Dijemput ajal ketika tidur
GEORGE TOWN – Malang bagi seorang tukang kimpal besi apabila dia maut ketika sedang nyenyak tidur akibat ditimpa ketulan konkrit runtuh selepas sebuah kren menara pembinaan hotel terbalik lalu menghempap biliknya di rumah kedai Jalan Sri Bahari di sini semalam.
Mangsa Liang Yit Kwang, 65, yang tidur di tingkat atas kediaman dua tingkat itu mati di tempat kejadian akibat cedera di seluruh badannya.
Rumah yang ditimpa kren itu terletak kira-kira 50 meter dari tapak pembinaan hotel setinggi 20 tingkat. Turut rosak akibat kejadian itu, bangunan Maritim Malaysia (APMM).
Difahamkan, kren setinggi 60 meter itu digunakan untuk mengangkat bahan-bahan pembinaan hotel yang bakal menempatkan 13 aras hotel dan tujuh tingkat tempat letak kereta.
Namun semasa kejadian kren itu tidak digunakan.
Cuaca semasa kejadian baik tiada hujan dan ribut.
Sementara itu, pemilik kedai, Luar Chooi Guan, 78, bersama isteri, Chew Hong Choo, 76, dan anak lelaki mereka, Luar Seong Ean, 54, yang tidur di bilik berasingan cedera parah. Mereka kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat berkata, insiden berlaku pada pukul 12.15 malam dan pasukkan tiba di lokasi kejadian lima minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas rumah yang ranap di tingkat atas itu pada mulanya menemui tiga mangsa yang berada dalam keadaan cedera parah di tingkat atas rumah itu.
“Mangsa keempat ditemui telah meninggal dunia dan pihak kami terpaksa berhati-hati mengalihkan dinding itu kerana struktur rumah itu tidak stabil,” kata beliau kepada pemberita di sini semalam.
Remaja rindu ibu maut kemalangan
|
|
KAJANG - Seorang remaja yang mahu pulang ke kampung kerana merindui ibunya yang sakit di Kuala Besut, Terengganu maut apabila motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah lori berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama, Kajang semalam.
Mangsa, Mohd. Faiz Abdullah, (gambar) 20, yang membonceng rakannya, Mohd. Raimi Zulfakar Romlan, 21, maut di tempat kejadian manakala Raimi cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Kajang.
Kemalangan berlaku ketika kedua-dua sahabat itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Saujana Impian di sini selepas membeli tiket bas untuk pulang ke kampung di Kuala Besut setelah tiga minggu bekerja di sebuah restoran di Kajang.
Menurut abang Raimi, Mohd. Badrul, 25, mereka yang baru tiga bulan bekerja di Kajang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tiket yang hendak dibeli bagi perjalanan waktu pagi sudah habis dijual.
"Raimi menghubungi saya dan memaklumkan tiket habis dan saya suruh dia pulang dahulu dan menyuruhnya pergi semula pada sebelah malam.
ADUN Johol meninggal dunia
|
|
KUALA PILAH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Roslan Md. Yusof (gambar kecil) meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini akibat komplikasi paru-paru awal pagi semalam.
Allahyarham yang berusia 58 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4.45 pagi selepas dimasukkan ke hospital itu pada tengah malam Ahad lalu kerana mengalami kesukaran bernafas.
Anak sulung Allahyarham, Mohd. Hafizi, 28, berkata, keadaan ayahnya semakin uzur tetapi Allahyarham menolak untuk dihantar ke hospital.
"Kami sekeluarga sangat bimbang melihat keadaan ayah dan kami memang memujuknya supaya ke hospital untuk menerima rawatan.
"Apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan datang menziarah dan memujuk, baharulah dia bersetuju," katanya.
Katanya, jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di No. 6, Kampung Berambai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cabang Dua, Johol selepas Zuhur.
Lelaki dibunuh akibat dendam
KOTA BHARU – Seorang kontraktor yang keluar bersama seorang rakan sejak kelmarin ditemui mati dalam keadaan menyedihkan apabila kepalanya dibungkus dengan kain manakala kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang di sebuah kebun di Kampung Kubang Palas, Binjai, dekat sini semalam.
Mayat Saw Yew Siang, 56, dari Tumpat, ditemui oleh sepasang suami isteri pada pukul 7.30 pagi ketika mereka hendak mengutip sayur-sayuran di kebun tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu dipercayai telah dibunuh kira-kira 10 jam sebelum ditemui.
Katanya, terdapat kesan kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan akibat dipukul dengan objek keras.
“Selain kontraktor, mangsa juga memiliki kedai alat perkakasan rumah. Kita dimaklumkan mangsa telah keluar dari rumahnya sejak semalam (kelmarin) dengan seorang kenalan.
“Kita percaya dendam merupakan motif pembunuhan. Polis sedang siasat sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di situ atau sebaliknya,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
No comments:
Post a Comment