Wednesday, June 22, 2011

WANG MEMANG PENTING DALAM HIDUP...TAPI BIAR MENDAPATKANNYA DENGAN CARA YANG BENARKAN OLEH SYARAK...INGAT KESENANGAN SERTA WANG YG BANYAK BUKAN MENJAMIN KETENANGAN...SYURGA APA TAH LAGI...KHUATIR TERLALU MEWAH...LUPA KEPADA ALLAH YG MENCIPTANYA SERTA MEMBERI REZEKI KEPADA KITA...

Tanam RM1 juta

IPOH – Polis menemui petunjuk baharu untuk menyelesaikan kes tipu melibatkan pasangan suami isteri yang dicari sejak April lalu apabila menemui wang RM1.095 juta yang ditanam di belakang rumah anak lelaki mereka di Kuala Muda, Kedah 14 Jun lalu.
Wang yang dimasukkan ke dalam sebuah beg itu ditemui selepas polis menyoal siasat anak pasangan itu yang ditahan pada hari sama.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya percaya, pasangan terbabit, Chong Heoy Choo, 50, dan Song Siew Weng, 49, bertindak menanam sebahagian daripada wang RM7 juta yang diperoleh hasil penipuan kerana bimbang kegiatan mereka telah terbongkar.
Bagaimanapun katanya, pasangan itu masih belum diberkas.
“Mereka dicari selepas kita menerima laporan daripada tujuh mangsa yang mendakwa ditipu mengenai penawaran projek dan tender yang tidak wujud di sekitar Perak sejak awal tahun ini.
“Anak mereka yang berusia 21 tahun itu juga disyaki terlibat dalam membantu ibu bapanya untuk menipu,” katanya.


Tanam RM1 juta belakang rumah

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

pix_middle
IPOH: Buruan polis ke atas sepasang suami isteri yang menjadi dalang kes penipuan kira-kira RM7 juta membawa kepada penemuan wang tunai lebih RM1 juta tertanam di belakang sebuah rumah selepas anak pasangan itu ditahan.
Wang itu disimpan dalam sebuah beg dan ditanam di belakang dapur sebuah rumah di Kuala Muda, Kedah, ditemui selepas anak lelaki pasangan terbabit yang berusia 21 tahun ditahan di rumah itu pada 14 Jun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan, berkata lelaki terbabit ditahan hasil serbuan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

“Suspek dipercayai bersubahat dengan ibu bapanya dengan menyembunyikan sebahagian wang hasil jenayah penipuan mereka,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.


Menurutnya, suspek masih direman beberapa hari untuk siasatan lanjut dan gerakan memburu ibu bapanya, Song Siew Weng, 49, dan Chong Heoy Choo, 50, masih diteruskan.

Amitabh paling gembira



TERUJA...Amitabh paling gembira mendapat tahu menantunya hamil. Foto ini dirakamkan ketika Apsara Awards 2011, di Mumbai.
TERUJA...Amitabh paling gembira mendapat tahu menantunya hamil. Foto ini dirakamkan ketika Apsara Awards 2011, di Mumbai.
MUMBAI: Bintang Bollywood dan bekas ratu cantik dunia, Aishwarya Rai sah mengandung anak pertama.
Berita gembira itu didedahkan bapa mentuanya dan juga bintang veteran, Amitabh Bachchan dalam laman twitter, kelmarin.
“Berita! Berita! Berita! Tak lama lagi saya bergelar datuk...Aishwarya mengandung...saya sangat gembira dan teruja!!,” katanya.

Aishwarya, 37, berkahwin dengan anak lelaki Amitabh yang juga pelakon, Abhishek, 35, pada April 2007.


Jik semuanya lancar, ini adalah anak pertama pasangan itu dan sekali gus menjawab spekulasi di kalangan penulis kolum gosip India mengenai perubahan berat badan aktres berkenaan.

Amitabh kemudian berkata dia terharu dengan maklum balas pengikut dalam laman Twitter miliknya dan menerima 2,843 ‘tweets’ ucapan tahniah dalam setengah jam.

Menulis dalam laman blognya bigb.bigadda.com, dia berkata: “Kegembiraan dan kebahagiaan berada di sekeliling kami,” ujarnya, namun tiada maklumat mengenai tarikh bayi berkenaan dijangka dilahirkan.

Keluarga Bachchan iaitu Amitabh, isterinya, Jaya, Aishwarya dan Abhishek adalah ‘keluarga Bollywood’ pertama dan mempunyai pengikut fanatik di India serta seluruh dunia.

Anak perempuannya, Shweta Nanda memiliki dua cahaya mata.

Amitabh berkata, dia berasa amat gembira dengan berita itu lebih-lebih lagi bayi berkenaan adalah anak pertama Abhishek yang bakal membawa nama ‘Bachchan’, yang pertama dalam generasi ini.

