Sunday, June 19, 2011

ZINA..BUANG ANAK..KEMALANGAN...TIPU MENIPU....BUNUH...DAN MACAM KEGANASAN...JADI HIDANGAN DIDADA2 AKHBAR...MANA SILAPNYA...FIKIR2KAN...LIHAT PULA SURAU2 DAN MASJID2....SEPI DENGAN MAJLIS2 ILMU...JIKA ADA PUN SEDIKIT SANGAT PEMINATNYA....

4 sahabat maut

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

ROSAK...keadaan bas ekspres dua tingkat selepas dirempuh Toyota Vios.
ROSAK...keadaan bas ekspres dua tingkat selepas dirempuh Toyota Vios.
KUALA LIPIS: Empat sahabat karib yang sedang dalam perjalanan ke sebuah restoran, maut dalam keadaan mengerikan apabila Toyota Vios dinaiki mereka terputus tiga akibat bertembung dengan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta, berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Lipis, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, pemandu kereta, Hoi Wai Kin, 20, dari Benta Jaya, Lipis, penumpang, Wong Kok Heng, 17, Wong Chin Xion dan Yap Chung Hung, kedua-duanya 15 tahun, dari Kampung Penjom, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang yang selamat, Chan Kwan Yong, 30, juga dari Kampung Penjom, patah tangan kiri dan mengalami gegaran otak dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan mendapati, kereta dinaiki mangsa menghala ke Benta dari Penjom dipercayai dipandu laju menyebabkannya hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas ekspres yang menghala ke Kelantan dari Kuala Lumpur.

Katanya, akibat pelanggaran itu, kereta dinaiki mangsa berpusing dan berhenti di tepi jalan menyebabkan Wai Kin yang bekerja sebagai pemandu jentera, Kok Heng dan Chin Xion, masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, di sini, manakala Chung Hung pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setiawangsa, tercampak keluar kira-kira 10 meter daripada kenderaan mereka.

“Bagaimanapun, Kwan Yong yang tersepit di tempat duduk belakang kereta berjaya dikeluarkan orang ramai sebelum dibawa ke HKL, namun kemudian dipindahkan ke Hoshas,” katanya.

Menurutnya, pemandu bas, Wan Seman Wan Yi, 48, pula hanya cedera ringan dan turut menerima rawatan di HKL manakala pemandu kedua serta 42 penumpang bas tidak cedera.

Abdul Razak berkata, siasatan mendapati permukaan jalan kering dan keadaan cuaca baik namun lokasi kejadian tidak mempunyai lampu jalan.
Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan pemandu bas terbabit untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu mengikut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.

Abdul Razak berkata, mayat semua mangsa sudah dituntut ahli keluarga masing-masing selepas selesai bedah siasat, semalam.

Isteri curang kaki belit

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

JITRA: Akibat tidak tahan sikap isterinya yang curang, seorang suami nekad menghubungi Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) untuk menangkap teman hidupnya itu yang berdua-duaan dengan lelaki lain di sebuah hotel, di sini, pagi kelmarin.
Lebih mengejutkan, siasatan ke atas wanita berusia 29 tahun itu mendapati dia memiliki empat rekod jenayah menipu dan tujuannya menjalin hubungan intim dengan lelaki berkenaan termasuk menyewa bilik hotel dipercayai untuk menipunya.

Sumber PADKP berkata, pihaknya mendapat aduan daripada suami wanita itu yang curiga dengan tindak-tanduk isterinya selepas wanita terbabit tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, bertindak berdasarkan laporan lelaki berusia 30-an itu, sepasukan anggota penguat kuasa PADKP membuat pemeriksaan di sebuah hotel murah, di pekan Jitra 3, di sini, kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

“Sejurus kami mengetuk pintu bilik hotel yang disewa wanita terbabit, seorang lelaki berusia 29 tahun yang memakai baju-T serta berseluar pendek membuka pintu dan terkejut melihat kehadiran anggota PADKP,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan penguat kuasa PADKP menemui seorang wanita berbaju-T dan berseluar jeans bersembunyi dalam bilik air dan berpura-pura bersiap untuk pulang ke rumah.

“Ketika disoal siasat, wanita yang berasal dari Pauh, Perlis, itu mendakwa dia masih bujang dan menyewa di hotel berkenaan untuk sementara waktu.

“Wanita itu memberitahu dia dan lelaki yang berasal dari Padang Siding, Perlis, mengambil gambar kenangan di sebuah studio di pekan Jitra,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun, selepas disoal siasat beberapa kali, wanita itu mengaku dia isteri orang.

“Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya,” kata sumber itu, semalam.

