Sunday, May 8, 2011

BILA KITA SENDIRI SEOLAH2,,,MENYUBURKAN KEBENCIAN ANTARA RAKYAT...MENANG JADI ARANG...KALAH JADI ABU...ADAKAH KITA SUDAH JEMU HIDUP AMAN DAMAI...TAK UNTUNG DAN FAEDAH BERBALAH2....

Islam tetap agama rasmi negara


KOTA BHARU – Pas Kelantan menyifatkan agenda menjadikan Kristian agama rasmi persekutuan sebagai tidak menghormati perlembagaan negara.

Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamed Daud berkata, pihak tertentu sepatutnya sedar bahawa tidak ada agama lain melainkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Menurutnya, dakwaan yang mengatakan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menghadiri pertemuan itu tidak boleh dikaitkan dengan Pakatan Rakyat (PR).

“Itu adalah tindakan peribadi dan Jeff Ooi sendiri tidak berbincang dengan PR berikutan perkara ini.

“Jeff Ooi sepatutnya berbincang terlebih dahulu sebelum menghadiri majlis pertemuan itu walaupun tidak mengikuti upacara kerana terdapat pihak yang mengeruhkan lagi keadaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohamed berkata, jika kehadirannya adalah bersifat peribadi, membuktikan bahawa PR tidak mempunyai apa-apa kaitan langsung dan jangan ada pihak yang mengaitkan pertemuan itu dengan parti.

“Islam menggariskan kaedah tertentu dalam menilai situasi ini, apabila sesuatu perkara melibatkan hal peribadi maka ia tidak mempunyai kaitan dengan jemaah atau pakatan,” katanya.

Kelmarin, Jeff Ooi menafikan dakwaan yang mengatakan beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang membincangkan untuk menjadikan Malaysia negara Kristian.

Jeff Ooi mengatakan beliau hanya hadiri majlis kesyukuran sebagai tetamu dan menjamu selera walaupun bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.

Beza agama bukan halangan

TUMPAT – Stesen Minyak Petronas Terbak menderma sebanyak RM20,000 kepada Masjid Ismaili Bandar Tumpat sebagai menghargai pelanggannya apabila genap 20 tahun stesen minyak ini dibuka.

Pengurusnya, Cham Raing Eh Sook berkata, perbezaan agama bukan halangan untuk syarikatnya menderma kepada masjid tempat beribadat orang Islam asalkan niat itu untuk kebaikan membantu sesama manusia.

“Lagi pun kami tinggal dalam masyarakat Melayu, hidup dalam masyarakat majmuk.

“Malah pelanggan yang mengisi minyak di stesen kami di Kampung Terbak majoritinya Melayu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Petronas Terbak kepada Masjid Ismaili Bandar Tumpat, kelmarin.

Hadir sama, ayah Cham Raing, Eh Sook Chau Rak merupakan bekas Pengurus Stesen Minyak Petronas yang kini menyerahkan tugas kepada anaknya, Cham Raing empat tahun lalu.

Replika cek diserahkan Eh Sook kepada Ketua Jajahan Tumpat, Serpudin Mohamad yang juga hadir menunaikan solat di masjid ini.

Jemaah turut diraikan dengan jamuan nasi apabila seekor lembu disembelih juga sumbangan daripada Stesen Minyak Petronas ini.

Cham Raing berkata, pada 2007, syarikatnya menderma sebanyakRM10, 000 kepada Masjid Bendang Kerian bagi membantu menyiapkan masjid itu yang masih dalam pembinaan.

“Tahun lalu, turut diadakan majlis meraikan anak-anak yatim di pekarangan stesen minyak kami bagi meraikan pelanggan kami dan mengeratkan kerjasama bersama penduduk,” katanya.

Sementara itu Serpudin berkata, sumbangan daripada Stesen Minyak Petronas Kampung Terbak ini memberi semangat kepada umat Islam, badan-badan korporat agar turut menderma.

“Saya harap jawatankuasa masjid dapat gunakan sumbangan ke arah kebaikan,” katanya.

NGO mahu dakwaan disiasat

KUANTAN - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini mahukan siasatan menyeluruh berikutan pendedahan dua laman blog yang mendakwa ikrar paderi dari seluruh negara untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Dua blog itu turut mendakwa terdapat perbincangan mengenai agenda melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang, Mohd Faiz Hashim berkata, pihaknya mahukan pihak berkuasa iaitu polis melakukan siasatan menyeluruh terhadap pendedahan blog itu.

