Sunday, September 23, 2012

APA SAJA KERAJAAN@KUASA AKAN TUMBANG BILA SAMPAI MASA@TAKDIR DARI ALLAH SWT...SAPE PUN TAK BOLEH LAWAN ALLAH SWT

JPJ tidak saman secara membuta tuli

KAMERA AES di KM6.6 Jalan Kajang-Puchong ini adalah antara 14 unit yang telah beroperasi mulai semalam.


KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan tindakan menyaman pesalah lalu lintas menerusi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang mula beroperasi semalam tidak akan dilakukan secara membuta tuli.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan (gambar kecil) berkata, pihaknya mempunyai kakitangan terlatih di Pusat Kawalan AES untuk meneliti imej serta membuat semakan dengan pangkalan data JPJ sebelum mengeluarkan saman.
"Jika imej kenderaan yang dirakam oleh kamera tidak sepadan dengan nombor pendaftaran kenderaan dalam pangkalan data kami, siasatan lanjut akan dijalankan sebab kami mahu mengelak tindakan kepada pihak yang tidak bersalah," jelasnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Minuman berkarbonat punca gemuk


GAMBAR fail menunjukkan minuman berkarbonat yang boleh didapati di pasaran.


WASHINGTON - Tiga kajian terbaharu yang disiarkan di Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu mengesahkan terdapat kaitan antara minuman manis berkarbonat dan air buah-buahan yang mengandungi kandungan gula tinggi dengan penularan kegemukan atau obesiti dalam kalangan penduduk AS.
Menurut penulis satu kajian yang disiarkan jurnal New England Journal of Medicine di online, pengambilan minuman tersebut meningkat lebih dua kali ganda sejak tahun 1970-an.
Kajian itu menyatakan pada tempoh masa yang sama, kadar obesiti dalam kalangan penduduk dewasa AS meningkat 30 peratus.
Berdasarkan kajian pertama, minuman bergula didapati menjejaskan gen yang mengatur berat dan meningkatkan kecenderungan untuk berat badan seseorang bertambah.
Para penyelidik menggunakan 32 variasi gen yang diketahui akan memberi kesan terhadap berat badan bagi mewujudkan profil peserta yang menyertai kajian berkenaan.
Tabiat pemakanan para peserta itu juga dikenal pasti oleh penyelidik selain pengambilan minuman bergula dan amalan senaman.
Dua lagi kajian menunjukkan kumpulan kanak-kanak dan remaja yang diberikan minuman tanpa kalori seperti air mineral atau minuman tanpa banyak kandungan gula yang mengandungi gula tiruan didapati mengalami pertambahan berat badan yang sedikit.

Puteri Sultan Brunei bersanding


SULTAN Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha mengapit pasangan pengantin diraja, Muhammad Ruzaini dan Puteri Hafizah Sururul Bolkiah bersama ahli keluarga diraja yang lain di Bandar Seri Begawan semalam.


BANDAR SERI BEGAWAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri Majlis Santapan Diraja di Istana Nurul Iman di sini malam tadi.
Majlis itu diadakan sempena perkahwinan Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, anakanda kelima Sultan Brunei Darussalam dengan Pengiran Muhammad Ruzaini.
Istiadat bermula sebaik keberangkatan masuk pengantin diraja ke Dewan Bankuet Diraja pada kira-kira 8.30 malam.
Pasangan mempelai itu diiringi Sultan Hassanal Bolkiah dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta tetamu kenamaan lain termasuk Najib dan Rosmah.
Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Putera Faisal Saud dari Arab Saudi; Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen.

Perompak belasah mangsa samun


Abu Syed cedera di muka akibat dibelasah dua perompak di Taman Bukit Rinting, Masai semalam.