Sumber itu berkata, soal siasat PADKP juga mendapati wanita terbabit baru mengenali lelaki yang menjadi pasangan khalwatnya kira-kira sebulan lalu, tetapi mengakui pernah empat kali terlanjur tanpa pengetahuan suaminya.

“Berdasarkan maklumat, wanita itu membawa pasangannya menyewa hotel berkenaan dengan motif untuk menipu dan dia terbabit dalam beberapa kes penipuan,” katanya.

Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi berkata, pemeriksaan lanjut polis terhadap wanita terbabit mendapati dia memiliki empat rekod jenayah sejak 2004 bagi kes penipuan yang membabitkan kawasan Perlis, Alor Setar dan Changlun, tetapi sudah menjalani hukuman.

Wanita Mewarnakan Rambut

Soalan: Suami saya meminta agar saya mewarnakan rambut. Dia sukakan warna berambut perang, sedangkan saya berambut hitam. Boleh saya mewarnakan rambut dengan pewarna yang ada di pasaran bagi memenuhi hasratnya?.
Faridah, Shah Alam.


Jawapan: Puan amat digalakkan mewarnakan rambut dalam keadaan yang disebut di atas. Puan memperolehi pahala jika melakukan sebagai mentaati suami dalam perkara yang baik untuk rumahtangga.
Mewarna adalah diizinkan dalam Islam, bahkan RasuluLah pernah menggalakkannya bagi menyanggahi iktikad Yahudi dan Kristian pada zaman tersebut yang menganggap mewarna rambut yang beruban sesuatu yang salah dalam agama.
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim, RasuluLah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut, maka berbezalah dengan mereka”. Berdasarkan hadith ini, para ulama menyatakan disunatkan bagi mereka yang beruban mewarnakan rambutnya. Cuma dalam hadith yang sahih seperti yang diriwayatkan al-Imam Muslim baginda menyebut mengenai mewarna rambut : “Hindarilah warna hitam”. Ini bagi mengelakkan orang yang dah lanjut usia menipu orang lain tentang hakikat dirinya.
Adapun puan yang bertanya boleh mewarnakan rambut dengan apa warna yang disukai suami puan. Hadith-hadith tidak pernah mensyaratkan jenis pewarna tertentu seperti inai atau tumbuh-tumbuhan yang lain. Maka pewarna yang ada di pasaran selagi tidak meninggalkan kesan najis dan mencegah air sampai ke rambut boleh digunakan.
Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin


‘Ibu...ibu bangunlah’



JASIN: “Ibu… Ibu… ibu… bangunlah ibu,” hanya itu terdaya dilakukan seorang kanak-kanak, Muhammad Faerid Mohd Hafizi, 8, untuk mengejutkan ibunya, Hazlinah Abu Samah, 34, yang tersepit selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di Kilometer 17, Jalan Bemban-Tehel, di sini, tengah hari kelmarin.
Walaupun menyedari kepala ibunya berlumuran darah, naluri sebagai seorang anak kuat menyatakan wanita yang melahirkannya itu hanya pengsan lalu terus memanggil serta menggerakkan badannya.

Kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu disedari seorang lelaki yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum memberikan bantuan kecemasan.
Muhammad Faerid, murid tahun dua Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Falah di Selandar, di sini, kemudian dikejarkan ke Hospital Jasin sebelum sepasukan anggota bomba mengeluarkan ibunya yang tersepit.

Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan dia hanya mengetahui ibunya sudah tiada lima jam kemudian.

Muhammad Faerid berkata, ketika kejadian, dia dan ibunya dalam perjalanan dari rumah mereka di Selandar ke rumah datuknya di Alai, di sini, untuk mengambil abangnya, Muhamad Hafiz Hakimin, 9, yang demam campak. Sepanjang perjalanan, mereka hanya berdiam diri sebelum tiba-tiba berasa kenderaan bergegar seolah-olah melanggar sesuatu.

Katanya, kejadian itu berlaku pantas dan dia hanya mendengar dentuman kuat sebelum melihat ibunya sudah tidak bergerak lagi walaupun cuba mengejutkannya beberapa kali.

“Saya dikeluarkan seorang lelaki sebelum dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad kerana cedera di lengan kanan serta dahi kiri kerana terhentak papan pemuka kereta,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.
Kematian ibunya hanya diketahui selepas datuknya, Abu Samah Musa, 60, dan nenek, Fatima Zainal, 57, membawanya melihat jenazah ibunya buat kali terakhir.

Bayi 5 bulan maut

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: Seorang bayi perempuan berusia lima bulan dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital kerana deman panas maut selepas Proton Iswara dinaiki bersama keluarganya terbabit kemalangan dengan dua kereta lain di Kampung Panchor, Durian Tunggal, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, Siti Nor Faris Izati Albaniza, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka kerana cedera parah di kepala.

