NEGARA
Lantik wanita jadi MB - Shahrizat
KUALA LUMPUR - Pergerakan Wanita UMNO mahu lebih ramai golongan Hawa dilantik menerajui jawatan lebih tinggi termasuk menjadi Menteri Besar.
Ketuanya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pelantikan itu jika dilaksanakan dapat memartabatkan peranan wanita di negara ini.
"Saya dan ahli Exco Wanita mesti berani memperjuang dan menyediakan 'prasarana' dan 'lebuh raya' untuk wanita melonjak ke satu tahap kepimpinan yang membanggakan, misalnya menjadi Menteri Besar, Ketua Menteri, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan jawatan-jawatan tinggi dalam parti," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar bertemakan 'Melonjak Wanita ke Persada Kepimpinan' pada persidangan pergerakan itu di sini semalam.
Sebelum berucap beliau menerima kunjungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meninjau persidangan pergerakan tersebut.
Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu, sekiranya cadangan melonjakkan kedudukan wanita dalam politik itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi warisan kepada Pergerakan Wanita UMNO pada masa depan.
"Jika Wanita UMNO bersiap sedia dan kita menang Pilihan Raya Umum ke-13, saya percaya cadangan itu tidak mustahil boleh berlaku," ujarnya.
Menurutnya, ia tidak mustahil memandangkan UMNO sekarang diterajui oleh Perdana Menteri yang berwawasan dan mampu mengupayakan golongan wanita.
Dalam pada itu, Shahrizat juga mahu ada lonjakan bilangan wanita dalam persada kepimpinan negara termasuk dalam empat sektor iaitu bagi peringkat nasional, negeri dan sektor awam.
"Saya bertekad untuk mengajak Wanita UMNO bersiap sedia untuk memperjuangkan peranan yang lebih bermakna di dalam parti dan kerajaan.
"Saya sudah menjadi ahli UMNO selama 30 tahun. Saya tahu bahawa di kalangan Wanita UMNO ramai yang mempunyai bakat dan potensi yang menunggu untuk digilap sekiranya diberi peluang," ujarnya.
Menurutnya, jika UMNO tidak mahu ketinggalan zaman, maka isu gender politik mesti ditangani secara serius dan dihayati di semua peringkat
NEGARA
Mansuh yuran universiti
KUALA LUMPUR - Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan kerajaan memansuhkan yuran pengajian di kesemua 22 universiti awam di negara ini bagi mengelakkan pelajar dibebani hutang sejurus menamatkan pengajian.Ketuanya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, pemansuhan itu bagi mengelakkan mereka mengambil pelbagai pinjaman sehingga menanggung hutang bernilai ribuan ringgit apabila bekerja kelak.
Beliau berkata, yuran pengajian yang diperoleh universiti awam di seluruh negara sebenarnya terlalu kecil berbanding peruntukan yang diberi kerajaan setiap tahun.
"Puteri mencadangkan yuran pengajian para pelajar universiti ditampung oleh kerajaan melalui penambahan peruntukan kepada universiti.
"Dalam erti kata lain, pelajar tidak perlu membayar yuran dan universiti tidak kehilangan pendapatan hasil daripada pungutan yuran," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada persidangan pergerakan itu di sini semalam.
Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan memberitahu, jika cadangan itu dilaksanakan, pendidikan di Malaysia akan menjadi percuma sepenuhnya dari tadika sehingga ke menara gading.
Pada masa yang sama, Puteri UMNO turut menyarankan bahawa mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 dikecualikan daripada cukai pendapatan memandangkan taraf hidup semasa yang semakin tinggi.
"Kerajaan perlu mengkaji semula perlepasan cukai untuk rakyat yang berpendapatan di bawah RM4,000 termasuk perlepasan kos sara diri, kos perubatan, kos insurans dan lain-lain yang dapat mengimbangi kos sara hidup kini dikaji semula mengikut keperluan semasa," ujarnya
No comments:
Post a Comment