MASAI - Seorang pemuda cedera di muka, tangan dan kaki manakala telefon bimbit jenis Nokia miliknya pecah selepas dibelasah dua perompak yang bersenjatakan parang ketika menunggang motosikal di Taman Bukit Rinting di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 1 pagi, mangsa, Abu Syed Sulaiman, 23, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kota Puteri sebelum sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghimpit motosikal mangsa dari belakang.
Sebelum itu, mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori baru menghantar seorang rakannya pulang ke rumah di taman tersebut.
"Ketika itu, saya menunggang motosikal di kawasan berbukit dan disebabkan saya enggan berhenti, salah seorang perompak itu mengacukan parang ke leher saya sebelum motosikal saya ditendang.
"Sebaik saya terjatuh, kedua-dua perompak berkenaan terus menyeluk poket seluar saya dan merampas telefon bimbit dan dompet saya," kata Abu Syed ketika ditemui di rumahnya di sini.

Grandis doktor HUSM ditemui


DUA anggota polis memeriksa kenderaan Mitsubishi Grandis milik doktor pakar HUSM yang disamun ditinggalkan di Kampung Padang Enggang, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU – Kenderaan pelbagai guna, Mitsubishi Grandis milik seorang doktor pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr. Ida Zarina Zaini, 38, berjaya ditemui selepas seminggu dilarikan penjenayah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd. Rafar berkata, kenderaan tersebut pada mulanya dikesan oleh anggota polis peronda ketika menjalankan rondaan di Kampung Paya Senang, Telipot pukul 5 petang kelmarin.
Menurut beliau, selepas menyedari kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu, anggota polis peronda tersebut mengekori kenderaan itu yang dipandu seorang lelaki dan membawa penumpang wanita menghala ke Wakaf Che Yeh.
“Kenderaan tersebut dipecut laju selepas menyedari anggota polis peronda mengekori mereka.
“Selepas kira-kira setengah jam diekori kenderaan tersebut ditinggalkan di kawasan sebuah rumah di Kampung Padang Enggang,” kata beliau di sini.

Pekerja didakwa bunuh penyelia


Mohd. Zaidi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas atas tuduhan membunuh penyelianya.


KOTA BHARU - Seorang pekerja lombong bijih besi didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh penyelia lombong berkenaan yang juga rakan serumahnya dalam kejadian di Lubuk Stol, Pasir Mas tiga minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd. Zaidi Abdul Hamid, 37, ketika dihadapkan di hadapan Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.
Mohd. Zaidi didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Mohd. Yusof Zakaria, 41, di depan kantin Lombong Bijih Besi Indah Bumi Perfect Mining, Lubuk Stol antara pukul 9.30 pagi hingga pukul 9.40 pagi, 8 September lalu.

Nenek gembira genggam ijazah


NOR AZIZAN membetulkan tali leher suaminya selepas mereka menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen USM kali ke-46 di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Tekad untuk menggenggam ijazah yang diimpikan sejak usia muda menjadi dorongan kuat seorang nenek, Derisah Maarof, 66, menghabiskan masa enam tahun untuk bergelar siswazah.
Lebih manis lagi, kegembiraan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) kali ke-46 semalam, dikongsi bersama anak keduanya, Mohd. Idzuan Razali, 34, yang turut menamatkan pengajian di USM dengan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan.
Sepanjang bergelar pelajar, Derisah berkata, dia bersama anaknya dibenarkan mengikuti pengajian secara dalam talian dan video di rumah mereka di Ampang, Kuala Lumpur sebelum menghabiskan masa selama dua minggu pada semester akhir di USM.
Ibu enam anak dan nenek kepada tiga cucu itu memberitahu, dia mendapat dorongan keluarga untuk menyambung pelajaran walaupun menghadapi pelbagai dugaan sepanjang pengajian termasuk kematian suami dua tahun lepas.

Kembalikan semula Perak Man


ARTIFAK Perak Man menjadikan Malaysia dan Perak terkenal di dunia.