Turut cedera dalam kemalangan itu bapanya, Albaniza Alwi, 34, ibu, Faridah Sabtu, 29, dan abangnya, Mohd Nor Faris Ridwan, 7.
Dua lagi mangsa lain adalah pemandu sebuah lagi kereta iaitu, Yusairi Mohd Yusof, 34, dan Ton Salam Teehan, 51.

Ibu saudara mangsa, Elma Suhana Jamaludin, 30, berkata, ketika kejadian, mangsa yang dijaganya dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah kerana demam panas.

“Mereka ke Hospital Alor Gajah kira-kira jam 6 petang. Sebelum itu, saya sempat mendukung dan mencium arwah untuk seketika sebelum diserahkan kepada kedua ibu bapanya,” katanya.

Sementara itu, seorang penjual tebu dikenali sebagai Ahmad, 40-an, berkata, dia yang berada tidak jauh dari tempat kejadian dikejutkan dengan satu dentuman kuat kesan kemalangan itu.

“Saya berlari ke tempat kejadian dan melihat empat sekeluarga dalam sebuah kereta meraung kesakitan manakala wanita berlumuran darah sedang memangku bayi perempuan yang kelihatan sudah kebiruan serta lemah dan tidak bergerak.
“Saya cuba memberi pertolongan, namun gagal kerana kereta itu remuk teruk lalu menghubungi bomba,” katanya.

Menurutnya, di tempat duduk belakang, dia ternampak seorang lagi kanak-kanak (Mohd Nor Faris Ridwan) dalam keadaan terbaring dan mengerang kesakitan lalu terus membawanya keluar.

Pelajar maut tak sempat hadiri konvokesyen


ORANG ramai melihat mayat dan motosikal Mohd. Sabri yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2 Wakaf Bharu-Tumpat berhampiran Kampung Morak, Tumpat kelmarin.


TUMPAT – Seorang pelajar Universiti Darul Iman Malaysia, Kuala Terengganu tidak sempat menghadiri majlis konvokesyen pada bulan depan selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 2, Wakaf Bharu-Tumpat berhampiran Kampung Morak dekat sini kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Mohd. Sabri Zakaria (gambar kecil), 21, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Hutan Batu, maut di tempat kejadian.
Difahamkan, kemalangan berlaku selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta menyebabkan mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu dirempuh sebuah van.

Tertarik gaji RM12,000

BUTTERWORTH: Akibat tertarik dengan segala kemewahan termasuk ditawarkan gaji RM12,000 sebulan dan menginap di hotel tujuh bintang ketika bertugas di luar kawasan, meyakinkan seorang pemuda bertugas bersama Dina Group Sdn Bhd (Dina Group) kira-kira tiga tahun lalu.
Pada usianya ketika itu baru menjangkau 20 tahun, bekas pekerja Dina Group yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, dia tidak dapat menolak tawaran menarik sedemikian.

Selain tawaran mewah itu, Wan turut mendakwa dia tertarik berkhidmat dengan Dina Group kerana yakin terhadap urus niaga dijalankan apabila melihat perwatakan alim ditunjukkan pengasas syarikat itu, Ustaz Harun atau Harun Mat Saad.
“Ketika itu, saya sedang menuntut di sebuah pusat pengajian kemahiran dan terpaksa mengambil keputusan berhenti belajar sebelum berkhidmat sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan syarikat berkenaan.

“Tugas saya waktu itu adalah mencari seberapa ramai pelabur untuk syarikat terbabit,” katanya yang kini bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang, di sini.

Ustaz Harun, 45, sebelum ini dinamakan sebagai individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) bersama lima individu lain kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan bernilai ratusan juta ringgit. Menurut Wan lagi, setiap pelabur ditawarkan pelaburan kadar paling minimum RM5,000 seorang dan pada waktu itu, dia mampu mendapatkan individu melabur sehingga RM150,000.

Katanya, dia berjaya menarik seramai 55 pelabur untuk membuat pelaburan di Dina Group itu sepanjang berkhidmat dengan syarikat berkenaan membabitkan kutipan wang menjangkau RM407,000.

“Saya cukup gembira ketika itu kerana pada usia cukup muda sudah mampu hidup mewah dengan gaji lumayan yang diberikan.
“Pelaburan ketika itu juga bertambah tanpa saya mengesyaki sebarang kegiatan tidak elok berlaku,” katanya.

Menurut Wan, dia juga pernah dibawa mengikut rombongan syarikat itu ke China dan Brunei kononnya untuk melawat perusahaan dijalankan di negara itu.

Katanya, dia dan beberapa pekerja lain juga diminta menyewa bilik hotel bertaraf tujuh bintang jika melakukan tugasan luar kawasan.

