Tuesday, July 10, 2012

YANG LAMA TAK MESTI TIDAK BERMUTU@BERNILAI LAGI...LEBIH2 LAGI JIKA IA BERTAQWA SERTA BANYAK MEMBERI MANFAAT KEPADA MANUSIA...

Rita, Aidil diarah selesai cara baik


RITA, AIDIL



PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah di sini mengarahkan pasangan pelakon Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak supaya menyelesaikan kes rumah tangga mereka secara baik sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad berkata, sebagai pasangan yang dikenali ramai, mereka seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat supaya menjadi ikutan dan boleh mendapat pahala.
Rita Rudaini yang ditanya akan kesediaan untuk berbincang berkata: "Ya, saya sedia untuk bincang melalui arahan mahkamah."
"Kalau tidak boleh bersama, mahkamah tiada masalah untuk kamu bercerai, tindakan selepas ini perlu dibuat peguam masing-masing," kata Wan Mahyuddin semasa sebutan semula kes permohonan kembali taat yang difailkan plaintif, Aidil Zafuan, 24, terhadap isterinya selaku defendan.
Terdahulu, permohonan itu mendapat bantahan Rita Rudaini, 36, menerusi peguam syarie Datuk Zaidi Zain yang menimbulkan isu bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes berkenaan.
Menurut Zaidi, kes seumpama itu pernah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, namun telah ditarik balik plaintif yang tidak tinggal bersama dengan defendan sejak Januari 2012 tetapi dalam permohonan kembali taat, plaintif menyatakan alamatnya ialah rumah yang defendan duduki sekarang.
"Malah, plaintif ajak defendan tinggal bersama tetapi tidak sebut alamat mana, sekejap Seremban, sekejap Petaling Jaya main-main dengan undang-undang macam main bola," kata Zaidi lagi.

Budayawan Azah Aziz meninggal dunia


ALLAHYARHAM AZAH AZIZ



KUALA LUMPUR – Tokoh budaya Azah Aziz, iaitu isteri Profesor Diraja Ungku Aziz dan ibu kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, meninggal dunia di sini semalam.
Menurut seorang anggota keluarga terdekatnya, Azah atau nama sebenarnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, 83, meninggal dunia kerana sakit tua dan angin ahmar kira-kira pukul 10 pagi.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas solat Asar.
Antara yang berada di tanah perkuburan memberikan penghormatan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta anggota keluarga dan kenalan rapat.
Terdahulu, solat jenazah disempurnakan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar.
Azah berkahwin dengan Ungku Aziz pada 5 Mei 1946 dan dikurniakan seorang anak Dr. Zeti Akhtar Aziz yang kini Gabenor Bank Negara.
Allahyarham yang turut dikenali sebagai Mak Ungku dilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura dan dibesarkan di Johor Bahru. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Convent, Johor Bahru.

Kontena pil khayal dari India



MATRANG (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian pil eramin 5 yang dirampas pada sidang akhbar di Pelabuhan Klang semalam.



PELABUHAN KLANG - Cubaan lima individu termasuk sepasang suami isteri menyeludup masuk sebuah kontena mengandungi hampir tiga juta pil eramin 5 melalui Pelabuhan Barat di sini pada 5 Julai lalu gagal apabila ia dapat dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Perkara tersebut terbongkar apabila JKDM menahan tiga lelaki berusia 30 tahun ketika suspek cuba membawa keluar dadah bernilai lebih RM58 juta di pelabuhan berkenaan pada 29 Jun lalu. Bahan khayal tersebut tiba enam hari sebelum itu.
Pada hari sama, pihak kastam telah menahan sepasang suami isteri berusia 32 dan 41 tahun di sebuah restoran mamak di Pulau Pinang kerana disyaki mengarahkan tiga lelaki itu mengambil dadah berkenaan. Suami suspek merupakan warga Bangladesh.
Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM, Datuk Matrang Suhaili berkata, tiga lelaki tersebut merupakan ejen sebuah syarikat perkapalan.

Lelaki mengamuk ditembak mati



SUSUNAN gambar yang dirakam kamera litar tertutup menunjukkan Khalil Afandi dan Muhdalina memasuki pekarangan pejabat Jabatan Perdana Menteri di Presint 1, Putrajaya semalam sebelum memecahkan cermin kereta petugas di situ. Mereka bertindak agresif apabila diarahkan menyerah diri sebelum ditembak oleh anggota polis. Gambar kecil, Khalil Afandi dan Muhdalina.



