Thursday, September 15, 2011

MENIPU@PENIPU NI..TAK KIRA PANGKAT PALING BESAR ATAU PANGKAT PALING KECIL...MALAH TAK DE KERJA PUN MENIPU...LELAKI ATAU WANITA...ERTI@FAHAM AGAMA ATAU TIDAK....HUKUM DUNIA MEMANG ADA...BERBALOI ATAU TAK...MUNGKIN LEPAS KALAU ADA KRONI2...DIAKHIRAT MEREKA2 NI MEMANG TAK LEPAS...MEREKA NAK LARI MANA...MAKA BERTAUBATLAH...BERTAKWALAH....

Sindiket tipu 10 usahawan

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Nurul Nafisah Mazlan
am@hmetro.com.my

ADU...Khairul Anwar melihat laporan Rosnani (tengah), semalam.
ADU...Khairul Anwar melihat laporan Rosnani (tengah), semalam.
KUALA LUMPUR: Satu sindiket diketuai seorang wanita licik dikesan menjadikan kaum hawa yang juga ahli perniagaan di seluruh negara sebagai sasaran dengan menawarkan projek bernilai jutaan ringgit membabitkan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bermodalkan muzium PDRM itu sendiri sebagai pejabat operasi dan penyerahan tawaran tender, sindiket terbabit dipercayai didalangi ‘orang dalam’ memperdaya usahawan wanita yang tertarik pelbagai projek kerajaan dengan kes terbaru membabitkan penipuan RM10 juta.

Kegiatan mengaut untung mudah itu dipercayai dijalankan beberapa individu termasuk ‘pegawai’ PDRM sejak hujung tahun lalu dengan semua mangsa wanita yang pernah mendapat projek daripada agensi kerajaan dan berminat untuk menjalinkan usaha sama dengan PDRM.
Tidak cukup dengan itu, individu terbabit turut mengaitkan bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Robiah Abdul Ghani kononnya semua projek membabitkan muzium akan diluluskannya selain mendapat pulangan berlipat kali ganda.

Mangsa, Rosnani Sengari, 45, berkata dia diperkenalkan kepada suspek oleh jiran rakan kongsinya yang mendakwa mempunyai saluran tertentu untuk mendapatkan peluang perniagaan termasuk kerja pembinaan di muzium berkenaan.

Katanya, dalam pertemuan di rumah suspek di Senawang, Negeri Sembilan, wanita itu memperkenalkan dirinya pembantu khas kepada seorang pegawai kanan polis yang juga kurator muzium itu.

“Pada pertemuan singkat itu, suspek menunjukkan senarai barangan untuk dibekalkan kepada PDRM dan meminta saya datang ke muzium di Jalan Perdana untuk sesi penerangan selain urusan menandatangani dokumen berkaitan berhubung tender terbabit. “Wanita itu memaklumkan semua barangan akan dibeli PDRM dan saya diminta menyediakan bayaran RM70,000 sebagai modal untuk proses terbabit. “Selepas itu, saya dibawa berjumpa seseorang dikenali sebagai Hasbullah di sebuah bengkel tempat projek sepatutnya dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat di pejabatnya, semalam.

Rosnani berkata, kerana yakin akan mendapat tender terbabit, dia menyerahkan wang secara berperingkat selama dua minggu kepada suspek dengan nilai keseluruhannya RM870,000 secara tunai dan cek.
Selepas itu, katanya, wanita terbabit menyerahkan dokumen pesanan kerajaan daripada bahagian logistik Bukit Aman berjumlah RM1.7 juta untuk membekalkan peralatan muzium terbabit menyebabkan dia yakin berurusan dengan pihak yang betul. “Awal Januari lalu, dia bertemu saya dan seorang lagi rakan niaga dan menyerahkan surat lantikan bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf muzium polis berjumlah RM4.5 juta. Melihat ia ditandatangani Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, saya bertambah yakin biarpun pada masa sama menantikan hasil ‘pelaburan’ awal seperti dijanjikan,” katanya.

Namun, katanya, impian untuk mendapatkan semula modal dikeluarkan tidak menjadi kenyataan selepas tidak menerima bayaran yang sepatutnya menyebabkan dia mula mengesyaki sesuatu tidak kena.

