Tuesday, September 25, 2012

BILA KITA BUAT TAK TAHU WALAUPUN PERKARA KITA BUAT TU ADA UNSUR MAKSIAT@YANG BERDOSA...TAK TAKUT ALLAH KE

Pilu dengar anak meraung


MAIZATUL memasukkan sebatang lilin ke dalam dubur Anas di rumah mereka di Jitra, Kedah semalam sambil disaksikan bapanya, Salehuddin.



JITRA - Sukar dibayangkan betapa sakitnya seorang budak berusia dua tahun apabila sebatang lilin perlu dimasukkan ke dalam duburnya dua kali sehari.
Namun itulah yang dilakukan ke atas Muhammad Anas Miqhael Salehuddin (gambar kecil) oleh ibunya bertujuan untuk memastikan dubur anaknya itu yang dibuat melalui pembedahan pada 12 September lalu tidak tertutup.
Anak kecil itu perlu melalui proses tersebut sehingga satu lagi pembedahan ke atas duburnya itu dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada 25 Oktober depan.
Ibunya, Maizatul Shahida Jalil, 29, berkata, walaupun dia tidak sanggup mendengar jeritan anaknya setiap kali lilin tersebut dimasukkan sedalam empat sentimeter, dia terpaksa juga melakukannya bagi memastikan dubur anaknya itu tidak tertutup.
Katanya, proses memasukkan pelbagai saiz lilin yang dibekalkan oleh hospital ke dalam dubur anaknya perlu dilakukan setiap hari sehingga pembedahan akan datang dilakukan.
"Hati saya terhiris setiap kali mahu memasukkan lilin ke dalam lubang dubur Anas kerana dia akan menjerit kesakitan.
"Namun saya terpaksa lakukannya juga demi kebaikannya. Jika boleh biarlah saya yang merasai kesakitan itu kerana dia masih kecil," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Cermai di sini semalam.
Bagaimanapun penggunaan losen pelembap memudahkan proses memasukkan lilin ke dalam duburnya anaknya itu.
Kosmo! pada 10 September lalu melaporkan Muhammad Anas yang tidak mempunyai saluran najis dan lubang dubur, saluran makanan dan karung testis akan menjalani pembedahan ketiga tidak lama lagi.
Anak bongsu daripada empat beradik itu sudah bertarung nyawa bagi menjalani pembedahan di perut untuk memasukkan saluran bagi penyusuan melalui tiub getah dan mengeluarkan saluran najis hanya enam jam selepas dilahirkan pada tahun 2010
Ketika berusia lapan bulan iaitu pada April 2011, dia telah menjalani pembedahan kedua bagi menyambung saluran pemakanan dari kerongkong ke dalam perut.
Langkah itu bertujuan membolehkan kanak-kanak malang itu mengambil makanan menerusi saluran normal iaitu mulut.
Pada 25 Oktober depan, dia dijadual menjalani pembedahan keempat iaitu memasukkan usus ke dalam perut dan membuat karung testis.
Kata Maizatul Shahida, selepas pembedahan sebelum ini, anaknya kembali aktif namun mengalami demam sejak beberapa hari lalu menyebabkan berat badannya turun dari sembilan kilogram (kg) kepada 8.7 kg selain hilang selera makan.
"Saya terpaksa memasukkan tiub getah ke dalam lubang hidungnya untuk memasukkan susu dan satu lagi tiub ke dalam mulut bagi mengeluarkan kahak.
"Minuman susu tidak mencukupi kerana saya juga perlu memaksanya makan untuk mengaktifkan saluran pemakanannya agar tidak sempit," katanya.

Akta baharu terima perubatan Islam



PENGAMAL perubatan Islam akan dipantau oleh Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari selepas ini. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR – Semua pengamal perubatan Islam termasuk tukang urut dan bidan di negara ini akan diwajibkan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan apabila Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 (TCM) dikuatkuasakan tidak lama lagi.
Menerusi akta tersebut, pengamal perubatan Islam yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda sebanyak RM30,000 atau penjara dua tahun untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua pula, mereka akan didenda RM50,000 atau tiga tahun penjara.
Antara bidang perubatan tradisional lain yang dimasukkan di bawah akta tersebut selain tukang urut dan bidan ialah perubatan Melayu lain seperti perubatan berasas herba, perubatan tradisional Cina seperti akupuntur, moxibustion dan Qi Gong serta perubatan tradisional India iaitu ayurveda, siddha dan yoga.
Ketika ini, terdapat kira-kira 15,000 pengamal perubatan Islam yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar kecil) berkata, kaedah perubatan Islam telah dimasukkan ke dalam akta tersebut setelah mendapat rayuan daripada pertubuhan yang mewakili pengamal perubatan tersebut.
“Pada awalnya, kita tidak masukkan kerana ia memerlukan persetujuan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Selepas dapat persetujuan Jakim, mereka perlu sokongan negeri-negeri sebab itu kita teruskan rang undang-undang ini tanpa memasukkan perubatan Islam.
“Malah, kita ingat perkara ini terletak di bawah bidang kuasa Jakim tetapi Jakim telah meminta supaya perkara ini diletakkan di bawah kementerian,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia meminta Kementerian Kesihatan menyemak semula Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dikatakan tidak menyenaraikan kaedah rawatan perubatan Islam di dalamnya.
Ekoran itu, Tiong Lai telah memasukkan definisi perubatan itu ke dalam rang udang-undang tersebut untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjelaskan, semua pengamal perubatan tersebut akan dipantau oleh Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang berfungsi sama seperti Majlis Perubatan Malaysia.
“Majlis ini akan diwakili oleh pakar-pakar daripada bidang masing-masing dan menjadi sebuah badan yang memastikan setiap pengamal mempraktikkan amalan atau ilmu mereka dalam keadaan profesional,” ujarnya.
Menurut Tiong Lai, pelaksanaan akta tersebut akan membolehkan rakyat mendapat perkhidmatan yang berkualiti dan selamat.
Tambah beliau, Jakim juga akan mempunyai institusi khas untuk memastikan seseorang pengamal perubatan Islam itu adalah profesional dan diiktiraf.

Jangan campur isu agama lain



MOHD. ISA (kanan, di depan) membawa tanglung bersama-sama masyarakat Cina pada majlis sambutan perayaan Kuih Bulan Port Dicksan di Port Dickson semalam.



PORT DICKSON - Mana-mana pihak diminta supaya tidak cuba mencampuri isu agama lain jika tidak mengetahui atau memahami betul-betul perkara tersebut bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, jika kita tidak mengetahui sesuatu isu, seelok-eloknya berdiam diri kerana sebarang kenyataan yang tidak betul mengenai isu agama boleh membawa kepada ketegangan antara rakyat.
"Kenyataan pemimpin DAP Perak yang mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem menghina agama ini dan Nabi Muhammad SAW amat mendukacitakan dan sangat provokatif.
"Sepatutnya pemimpin itu berkongsi perasaan yang ditanggung umat Islam, dengan kenyataan pemimpin DAP itu maka jelas dia bukan seorang yang layak bergelar pemimpin," katanya semasa berucap pada perayaan Kuih Bulan Port Dickson di sini semalam.
Baru-baru ini, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dikecam hebat apabila mengeluarkan kenyataan dalam akaun Twitter miliknya menggambarkan penentangan umat Islam terhadap filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad itu sebagai membuang masa dan tenaga.
Menurut Koo Ham, komen itu dibuatnya selepas dia menonton laporan berita di stesen televisyen luar negara mengenai bantahan keras terhadap penyiaran filem tersebut di seluruh dunia sehingga mengakibatkan kehilangan jiwa dan kerosakan harta benda.
Berikutan kecaman pelbagai pihak, Koo Ham akhirnya menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf.
Mengulas lanjut, Mohd. Isa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang berkata, seorang pemimpin harus berfikiran luas dengan meneliti buruk dan baik sebelum membuat sebarang kenyataan terutamanya membabitkan agama.

Artis meriahkan Fiesta Bera



PENYANYI 60-an, Jeffrydin menghiburkan pengunjung pada penganjuran Fiesta Bera tahun lalu.



