Ira disihir guna gambar dalam FB
|
NILAI - Disihir menggunakan gambar yang terdapat dalam laman sosial Facebook (FB).
Itu yang didakwa berlaku kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi, dikenali sebagai Ira apabila gambar dari laman sosialnya dijadikan sebagai senjata pemujaan sihir.
Ira, 22, mendakwa, dia telah disihir oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Maria kerana cemburu akan hubungan bersama teman lelakinya serta mahu memutuskan hubungan mereka.
"Maria adalah bekas teman wanita kekasih saya tetapi hubungan mereka telah lama putus. Sebab itu dia menyihir saya kerana ingin melihat hubungan kami hancur.
"Kami tidak mengenali antara satu sama lain.
"Dia hadir menghulurkan tangan sebagai rakan dan saya sambut kerana ingat dia jujur namun sebaliknya," dakwanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Ira lagi, dia mengetahui disihir oleh Maria melalui sekeping gambar setelah menerima rawatan daripada penaung Pusat Rawatan Islam At Tobibi di Bandar Baru Nilai, Shamsuri Safie pada Jun lalu.
Menurutnya, semasa rawatan, dia mendapati gambar mata Maria seolah-olah bersinar setiap kali dia merenungnya.
Ketika itu, dia merasakan Maria terlalu baik dan dia menurut segala kemahuannya termasuk berhenti kerja.
"Bagaimanapun setelah berubat, baru saya tahu bahawa saya bukan sahaja terkena sihir tetapi disantau oleh Maria,'' ceritanya.
Menurutnya, Shamsuri memberitahunya bahawa Maria telah meletakkan abu mayat di dalam makanannya.
Dua NGO tidak sokong Kimma
KUALA LUMPUR - Cadangan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) supaya restoran mamak mengupah pengawal keselamatan bagi menjaga premis mereka tidak mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat itu.
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, langkah itu seolah-olah memberi gambaran bahawa restoran mamak tidak selamat dan memerlukan pengawal bersenjata untuk mengawalnya.
"Negara kita bukan berada dalam situasi darurat yang memerlukan pengawal bersenjata ditempatkan di restoran-restoran.
"Ia akan merosakkan reputasi negara dan memberi tanggapan salah kepada pihak luar bahawa negara kita tidak selamat dan berlaku keganasan," ujarnya ketika datang ke pejabat Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan Presiden Kimma, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader mencadangkan supaya semua restoran mamak dilengkapi pengawal keselamatan bersenjata bagi menjaga premis dan pelanggan mereka.
Diseludup untuk minta sedekah
KUALA LUMPUR - Sebelum ini sindiket pemerdagangan manusia banyak berkisar kepada kes-kes melacur wanita warga asing namun terbaru terbongkar satu sindiket didalangi warga Myanmar yang memerdagangkan kanak-kanak dari negara sendiri dengan menjadikan mereka sebagai pengemis.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini didakwa mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit pada setiap bulan dengan membawa masuk kanak-kanak warga Myanmar untuk dijadikan peminta sedekah atau menjual barang-barang di negara ini.
Kegiatan sindiket pemerdagangan manusia membabitkan kanak-kanak terbongkar hasil serbuan Unit Anti Pemerdagangan Orang (Atip) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan di sebuah rumah yang menempat pengemis di kalangan kanak-kanak warga asing di Ketereh, Kelantan pada 9 Ogos lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis menyelamatkan 16 kanak-kanak Myanmar yang terdiri daripada lima lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan yang berusia antara tiga hingga 12 tahun.
"Kesemua kanak-kanak itu semasa ditahan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR). Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kesahihan status kanak-kanak tersebut," kata sumber itu kepada Kosmo!.
Dalam serbuan bermula pada pukul 12 tengah hari itu, polis turut merampas beberapa buah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,000 (dipercayai hasil kutipan sebagai pengemis), 1,600 keping surah Yasin dan 180 keping pelekat ayat-ayat al-Quran.
Rumah yang menempatkan kanak-kanak malang itu disewa oleh sindiket pemerdagangan manusia.
Penyamun bengkel kereta kebal
AMPANG JAYA – Nasib malang terus menghantui seorang pemilik bengkel kereta di Taman Keramat AU3 di sini apabila dalam tempoh kurang tiga tahun bengkel tersebut didakwa telah lapan kali diceroboh penyamun.
Dalam tujuh kejadian dengan dua kejadian berlaku pada bulan ini, mangsa Mohd. Affendy Mustafar, 35, mendakwa, dia terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selepas kehilangan pelbagai alat ganti dan aksesori kereta.
Dalam tempoh itu, turut menjadi sasaran penyamun adalah sebuah kereta BMW E46 dan Naza Citra milik pelanggan.
Kejadian terbaharu di bengkel yang membaiki pelbagai kenderaan dan memasang aksesori berlaku pada 4 September lalu iaitu ketika umat Islam menyambut Aidilfitri hari keenam.
“Saya syak bengkel dipecah masuk pencuri sama yang mahu mencuri wang tunai namun hari itu saya bernasib baik kerana telah menyimpan semua wang di bank,” cerita Mohd. Affendy ketika ditemui baru-baru ini.
Tiada barang lain yang hilang.
Selang tiga hari sebelum itu, Mohd. Affendy mendakwa bengkel miliknya kehilangan empat rim kereta yang melibatkan kerugian sebanyak RM1,500.
“Semasa kejadian pada 1 September, saya merasa tertekan kerana terpaksa menanggung kerugian besar,” katanya yang membuat laporan polis dengan harapan kegiatan pecah masuk ke bengkel miliknya akan berakhir.