Katanya, dia dan beberapa mangsa lain menghubungi wanita itu, tetapi hampa sebaik dimaklumkan bayaran berkenaan masih di dalam proses dan mula memberikan pelbagai helah setiap kali dihubungi.

Media juga berpeluang mendengar penjelasan suspek yang dihubungi ketika sidang akhbar berkenaan dan dia hanya memaklumkan tidak dapat berbuat apa-apa sebelum menamatkan perbualan.

Bagi menyelesaikan bebanan hutang semasa termasuk pinjaman lain, Rosnani terpaksa membuat pinjaman kepada along dengan kadar faedah antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan menyebabkan hubungan dengan ahli keluarga termasuk suaminya mula menghadapi masalah.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada pengadu mengenai perkara itu yang ditipu suspek sama dan hasil maklumat awal mendapati, ia dilakukan individu sama yang memperdaya usahawan khususnya wanita dengan tawaran projek kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, SukaGuam akan membawa masalah itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk tindakan susulan selain bertindak menjadi peguam kepada mangsa demi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

“Berdasarkan kes, kami dimaklumkan ada 10 mangsa yang ditipu sindiket terbabit dengan menjadikan PDRM sebagai sasaran penyamaran. Saya akan merujuk kes ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bagi membantu mangsa. SukaGuam juga tidak mengenakan sebarang caj kepada mereka,” katanya.

‘Suami saya orang kaya’

Oleh Kasdi Ali dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

IPOH: “Suami saya orang kaya, tiada sebab dia perlu merompak,” kata isteri kepada seorang ahli perniagaan yang maut selepas ditembak mati oleh polis awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 12.02 tengah malam itu, Kathir Oli Fakir Mohd, 31, maut ditembak di dada kirinya oleh polis di sebuah pub di Jalan Mustafa Albakry, Pekan Baru di sini.

Kejadian berlaku selepas mangsa bersama tiga lelaki lain dikatakan masuk ke dalam sebuah pub berkenaan sebelum berlaku pergaduhan disusuli kejadian tembakan di luar premis.
Isteri mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakan suaminya beberapa minit selepas kejadian.

Dia yang berusia 33 tahun, bergegas ke lokasi kejadian dan mendakwa polis tidak membenarkannya mendekati mayat suaminya di belakang kereta Mercedes Benz milik mereka.

“Saya diberitahu suami bergelut dan ditembak polis kerana mahu melakukan rompakan di pub berkenaan.

“Saya tidak percaya semua itu kerana kami bukan orang susah. Kami mempunyai syarikat lori, pengangkutan, binaan dan pelbagai perniagaan lain,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, pagi semalam.

Menurutnya, keluarganya tidak pernah menghadapi masalah kewangan malah Kathir didakwanya tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kali terakhir dia ada menghubungi saya jam 10 malam kelmarin dan memberitahu ingin keluar makan bersama dua rakan dan dua pekerjanya. “Saya tidak percaya dia pergi merompak pub itu. Ada kemungkinan dia mangsa keadaan atau kecuaian,” katanya yang mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan mangsa.

Menurutnya, dia akan mendapatkan khidmat peguam bagi mendapatkan keadilan selain mengetahui punca sebenar kematian suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa bersama tiga suspek menyerang anggotanya sehingga cedera di bahagian muka, mata dan calar-calar di badan.

Beliau berkata, sebelum kejadian, anggota polis berkenaan yang kebetulan berada sekitar lokasi kejadian mendengar jeritan pekerja wanita di pub berkenaan dan mendapati empat lelaki cuba menyamun pusat hiburan berkenaan.

“Sebaik tiba di pub, anggota polis diserang dengan parang sebelum berlaku pergelutan. Malah, lebih mengejutkan dua daripada suspek cuba merampas pistol anggota berkenaan.

“Bagi mempertahankan diri dan nyawa, anggota berkenaan mengeluarkan pistol dan melepaskan satu das tembakan yang mengenai dada mangsa,” katanya, semalam.

Katanya, anggota berkenaan turut menahan dua suspek lain manakala seorang lagi cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas itu.

Mohd Shukri berkata, pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan manakala, tiga suspek ditahan reman selama seminggu malah dan polis juga sedang menyemak sama ada semua suspek mempunyai rekod jenayah


Pian cabar blogger

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon komedi, Pian Cecupak atau nama sebenar Mohd Rafiq Abdul Rahman, 41, membuat laporan polis terhadap dua pengendali blog hiburan yang didakwa memfitnah kononnya dia masih menggunakan kolagen dan dua anaknya malu menerima dia sebagai bapa.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 6.30 petang, kelmarin.

Pian yang ditemui semalam berkata, dia percaya fitnah itu disebabkan pembabitannya semula dalam dunia lakonan apabila menjayakan program Lawak Minggu Ini episod kelima bersama Apek dan Yassin yang disiarkan di saluran Astro, 2 September lalu.
Pian sebelum ini secara terbuka mengakui menggunakan suntikan kolagen, namun selepas berdepan beberapa kesukaran dia mengeluarkan kenyataan mahu menghentikan amalan itu serta berjanji tidak mengulanginya.

“Dalam program Lawak Minggu Ini, saya berlakon sebagai pondan dan menghias muka dengan solekan tebal. Mungkin sebab itu ada yang menuduh saya kembali menggunakan suntikan kolagen.

“Demi Allah, saya tidak mengenakan kolagen lagi. Saya sudah berubah 100 peratus dan tolong jangan kaitkan saya dengan suntikan itu kerana saya berusaha membuang kolagen daripada muka,” katanya.

Pian berkata, dia berubah demi dua anak, Nor Azira Fazlin, 14, dan Nor Lina Fazrin, 12.

“Saya menafikan dakwaan pemilik dua blog itu kononnya saya menggunakan kolagen, malah fitnah anak malu menerima saya sebagai bapa tidak benar,” katanya.
Menurutnya, dia pernah melakukan kesilapan sebelum ini, namun berharap orang ramai tidak membuat andaian melulu dan menghina kerana sudah insaf.

Katanya, maruahnya tercemar apabila dia dikritik hebat di laman facebook miliknya dan blog berkenaan serta kesal apabila bekas pembantu peribadinya, Mohd Salim Alias, 38, turut difitnah.

Katanya, gambar disiarkan di blog itu diambil lima tahun lalu, malah pemilik blog berkenaan tidak meminta kebenaran untuk menyiarkannya. Pian yang kini mendapat rawatan membuang kolagen daripada dua doktor pakar di sebuah pusat kecantikan di Melawati, Ampang mencabar individu membawanya ke hospital memeriksa sama ada masih menggunakan kolagen atau tidak.

Pencuri ‘murah hati’ ditahan



SERDANG: Seorang lelaki yang aktif mencuri motosikal sejak 14 tahun lalu, malah menghadiahkan hasil curi berkenaan kepada saudara dan rakannya ditahan polis di Serdang Perdana, Isnin lalu.
Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan jam 5 petang ketika cuba mencuri motosikal di sebuah pasar raya oleh polis dari Seri Kembangan.

Difahamkan, suspek aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal sejak berusia 13 tahun dengan jumlah kecurian melebihi 150 kenderaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Razak Elias berkata, perlakuan suspek yang mencurigakan ketika menunggang motosikal Yamaha Lagenda membongkar kegiatannya.

‘Saya ambil baju’

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Pelakon Razak Ahmad memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, dia datang mengambil baju tajaan di premis ahli perniagaan berstatus isteri orang, Selamah Sahudin, 45, sebelum ditangkap khalwat bersama wanita itu, lima tahun lalu.
Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, (gambar), 44, memberitahu slot rancangan membabitkan dirinya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu bermula pada jam 4 pagi menyebabkan dia terpaksa ke premis perniagaan wanita itu bagi mengambil baju sesuai, jam 1 pagi, 1 April 2006.

“Ketika itu, saya terbabit dengan RTM bagi menjayakan program ‘60 jam siaran tanpa henti’ untuk disenarai dalam Malaysia Book of Records dan pakaian itu diperlukan untuk rancangan berkenaan.
“Dia (Selamah) menyuruh mengambil baju di premis berkenaan di Seri Kembangan. “Sebelum ini, Selamah juga pernah beberapa kali menjadi penaja pakaian saya bagi program rancangan di televisyen,” katanya ketika memberi keterangan bela diri terhadap pertuduhan khalwat dihadapinya.

Dia memberitahu mencuba tiga pasang baju masing-masing mengambil masa sehingga 15 minit selain berkata sempat membuat latihan bagi slot membaca al-Quran dan berzanji di ruang tamu rumah itu selain keadaan malam itu panas menyebabkan dia berpeluh-peluh, ceritanya sebak.

“Saya disuruh menukar pakaian di dalam sebuah bilik yang mempunyai katil, namun tiada lampu kerana terbakar,” katanya.

Katanya, sementara menunggu Selamah menggosok pakaian, dia duduk di birai katil hanya memakai singlet dan berseluar sebelum terdengar pintu hadapan digoncang kuat beberapa kali.

“Saya hanya duduk dalam bilik sebelum Selamah beritahu suaminya datang ke rumah itu,” katanya. Razak berkata, dia bukan saja dimarahi suami Selamah, malah lelaki itu mengarahkan polis merampas telefon bimbitnya kerana dituduh mengandungi bukti.
Mahkamah menetapkan 6 Oktober depan untuk tertuduh disoal balas pendakwa.

Sebelum ini, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengarahkan Razak membela diri selepas berpuas hati pendakwaan diwakili Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli membuktikan pertuduhan khalwat itu.

Pada 14 September 2006, pelakon drama bersiri ‘Geng Mengaji’ itu tidak mengaku bersalah berkhalwat dengan Selamah, di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini, jam 2.15 pagi, 1 April 2006.

‘Bersihkan nama arwah’



SHAH ALAM: “Apabila saya terkenangkan Aminulrasyid, saya akan pandang pokok dirempuh kereta dipandunya pada masa kejadian.
“Kalau terlalu sedih dan rindu, saya akan pergi ke tempat dia selalu kunjungi. Kedai mamak dia selalu melepak dan padang di tempat dia main bola sepak,” kata Norsiah Mohamad, 62, ketika ditemui di Mahkamah Sesyen di sini, semalam. Ibu tunggal itu dilihat mengalirkan air mata sebaik Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Koperal Jenain Subi, 49, yang didapati bersalah menyebabkan kematian anak bongsunya, Aminulrasyid Amzah, 15, jam 1.10 pagi, 26 April tahun lalu.

Mangsa maut akibat luka akibat tembakan di kepala dalam kejadian berhampiran simpang jalan memasuki rumahnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini. Norsiah berkata, keluarganya berasa lega dengan keputusan mahkamah sekali gus membuktikan anaknya bukanlah penjenayah seperti didakwa sesetengah pihak. Katanya, meskipun akur dengan ketentuan Allah, naluri keibuannya sering kali terusik apabila teringatkan arwah yang meninggal dunia lebih setahun lalu. “Apabila singgah di padang melihat budak sebaya arwah bermain. Macam terbayang-bayang anak saya yang menyepak bola.
“Kalau ada kawan Aminulrasyid bermain atau berlari akan datang dan bertanya, ‘Auntie rindu Aminul?’ sebelum mereka berbual dengan saya,” katanya.

Menurutnya, zikir dan doa kini menjadi peneman setia sebagai penenang jiwa terutama apabila merindui kenangan bersama Aminulrasyid.

“Apabila saya amalkan zikir, hati saya tenang. Sekarang ini, saya sibukkan diri dengan cucu saya untuk melupakan kesedihan dan kerinduan.

“Tetapi apabila anak saya, Tuty Shahniza Anom, 37, membawa cucu saya pulang, saya mula teringatkan arwah,” katanya.

Menyentuh peribadi Aminulrasyid, Norsiah berkata, arwah paling rapat dengannya memandangkan anaknya yang lain sudah besar..
“Dia seorang anak yang baik, suka bermain bola sepak dan ragbi,” katanya.

Wanita itu juga sempat menunjukkan tiga keping gambar Aminulrasyid yang disimpan dalam dompetnya dan dibawa ke mana-mana pada setiap masa sebagai pelepas rindu.