“Saya bersama lima orang rakan sekerja juga pernah membawa wang tunai RM15 juta yang dimasukkan ke dalam beberapa buah beg pakaian dari Kuala Lumpur ke Kelantan untuk diagih kepada pelabur.

“Perjalanan syarikat berkenaan lancar hinggalah pada awal 2010, saya secara tiba-tiba diberhentikan dengan alasan akaun bank Dina Group dibekukan dan tidak mampu untuk membayar gaji pekerja lagi.

“Sejak hari itu, hidup saya tertekan kerana menerima banyak panggilan dari pelabur yang bertanyakan duit pelaburan mereka,” katanya.

Menurut Wan yang berasal dari Kelantan, dia terpaksa melarikan diri dari negeri kelahirannya itu kerana sentiasa diburu dan menerima ugutan daripada pelabur selepas mengetahui penyelewengan dilakukan Uztaz Harun.

Zami Ismail meninggal dunia


ORANG ramai mengangkat jenazah Zami di IJN, Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Tapah Road, Perak semalam.



ZAMI ketika melawat rakannya, Ahmad Busu yang sakit di Taman Sri Andalas, Klang pada 25 September 2009.


KUALA LUMPUR – Pelakon veteran Zami Ismail, 67, yang juga popular dengan panggilan Pak Uda melalui sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak di sini pada pukul 10.30 pagi semalam akibat serangan jantung.
Anak kedua Allahyarham, Ahmad Yamashita, 38, berkata, ayahnya telah mendapat rawatan di IJN sejak seminggu lalu setelah mengalami masalah jantung. Pada bulan lepas, Allahyarham menerima rawatan di Hospital Ampang di sini.
“Pada asalnya arwah ayah dihantar ke IJN sekadar untuk menjalani pemeriksaan sahaja tetapi dia terus ditahan dan pemeriksaan hanya dapat dilakukan pada hari keempat.
“Apabila doktor membuat pemeriksaan, keadaan jantung ayah didapati terlalu lemah dan kemudian dia terus dimasukkan ke wad Unit Rawatan Koronari (CCU),” katanya ketika ditemui di IJN semalam.

Khidmat seks di pusat karaoke


Pusat karaoke di Kota Setar yang diserbu pada Jumaat lalu selepas didakwa turut menyediakan khidmat seks.


KUALA LUMPUR - Rungutan orang ramai mengenai gelagat wanita warga asing yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang didakwa turut menawarkan khidmat seks di sebuah pusat karaoke di Kota Setar, Kedah sejak setahun lalu mungkin berakhir apabila 18 pelacur warga asing itu dicekup dalam satu serbuan khas pada Jumaat lalu.
Satu sumber dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) berkata, sebelum serbuan pada pukul 11.45 malam polis menerima banyak aduan mengenai kehadiran wanita-wanita berpakaian seksi dan mengenakan solekan tebal berpelesiran dalam premis itu bermula pada waktu petang untuk memancing pelanggan-pelanggan masuk ke pusat hiburan itu.
Kegiatan wanita warga asing itu didakwa orang ramai mengganggu 'persekitaran' di kawasan sekitar selain menjejaskan imej Kota Setar.
Berikutan itu, sumber itu berkata, seramai 20 anggota termasuk 10 pegawai menyerbu pusat hiburan itu dan menahan 18 wanita dipercayai pelacur dan 35 pelanggan yang berada di dalam pusat hiburan itu.
"Ketika serbuan, sebahagian daripada pelacur sedang ghairah melayan pelanggan masing-masing," kata sumber itu ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sumber itu memberitahu, 18 warga asing yang ditahan melibatkan seorang warga Myanmar dan 17 lagi wanita China masing-masing berusia 20 hingga 30-an.
Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap 35 pelanggan berusia antara 23 hingga 58 tahun yang ditahan mendapati sepuluh daripada mereka positif dadah.
Wanita warga asing didakwa menawarkan khidmat seks kepada pelanggannya dengan mengenakan bayaran RM45 sejam.
"Pelacur boleh dibawa pulang ke rumah atau dibawa ke hotel untuk khidmat seks.
"Malah pelanggan juga boleh menggunakan bilik di pusat karaoke untuk mendapat khidmat seks," katanya dengan memberitahu pusat karaoke itu mempunyai 14 buah bilik.
Difahamkan, premis tersebut telah diserbu dua kali oleh polis.
Pusat hiburan itu mempunyai lesen dan ia dimiliki seorang penduduk tempatan.

'Pegawai bank' tipu dua mangsa


VANAJAH bersama dua anaknya yang menghidap penyakit leukimia mendakwa menjadi mangsa penipuan pegawai bank palsu.