Dakwanya, selepas membuat laporan itu, polis datang ke bengkelnya dan merakam beberapa keping gambar.
Mohd. Affendy memberitahu, dia amat buntu kerana bengkel miliknya dilihat menjadi sasaran penjenayah manakala polis pula seolah-olah tidak membantu ‘menyelamatkan’ bengkelnya.
Selain bengkel miliknya, sekitar kawasan tersebut mempunyai lebih 10 bengkel kereta lain namun bengkel-bengkel tersebut tiada masalah dipecah masuk.
Penoreh bunuh gadis dihukum mati
ALOR SETAR - Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah didapati bersalah membunuh seorang gadis di Baling dekat sini dua tahun lalu.
Mohd. Haris Abdul Talib, 28, kelihatan tenang selepas mendengar hukuman yang dijatuhkan terhadapnya selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa dia telah membunuh Farhanim Ahmad Ibrahim, 17.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim dalam prosiding menyebut tertuduh dalam pembelaannya tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini sebaliknya ia bersifat penafian semata-mata.
"Mahkamah tiada budi bicara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut peruntukan undang-undang namun tertuduh masih ada peluang untuk merayu," kata beliau.
Zakiah kemudian menasihatkan tertuduh supaya membaiki diri sementara menunggu keputusan rayuannya.
Tiga maut pokok hempap van
PADANG BESAR - Dua pelajar Sekolah Menengah Agama Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Beseri maut setelah van yang dinaiki bersama-sama enam pelajar lain dihempap pokok berdekatan Kilang Gula, Chuping di sini semalam.
Mangsa ialah Hazman Bakhtiar Sharizan, 14, dari Taman Kenanga, Kulim, Kedah dan Ahmad Izzat Ismail, 17, yang berasal dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi itu turut meragut nyawa pemandu van, Shahidan Ali, 67, dari Beseri.
Seorang pelajar lain, Muhammad Ahnaf Anissofian, 14, dari Kuala Lumpur cedera parah dan kini mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar manakala lima lagi penumpang van tersebut mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Deros berkata, ketika kejadian van itu dalam perjalanan membawa mangsa untuk menyiapkan projek sekolah bagi subjek Kajian Tempatan.
Dapur dihempap pokok kelapa
KUANTAN - Satu keluarga melalui detik cemas apabila bahagian dapur rumah mereka dihempap sebatang pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Seberang, Sungai Ular di sini kelmarin.
Turut rosak dalam kejadian berkenaan ialah 17 buah rumah lagi di sekitar kawasan tersebut iaitu di Kampung Darat Jering dan Kampung Bujuk.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 malam itu, seorang suri rumah, Aminah Abdul Rashid, 28, dan dua anaknya, Nor Fateha Hasliah, 6, dan Mohamad Hafiz yang baru berusia enam bulan berada di rumah, manakala suaminya Omar Ismail, 31, keluar bekerja.
Omar ketika ditemui berkata, dia tersentak apabila dihubungi isterinya yang menangis teresak-esak memberitahu rumah mereka telah dihempap pokok.
"Dalam hati, saya hanya terfikir isteri dan anak-anak terhimpit dan sepantas kilat memecut kenderaan untuk pulang ke rumah.
"Apabila sampai, saya hanya mampu bersyukur apabila melihat mereka anak-beranak selamat walaupun sedih apabila melihat dapur rumah kami ranap ekoran kejadian ini," katanya semasa kunjungan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff di sini semalam.
Omar menambah, dia dan keluarganya kini terpaksa menumpang buat sementara waktu di rumah ibunya, Hasliah Mat Noor, 64, di kawasan berhampiran.
Pembesar Waris Naning pertikai penerima anugerah
MELAKA – “Jika anggap itu anugerah anak adat, kenapa ada penerima bukan daripada anak adat?”
Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Syahbandar Pembesar Waris Lembaga Adat Naning, Omar Ali mengenai pengurniaan darjah kebesaran oleh Datuk Undang Wilayah Naning ke-19, Abdul Latif Hashim, yang diadakan pada Mei lalu.
Menurutnya, sebelum ini, hanya ada anugerah jawatan adat antaranya Datuk Setia Bakti, Datuk Paduka Tuan, Datuk Pawang Diraja dan Datuk Maulana Hakim.
“Pada penganugerahan Mei lalu, diwujudkan anugerah baharu seperti Datuk Paduka Setia, Datuk Seri dan Datuk Kehormat yang tiada dalam adat Naning, malah penerimanya juga terdiri daripada pihak luar termasuk kaum lain seperti India dan Cina yang jelas menunjukkan mereka bukan anak adat Naning yang mengamalkan adat Pepatih.
“Saya tak tuduh Datuk Naning jual anugerah, namun saya bimbang jika anugerah baharu yang bukan anugerah anak adat ini dijual pihak-pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan peribadi,” katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! di sini semalam.
Omar berkata, kewujudan anugerah baharu termasuk yang membawa gelaran Datuk Seri boleh mengelirukan orang ramai sehingga mempercayai ia adalah sah dan sanggup membayar untuk menerima anugerah tersebut seperti yang dilaporkan Kosmo! Selasa lalu.
“Saya nasihatkan orang ramai jangan percaya jika didatangi individu menjual anugerah Datuk Undang Naning kerana anugerah ini asalnya hanya jawatan adat dan diberikan kepada anak adat iaitu suku-suku di Naning saja,” katanya.
No comments:
Post a Comment