“Gambar ini diambil di sekolah arwah beberapa hari sebelum dia meninggal dunia,” katanya. Sementara itu, pada sidang media selepas prosiding semalam, Norsiah meminta nama anaknya dibersihkan dan tidak dikaitkan sebagai penjenayah. “Tolong bersihkan nama anak saya, itu saja. Dia bukan penjenayah, itu saja yang saya pinta,” katanya. Manakala bapa saudara Aminulrasyid, Kamaruddin Arshad berkata, keluarga mereka menghormati keputusan mahkamah tetapi berbincang sama ada mengambil sebarang tindakan susulan keputusan itu. “Kami bersyukur kerana kematian Aminulrasyid terbela akhirnya,” katanya. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan semalam.

Lebam di muka bayi

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

KLANG: “Luluh hati saya melihat zuriat sulung yang dilahirkan cedera padahal sepanjang tempoh kandungan selama ini doktor mengesahkan bayi saya dalam keadaan sempurna dan sihat,” kata Ibrahim Umran, 23.
Dia mendakwa berlaku kecuaian hingga mengakibatkan kecederaan di muka bayi perempuannya termasuk lebam dipercayai semasa kelahiran pada jam kira-kira 10.15 malam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, di sini, Isnin lalu.

Ibrahim berkata ketika kejadian dia di luar bilik pembedahan bersalin menunggu isterinya, Siti Aishah Abdullah, 23.
“Sebelum itu saya sudah terkejut apabila pihak hospital menelefon memberitahu akan bedah perut isteri saya. Saya jangka isteri akan bersalin normal kerana bukaan sudah 8 sentimeter.

“Pihak hospital hanya memberitahu isteri sudah turunkan tanda tangan dan saya terus berdebar menunggu di luar bilik pembedahan.

“Selepas menunggu dengan penuh debaran, dua jururawat wanita membawa keluar bayi dan saya sangat terkejut mendapati banyak lebam di bahagian muka zuriat sulung saya itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Dia yang berkahwin pada Disember tahun lalu meluahkan rasa sedih apabila melihat bahagian atas mata bayinya itu turut lebam.

Akibat kejadian juga, bayinya itu terpaksa menggunakan peralatan khas untuk menyusu.
Apa yang dikesalkan, katanya, apabila ditanya kepada jururawat berkenaan mengapa bayinya berkeadaan sedemikian, mereka hanya menjawab tidak tahu.

Menurutnya, dia meminta untuk menemui doktor yang melakukan pembedahan itu tetapi pelbagai alasan diberikan kakitangan hospital.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang bekerja sebagai pemandu lori menyatakan seorang doktor lain datang menemuinya untuk memberikan penjelasan.

“Mula-mula saya ingatkan bayi saya itu mungkin terjatuh atau terkena benda panas sebab ada kesan menggelembung pada pipi kiri, saya rasa geram dengan keadaan itu.

“Saya kata pada doktor itu, apa yang akan dilakukannya jika berlaku kepada bayi dia. Doktor itu menjawab mungkin dia juga akan membuat laporan.

“Doktor itu meminta saya bersabar dan berkata kesan lebam dan luka itu akan sembuh dalam masa dua minggu,” katanya yang membuat laporan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, pada hari sama kelahiran bayinya.

Menurutnya, doktor berkenaan juga mengakui kemungkinan luka di wajah bayinya itu disebabkan terkena tangan.

Sehubungan itu juga, Ibrahim sudah menemui peguam untuk mendapatkan nasihat.

Menurutnya, peguam menasihatkan menunggu sehingga tempoh dijanjikan itu dan jika bayinya yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonate (NICU) HTAR masih belum pulih, tindakan susulan boleh diambil.

Sementara itu, isterinya Siti Aishah yang baru memeluk Islam tahun lalu masih lemah dan masih berada di wad hanya berharap bayi sulung mereka yang dilahirkan seberat 3.9 kilogram itu, sihat dan tidak ada masalah kemudian hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Jurucakap pihak hospital yang dihubungi pula, berkata pihaknya akan menyiasat kes berkenaan dengan mendapatkan maklumat dari bahagian bersalin sebelum memberikan ulasan lanjut.

No comments:

Post a Comment