Friday, June 17, 2011

KESEDIHAN...KETAKUTAN....PENIPUAN....PELANGGARAN HUKUM...NI LAH PERKARA2 SERING BERLAKU...FIKIRKANLAH...MUNGKIN KESAN BANYAKNYA DERHAKA KEPADA ALLAH SWT..

Ayah, adik mati serentak

Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my

BANDAR BAHARU: “Sebelum ayah keluar menghantar adik ke Sekolah Menengah Kebangsaan Serdang Baru, saya sempat menatap wajah mereka, tetapi tidak kelihatan sebarang perubahan.
“Bagaimanapun, tidak sampai 10 minit, jantung saya bagai disentap apabila mendapat khabar duka mereka terbabit dalam kemalangan,” kata Mohd Naziri Mat Daud, 35, dari Kampung Sungai Itam Luar, Serdang, dekat sini, yang kehilangan dua orang tersayang serentak apabila bapanya, Mat Daud Taib, 62, dan adik perempuannya, Siti Hajar, 14, terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, motosikal Honda EX5 yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah lori pasir kosong di Batu 22 Jalan Terap, dekat sini, menyebabkan mereka mati serta-merta akibat kecederaan parah.
Mohd Naziri yang juga seorang kelasi berkata, menjadi rutin harian bapanya menghantar Siti Hajar ke sekolah setiap pagi sebelum melakukan pekerjaannya memetik buah kelapa sawit di ladang berhampiran rumah.

“Terkejut dengan perkhabaran itu, saya bergegas ke tempat kejadian yang tidak jauh dari rumah kami dan terasa hiba apabila melihat keadaan ayah dan adik yang sudah tidak bernyawa lagi serta keadaan motosikal mereka remuk.

“Saya tidak menyangka pertemuan dengan mereka pada pagi tadi (semalam) sebelum ayah dan adik pergi sekolah menjadi detik terakhir buat kami kerana mereka kini sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya yang ditemui di bilik mayat Hospital Kulim, di sini.

Mohd Naziri berkata, biarpun berasa kecewa dan kesal dengan kejadian berkenaan, namun tetap reda dengan pemergian bapa dan adik perempuannya buat selama-lamanya kerana ia sudah menjadi ketentuan Ilahi.

Menurutnya, lori memang banyak menggunakan laluan berkenaan dan sudah beberapa kali berlaku kemalangan termasuk membabitkan kematian sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung.
“Justeru, saya amat berharap pihak berkuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memantau laluan ini yang sering berlaku kemalangan bagi mengelak kejadian berulang,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke pekan Serdang sebelum bertembung dengan lori pasir terbabit di Batu 22 Jalan Terap, di sini.

Menurutnya, lori terbabit dari Selama, Kedah dan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan sebelum hilang kawalan lalu merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa bersama anaknya yang cedera parah di kepala dan badan mati serta-merta di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Pemandu lori berusia 37 tahun terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas pemilik kenderaan berat itu membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Dera pelatih

Oleh Zarina Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Keengganan pengurusan sebuah pusat pemulihan akhlak di Marang membenarkan seorang bapa membawa anaknya keluar dari pusat itu membongkar rahsia penderaan dialami penghuni di situ apabila ada antara mereka dirantai kaki dan dipukul dengan wayar elektrik.
Penderitaan penghuni berkenaan berakhir apabila mereka diselamatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meninjau pusat berkenaan pada jam 5 petang kelmarin.

Polis meninjau pusat itu selepas menerima laporan daripada lelaki terbabit yang tidak berpuas hati apabila permintaannya membawa keluar anak tidak dilayan pihak pengurusan pusat itu.

Sebaik menerima laporan, pihak polis mengesan pengurus, bapa pengurus berkenaan dan seorang rakan pengurus terbabit untuk membantu siasatan.


Hasil siasatan terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 28 dan 50 tahun itu, anggota polis dan pegawai JKM meninjau dua pusat pemulihan berkenaan yang terletak di Kampung Bukit Gasing yang menempatkan pelatih lelaki dan manakala wanita di Jalan Bukit Gasing, Marang pada jam 5 petang.