LENGGONG - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan khususnya Jabatan Warisan Negara digesa mempertimbangkan hasrat kerajaan Perak mahu membawa pulang rangka sebenar manusia pertama di Asia Tenggara, Perak Man ke daerah ini.
Ketika ini, rangka Perak Man atau Orang Perak yang hidup kira-kira 11,000 tahun lalu ditempatkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur sejak Julai 2006 lalu.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sudah tiba masanya artifak yang menjadi sebutan dunia itu dikembalikan semua ke tempat asalnya dan ditempatkan di Galeri Arkeologi di sini.
Katanya, permintaan tersebut wajar diberi perhatian serius memandangkan jumlah pengunjung ke galeri terbabit meningkat mendadak sehingga empat kali ganda sejak Lembah Lenggong diisytiharkan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Mogok di Bangladesh kerana filem hina nabi

SEBAHAGIAN orang berhimpun bagi membantah filem menghina Nabi Muhammad di Dhaka semalam.


DHAKA - Kebanyakan sekolah, kedai dan pejabat ditutup di Bangladesh semalam kerana membantah filem menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims.
Ribuan polis mengawal bandar raya Dhaka yang merupakan ibu kota negara ini.
Pada kebiasaannya, Dhaka akan kelihatan sibuk dengan urusan seharian.
Negara ini mempunyai 153 juta penduduk Muslim.
Kira-kira 40 aktivis Muslim ditahan bagi tempoh yang singkat selepas mereka cuba untuk membuat sekatan di sebatang jalan raya dan membaling batu ke arah anggota polis.
Di Chittagong, bandar kedua terbesar di negara ini, polis berkata, para penunjuk perasaan membakar sebuah bas dan merosakkan sebuah van polis.
Menurut polis, seramai tiga orang telah ditangkap yang merupakan pelajar.
Beberapa parti politik Islam mendesak mogok itu dilakukan bagi membantah filem tersebut yang memperlekehkan Nabi Muhammad SAW.
Mogok itu juga diadakan bagi membantah karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan di sebuah majalah Perancis.
Polis berkata, kira-kira 10,000 anggota polis dan pasukan elit Batalion Tindakan Khas ditempatkan di Dhaka termasuk di kawasan diplomatik.
Kelmarin, ratusan penduduk bertempur dengan polis semasa mereka berarak untuk membantah larangan tunjuk perasaan.
Polis turut melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan.
Menurut media, lebih 50 orang cedera.
Pemerintah Bangladesh mengutuk filem tersebut yang sedutannya turut disiarkan di internet.
Pada Jumaat lalu, kira-kira 10,000 penduduk Bangladesh berarak di jalan raya di luar sebuah masjid. - AFP

Pembangkang bincang guling rejim Bashar


AZMAT (kiri) dan Bousha (kanan) duduk pada mesyuarat untuk menggulingkan rejim Bashar di sebuah hotel di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Tokoh-tokoh pembangkang mengadakan mesyuarat tergempar untuk menggulingkan rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Kira-kira 16 parti pembangkang mengambil bahagian pada satu persidangan yang diketuai Badan Penyelaras Kebangsaan Untuk Perubahan Demokratik di Syria.
Ketua badan itu, Hasan Abdulazim hadir pada mesyuarat tersebut.
Tokoh-tokoh pembangkang itu berhimpun di sebuah hotel di sini semalam.
Perbincangan pada persidangan itu diadakan bagi mencari pendekatan aman untuk menamatkan peperangan di Syria.
Mesyuarat itu diadakan dengan kawalan ketat.
Duta Rusia, Azmat Allah Kolmahmedov dan Duta Iran, Mohammad Riza Shibani turut hadir pada mesyuarat tersebut.
Rusia dan Iran merupakan sekutu kuat Bashar.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Duta Algeria, Bousha Saleh dan Timbalan Ketua Kedutaan China, Feng Biao.
Kuasa Usaha Mesir, Alaa Abdul-Aziz turtu hadir.
Pertempuran di Syria bermula sejak Mac tahun lalu.
Ia berlaku selepas kumpulan pemberontak bangkit menentang pemerintahan Bashar yang dianggap tidak melakukan perubahan politik dan kebebasan bersuara.
Lebih 20,000 orang terbunuh dalam pertempuran melibatkan tentera Syria dengan kumpulan pemberontak itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment