Sunday, October 2, 2011

SEMUA DALAM TAKDIR DAN KETENTUAN ALLAH...MOHONLAH PERLINDUNGANNYA...KERANA ALLAH LAH SEBAIK2 PERLINDUNG....CUAI BUKAN PERBUATAN YANG ELOK...

Risiko letupan kuat dari dapur

TONG gas memasak yang menjadi peralatan wajib dalam setiap dapur boleh meletup dan terbakar jika tidak dijaga dengan rapi.


KUALA LUMPUR - Tong gas memasak yang biasanya seberat 14 kilogram (kg) yang boleh dilihat hampir di setiap dapur rumah serta restoran berupaya menyebabkan kemusnahan besar jika berlaku kebocoran gas dan meletup.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Gas, Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Zainal Zakaria berkata, disebabkan gas asli cecair itu lebih tumpat daripada udara, gas yang bocor itu tidak akan meresap keluar dengan mudah daripada kawasan tertutup seperti rumah dan premis perniagaan.
"Gas itu sebaliknya mudah tersebar ke seluruh ruang. Jika ada percikan api yang kecil sekalipun, ia dengan mudah boleh menyambar setiap kawasan yang mempunyai sisa-sisa gas berkenaan," katanya kepada Kosmo! Ahad.
Beliau diminta mengulas kejadian letupan yang memusnahkan tingkat bawah pusat beli-belah Empire Shopping Gallery di Subang Jaya Rabu lalu. Kejadian pada pukul 3.45 pagi itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak di sebuah restoran di situ.
Malah dipercayai saluran gas memasak melingkari hampir sebahagian besar bahagian bawah kompleks beli-belah itu.
Menurut Zainal, insiden letupan gas memasak tidak boleh dipandang ringan kerana berjuta-juta rumah di Malaysia masih menggunakan bahan bakar itu setiap hari.
"Walaupun dapur elektrik atau dapur solar lebih selamat, kos untuk membeli sebuah tong gas adalah lebih murah," kata beliau.
Buat masa ini, harga setong gas memasak 14kg ialah RM27.
Zainal mendedahkan, punca kebocoran gas memasak di rumah selalunya disebabkan kepala gas dipasang dengan cara yang salah ataupun paip getah dapur gas bocor digigit haiwan perosak seperti tikus.

Mangsa asid tiada biji mata


KEADAAN wajah Muhamad Hanif selepas terkena simbahan asid di Padang Besar, Perlis.


PADANG BESAR – Deria penglihatannya terpaksa dibuang, manakala kedua-dua kelopak mata ditutup serta dijahit dan sedikit lubang ditinggalkan bagi membolehkan air matanya mengalir keluar.
Begitulah sengsara ditanggung seorang pemandu lori, Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 25, yang menderita akibat disimbah asid oleh seorang individu di Kampung Sentang, Utan Aji dekat sini pada Mei lalu.
Muhamad Hanif menjadi sedemikian rupa disebabkan simbahan asid tersebut terkena matanya yang mengakibatkan pancaindera tersebut terpaksa dibuang selain dia melecur hampir 50 peratus di muka dan badan.
Dia memberitahu, kulit pada belakang badan, paha dan kaki dijadikan pengganti kulit di bahagian muka dan badan depannya yang rosak teruk terkena simbahan asid tersebut.
“Kini seluruh badan saya terpaksa berbalut kerana sedang bersalin kulit dan ini menyukarkan saya bergerak selain hanya mampu terlantar di atas katil.
“Dulu saya tidak macam ini tetapi kini dah jadi begini, saya hanya mampu reda dan cuba menyesuaikan diri,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Baru, Batu Bertangkuk dekat sini semalam.