SEMENYIH – Bagaikan menunggu buah tidak gugur. Demikian nasib seorang wanita yang mendakwa kerugian RM3,500 apabila menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai bank yang kononnya mampu mengurus pinjaman peribadi dalam tempoh yang singkat.
Mangsa, E. Vanajah, 35, ibu kepada dua orang anak masing-masing berusia lima dan lapan tahun itu mendakwa wanita terbabit merupakan rakan suaminya dan dia menyerahkan wang sebanyak RM3,500 bagi mendapatkan pinjaman peribadi berjumlah RM15,000 dengan sebuah bank lain (bukan bank tempat suspek bekerja).
Namun sejak menyerahkan wang deposit Mac tahun lalu, sehingga kini dia dan suami masih menunggu wang pinjaman.
Vanajah yang hanya bekerja sebagai tukang cuci berpendapatan RM500 sebulan manakala suaminya bekerja sebagai pemandu lori sebuah kilang perabut yang berpendapatan sekitar RM900 sebulan tergerak hati untuk membuat pinjaman selepas dipujuk wanita itu.
Cerita wanita itu, dia juga bersetuju membuat pinjaman peribadi itu selepas kehidupannya terdesak ekoran dua orang anaknya menghidap penyakit leukimia dan memerlukan wang bagi menampung kos rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ibu malang itu sebelum ini mempunyai lima orang anak namun tiga daripada mereka telah meninggal dunia beberapa tahun lalu akibat penyakit sama.
“Saya dan suami cuba membuat pinjaman dan wanita itu menjamin wang pinjaman akan diperolehi dalam masa singkat namun sampai sekarang kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku,” ceritanya dengan memberitahu wanita itu kerap berdolak-dalih setiap kali dihubungi bagi bertanyakan mengenai pinjaman wang itu.
Menurut Vanajah yang tinggal di Flat Sri Permai, Kampung Baru di sini, dia terpaksa menggadai barangan kemas sebelum dapat membayar wang deposit sebanyak RM3,500.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, P. Nedumaran (gambar), 43, juga mendakwa, dia turut menjadi mangsa penipuan wanita sama yang menipu Vanajah apabila membuat pinjaman dengan ah long dengan mencagarkan geran kereta Nissan Sentra miliknya bagi mendapatkan wang deposit RM15,000 bagi membuat pinjaman peribadi sebanyak RM150,000.
Kata wanita itu, dia mendakwa mengenali suspek melalui adiknya dan tidak sangka wanita itu seorang penipu.
“Saya sudah bayar wang deposit RM15,000 pada Disember tahun lalu namun sehingga kini maklumat mengenai pinjaman saya tidak diketahui apa statusnya,” kata Nedumaran yang bekerja sebagai seorang penasihat perkhidmatan di sebuah syarikat kenderaan di Petaling Jaya.
Menurut Nedumaran lagi, dia kini bukan saja resah kerana kerugian RM15,000 tetapi turut menghadapi masalah untuk membayar semula wang ah long bagi mendapatkan semula geran kereta miliknya.
Berikutan kejadian itu, Vanajah dan Nedumaran yang merasai teraniaya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Semenyih di sini semalam.
Jurucakap polis di IPD Kajang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada dua mangsa itu dan kes tersebut sedang disiasat.

Along keluar ‘waran tangkap’

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Akibat ‘waran tangkap’ dikeluarkan ceti haram atau along, seorang ibu beranak lima nyaris mengambil keputusan membunuh diri di dalam kenderaan bersama anak lelaki kembarnya berusia setahun setengah di tepi Jalan Yusof Taha, tengah hari Jumaat lalu.
Tindakan itu nyaris dilakukannya selepas along berkenaan bukan saja mengaibkannya di tempat kerja, Khamis dan Jumaat lalu, malah mengugut menangkap jika gagal menjelaskan bunga sebanyak RM4,000 melalui pinjaman RM2,000.

Kerani sebuah sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Azwin, 32, berkata dia tidak menyangka terjebak dengan along kerana pada mulanya meminjam untuk membeli susu anak kembarnya.
“Januari 2010 saya mula meminjam RM100 daripada along apabila bekalan susu anak kembar habis dan tidak mampu membeli kerana pendapatan hanya RM700 sebulan, sedangkan saya perlu menampung perbelanjaan dapur dan persekolahan tiga anak lelaki berusia antara 6 hingga 12 tahun.

“Sebelum ini, hidup kami seperti keluarga biasa, namun menghadapi masalah kewangan selepas suami, Wan, 34, diserang penyakit misteri kerap pitam dan rebah mengakibatkan dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu pejabat di sebuah syarikat swasta sejak hampir dua tahun lalu,” katanya.

Azwin berkata, akibat desakan hidup dia terpaksa meminjam daripada beberapa along bagi melunaskan hutang terdahulu hingga terikat dengan 10 along pertengahan tahun lalu.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu dia membuat pinjaman terakhir RM2,000 daripada seorang along di bandar raya ini, Julai lalu, selepas membaca iklan di sebuah akhbar.