Anjing salak mayat bayi

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki terkejut apabila mendapati ‘objek’ terapung yang disangka anak patung di dalam Sungai Segambut di sini, semalam sebenarnya mayat bayi lelaki yang cukup sifat dipercayai dibuang.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, penternak kambing dikenali sebagai Azmi, 40, berkata dia memeriksa ‘objek’ itu selepas diminta berbuat demikian oleh seorang pekerja pembersih sampah yang menemuinya.

“Saya terkejut apabila mendapati mayat bayi lelaki dalam keadaan telentang itu sudah kembung manakala kepalanya kemik selain masih bertali pusat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Azmi, dia tidak menyangka salakan sekumpulan anjing yang berkumpul di tepi sungai terbabit sejak malam kelmarin, rupanya petanda kejadian terbabit.

“Malam tadi (kelmarin) ketika mahu menutup kandang kambing, saya ternampak beberapa ekor anjing menyalak ke arah sungai seolah-olah ternampak sesuatu yang pelik.

“Namun, saya tidak memeriksa lanjut kerana beranggapan mungkin kumpulan anjing itu terserempak dengan biawak atau ular yang sering ditemui di perangkap sampah itu,” katanya.

Azmi berkata, sepanjang tinggal di kawasan itu sejak setahun lalu, ia kejadian pertama membabitkan penemuan mayat bayi di sungai yang terletak di belakang Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan hasil siasatan awal, polis percaya mayat bayi berkenaan dihanyutkan dari hulu sungai lebih 24 jam sebelum itu.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.


Pijak, belasah dua beradik

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

GOMBAK: Seorang lelaki bertindak kejam apabila sanggup memukul, memijak dan mengacukan pisau ke leher dua beradik berusia tujuh dan lapan tahun di kediaman mereka di Bandar Country Homes, Rawang, sebelum menyamun mereka, kelmarin menyebabkan mereka kini trauma.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, dua kanak-kanak lelaki itu yang sedang menonton televisyen terkejut apabila tiba-tiba dua lelaki tidak dikenali meluru masuk ke dalam rumah sambil mengacukan pisau dan mengarahkan mereka diam jika tidak mahu diapa-apakan.

Menurut sumber, ketika kejadian ibu mangsa yang keluar sebentar ke kedai untuk membeli makanan terkejut apabila mendapati dua anaknya menangis manakala tangan mereka diikat.

“Ibu mangsa terus membuka ikatan anaknya sebelum memujuk mereka supaya berhenti menangis.


“Selepas membuka ikatan, dia kemudian bertanya apa yang berlaku dan terkejut apabila diberitahu rumah dimasuki dua lelaki yang tidak dikenali menyamun dan membelasah mereka,” katanya.

Nafi jual bayi

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu jururawat yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta, November tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memperdagangkan bayi berusia lapan bulan.
Tertuduh, Gulab Jan Abdul Jabir, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain. Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu bagi maksud eksploitasi di Hospital Taj, Batu 3, Jalan Ipoh dekat sini, jam 2.10 petang, pada 1 November 2010. Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.
Terdahulu Nor Amalina menawarkan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah. “Kes ini satu kes yang serius dan ia wajar dikenakan jaminan tinggi,” kata Nor Amalina. Bagaimanapun, Gerard memohon jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak lagi bekerja serta penjamin tertuduh tidak menyediakan wang jaminan mencukupi. “Tertuduh tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama keluarga, dia kini ditanggung adik-beradiknya. Tertuduh tidak mempunyai kereta, malah pergi kerja dengan menaiki bas,” katanya. Selain itu, Gerard berkata, tertuduh memberi kerjasama sepanjang siasatan dan tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri, justeru memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jaminan yang rendah. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan.

Sebelum ini akhbar melaporkan seorang doktor bergelar Datuk ditahan bersama isteri serta anak perempuannya dan tiga kakitangan sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh pada 1 November lalu kerana terbabit dalam sindiket penjualan bayi selepas urusan jual beli seorang bayi perempuan bernilai RM21,000.

‘Khir Toyo desak saya’

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Pengarah Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa beliau terpaksa memberikan kenyataan palsu ketika kali pertama dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 2009.
Saksi pendakwaan kedua itu mendakwa terpaksa berbuat demikian selepas menerima desakan daripada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berhubung siasatan SPRM terhadap pemilikan dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7, di sini.