PUTRAJAYA - Seorang pengikut ajaran sesat yang menggelarkan dirinya sebagai Imam Mahdi mati ditembak ketika menceroboh kawasan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Presint 1 di sini semalam.
Kejadian menggemparkan selama 20 minit yang bermula pukul 2.30 petang itu mengakibatkan Khalil Afandi Abd. Hamid, 47, mati setengah jam kemudian ketika dirawat di Hospital Putrajaya. Dia terkena dua das tembakan di tangan dan bahagian bawah perut.
Rakannya yang turut menceroboh premis itu, Muhdalina Ahmad, 28, cedera apabila terkena tembakan di paha. Ketika itu mereka membawa bersama senjata tajam seperti pedang samurai, keris dan tiga bilah pisau.
Beberapa saksi memberitahu, Khalil Afandi yang pada mulanya memakai jaket berwarna hijau kemudian membukanya dan dalam keadaan tidak berbaju, dia menjerit mahu menggulingkan kerajaan dan bertakbir beberapa kali.
Ia merupakan kejadian pertama penceroboh ditembak mati sejak pusat pentadbiran negara berpindah dari ibu negara ke sini pada 1998 iaitu 14 tahun lalu.

Serangan dinihari lelaki misteri



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di banglo milik seorang Timbalan Pengerusi sebuah bank yang dihujani peluru dalam kejadian di Subang Jaya semalam.



SUBANG JAYA – Ibarat filem Hollywood, seorang lelaki misteri yang menaiki sebuah kereta Toyota Camry disyaki cuba memberi amaran apabila bertindak melepaskan 10 das tembakan ke arah banglo milik Timbalan Pengerusi sebuah bank terkenal bergelar Datuk di SS19 di sini semalam.
Hujanan peluru itu berlaku pada pukul 4.50 pagi ketika mangsa, 57, bersama lima lagi ahli keluarganya termasuk isteri, dua anak dan dua tetamu sedang tidur di banglo tersebut. Turut berada di dalam kawasan rumah itu tiga pekerjanya.
Difahamkan, kejadian itu disedari empat jam kemudian apabila pembantu rumah mangsa menemui kelongsong peluru di luar rumah. Pengawal keselamatan warga Nepal pula mendakwa ada mendengar letupan ketika kejadian tetapi menyangka ia bunyi mercun.
Pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati tembakan itu dilepaskan oleh lelaki misteri tersebut. Dua daripada tembakan itu mengenai dua kenderaan mewah jenis Toyota Alphard milik mangsa manakala satu das terkena pada tingkap banglo dua tingkat tersebut.
Kesemua penghuni bagaimanapun tidak cedera.

53 pemandu bas mogok tiga jam



BEBERAPA penumpang menunggu perkhidmatan bas yang terjejas selepas 53 pemandu mengadakan mogok di Melaka Sentral semalam.



MELAKA - Perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini tergendala kira-kira tiga jam apabila 53 pemandu bas mengadakan mogok di Melaka Sentral di sini dari pukul 8 hingga 11 pagi semalam.
Ia bagi membantah tindakan majikan mereka, Panorama Melaka Sdn. Bhd. (Panorama Melaka) membuat laporan polis terhadap seorang pemandu bas, Azam Sabtu, 39, kerana didakwa mengambil wang penumpang tanpa mengeluarkan tiket.
Ekoran laporan itu, pemandu terbabit ditahan oleh polis di rumahnya pada 3 Julai lalu.
Wakil pemandu, Rosman Wahab, 49, berkata, tindakan pengurusan Panorama Melaka tidak wajar kerana kes tersebut sepatutnya boleh diselesaikan di peringkat dalaman tanpa melibatkan pihak polis.
"Kes hanya melibatkan segelintir pemandu tetapi yang kena tempiasnya pemandu-pemandu lain," katanya di sini semalam.

