, Kofi Annan pada satu sidang media di Teheran, Iran semalam.
"Beliau membuat cadangan melalui pendekatan bermula di beberapa daerah yang mengalami keganasan terburuk dengan mengekang keganasan di semua lokasi tersebut dan menamatkan keganasan di seluruh negara," kata Annan, menurut teks PBB.
Bekas Setiausaha Agung PBB itu enggan memberikan butiran lanjut tetapi memberitahu, pelan Bashar perlu dibincangkan bersama pihak pemberontak Syria.
Pada sidang media yang sama, Annan mengulangi pandangannya bahawa Iran boleh memainkan peranan positif dalam mencari penyelesaian politik di Syria.
Satu pertemuan antara kuasa besar dunia di Geneva pada 30 Jun lalu menegaskan bahawa elemen ketenteraan dalam konflik tersebut tidak akan diteruskan.
"Ia bermakna kita perlu mencari satu penyelesaian damai dan tidak lagi membekalkan senjata kepada pihak-pihak terlibat dalam konflik di Syria," jelas Annan.
Annan kemudian tiba di Iraq semalam dalam misi kunjungan ke negara-negara sekutu Syria di Asia Barat.
Jurucakap pemerintah Iraq, Ali Al-Dabbagh berkata, Annan akan menemui Perdana Menteri, Nouri Al-Maliki bagi membincangkan kaedah sesuai untuk menamatkan pertumpahan darah di Syria.
Ali memberitahu, Baghdad merancang untuk menawarkan beberapa jalan penyelesaian bagi menamatkan pergolakan di negara itu yang berlanjutan sejak 16 bulan lalu.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut.
Annan cuba mendapatkan sokongan sekutu-sekutu Damsyik untuk menyelamatkan pelan damainya yang kini menemui kebuntuan bagi menamatkan keganasan di Syria.
Beberapa aktivis memberitahu, pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak yang menentang pemerintahanya di Syria telah meragut nyawa lebih 17,000 orang setakat ini. - Agensi

Bekas PM Israel didapati bersalah


OLMERT (dua dari kanan) tersenyum di Mahkamah Daerah di Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS - Sebuah mahkamah Israel membebaskan bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert daripada dua tuduhan rasuah semalam tetapi mendapatinya bersalah berhubung satu tuduhan yang lebih ringan dalam keputusan yang beliau sifatkan sebagai adil.
Mahkamah Daerah di Baitulmuqaddis membebaskan Olmert daripada tuduhan menerima beberapa sampul surat berisi wang dan mengemukakan caj palsu beberapa kali semasa melakukan lawatan ke luar negara.
Namun, Olmert didapati bersalah kerana memberi kemudahan kepada seorang bekas rakan sekerjanya ketika beliau memegang jawatan sebagai menteri.
Olmert masih berdepan satu perbicaraan lain berhubung tuduhan beliau menerima rasuah semasa memegang jawatan Datuk Bandar Baitulmuqaddis dalam projek pembinaan sebuah kompleks perumahan di sini.
Namun, keputusan untuk membebaskan beliau daripada dua tuduhan paling serius pada perbicaraan itu termasuk dakwaan yang memaksanya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2008 dilihat sebagai satu kemenangan peribadi buat Olmert.
Namun, beliau didapati bersalah kerana bersikap pilih kasih dengan meluluskan permohonan kontrak rakannya, Uri Messer semasa Olmert berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.
Beliau didapati bersalah kerana membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingan negara.
Kesalahan itu boleh menyebabkan beliau dihukum maksimum penjara tiga tahun.
Bagaimanapun, hujah tentang hukuman yang perlu dijatuhkan ke atas Olmert akan bermula pada September depan. - Agensi

No comments:

Post a Comment