BERA - Beberapa artis popular tanah air akan membuat persembahan pada Konsert MyIPO sempena penganjuran Fiesta Bera 2012 di sini pada 6 Oktober ini.
Penyelaras Program, Raja Azman Raja Ayob berkata, antara artis terbabit ialah Dafi AF, Kumpulan Forteen, Datuk M. Daud Kilau, Ali Terra Rossa dan Ani Mayuni.
"Turut membuat persembahan ialah Haida dan Kevin Lau, manakala Abon dan Didie Alias selaku pengacara konsert," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Raja Azman berkata, Konsert MyIPO secara percuma itu akan berlangsung di Tapak Ekspo Majlis Daerah Bera kira-kira pukul 9 malam.
Katanya, selain itu beberapa artis lain seperti Rozita Che Wan, Anzalna, Siti Saida, Erry Putra dan Azam Pitt akan turut membuat penampilan istimewa di Fiesta Bera 2012 pada 7 Oktober.
Menurutnya, orang ramai berpeluang untuk bertemu ramah dengan artis terbabit pada satu slot yang akan dihoskan oleh Roslan Shah pada hari berkenaan.
Katanya, Siti Saida, Erry Putra dan Azza Elite pula akan menjadi juri pertandingan Battle of The Band dan karaoke pada 7 Oktober.
Jelas beliau, pertandingan itu bermula pada pukul 11 pagi hingga 3 petang dan mereka yang berbakat diseru menyertainya.
Katanya, orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai pertandingan Battle of The Band dan karaoke boleh menghubungi talian 010-532 3018 dan 012-284 6811.

Kena tikam depan rumah



KETUA Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin melihat kesan darah (dalam bulatan) pada kereta Norizan yang parah selepas ditikam di Taman Dagang, Ampang Jaya semalam.



AMPANG JAYA - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali cedera parah selepas ditikam dengan senjata tajam oleh dua lelaki disyaki warga asing di hadapan rumahnya di Jalan 2/4, Taman Dagang di sini semalam.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika Norizan, 41, yang juga ahli perniagaan baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana England bersama rakan-rakan di sebuah restoran, kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mangsa diserang oleh suspek tersebut selepas keluar dari kereta jenis Mercedes Benz dan berlaku pergelutan berdasarkan kesan di tempat kejadian.
Katanya, selepas ditikam, mangsa sempat melarikan diri menuju ke rumahnya untuk meminta bantuan keluarganya sebelum pengsan.
"Jarak antara kereta dan rumahnya kira-kira 20 meter. Suspek mengambil peluang itu untuk menyerang mangsa tetapi kereta, telefon bimbit dan cincin mangsa tidak dilarikan.
NORIZAN kini dirawat di Hospital Ampang.


"Selain perut, mangsa juga cedera di jari tangan akibat tikaman itu. Ada saksi nampak beberapa buah kereta beredar selepas kejadian namun kita akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan mangsa bagi mengetahui motif kejadian," katanya.
Norizan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang selepas menjalani pembedahan.
Menurut Tun Hisan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika menyamun.
Sementara itu, isteri mangsa, Datin Roslinda Kamaruddin, 38, berkata, dia terkejut apabila mendengar pintu rumah diketuk bertalu-talu diiringi jeritan meminta tolong.
"Sebaik dibuka, saya terperanjat apabila mendapati suami terbaring berlumuran darah sebelum meminta tolong jiran untuk memanggil ambulans dan polis," ceritanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, jiran mangsa, Azim Shaharbudin, 24, pula memberitahu, dia terus keluar rumah selepas terdengar jeritan yang pada mulanya disangka pergaduhan keluarga.
"Ketika itu saya sedang menonton perlawanan bola sepak sebelum terdengar suara lelaki minta tolong. Selepas didekati, saya lihat keluarga Datuk Norizan panik dengan mangsa memegang perut yang berlumuran darah," katanya.
Tambahnya, beberapa minit kemudian, polis tiba di rumah mangsa dan ahli politik itu sempat memberitahu yang dia diserang selepas pulang menonton perlawanan bola sepak.

Wang rompakan ditemui, 6 ditahan


MOHD. SHUKRI (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian wang rompakan yang ditemui semula pada sidang akhbar di Ipoh semalam.



IPOH - Polis menahan enam suspek dan menemui semula sebahagian besar wang berjumlah RM1.23 juta yang dirompak oleh seorang pengawal keselamatan selepas menembak mati rakan setugasnya dalam kejadian di Jalan Tekah-Aulong, Taiping 18 September lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, wang sebanyak RM571,100 itu ditemui dalam serbuan di beberapa buah rumah di sekitar Kulim, Kedah dan George Town, Pulau Pinang selepas menyoal siasat enam individu yang ditahan beberapa hari selepas kejadian.
Katanya lagi, tiga hari selepas kejadian, polis menahan empat individu termasuk dua wanita di sebuah stesen minyak di Bandar Sunway, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada pukul 2.30 petang.
Difahamkan, kesemua suspek dipercayai mempunyai hubungan keluarga dengan suspek utama, Mohamad Hafizuddin Zainal Abidin, (gambar kecil) 25.
"Pada 22 September pula, polis menyerbu beberapa buah rumah di Kulim dan George Town dan menemui semula sebahagian wang rompakan tersebut. Kita juga dapat menahan dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 47 serta 28 tahun.
"Hasil siasatan polis percaya suspek telah mengagih-agihkan kesemua wang rompakan tersebut kepada kenalan dan saudara-maranya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Rabu lalu, Kosmo! melaporkan pemandu van syarikat keselamatan, Hasnol Hafiz Saad, 28, mati selepas terkena empat das tembakan di dadanya dari jarak dekat disyaki dilakukan oleh Mohamad Hafizuddin yang kini menyembunyikan diri.
Kejadian pada pukul 3 petang itu berlaku ketika mangsa dan suspek dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai beberapa buah bank di bandar Taiping.
Menurut Mohd. Shukri, selain tangkapan, polis turut merampas dua buah kereta jenis Honda City dan Proton Waja yang digunakan dalam kejadian itu.
Tambahnya, polis percaya senjata api yang digunakan dalam kejadian itu masih berada bersama suspek utama kes tersebut.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Mati ditetak selepas kahwin


KESAN darah masih jelas kelihatan di kaki lima tempat Kok Weng mati ditetak oleh
sekumpulan lapan lelaki selepas beberapa jam mangsa berkahwin di Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU - Seorang peniaga barangan alat ganti yang baru beberapa jam berkahwin tidak sempat menikmati malam pertama apabila dia mati ditetak oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjatakan parang dan bertopeng di Taman Mount Austin di sini kelmarin.
Kejadian pukul 2 petang itu mengakibatkan Allan Tee Kok Weng, (gambar kecil) 36, maut selepas ditetak di kepala, leher serta badan di hadapan isterinya, Shiau Ting, 30-an. Sebelum kejadian, pasangan itu baru selesai minum bersama rakan-rakan di sebuah bistro di taman tersebut.
Difahamkan, pasangan itu melangsungkan upacara perkahwinan di Taman Daya dan sempat pulang ke rumah untuk menukarkan pakaian. Jarak antara dua tempat itu kira-kira tiga kilometer.
Seorang pekerja bistro yang enggan dikenali memberitahu, serangan itu berlaku terlalu pantas.
"Sebaik melangkah keluar, lelaki itu terus ditarik oleh lapan penjenayah yang memakai topeng ski sebelum dia ditetak berkali-kali.
"Selepas memastikan mangsa tidak bergerak, penjenayah itu kemudian melarikan diri. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital," ceritanya.
Dalam pada itu, satu sumber memberitahu, kejadian itu disyaki bermotifkan dendam berikutan semakan mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan gaduh, dadah dan curi.
Tinjauan Kosmo! di bilik mayat Hospital Sultan Ismail pula mendapati ahli keluarga dan kenalan rapat mangsa masih bersedih dengan kejadian itu dan enggan ditemu bual.
Di situ juga kelihatan sebuah kereta diikat dengan reben merah jambu yang lazimnya menjadi hiasan untuk membawa pengantin baru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Minta tambah pegawai penyiasat



SHAHRIZAT (tengah) beramah mesra dengan Kim Fong selepas menyampaikan sumbangan pada Program Outreach Salam Sayang di Labu semalam.



SEREMBAN - Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) meminta supaya kerajaan memberi tambahan peruntukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan lebih ramai pegawai penyiasat dilantik sekali gus meningkatkan keberkesanan dalam usaha menangani kes-kes jenayah.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, cadangan itu merupakan salah satu daripada enam cadangan Wanita BN untuk Bajet 2013 bagi memantapkan lagi pasukan tersebut.
"Walaupun statistik jenayah telah menurun namun isu keselamatan masih lagi menjadi perhatian yang serius oleh rakyat.
"Pasukan polis perlu dimantapkan terutamanya bagi membanteras jenayah kekerasan seperti rompak, rogol dan ragut dalam usaha kerajaan meningkatkan keyakinan rakyat," katanya kepada pemberita selepas Program Outreach Salam Sayang anjuran Wanita UMNO Malaysia di Kampung Seri, Batu 8, Labu di sini semalam.
Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO menjelaskan, kerajaan perlu memberi perhatian dalam isu berkenaan pada Bajet 2013 ini kerana beliau difahamkan peruntukan sedia ada masih belum mencukupi untuk menambah lebih ramai pegawai penyiasat di seluruh negara.
Katanya, antara cadangan lain ialah menambah peruntukan bagi menaik taraf peralatan terkini untuk pasukan forensik PDRM.
Ujar beliau, Bahagian Siasatan Seksual, Keganasan Rumah Tangga dan Penderaan Kanak-Kanak (D11) juga perlu diperkukuhkan, manakala pasukan rondaan berkereta perlu ditambah bagi membolehkan rondaan dilakukan dengan lebih kerap.
"Wanita BN juga mencadangkan penubuhan pasukan polis awam serta kemudahan kamera litar tertutup ditambah bukan sahaja di kawasan bandar malah di luar bandar.
"Isu-isu keselamatan ini perlu diberi perhatian seiring dengan pembangunan negara," jelasnya.
Sementara itu, pada program berkenaan, Shahrizat menyampaikan sumbangan wang daripada Wanita BN kepada seorang suri rumah, Woon Kim Fong, 46, yang menderita kanser usus.
Kim Fong kini menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali sebulan dan setiap sesi dikenakan caj sebanyak RM250.

Rakyat Johor buang 3.5 juta kg sampah sehari



MUNUSAMY (kiri) melihat sampah sarap yang dibuang di laluan belakang rumah kedai di Pusat Komersial Permas Jaya, Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri mendedahkan, penduduk di Johor menghasilkan sebanyak 3.5 juta kilogram (kg) sampah sehari.
Menurut Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad (gambar kecil), angka itu menyebabkan Johor tersenarai antara negeri yang 'menjana' pelbagai sampah sarap tertinggi di negara ini.
Katanya, jumlah itu dijangka bertambah sebanyak 3.5 peratus setiap tahun iaitu selari dengan kadar pertumbuhan populasi di negara ini.
Menurutnya, setiap isi rumah di negeri itu menghasilkan 4kg sampah sehari dan perkara itu berlaku kerana sikap penduduk di negeri ini yang tidak mengamalkan kitar semula sampah.
"Kebanyakan benda yang dibuang seperti botol plastik, kertas, tin aluminium yang mana semua material itu boleh dikitar semula termasuk sisa makanan yang dibuang," katanya ketika ditemui semasa Operasi Pembersihan Awam yang dilakukan secara besar-besaran di kawasan Permas Jaya di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk M. Munusamy.
Berdasarkan pemantauan pihak PPSPPA, Zainal Fitri berkata, sekiranya separuh sampah yang dibuang oleh orang awam itu dikitar semula, kira-kira 1,500 tan sampah dapat dikurangkan setiap hari.
Mengenai operasi itu, beliau memberitahu, pihaknya menjalankan operasi pembersihan awam secara besar-besaran dan bersepadu mulai semalam setelah pihak konsesi yang dilantik untuk berbuat demikian gagal memenuhi Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan pihaknya.
"Kerja-kerja pembersihan akan berterusan selama dua minggu di seluruh negeri Johor dan melibatkan 500 tenaga kerja daripada Southern Waste Management Environment Sdn. Bhd. dan subkontraktor," katanya.
Antara kawasan yang diberi tumpuan oleh PPSPPA ialah sekitar Permas Jaya, Taman Universiti, Kelapa Sawit di Kulai Jaya, Taman Limpoon dan Taman Kemajuan di Batu Pahat serta Kampung Bukit Mambai di Labis.
Tiga lagi kawasan iaitu Kampung Melayu, Taman Sri Paloh dan Taman Kemakmuran yang terletak di Kluang turut terlibat.
"Kita mahu pastikan semua kawasan itu benar-benar bersih dan diisytiharkan sebagai kawasan putih.
"Ia memerlukan kerjasama orang ramai untuk tidak membuang sampah merata-rata seperti di tepi jalan raya kerana kita telah bekalkan sebanyak 90,000 tong sampah ke setiap rumah," katanya.