Rokok dijangka lebih mahal

KUALA LUMPUR - Harga rokok negara ini dijangka naik selepas negara-negara anggota ASEAN bersepakat mengeluarkan produk berasaskan tembakau daripada senarai dalam perjanjian perdagangan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) menjelang tahun 2015.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kenaikan harga rokok tidak dapat dielakkan apabila urus niaga import dan eksport tembakau akan dikenakan cukai lebih tinggi.
Menurutnya, tindakan tersebut juga bertujuan mengawal penjualan tembakau dalam kalangan negara-negara anggota serantau.
"Ia merupakan salah satu langkah ASEAN menurunkan kadar merokok dalam kalangan perokok dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap amalan gaya hidup sihat," katanya.

Gegendang telinga pecah ditampar pelajar senior



MOHAMAD HAZIM (kanan) menunjukkan laporan polis mengenai dakwaan ditampar pelajar senior di asrama sebuah sekolah premier sambil diperhatikan oleh bapanya, Mohamad Zaid Ibrahim di Alor Setar semalam.



ALOR SETAR - Seorang pelajar tingkatan satu mendakwa ditampar seorang pelajar senior dalam kejadian buli di asrama sebuah sekolah premier di Jalan Langgar di sini pada Khamis lalu sehingga menyebabkan gegendang telinganya pecah.
Mangsa, Mohamad Hazim Mohamad Zaid, 13, disahkan pakar telinga Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini mengalami kecederaan pada gegendang telinga sebelah kanan dan satu pembedahan kecil perlu dilakukan bagi memastikan sistem pendengaran pelajar itu tidak terjejas.
Dakwa pelajar itu, bahagian dalam telinganya berasa sakit dan kurang pendengaran selepas ditampar seorang pelajar tingkatan lima pada pagi Khamis lalu.
"Pada mulanya telinga rasa sakit dan rasa berdengung sahaja tetapi lama-kelamaan rasa sakit semakin teruk menyebabkan ibu terpaksa membawa saya ke klinik pada Sabtu," katanya di sini semalam.

Sindiket seleweng gas subsidi



PEGAWAI penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Seberang Perai Tengah memeriksa sebahagian tong gas memasak dan industri yang dirampas di sebuah ladang kelapa sawit di Nibong Tebal semalam.



NIBONG TEBAL - Satu sindiket penyelewengan gas memasak bersubsidi yang beroperasi di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Valdor-Tasek di sini tumpas selepas diserbu sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Seberang Perai Tengah semalam.
Bagaimanapun dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang, beberapa orang pekerja dipercayai warga asing telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran penguat kuasa.
Timbalan Ketua Cawangannya, Gurbachan Khaur Dara Singh berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam selepas kerap melihat lori membawa tong gas memasak keluar masuk ke kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati pondok yang terletak di dalam ladang kelapa sawit ini dipercayai telah dijadikan tempat untuk memindahkan gas memasak bersubsidi ke dalam tong gas industri.
"Mereka melakukan kegiatan ini semata-mata untuk mengaut keuntungan berlipat ganda kerana gas industri dijual pada harga sekitar RM150 bagi setiap 50 kilogram sedangkan gas memasak bersubsidi boleh diperoleh pada harga sekitar RM23 bagi 14 kilogram," katanya di sini semalam.

Terpaksa beraya di penjara

JITRA - Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api minggu lalu.
Tertuduh terpaksa menjalani hukuman penjara selepas gagal membayar denda.
Majistret Nor Azah Idris menjatuhi hukuman itu setelah tertuduh, Mohd. Rushidi Bidin, 28, dari Kampung Padang Satu Jalan Bukit Kayu Hitam dekat sini mengaku salah atas dakwaan tersebut.
Tertuduh yang berkemeja T warna kelabu dan seluar jean dilihat menangis selepas hukuman dijatuhkan dan sempat berkata sesuatu kepada isterinya yang sarat mengandung di galeri awam.

Wabak misteri di Kemboja dirungkai


PENDUDUK kampung menunggu giliran untuk pemeriksaan kesihatan anak-anak mereka di luar sebuah hospital di Phnom Penh, Kemboja semalam.