Katanya, menerusi pinjaman itu keluarganya menjelaskan baki hutang kira-kira RM1,500 kepada 10 sindiket along menerusi bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai orang tengah.
“Masalah timbul semula apabila gagal menjelaskan kadar bunga RM560 secara ansuran selama enam bulan, sedangkan mereka menuntut bayaran sebanyak 12 kali selama setahun,” katanya.

Hajat minum mengundang tragedi


KERETA Toyota Vios yang mengorbankan empat sahabat
di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta, Kuala Lipis kelmarin.


KUALA LIPIS – Hajat lima sekawan untuk keluar minum tidak kesampaian apabila empat daripada mereka terbunuh selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta di sini malam kelmarin.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta itu, Ho Wai Kin, 20, bekerja sebagai pemandu jentera penggali dari Bentajaya, Lipis.
Tiga lagi yang terkorban ialah Wong Kok Heng, 17, Wong Chin Xion, 15, dan Yap Chung Hung, 15.
Kok Heng dan Chin Xion menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Sungai Kerpan, Lipis manakala Chung Hung merupakan pelajar di SMK Setiawangsa di sini. Ketiga-tiga mangsa berasal dari Kampung Penjom, Lipis.
Seorang lagi, Chan Kwan Yong, 30, cedera parah.
Turut cedera, pemandu bas ekspres itu, Wan Seman Wan Yi, 48. Wan Seman cedera di mata apabila serpihan kaca masuk ke dalam matanya.

Remaja minum diugut bunuh

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

AMPANG: Berang telefon bimbitnya hilang, seorang lelaki naik angin sebelum membelasah seorang remaja yang sedang minum di sebuah kedai makan di Taman Lembah Maju di sini, kononnya remaja itu mencuri telefon bimbitnya, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, remaja terbabit terkejut apabila didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menyerang dan menampar mukanya menyebabkan mangsa kebingungan.

Menurut sumber, selepas menampar, lelaki terbabit mencekak kolar baju mangsa dan menyoalnya sama ada mencuri telefon bimbitnya atau tidak.
“Bagaimanapun, mangsa menafikannya dan memberitahu tidak tahu-menahu kehilangan telefon bimbit itu,” katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan mangsa menyebabkan dia mengugut akan membunuhnya jika enggan menyerahkan telefon bimbit itu.

“Mangsa merayu supaya lelaki itu tidak mencederakannya, namun tidak dipedulikan.

“Malah, lelaki itu mahu mangsa menggantikan telefon bimbit baru jika mahu selamat,” katanya.

Katanya, mangsa yang ketakutan berjanji menggantikan semula telefon bimbit lelaki itu sebelum dilepaskan.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah kerana bimbang selepas diugut bunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Warga Indonesia ditemui mati ditetak

20/06/2011 4:28am

KUALA LUMPUR — Seorang lelaki warga Indonesia mati ditetak berhampiran Tanah Perkuburan Kristian, Jalan Kuari, Cheras, malam ini, dipercayai berpunca daripada satu perselisihan faham antara kumpulannya dengan satu kumpulan lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa, yang berusia lingkungan 30-an, bersama dua rakannya dikatakan mula berselisih faham dengan empat anggota kumpulan lain ketika menaiki sebuah bas dari tempat kerja mereka di Taman Len Seng, Cheras, untuk pulang kira-kira 7 malam tadi.
"Namun, ketika di dalam bas, mereka telah dipaksa oleh kumpulan tersebut untuk turun di kawasan seberang jalan tanah perkuburan itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa dan rakannya kemudian dikejar kumpulan berkenaan sehingga ke kawasan berhampiran tanah perkuburan sebelum diserang.
Chin Wah berkata, maklumat awal mendapati mangsa, yang ditetak dengan senjata tajam dipercayai parang, berasal dari Surabaya, Indonesia dan bekerja di tapak pembinaan di Taman Len Seng.
"Tidak ada sebarang identiti pada lelaki tersebut...menurut lelaki yang cedera parah itu, kumpulan yang satu lagi dipercayai bukan warga tempatan,” katanya. — Bernama

Mayat terburai perut

Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

GUA MUSANG: “Menggigil seluruh tubuh saya melihat seorang daripada empat mangsa kemalangan terburai isi perut selepas dihempap lori yang terbalik.
“Sedih melihat keadaan mangsa yang mati dalam keadaan mengerikan,” kata Agoh Melan, 38, saksi kemalangan maut membabitkan lori sarat muatan baja yang terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter di Lojing, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, empat lelaki termasuk dua beradik Orang Asli berasal dari Perak, terbunuh di tempat kejadian ketika dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Lojing untuk menghantar baja di sebuah syarikat tanaman sayur.
Mangsa terbunuh ialah, pemandu lori, S Balakrishnan, 39; kelindan, K Muniandy, 31 dan dua beradik Orang Asli, Bah Chiumebu Saleh, 30, dan Bah Jipi, 28.