Isteri hilangkan diri selepas ditegur suami

PECK CHING (kanan) dan Jie Yong menghilangkan diri sejak dua minggu lalu.


JOHOR BAHRU - Seorang suami tidak menyangka tindakannya menegur isterinya menyebabkan wanita tersebut menghilangkan diri bersama anak tunggal mereka sejak dua minggu lalu.
Ng Bon Hua, 26, kini runsing memikirkan nasib isterinya, Chew Peck Ching, 26, dan anaknya yang berusia lapan bulan, Ng Jie Yong, setelah semua usaha mencari mereka menemui jalan buntu.
“Sejak berkahwin pada Ogos tahun lalu, kami tidak pernah menghadapi sebarang masalah rumah tangga yang serius.
“Pada hari kehilangannya 9 September lalu, saya berpesan supaya dia menjaga diri kerana saya pulang lewat daripada menguruskan pusat kesihatan milik saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Aduan Rakyat di Taman Maju di sini semalam.
Bon Hua berkata, apabila dia pulang ke rumah, isteri dan anaknya telah meninggalkan rumah mereka di sini dan MyKid milik Jie Yong juga telah tiada.
Ceritanya lagi, beberapa hari sebelum kejadian, dia menegur dan melarang Peck Ching memberikan susu badan kepada bayi mereka memandangkan wanita itu seorang perokok.
“Ketika itu dia hanya mendiamkan diri tetapi saya dapat rasakan dia merajuk ekoran teguran tersebut. Bagaimanapun saya tidak menyangka dia akan bertindak keluar dari rumah,” katanya.
Bon Hua berharap isteri dan anak kembali ke pangkuannya secepat mungkin dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubunginya di talian 07-699 3537.

Anak-beranak penyamun dicekup


JALALUDDIN menunjukkan barangan curi yang dirampas daripada tiga sekeluarga pada sidang akhbar di Pasir Puteh semalam.