Menurutnya, pihaknya khuatir dengan agenda tersembunyi di sebalik isu itu yang dilihat makin melarat selepas beberapa isu sebelum ini.

“Sebelum ini, kita digemparkan dengan isu kalimah Allah serta terjemahan Bible dalam Bahasa Melayu dan kini dengan isu ini.

“Kita mahukan ia disiasat kerana perkara ini boleh menimbulkan ketegangan kaum dan menjejaskan kestabilan negara sedangkan kita tidak mahu perkara ini terjadi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini selepas membuat laporan polis kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Hadir sama Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Pahang, Wan Emril Wan Embong dan wakil Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri, Jamil Fauzi.

Faiz juga berkata, sudah termaktub dalam Perlembagaan yang menyatakan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan menyelar sebarang usaha untuk menggugat serta mempertikaikan undang-undang.

Sementara itu, Wan Emril mendesak supaya suatu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat dan menjadi dalang di sebalik isu itu.

Setakat ini, Perkasa negeri mempunyai lebih 2000 ahli manakala GPMS dan MAYC,masing-masing kira-kira 5,000 ahli.

Faiz (dua kanan, depan) bersama Emril (tiga kiri, depan) dan Jamil (kanan, depan) bersemangat selepas membuat laporan polis di IPD Kuantan, di sini

Selangor catat jumlah tertinggi kes buang bayi

SHAH ALAM – Selangor mencatatkan kes pembuangan bayi tertinggi berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Daripada tahun 2005 hingga 2010 menunjukkan daripada 396 kes seluruh Malaysia, Selangor mencatatkan 127 kes pembuangan bayi.

Diikuti Johor sebanyak 104 kes, Sabah 73 kes, Sarawak 42 kes dan Negeri Sembilan 30 kes.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jumlah pembuangan bayi di Selangor tinggi berbanding negeri lain disebabkan faktor populasi dan jumlah penduduk yang ramai di negeri tersebut.

Bagaimana pun katanya, Kerajaan Negeri komited untuk menurunkan kadar tersebut dan berusaha mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang mengkaji punca dan langkah terbaik menurunkan kadar tersebut.

“Bagi wanita yang sudah terlanjur, bantuan sewajarnya akan dihulurkan bagi meringankan beban dan mengurangkan risiko ke arah pembuangan bayi.

“Pusat perlindungan dan penempatan memainkan peranan utama dalam penyelesaian masalah itu dalam memastikan bayi yang dilahirkan terbela nasibnya,” katanya selepas menutup Siri Jelajah Belia Selangor, semalam.

Katanya, program dan kempen yang dibuat oleh Kerajaan Negeri juga akan diteruskan dari semasa ke semasa agar kesedaran dipertingkatkan.

“Kempen anti-zina dan Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mampu memberi perlindungan dan kesedaran kepada wanita khususnya golongan remaja yang mudah terpengaruh dengan aktiviti tidak sihat seperti pergaulan bebas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menangani isu tersebut secara holistik.

“Salah satunya dengan menubuhkan Rumah Puteri Arafiah untuk memberikan perlindungan kepada remaja perempuan yang terjebak dengan gejala sosial sekali gus mengekang masalah itu di negeri ini,” katanya.

Iklan ah long masih berleluasa

MELAKA - Poster mempamerkan pinjaman wang menerusi ceti haram atau ah long masih kelihatan memenuhi pekarangan kawasan perumahan di negeri ini.

Ia bukan sahaja digantung pada tiang eletrik, ditampal pada pondok telefon, malah terdapat kad nama peminjam yang diletakkan di kotak surat penduduk perumahan terbabit.

Pengadu yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 48, berkata, sejak kebelakangan� ini kawasan tempat tinggalnya sering menjadi buruan syarikat pinjaman wang berkenaan.

Menurutnya, jika masuk sahaja ke jalan utama di Taman Muzaffar Syah, Ayer Keroh, di sini terdapat pelbagai jenis sepanduk ah long yang dipasang daripada berbagai syarikat pinjaman wang.

“Ia bukan sahaja boleh membahayakan masyarakat yang terpengaruh, malah mencemarkan pandangan orang luar yang datang ke negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Katanya, syarikat peminjam wang haram itu akan menyebabkan ada antara mereka termasuk dalam perangkap hutang.