Bagaimanapun, ahli perniagaan yang menjalankan pelbagai projek pembangunan hartanah di Selangor sejak 1995 itu berkata, beliau tidak melihat tindakannya pada ketika itu sebagai usaha untuk melepaskan diri daripada berdepan tindakan undang-undang.

Shamsuddin, 55, berkata demikian ketika pemeriksaan semula peguam bela, Kamarul Hisham Kamaruddin pada perbicaraan kes dakwaan salah guna kuasa Dr Mohamad Khir, semalam.


Saksi utama itu dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada tuduhan bersubahat dengan Dr Mohamad Khir pada hari pertama perbicaraan kes itu, 6 Jun lalu.

Pulau Jemor lokasi ‘selamat’ maksiat

Oleh Amir Abd Hamid, Mohd Firdaus Ibrahim dan Meor Azlan Meor Kamarul Shahid
am@hmetro.com.my

KUALA SELANGOR: Pulau Jemor yang dulunya menjadi tapak Pusat Bioteknologi Marin dan Akuakultur Universiti Selangor (Unisel) kini terbiar dan menjadi lokasi ‘selamat’ bagi pasangan kekasih melakukan maksiat.
Ini kerana pulau yang terletak satu batu nautika dari pantai Jeram dan menempatkan dua chalet, makmal penyelidikan serta asrama dibuat menggunakan kontena untuk saintis berehat langsung tidak dijaga sejak setahun lalu dan hanya dikunjungi kaki pancing menyebabkan ia sesuai bagi pasangan kekasih yang hendak berbuat onar.

Malah, penemuan kondom dalam satu bilik asrama itu ketika wartawan Harian Metro membuat kunjungan ke pulau itu baru-baru ini membuktikan ada pasangan mengambil kesempatan melakukan maksiat di atas pulau itu sama ada memancing atau bersantai.
Tambahan pula, dalam asrama itu turut tersedia tilam dan selimut. Tinjauan juga mendapati pulau yang lengkap dengan jeti sepanjang 100 meter dan dibangunkan dengan kos RM1.5 juta itu langsung tidak dimanfaatkan sebagai lokasi penyelidikan dan peralatan yang digunakan untuk tujuan itu seperti tabung uji dibiarkan bersepah.

Janakuasa elektrik yang menggunakan diesel, panel solar dan alat penapis air laut yang berharga puluhan ribu ringgit bagi membekalkan tenaga elektrik serta air minuman juga rosak dan tidak lagi boleh digunakan. Di awal penubuhan pusat itu pada 2004, ia dimanfaatkan sepenuhnya dan bermatlamat mewujudkan 10 operator setahun bagi industri akuakultur di Selangor di kalangan nelayan pantai dan laut dalam.

Bagaimanapun, disebabkan masalah pembiayaan, ia tidak lagi digunakan sebagai pusat penyelidikan dan pulau itu diserahkan kepada swasta menjaganya dan dibuka kepada kaki pancing dengan kadar bayaran RM5 setiap kali memancing di pulau itu.

Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Unisel, Bestari Jaya di sini, Profesor Dr Mohd Nasir Saadon berkata, pihaknya sudah lama tidak membuat penyelidikan dan kajian di pulau itu kerana tiada peruntukan.

Malah, sejak setahun lalu, pulau itu terbiar dan tiada pengawal keselamatan ditempatkan bagi menjaga aset.
Beliau berkata, penyelidikan dilaksanakan di pulau itu dibuat pada peringkat awal selepas tempat itu disiapkan.

Bagaimanapun, beliau perlu membuka kertas kerja awal berkenaan penyelidikan itu bagi mendapatkan maklumat lengkap.

“Memang dah berhenti lama (penyelidikan dan kajian di Pulau Jemor). Kami hanya menjalankan penyelidikan ketika peringkat awal ia disiapkan pada Januari 2004 sebelum dihentikan setahun kemudian akibat kekurangan dana.