Keluarga berkenaan memboikot Anugerah Majalah Filmfare tahun lalu selepas sebuah akhbar tabloid di Mumbai menulis bahawa Aishwarya tidak boleh mengandung, menyebabkan notis undang-undang dihantar mendesak penarikan semula artikel berkenaan dan permohonan maaf secara terbuka.

Aishwarya yang dinobatkan sebagai ratu cantik dunia pada 1994 membuat kemunculan pertama dalam filem Bollywood pada akhir 1990-an dan sudah membintangi lebih 40 filem sejak itu.

Terbaru, dia membintangi filem hebat Selatan India `Endhiran' di samping bintang filem Tamil, Rajnikanth yang memecahkan rekod kutipan pawagam di India.

Dia juga muncul sebagai pencuri berlian dalam filem Hollywood `Pink Panther 2' yang turut dibintangi Steve Martin. Selain itu, dia membintangi filem bahasa Inggeris seperti `Bend It Like Beckham', `Bride And Prejudice' serta `The Last Legion' pada 2007.

Aishwarya menghadiri Festival Filem Cannes bagi mempromosikan filem terbarunya `Heroine' yang bakal menjalani penggambaran tahun ini.

Ketua Eksekutif UTV Motion Pictures, Ronnie Screwvala berkata Aishwarya kini memiliki aura seorang bintang.

“Dia adalah duta jenama untuk India dan mewakili filem India di French Riviera (Festival Filem Cannes),” katanya.

Dia juga memiliki kontrak peragaan lumayan termasuk dengan syarikat kosmetik terkemuka Perancis, L’Oreal.

Dua kali kena tipu



SEBAHAGIAN 103 penumpang yang terkandas di LTAPP pada 9 Jun lalu selepas tertipu dengan ejen pelancongan masih belum mendapat semula wang mereka.



GEORGE TOWN – Sebanyak 103 peserta pakej pelancongan yang tertipu pada 9 Jun lalu selepas gagal berlepas ke Kota Kinabalu sekali lagi hampa apabila sehingga semalam masih gagal menerima semula wang yang dijanjikan oleh seorang lelaki yang mendakwa ejen pelancongan.
Malah, lelaki yang turut mengaku bekerja di sebuah syarikat penerbangan tempatan itu gagal dikesan selepas hampir tiga minggu menghilangkan diri sejak hari kejadian.
Menurut seorang peserta, Salina Osman, 43, janji lisan mengembalikan semula wang kira-kira RM39,000 kepada peserta termasuk 30 warga emas itu dimaklumkan oleh seorang koordinator percutian, pada 13 Jun lalu.
Dia yang turut mengetuai 55 peserta pakej tersebut memberitahu, penantian sejak seminggu lalu itu masih tidak ditunaikan sehingga semalam.
“Saya ada menghubungi isteri lelaki berkenaan minggu lalu dan dia memberitahu suaminya hanya mengambil wang peserta RM25,000 manakala selebihnya diberikan kepada koordinator.
“Tetapi lain pula alasan koordinator tersebut dan maklumat ini saya ada jelaskan kepada pihak polis hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dihantui geng pecah rumah



SEBUAH rumah kosong dipercayai dijadikan sarang penagih dadah di kawasan Perumahan Awam Seri Sarawak di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Kejadian pecah rumah yang kerap berlaku di kawasan Perumahan Awam Seri Sarawak di sini didakwa melibatkan golongan penagih dadah yang banyak berkeliaran di situ pada waktu siang.
Lebih membimbangkan, masalah yang menghantui penduduk di tiga blok kediaman itu sukar ditangani kerana penjenayah terbabit juga menetap di kawasan sama.
Naib Pengerusi, Persatuan Penduduk Seri Sarawak, Alias Ahmad, 57, berkata, kebanyakan kes pecah rumah di kawasan itu berlaku seawal pukul 7 pagi hingga sekitar pukul 4 petang.
"Memandangkan penagih-penagih itu tinggal di sini, mereka sering memerhatikan setiap gerak-geri penduduk. Mereka juga menggunakan taktik mengetuk pintu rumah terlebih dahulu, jika tiada jawapan mereka akan pecah masuk.
"Selain itu, penagih menjadikan rumah-rumah kosong yang tidak berpenghuni sebagai tempat tinggal mereka dan boleh dikatakan setiap blok ada rumah yang tidak diduduki," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Tinjauan Kosmo! di flat berkenaan mendapati dakwaan penduduk ada benarnya apabila terdapat sebuah kediaman tanpa penghuni dan tidak berkunci dipercayai menjadi sarang penagih.

Polis edar gambar bomoh Siam



JAMSHAH menunjukkan gambar Kak Yah (kanan) dan Norhisham pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU - Polis semalam mengedarkan gambar seorang bomoh bergelar Kak Yah atau Kak Moh yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki ketika melakukan rawatan tradisional konon untuk membuang makhluk asing yang mendiami badan mangsa minggu lalu.
Kak Yah, 30-an, yang sebelum ini menetap di Kampung Pulau Rusa, Merchang, Marang, dipercayai telah melarikan diri bersama suaminya, Norhisham Mustapha, 33, dengan menaiki sejenis kenderaan sebaik mangsa dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya pada 16 Jun lalu.
Kak Yah berasal dari Thailand manakala suaminya dari Rantau Panjang, Kelantan.
Difahamkan, polis menghadapi kesukaran untuk menjejaki Kak Yah kerana kekurangan maklumat mengenai dirinya dan Norhisham merupakan kunci bagi mencari wanita tersebut.
Jika sebelum ini, polis percaya bomoh tersebut telah melarikan diri ke Thailand namun semalam Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa memberitahu wanita berkenaan sedang bersembunyi di sempadan Malaysia-Thailand.
"Kita sedang berusaha keras untuk menjejaki wanita tersebut dan telah meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) bagi mencarinya.
"Dengan penyebaran gambar pasangan tersebut, kita harap orang ramai yang mengetahui di mana mereka berada supaya menghubungi polis dengan segera," katanya di sini semalam.

Bangkai haiwan misteri ditemui



BANGKAI haiwan misteri yang ditemui oleh seorang nelayan di pantai Guangdong, China baru-baru ini.



BEIJING - Satu bangkai haiwan misteri sepanjang 16.76 meter dan seberat 4.5 tan ditemui di tepi sebuah pantai di China, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang nelayan, Hwang yang berusia 66 tahun menemui bangkai haiwan itu yang sudah reput dan terdapat tali pada badan semasa ia dihanyutkan ombak ke tepi pantai di Guangdong.
Orang ramai mengerumuni pantai itu baru-baru ini untuk melihat haiwan tersebut tanpa menghiraukan bau busuk.
Beberapa orang menyatakan, haiwan itu mungkin ditangkap oleh nelayan lain sebelum ditinggalkan kerana ia terlalu berat untuk dibawa di atas bot.
Identiti haiwan itu sukar dikenal pasti disebabkan ia mengalami proses pereputan. - Agensi

Tersepit bawah bas

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

TERSEPIT...mangsa  terpaksa menahan kesakitan sebelum dikeluarkan anggota bomba.
TERSEPIT...mangsa terpaksa menahan kesakitan sebelum dikeluarkan anggota bomba.
PORT DICKSON: “Saya terdengar jeritan rakan ketika sedang mengecat belakang bas dan apabila memeriksanya, saya dapati dia tersepit di bawah bas,” kata Mohd Faizal Abdullah, 35, menceritakan kejadian bas bergerak sendiri hingga mencederakan seorang lelaki di Kampung Kayu Ara, Mambau, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, Suresh, 35, tersepit di bawah bas yang sedang dibaikinya dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana cedera parah di anggota badan.

Menurut Mohd Faizal, Suresh yang juga penyelia di bengkel berkenaan berada di bawah bas untuk memeriksa kerosakan kenderaan itu.
“Ketika terdengar jeritan Suresh, saya nampak dia cuba menahan bas dengan tangan,” katanya, semalam.

Menurutnya, tindakan Suresh itu nyata membahayakan nyawanya kerana bas itu tidak berhenti sebaliknya terus bergerak dan merempuhnya menyebabkan dia tersepit di bawah kenderaan berkenaan.

Menurutnya, berkemungkinan brek bas gagal berfungsi dengan baik menyebabkan ia bergerak sendiri hingga merempuh bengkel di sebelah.

Seorang pemilik bengkel lain yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 30-an, berkata, dia terkejut apabila melihat bas berkenaan bergerak menuju ke bengkelnya yang terletak bersebelahan tempat kejadian.

“Ketika kejadian saya dengar bunyi bising dan apabila menjenguk ke bengkel sebelah, terkejut melihat seorang lelaki yang tersepit di bawah bas, sedang menahan bas berkenaan,” katanya.
Menurut Kamal, keadaan kelam-kabut apabila usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit gagal sehinggalah anggota bomba tiba.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan Balai Bomba Seremban 2 berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.07 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika itu, mangsa sedang mengerang kesakitan dan anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke HTJS dengan ambulans untuk rawatan.

Ibu, anak nyaris dibakar hidup-hidup

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Rumah sudah disimbah dengan petrol manakala pemetik api berada di tangan, namun kehadiran polis menyelamatkan dua beranak daripada dibakar hidup-hidup oleh seorang suami berusia lewat 20-an yang berang kerana mengesyaki isterinya curang.
Dalam kejadian jam 9 pagi di sebuah rumah di Taman Wahyu, kelmarin, ibu muda berusia 22 tahun dan anak perempuannya berusia tiga tahun diselamatkan, manakala suspek ditahan polis.

Menurut sumber polis, kejadian bermula apabila suspek yang pulang ke rumah dalam keadaan marah memukul isteri dan anaknya menggunakan topi keledar kerana mendakwa isterinya curang ketika dia meninggalkan rumah untuk bekerja sebagai pemandu lori.

“Biarpun isterinya merayu dan cuba menjelaskan apa yang berlaku, suspek tetap bertindak memukulnya.


“Lebih keji anak perempuan mereka yang cuba menghalang perbuatan itu turut dipukul,” katanya.

Marsha mohon maaf



KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf kepada pembaca Harian Metro dan peminat dengan kenyataan dikeluarkan semalam kononnya saya sudah berkahwin dan sengaja merancang satu kejutan atau gimik.
“Semua itu salah faham dan tindakan langsung tidak disengajakan,” kata Marsha Milan Londoh bagi memperjelaskan kenyataannya dalam Harian Metro semalam yang dia berkahwin sehingga ada pihak beranggapan dia sengaja menimbulkan kontroversi.

Penyanyi berusia 26 tahun yang berasal daripada Sabah itu menyifatkan kenyataannya itu sesuatu yang tidak dirancang dan bukan niatnya.

Marsha bagaimanapun mengakui yang ada membuat beberapa kenyataan di laman sosial peribadi Twitter miliknya hingga membuatkan pihak media dan peminat tertanya-tanya statusnya. Malah sebelum itu, penyanyi berketurunan Dusun dan beragama Kristian itu menyatakan yang gambarnya lengkap dengan busana pengantin menarik minat banyak pihak mengetahuinya.

Hakikatnya, semua itu hanya babak dalam muzik video lagu barunya berjudul Bila yang menjalani penggambaran di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong Ahad lalu.

“Saya benar-benar tidak menyangka perkara ini menjadi isu besar kerana ia hanya satu penggambaran muzik video yang mengisahkan saya menjadi seorang pengantin.


“Namun bukan niat saya membuat gimik atau mengatur kejutan buat semua pihak kerana jika difikirkan semula, gambar di sebalik tabir pembikinan muzik video itu terlebih dulu dimuat turun di laman sosial Facebook. “Justeru saya menafikan beberapa kenyataan dan dakwaan dalam beberapa blog yang kononnya saya sengaja ingin membuat kejutan tapi ia tidak menjadi,” katanya. Pelakon drama siri Kum Kum The Series itu bagaimanapun menyifatkan perkara yang berlaku ini satu pengajaran buatnya buatnya sebagai seorang selebriti.

Anak dilari rakan sendiri

Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Mohamad Danial Mohamad Saad
am@hmetro.com.my

BUTTERWORTH: “Sejak bayi saya dilarikan rakan serumah hampir sebulan, hidup saya sangat tertekan. Kini, hanya sekeping gambarnya menjadi pengubat rindu kerana semua barangan bayi saya turut dibawa bersama,” kata Esah, 26, yang mendakwa rakan serumahnya membawa lari bayinya yang berusia dua bulan awal bulan ini.
Ibu muda itu berkata, bayi lelaki diberi nama Mohammad Fahrin Danial Abdullah itu ditinggalkan bersama rakan serumahnya yang juga pasangan suami isteri di sebuah flat di Perai pada 28 Mei lalu kerana dia ke Seremban, Negeri Sembilan, atas urusan peribadi.

“Saya tiada masalah dengan mereka malah sebelum meninggalkan bayi saya, tiada apa-apa berlaku. Ketika di Seremban, saya beberapa kali menghubunginya dan mereka memberitahu tidak perlu risau mengenai anak saya.

“Namun, selepas pulang pada 11 Jun lalu, saya terkejut apabila mendapati rumah sewa itu berkunci dan ketika menemui pemilik rumah, dia memberitahu rakan saya itu sudah keluar kerana tidak membayar sewa rumah,” katanya ditemui di sini, semalam.


Esah mendakwa, pasangan itu turut membawa semua barangan milik anaknya termasuk beberapa peralatan elektrik miliknya.



BAHAYA KEMEWAHAN


H.R. TIRMIZI



Daripada Ali Bin Abi Thalib ra ;"Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab Bin Umair ra dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi SAW bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".



Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi-petang pakaian bersilih ganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Dimana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad SAW mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang itu dari berbuat ibadat kepada Allah SWT, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari membuat ibadat. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak harta lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW, "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Oleh itu, janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan.

Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak.

Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

No comments:

Post a Comment