Difahamkan, pemandu lori dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbabas ke dalam gaung.

Agoh berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat kepulan asap di kawasan kemalangan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Apabila tiba di tempat kejadian, saya lihat mayat bergelimpangan.

“Ada yang dihempap lori dan ada yang ‘tenggelam’ dalam timbunan baja,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

Serius tangani isu moral



BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan kejadian bayi yang dicampak dari tingkat lima sebuah flat di Sentul.
Perkara ini amat menyentuh dan mengguris hati kita semua berikutan bayi itu masih hidup ketika dicampak.

Selama ini kita dikejutkan dengan banyak kejadian bayi dibuang di merata-rata tempat, tetapi ia seakan-akan tidak langsung menarik perhatian kita semua, terutama ulama dan pemimpin masyarakat.

Pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang bertaburan di negara ini pula asyik membicarakan hal politik yang tidak ada kesudahan dengan pakatan pembangkang yang hanya menjaga kepentingan diri masing-masing.


Kalau direnungkan, perkara ini adalah satu peringatan daripada Allah terhadap perundangan kita dan sikap ulama yang tidak langsung memikirkan perkara berkenaan, sebaliknya hanya memberi komen saja tanpa difikirkan kaedah untuk mengatasinya.

Bangkitlah wahai sekalian rakyat Malaysia menggembleng tenaga untuk memberikan pandangan yang membina demi mencapai Wawasan 2020.

Apa yang ditakutkan, jika benar-benar negara kita mencapai Wawasan 2020, tercatat pula dalam Guiness Book of Record, negara ini sebagai negara paling banyak kejadian membuang bayi.

Di mana yang dikatakan negara mencapai kemajuan, tetapi sebaliknya rata-rata rakyat kita mempunyai akhlak yang memalukan.

Betapa bertuahnya negara kita mempunyai kementerian khas untuk wanita, tetapi masih gagal menangani masalah berkenaan.

Mengapa tidak diambil ketetapan di Kabinet bahawa setiap lelaki yang bertanggungjawab dinamakan sebagai perogol saja kerana langkah ini akan memudahkan untuk mengurangkan perkara ini berulang.

Kita kena ingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang kuat dengan adat resam turun menurun.

Tetapi, mengapa kebanyakan pandangan hanya berkisar dan bersandarkan kepentingan politik, sebaliknya hal masyarakat kurang diberikan perhatian?

Kempen kesedaran mengenai pembuangan bayi ini juga tidak ada kesungguhan untuk memeranginya dan semua pihak sambil lewa menanganinya.

Apabila berlaku, mulalah heboh berita di akhbar mahupun di televisyen dan selang dua atau tiga hari, senyap semula.

Kenapa tidak diserang dengan kempen berterusan. Kalau inilah caranya, sampai bila pun perkara ini tidak dapat di atasi.

Wawasan 2020 semakin hampir tetapi budaya kita jauh daripada yang diimpikan dan hanya menjadi bahan ketawa negara luar sebagai sebuah negara maju yang akhlak rakyatnya sangat rapuh.

Pada masa itu, kita akan tuduh siapa yang bertanggungjawab.

Kita perlu kembalikan masyarakat kita seperti zaman ibu bapa dan datuk nenek kita yang tidak pernah berlaku kes pembuangan bayi.

Kita juga perlu ingat kes pembuangan bayi dan melahirkan anak luar nikah itu, hampir 90 peratus yang trbabit adalah Melayu beragama Islam.

Bangkitlah wahai ‘Pak Menteri’ dan ulama untuk kembalikan negara kita ke zaman dulu yang mempunyai budi pekerti yang disegani rakyat negara luar.


OMALY,
Benut, Johor


Jaga tepi kain orang untuk kebaikan



TIDAK cukup dengan pelbagai bencana alam yang menimpa bumi, kita digemparkan dengan kes pembuangan bayi yang boleh diibaratkan tiada penghujungnya.
Di manakah relevan pepatah mengatakan ‘Sedangkan binatang sayang anaknya, inikan pula manusia’.

Kes pembuangan bayi yang terjadi, baru-baru ini amat menyayat hati.

Walaupun pada hakikatnya negara kita semakin ke depan dalam pelbagai aspek, bagi kes pembuangan bayi ini, ia umpama menemui jalan buntu.