PHNOM PENH - Beberapa pakar kesihatan menemui kaitan kematian misteri berpuluh kanak-kanak di Kemboja dengan virus penyakit tangan, kaki dan mulut, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.
Penemuan dibuat ketika mereka giat berusaha mengenal pasti punca penyakit misteri itu.
Menurut WHO dan Kementerian Kesihatan Kemboja, daripada 59 kes yang direkodkan, sekurang-kurangnya 52 kanak-kanak berusia tiga bulan hingga 11 tahun maut ekoran penyakit misteri itu sejak pertengahan April lalu.
Namun, keputusan ujian makmal baru-baru ini menunjukkan sebahagian besar sampel positif Enterovirus 71 (EV-71) yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut.
Seorang pakar kesihatan awam untuk WHO Kemboja, Nima Asgari memberitahu agensi berita AFP bahawa virus tersebut belum pernah ditemui di Kemboja tidak seperti beberapa negara rantau Asia Tenggara lain.
Namun, Asgari memberitahu, lebih banyak ujian perlu dilakukan untuk mengenal pasti sama ada terdapat virus lain dalam wabak tersebut.
"Penemuan ini penting kerana ia membongkar misteri penyakit ini," katanya.
Tambah Asgari, penyakit tangan, kaki dan mulut adalah penyakit berjangkit dan merebak menerusi sentuhan langsung dengan bendalir badan atau najis orang yang dijangkiti.
Kaedah terbaik untuk membendung penyakit itu katanya adalah dengan menjaga kebersihan diri. - AFP

Warga emas pandu Volvo lama sejauh hampir 4.8 juta kilometer



GORDON memandu kereta Volvo P1800 miliknya di Babylon, New York semalam.



NEW YORK - Seorang bekas guru di Amerika Syarikat (AS), Irvin Gordon berharap dapat mencatat perjalanan sejauh 4.8 juta kilometer (km) bersama kereta merah kesayangannya, Volvo P1800 keluaran 1966 tidak lama lagi, lapor laman berita chron.com semalam.
Setakat ini, odometer kereta dua pintu itu mencatat jarak perjalanan melebihi 3.2 juta km atau hampir 1,176 pusingan mengelilingi dunia.
Gordon, 72, berharap dapat mencatat jarak 4.8 juta km menjelang tahun hadapan. Warga emas itu cuma perlu memandu sejauh 54,400km lagi untuk melakukan pencapaian tersebut.
"Saya seronok memandu kereta ini," kata Gordon yang membayar $4,150 (RM13,228) untuk kenderaan tersebut pada 30 Jun, 1966.
"Ketika itu, ia bersamaan gaji saya selama setahun," tambahnya.
Gemar melakukan perjalanan jauh, Gordon adalah pemegang Guinness World Record kategori Kenderaan Perbatuan Tinggi sejak 2002 dan merupakan orang pertama yang mencatat rekod tersebut.
Menurutnya, dia mengambil masa 21 tahun untuk mencapai jarak 1.6 juta km dan 15 tahun lagi untuk mencecah 3.2 juta km.
Kini bergelar duda selepas bercerai dengan isterinya, Gordon memandu sekitar 136,000km hingga 160,000km setiap tahun.
Kebanyakan perjalanan itu dilakukan untuk bersiar-siar atau menyaksikan pertunjukan automobil di seluruh AS.
Ditanya sama ada dia akan menukar kereta lama tersebut dengan model baharu, Gordon menyatakan perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
"Kenapa saya perlu menukar kereta ini? Ia ibarat seorang wanita yang baik, anda tidak akan mencari yang lain," ujarnya. - AP

Jelitawan Jerman pemenang ratu cantik dunia orang cacat pendengaran



RATU cantik dunia orang cacat pendengaran, Karin Keuter bergambar bersama pemenang tempat kedua dari Georgia, Maria Sakvarelashvili (kiri) di Prague Sabtu lalu.



PRAGUE - Peserta Jerman, Karin Keuter memenangi mahkota pertandingan ratu cantik dunia khusus untuk golongan cacat pendengaran, Miss Deaf World 2012 yang berlangsung di ibu kota Republik Czech, di sini.
Berlangsung pada Sabtu lepas pertandingan tersebut yang mula diadakan pada 2008, disertai oleh 40 finalis dari seluruh dunia.
Antara negara yang bertanding kali ini termasuk Kanada, Australia, Jerman, Perancis, Korea Selatan, India dan Indonesia.
Tempat kedua dimenangi oleh wakil Georgia, Maria Sakvarelashvili dengan tempat ketiga menjadi milik finalis dari Ukraine. - Agensi

No comments:

Post a Comment