Reda dapat anak kembar siam


NUR SHAZWANIE (kanan) dan Nurshazrinie diletakkan dalam sebuah bilik terapi lampu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Itu takdir yang terpaksa dilalui sepasang suami isteri dari Kemaman apabila mereka dikurniakan pasangan kembar siam.
Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie yang baru berusia seminggu selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada pukul 11.12 pagi, 22 September lalu .
Dengan berat empat kilogram, pasangan kembar Siam itu bagaimanapun bercantum pada bahagian pusat hingga dada.
Bapa pasangan kembar itu, Zulkifli Ngah, 41, (gambar kecil) yang bekerja sebagai penjual ikan berkata, pemeriksaan awal pihak hospital mendapati kedua-dua bayi itu berkemungkinan berkongsi hati dan jantung.
“Saya tidak terkejut dengan kelahiran kembar Siam ini kerana saya dan isteri memang telah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa kami mungkin mendapat pasangan kembar Siam.
“Ketika itu, kandungan isteri saya, Nor aini Mohammad, 32, baru sahaja memasuki enam bulan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Justeru kata Zulkifli, dia tetap menerima takdir itu sebagai rezeki Tuhan, tanpa sedikit pun rasa penyesalan.
Namun, jauh di sudut hatinya, beliau berharap kedua-dua bayi itu dapat hidup seperti manusia normal suatu hari nanti.
“Kami percaya kepada takdir dan jika ditakdirkan bayi kembar ini berkongsi hati dan jantung, kami perlu terima.

Suami, isteri maut kemalangan




KUALA KRAI - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka tunggangi terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kampung Che Wal, Kuala Krai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, Ismail Yaccob, 50, dan isterinya, Ruzainiah Mustapha, 37, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal mereka bergesel dengan sebuah Perodua Kancil sebelum dirempuh oleh sebuah Proton Persona yang datang dari arah belakang.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abd. Rahman Jaafar berkata, ketika kejadian, Ismail sedang dalam perjalanan dari arah Machang ke Kuala Krai untuk menghantar isterinya yang bekerja di sebuah kilang papan berhampiran.
"Kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Pek dan ketika sampai di tempat kejadian, Ismail yang menunggang motosikal itu hendak memasuki simpang tempat isterinya bekerja apabila dia dipercayai bergesel dengan sebuah Perodua Kancil yang datang dari arah sama.

Dua saudara lemas


AHLI keluarga mengerumuni mayat salah seorang mangsa lemas di Rompin kelmarin.


JEMPOL - Keseronokan dua saudara mandi di Sungai Muar dekat Rompin di sini berakhir dengan tragedi apabila mereka ditemui lemas kelmarin.
Mangsa, Mohd. Isa Mustafa, 40, bersama anak saudara angkatnya, Muhamad Hakimi Khairul Nizam, 11, ditemui lemas selepas seharian tidak pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, kejadian itu disedari oleh nenek Muhamad Hakimi, Rosiah Sirum, 47, yang juga merupakan ibu angkat kepada Mohd. Isa.
"Mengikut Rosiah, dia keluar rumah di Kampung Sri Rompin seawal pukul 7.30 pagi mahu ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah di sini bagi mengambil ubat dan pada waktu itu kedua mangsa masih tidur di rumahnya.
"Pulang dari hospital pada pukul 9.30 pagi, Rosiah melalui kawasan sungai dan melihat mereka sedang mandi di sungai berkenaan," katanya di sini semalam.

35 penagih termasuk 3 tentera direman 14 hari

MELAKA - Seramai 35 penagih yang ditahan di ladang kelapa sawit berhampiran Penjara Sungai Udang kelmarin direman selama dua minggu mulai semalam atas kesalahan mengambil dadah.
Pasangan kekasih berusia 37 dan 18 tahun yang disyaki pengedar pula ditahan reman selama tujuh hari manakala remaja lelaki berusia 16 tahun direman selama empat hari kerana memiliki dadah.
Tiga anggota tentera berusia di antara 26 hingga 30 tahun turut antara yang direman.
Turut direman ialah beberapa penagih yang telah ditahan di ladang kelapa sawit itu kira-kira dua minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, perintah tahanan reman itu dilakukan mengikut Seksyen 49(1)(b) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) manakala tiga yang ditahan memiliki dadah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai penahanan 40 orang berusia di antara 16 hingga 53 termasuk tiga anggota tentera di mana dua daripadanya lengkap berpakaian seragam dalam serbuan di ladang kelapa sawit berhampiran Penjara Sungai Udang di sini.

No comments:

Post a Comment