“Saya belum pasti status Pulau Jemor di bawah jagaan Unisel atau sebaliknya. Tetapi saya rasa tanah memang bukan milik Unisel,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali ketika dihubungi berkata, sepanjang pengetahuannya, Pulau Jemor dijadikan tempat penyelidikan saja dan tiada orang tinggal di situ.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Unisel berkata, pihak universiti berkenaan memang tidak mempunyai dana menjaga pulau terbabit.

“Mengenai laporan terdapat kegiatan tidak bermoral di bangunan terbiar yang ditinggalkan di Pulau Jemor, saya rasa penduduk setempat terutama di jeti bahagian tanah besar mempunyai peranan.

“Penduduk boleh memantau pergerakan kumpulan mencurigakan dan laporkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan,” katanya.

Apapun, katanya, adalah sesuatu yang merugikan apabila binaan dan kemudahan di pulau itu tidak dimanfaatkan.

“Selain itu, kita kena siasat dan periksa dulu status penjagaan Pulau Jemor sekarang sama ada bawah pihak berkuasa tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) atau pejabat daerah setempat. Kita kena periksa dulu sebab kurang pasti,” katanya.

Laporan akhbar pada 4 Ogos 2004 memetik kenyataan Naib Canselor Unisel ketika itu, Prof Datuk Dr Abdul Aziz Ibrahim sebagai berkata, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Marin dan Akuakultur Pulau Jemor dan Pusat Bio-IT Selangor di Pusat Biovalley Malaysia, Cyberjaya adalah cetusan menjadikan Koridor Raya Maritim Selangor.

Projek di Pulau Jemor itu meliputi program hatchery, jeti, makmal, chalet, sistem bekalan air tawar, dan asrama untuk saintis. Pulau Jemor terletak di antara Pulau Angsa dengan Pulau Ketam.

Haram dagang organ

Oleh Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Niat murni wanita ini tidak boleh dihalalkan apatah lagi jika ia dilakukan untuk membayar hutang along,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam berkaitan hasrat seorang wanita dikenali sebagai Fatimah, 35, untuk menjual mata atau buah pinggangnya bagi membantu melunaskan kadar bayaran bunga akibat hutang along dipinjam suaminya bagi dijadikan modal perniagaan.

Kadar bunga terbabit ialah RM6,000 dan semuanya berjumlah RM54,000, ia dikira sejak September 2010.
Suami Fatimah yang dikenali sebagai Ahmad, 39, meminjam RM30,000 daripada along di Kuala Lumpur untuk memulakan perniagaan sewa lori bagi menambak tanah di tapak projek di Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor, awal 2010 tetapi projek terbabit gagal. Noh berkata, biarpun hasrat wanita itu murni iaitu untuk membantu meringankan beban suami, namun menjual organ ditegah dan dilarang dalam Islam.

“Syariat membenarkan kita menerima organ diderma dengan syarat jangan ada unsur dagangan atau jual beli kerana ia kurniaan Allah SWT yang tiada nilainya.

“Contoh mudah ialah membina masjid dengan menggunakan wang curi, ia ditegah apatah lagi mahu menjual organ untuk melunaskan hutang along yang sememangnya membabitkan soal haram, penganiayaan, riba, penipuan serta pelbagai lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay berkata, perbuatan menjual organ tidak wajar dilakukan kerana ia menjadi kesalahan besar dari segi perundangan di negara ini.

Katanya, perkara seperti itu memang ada berlaku di negara lain tetapi tidak pernah dilaporkan di negara ini.
“Masyarakat perlu sedar tiada jalan mudah memiliki kemewahan hidup tanpa bersaha, saya harap individu yang mahu memulakan perniagaan supaya menggunakan saluran betul seperti mendapatkan pinjaman daripada bank dan bukannya melalui ceti haram atau mereka yang tidak berkelayakan.

“Nasihat saya kepada Fatimah, jangan gadaikan organ untuk melangsaikan hutang terbabit tetapi cuba gunakan saluran seperti mendapatkan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain yang berkaitan,” katanya.


Ahli JKKK wanita dicekup berjudi



KANGAR: Seorang wanita yang juga ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sebuah kampung di Mata Ayer di sini, adalah antara empat kaki judi yang dicekup polis dalam serbuan pada Ahad lalu.
Dia bersama seorang lagi wanita termasuk dua lelaki berusia umur 40-an itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Perjudian, Kongsi Gelap dan Pelacuran (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di Kampung Cikgu Ali, di sini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, berkata pihaknya menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 10.30 malam ketika kawasan berkenaan dipenuhi hampir 10 pemain sedang leka bermain judi belangkas.

Ugut bunuh janda

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

AMPANG: Seorang lelaki berusia 20-an bukan saja mengugut untuk membunuh bekas isterinya sebaliknya turut melarikan anak lelaki mereka dalam kejadian di sebuah pejabat agama, di sini, kelmarin.
Difahamkan, lelaki terbabit sudah menceraikan isterinya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan talak tiga kira-kira sebulan lalu namun tidak berpuas hati apabila wanita itu merujuk kepada jabatan agama.

Menurut sumber polis, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, wanita berusia 32 tahun itu dikatakan pergi ke pejabat agama bersama anak lelakinya berusia empat tahun.
“Ketika dalam perjalanan, bekas suami mangsa dikatakan mengekori mangsa namun tidak berbuat apa-apa sehinggalah mangsa keluar dari pejabat agama sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Lelaki itu dikatakan menengking bekas isterinya di khalayak ramai selain memaki-hamun. Dia kemudian menarik tangan anak lelakinya dan membawa menaiki motosikal,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan bekas suaminya selain bimbang keselamatan anaknya, kemudian ke balai polis berhampiran membuat laporan.

Pada masa sama, mangsa turut memaklumkan bekas suaminya melalui SMS dia akan ke balai polis membuat laporan sekiranya lelaki itu enggan memulangkan semula anak mereka.

Berikutan itu, beberapa jam kemudian lelaki terbabit pergi ke balai polis itu dengan membawa semula anak lelakinya itu ke pangkuan bekas isteri.

Masjid masih aktif aktiviti keilmuan



KAHERAH: Jika berada di Mesir, tidak lengkap rasanya jika tidak berkunjung ke pusat pengeluaran cendikiawan Islam Universiti al-Azhar yang sangat berjasa kepada umat Islam seluruh dunia. Disebabkana ingin mengetahui sama ada ia masih mengekalkan budaya atau proses pengajian, kami mengunjungi tempat asal bermulanya institusi pengajian tinggi berkenaan iaitu masjidnya yang masih dimakmurkan dengan aktiviti keilmuan.
Sistem pendidikan Universiti al-Azhar bermula di sebuah masjid yang didirikan panglima angkatan tentera El Muiz Lidinillah bernama Jauhar El Saqili selepas membuka kota Kaherah dan masjid yang didirikan pada 14 Ramadan 359 Hijrah (bersamaan 970 Masihi) adalah pusat pendidikan ilmu Islam berasaskan aliran Syiah ketika awal pembukaannya pada zaman dinasti Fatimiah.

Bagaimanapun, selepas kedatangan Sultan Salahuddin Al Ayyubi yang juga pengasas dinasti Ayyubi di Mesir, beliau menukar aliran pengajiannya daripada Syiah kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia kekal hingga hari ini.
Ketika menunaikan solat Maghrib di masjid berkenaan, saya kagum dengan cara rumah Allah itu dimakmurkan apabila melihat sekumpulan lelaki dewasa khusyuk mendengar ceramah agama manakala beberapa kumpulan anak muda mengadakan perbincangan sesama mereka sambil menadah kitab manakala yang lainnya bersandar di sekeliling masjid sambil menghafaz al-Quran.

Tidak ketinggalan pelajar perempuan yang menggunakan bilik kuliah di masjid berkenaan untuk mentelaah di masjid universiti yang mendapat nama sempena gelaran yang diberikan kepada anak perempuan Rasulullah, Fatimah al-Zahra.

‘Tok guru’ gagal periksa



KAHERAH: Rakyat Malaysia diminta berwaspada dengan pihak tertentu yang mendakwa lulusan Universiti Al-Azhar dan berceramah di masjid atau surau di kawasan perumahan kerana ada antara mereka belum layak bergelar lepasan pusat pengajian tinggi Islam terkenal itu kerana gagal dalam peperiksaan tahun akhir menyebabkan mereka pulang ke tanah air dan mencari pendapatan dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk memberi ceramah.
Perkembangan itu berlaku kerana universiti berkenaan membuka pintu seumur hidup kepada pelajar tahun empat yang terkandas dalam peperiksaan menyebabkan ada antara pelajar mengaku graduan kerana pernah bertandang di Mesir dan lebih membimbangkan jika mereka menyalahguna kepercayaan diberikan masyarakat untuk kepentingan peribadi atau diperalat pihak tertentu menggunakan landasan agama.

Menurut sumber, Universiti Al-Azhar memberikan kelonggaran kepada siswa tahun akhir untuk menamatkan pengajian, namun ada pelajar kita mengambil kesempatan pulang ke tanah air sebelum mengaku graduan dan memberi ceramah.
“Jika mereka menyampaikan maklumat atau ilmu yang benar, kami berbangga dengan apa yang disebarkan, tetapi jika sebaliknya ia tindakan mengecewakan dan boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada universiti.

“Kami mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan mengenali beberapa individu terbabit kerana mereka adakalanya muncul dalam ceramah politik dan mempunyai laman facebook atau blog. “Ini yang kami tidak mahu...mereka diperalatkan dan mungkin mereka tidak menyedarinya, namun sesuatu yang membimbangkan jika ceramah mereka diterima bulat-bulat oleh masyarakat,” katanya.

Sumber berkenaan turut memberitahu, ada juga graduan yang gagal menamatkan pengajian tidak pulang sebaliknya berada di Mesir dan menjadi ‘pensyarah’ kepada pelajar baru melalui usrah dan menjadi ‘tok guru’ kepada golongan terbabit yang kebanyakannya tidak tahu latar belakang senior mereka.

“Ini yang berlaku di Mesir apabila kebanyakan siswi kita tidak menghadiri kelas sekiranya tidak ditemani siswi lain dan mereka lebih gemar belajar melalui individu berkenaan yang dipanggil ‘tok guru’ sedangkan dia tidak mempunyai kelayakan kerana bukan graduan seperti disangka.

“Jika siswi kita sering belajar melalui cara itu, ada baiknya jika mereka melanjutkan pengajian di universiti tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau pusat pengajian lain yang mempunyai pensyarah lebih berkelayakan dan ada antara mereka lulusan Al-Azhar dan ia secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu juga menyebabkan pelajar perempuan kita menjadi pasif yang pastinya mereka tidak akan mahir dalam penguasaan bahasa Arab kerana kurang bergaul dengan masyarakat tempatan.

Bagaimanapun, katanya, ada juga pelajar kita yang ikhlas dalam menuntut ilmu kerana akan kembali ke Mesir untuk menduduki peperiksaan selepas bekerja di Malaysia atau mana-mana negara dan akan memastikan berjaya menamatkan pengajian sebelum pulang dengan ijazah.

Halau ibu dihasut isteri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

SERDANG: Tidak mengenang jasa, apabila seorang anak sanggup menghalau ibu bapanya yang sudah tua keluar dari rumahnya di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, di sini, gara-gara termakan hasutan isteri yang baru dikahwini tiga bulan lalu.
Lelaki berumur 40 tahun itu dikatakan terlalu mengikut kata-kata isterinya berusia 20-an apabila selalu bertengkar dengan kedua-dua orang tuanya hampir saban hari sebelum menghalau kedua-duanya keluar sehelai sepinggang kira-kira jam 1 pagi, Ahad lalu.

Mangsa dikenali sebagai Chor, 69, berkata anak lelakinya itu sepakat dengan isterinya dengan menukar kunci menyebabkan dia dan isteri, May, 65, tidak dapat masuk ke rumah yang didiami sejak 10 tahun lalu.

Katanya, ketika kejadian dia yang bekerja sebagai pemandu bas sambilan pulang ke rumah bersama isteri, namun terkejut selepas mendapati kunci utama sudah ditukar hingga menyukarkan mereka memasuki kediaman itu.


“Dalam kegelapan malam, saya dan isteri dengan perasaan sedih cuba memasuki rumah itu dengan memanjat pagar tetapi tidak berjaya dan mengambil keputusan menumpang tidur di rumah anak bongsu yang tinggal kira-kira lima kilometer.

No comments:

Post a Comment