“Kononnya daripada syarikat berdaftar, sebaliknya mempunyai cara sama seperti ceti haram.

“Saya yakin dengan menggunakan nama syarikat mereka berasa lebih selamat tanpa dapat dihidu pihak berkuasa,”katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu memainkan peranan memantau darimasa ke semasa ke kawasan perumahan.

Sementara itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Sapiah Harun berkata, MPHTJ memandang serius tentang perkara ini kerana bimbang ia inisiatif dilakukan ceti haram untuk menarik orang ramai.

“Dalam operasi dijalankan April lalu di Batu Berendam, kita sudah mengikis semua poster tersebut ditampal pada tiang lampu dan sebagainya.

“Apa yang kita hairankan, kita tidak tahu bila ia dipasang. Tahu-tahu sahaja sudah ada,” katanya.


Mangsa kemalangan lari 10 km

TELUK AIR TAWAR - Gara-gara takut dibelasah selepas melanggar sebuah kereta Proton Saga, seorang lelaki warganegara Myanmar bertindak berlari sejauh 10 kilometer merentasi sawah padi sebelum terjun dan berendam di dalam laut untuk mengelak ditangkap.

Walaupun cedera dan hanya berkaki ayam, namun lelaki berkenaan berupaya mengharungi lumpur sejauh hampir dua kilometer sebelum berendam dan menyembunyikan diri selama dua jam di dalam laut di Pantai Bersih semalam.

Lelaki berkenaan yang dikenali Alam Shamsul Alam, 26, adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan bekerja sebagai buruh berjaya dipujuk sepasukan anggota polis menggunakan bot nelayan untuk menaikkannya ke daratan.

Saksi kejadian, Mohd Shukri Baharom, 31, yang melihat kemalangan pada jam 8 pagi semalam di persimpangan Permatang Pak Elong di sini berkata, ketika kejadian lelaki berkenaan menunggang motosikal Modenas Kriss seorang diri dari arah Kepala Batas.

“Lelaki itu dikatakan merempuh bahagian tepi kereta Proton Saga yang keluar dari satu simpang di kampung ini menyebabkan motosikalnya terbalik sebelum dia terhumban ke dalam tali air.

“Selepas berjaya dinaikkan dia kemudian bertindak melarikan diri melalui sawah padi menyebabkan saya dan beberapa penduduk kampung mengejarnya menggunakan motosikal sehingga ke Pantai Robina di Teluk Air Tawar,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta itu yang juga penduduk kampung berkenaan tidak mengalami kecederaan biarpun keretanya rosak teruk.

Mohd Shukri berkata, lelaki itu kemudian mengharungi lumpur dan berenang serta menyembunyikan diri dengan menyelam dan berenang sebelum dilihat berada di kawasan Pantai Bersih.

Rakanya, Sham Ismail, 31, berkata, ketika itu Pantai Robina dipenuhi lumpur berikutan air surut menyebabkan mereka tidak dapat menggunakan sampan untuk mendekatinya.

Melalui bantuan sebuah bot nelayan yang baru pulang menangkap ikan, lelaki itu berjaya dipujuk sekumpulan anggota polis sebelum dibawa ke daratan.

Selepas dinaikkan lelaki itu kelihatan pucat itu berkata, dia menunggang motosikal miliknya ke Permatang Pak Elong untuk mencari seorang rakan sebelum terlibat dalam kemalangan di kawasan berkenaan.

“Selain tidak mempunyai lesen memandu saya juga bimbang dibelasah penduduk kampung selepas mendapati mereka marah menyebabkan saya melarikan diri.

“Disebabkan terlalu takut saya berlari sehingga tiba di pantai ini sebelum terjun ke laut untuk menyelamatkan diri,” katanya yang boleh bertutur bahasa Melayu.

Menurutnya, motosikal yang ditungganginya itu adalah miliknya.

“Saya nekad melarikan diri kerana bimbang dibelasah selepas terdengar beberapa penduduk bercadang berbuat demikian.

“Memang saya bercadang untuk berenang hingga ke jeti di seberang pulau bagi mengelak ditangkap namun, akibat letih dan mengalami kecederaan membuatkan saya gagal dan bersembunyi di dalam air,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias semasa dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian kemalangan itu semalam.

Dalam masa sama beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri seperti memukul dan mencederakan mangsa kemalangan biarpun kemalangan itu berpunca daripada kesalahan mangsa.

No comments:

Post a Comment