Dunia semakin moden tetapi ia tidak sejajar dengan pemikiran segelintir masyarakat yang tidak berhati perut hingga sanggup melakukan kekejaman ini.

Kes pembunuhan bayi yang berlaku baru-baru ini secara tidak langsung memberi gambaran mengenai perangai ibu bapanya yang tidak bertanggungjawab seolah-olah mencampakkan anak patung yang tidak berharga.

Kurangnya didikan agama dalam kalangan masyarakat khususnya bagi golongan remaja adalah faktor utama yang menyebabkan kes ini semakin kritikal kerana didikan agama benteng kukuh daripada terpengaruh dengan gejala tidak sihat.

Budaya seks bebas di kalangan remaja yang semakin menjadi-jadi mengundang masalah pembuangan bayi.

Seharusnya, dalam membendung masalah ini, semua pihak harus bersatu hati bagi memudahkan kita menemukan satu jalan penyelesaian yang utuh.

Ibu bapa terutamanya perlu mengambil tahu mengenai kegiatan anak mereka di samping memberi didikan agama yang sempurna dengan harapan mereka tidak terjebak dalam gejala negatif.

Tidak lupa juga kepada pihak kerajaan yang semakin giat menjaga kebajikan rakyat turut perlu turun padang supaya masalah ini dapat diatasi sepenuhnya.

Tindakan undang-undang yang lebih berat perlu diambil dan mengenal pasti individu terbabit bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya berfikir sebelum bertindak.

Begitu juga dengan peranan masyarakat setempat yang perlu berpegang kepada pepatah lama, ‘menjaga tepi kain orang’ untuk tujuan kebaikan yang turut dapat mencegah kes ini.

Bagi pihak guru pula, semestinya tanggungjawab mereka bukan saja ketika pengajaran, tetapi juga dalam menekankan aspek disiplin agar kes ini menemukan jalan penyelesaiannya.

Allah memberi kita akal untuk berfikir, oleh itu jangan mensia-siakannya dengan bertindak terburu-buru sehingga menimbulkan penyesalan dalam diri seumur hidup kerana ia hanya membuat hidup menjadi tidak tenteram selagi tidak kembali ke pangkal jalan.


NURUL HANA,
Malim Sarjana,
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim


Dibelasah tolak hajat suami

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

HULU SELANGOR: Akibat menolak hajat suami untuk mengadakan hubungan seks, seorang suri rumah berusia 29 tahun cedera dibelasah di kediaman mereka di Jalan Bakawali, Bukit Sentosa, di sini Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa cedera di dahi, belakang badan, tangan kanan dan punggung akibat dipukul dengan tangan oleh suaminya itu.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila mangsa yang kepenatan selepas melakukan kerja rumah menolak secara baik niat suaminya, namun alasan itu tidak diterima menyebabkan suaminya naik berang dan memarahi mangsa.

“Sebelum kejadian, mangsa pada mulanya tidur di dalam bilik sebelum terjaga apabila mendapati suaminya tiada di sisi.


“Wanita itu kemudian pergi ke ruang tamu sebelum terkejut apabila melihat suaminya leka melihat video lucah di televisyen,” katanya.

Tak tahan anak perempuan buas



GOMBAK: Gara-gara tidak tahan dengan sikap anak perempuannya yang sering menimbulkan masalah disiplin di sekolah, seorang ibu nekad membuat laporan polis 14 Jun lalu agar anaknya dapat dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak.
Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, pihak sekolah menghubungi ibu pelajar berkenaan untuk hadir ke sekolah bagi membincangkan masalah disiplin yang ditimbulkan pelajar berusia 15 tahun itu.

“Ibu pelajar terbabit dipanggil untuk bertemu guru kaunseling kerana anaknya didapati meminta duit daripada rakan sekolahnya secara paksaan.
“Pelajar terbabit tetap menimbulkan masalah disiplin walaupun amaran sering kali diberi pihak sekolah agar tidak mengulangi perbuatannya itu,” katanya.

Sumber berkata, aktiviti tidak sihat pelajar terbabit bukan saja dilakukan di sekolah, malah dia turut bertindak berani mencuri wang milik bapanya yang disimpan di rumah.

Difahamkan, selain gemar mendapatkan wang dengan cara mudah, pelajar berkenaan juga sering tidak pulang ke rumah selama beberapa hari dengan alasan bertemu rakan.

Pihak sekolah menasihatkan ibu pelajar terbabit agar membuat laporan polis bagi membendung masalah disiplin yang dilakukannya daripada menjadi lebih serius.

Khuatir anak perempuannya itu terus hanyut dengan aktiviti yang tidak berfaedah, ibu pelajar terbabit tampil membuat laporan polis agar masalah anaknya dirujuk kepada pusat pemulihan akhlak. Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berkenaan.

No comments:

Post a Comment