PASIR PUTEH - Suami buat kerja meragut dan pecah rumah, isteri dan ibu menjual barangan hasil curi manakala si abang merancang kegiatan jenayah.
Begitulah hasil siasatan polis Kelantan yang mendapati sebuah keluarga di daerah ini terlibat dalam jenayah berkaitan 30 kes samun, ragut dan pecah rumah yang dilaporkan berlaku di Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu dan Bachok.
Hasil siasatan itu ekoran daripada penangkapan seorang lelaki berusia 19 tahun bersama isteri berusia 20 tahun dan ibunya yang berusia 51 tahun di ruang menunggu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kelmarin.
Sebelum berjaya ditangkap, ketiga-tiga suspek dipercayai cuba melarikan diri ke Sarawak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga suspek dikendaki polis untuk membantu siasatan 21 kes jenayah di Pasir Puteh, lima kes di Kota Bharu, dua di Bachok dan satu kes di Pasir Mas dan Tumpat.
Beliau berkata, suspek pertama dipercayai melakukan kegiatan jenayah ragut, pecah rumah dan samun manakala isteri dan ibunya akan menjual barangan yang dicuri kepada orang ramai.
"Semasa tangkapan dibuat di lapangan terbang berkenaan, polis yang membuat pemeriksaan badan menemui wang tunai RM1,847 dan wang Thailand berjumlah Baht 230.
"Suami isteri berkenaan kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah di Taman Panglima Gong Serapat dekat sini dan menemui 131 barangan yang dipercayai dicuri oleh mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan hajat seorang remaja yang dipercayai meragut seorang guru di Pasir Tumboh pada Jumaat lalu untuk melarikan diri ke negeri lain dengan kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra tidak tercapai apabila dia ditahan polis.
Suspek berusia 19 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 pagi semasa berada di ruang berlepas lapangan terbang itu.
Siasatan mengesyaki suspek terlibat dalam kes meragut seorang guru hingga cedera di Pasir Tumboh.
Dalam kejadian itu, mangsa, Zura Ashikin Mustafa, 48, bukan sahaja kerugian RM2,000 akibat diragut malah tulang pinggul kiri wanita itu patah akibat dilanggar kereta dinaiki suspek.
Jalaluddin berkata, antara barangan yang ditemui adalah pelbagai jenis kamera digital, TV LCD, pelbagai jenis telefon bimbit, beberapa unit komputer riba, alat pengimbas, pembesar suara, pelbagai jenis jam tangan, set kerongsang emas tiruan, beg komputer riba bertulis 'Hak Kerajaan Malaysia' dan dua kotak perkakasan besi yang mengandungi pelbagai saiz sepanar dan skru yang dipercayai digunakan ketika menjalankan kegiatan pecah rumah.
Beliau berkata, kesemua barangan tersebut dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dan ia dipercayai belum sempat dijual oleh isteri dan ibu suspek.
"Suspek pertama memang merbahaya kerana dia sanggup merempuh polis dengan kenderaan yang dipandu ketika polis cuba menangkapnya selain menyerang anggota polis di Pasir Puteh bulan lalu.
"Saya menganggap kes ini adalah jenayah pertama tahun ini yang membabitkan pergerakan aktif sebuah keluarga selain suspek pertama yang merupakan penagih dadah," tambahnya.
Jalaluddin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 394, 395, 457, 353, 307 Kanun Keseksaan dan semua suspek terbabit ditahan reman sehingga 30 September ini.
Bagi membantu siasatan kes, katanya, pihak polis sedang mencari abang suspek, Mohd. Raffiq Razuady Abdul Aziz, 29, (gambar kecil) atau Afis Cina yang mempunyai kad pengenalan bernombor 830321-03-5347.
Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati abang suspek adalah perancang utama kegiatan jenayah.

Tiga lelaki dipenjara sebabkan kematian


DARI kiri, Mohamad Taufik, Muhammad Asyraf dan Muhamad Ariff dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam selepas dikenakan hukuman penjara 14 tahun atas tuduhan menyebabkan kematian seorang eksekutif hotel.



ALOR SETAR – Tiga lelaki termasuk dua beradik terlepas daripada hukuman mati selepas mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam daripada tuduhan membunuh seorang eksekutif hotel dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab bagaimanapun memerintahkan Mohamad Taufik Ismail, 24, dan adiknya, Muhamad Ariff, 22, serta rakan mereka, Muhammad Asyraf Abdul Halim, 23, dipenjara selama 14 tahun.
Keputusan itu dibuat selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian Ahmad Ramzi Zakaria, 45, di rumah nombor 125, Jalan Desa Indah, Taman Desa Indah, Kuala Muda, Sungai Petani.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 3 pagi, 5 November hingga pukul 2.45 petang, 12 November 2010.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak sementara semua tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Md. Yusuf Idris.

Tiga penulis blog dipenjara


AFP
BEBERAPA anggota polis memeriksa pintu masuk ke mahkamah yang menjadi tempat tiga penulis blog dihukum penjara di Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam semalam.



BANDAR RAYA HO CHI MINH - Sebuah mahkamah di selatan Vietnam memenjarakan tiga penulis blog kerana kesalahan menyebarkan propaganda antipemerintah dalam satu perbicaraan singkat tetapi penuh dramatik.
Selepas perbicaraan selama beberapa jam, penulis blog berprofil tinggi, Nguyen Van Hai yang turut dikenali sebagai Dieu Cay dihukum penjara 12 tahun.
Seorang anggota polis wanita yang menjadi penulis blog, Ta Phong Tan pula dihukum penjara selama 10 tahun. dia menjerit semasa dibawa keluar dari mahkamah.
Ibu Tan meninggal dunia selepas membakar dirinya di hadapan sebuah bangunan pihak berkuasa tempatan pada Julai lalu bagi membantah dakwaan terhadap anak perempuannya itu.
"Jenayah mereka serius dan jelas berniat jahat terhadap negara," kata presiden mahkamah berkenaan di sini, Nguyen Phi Long.
Menurutnya, kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan membuat kenyataan penutup kerana mereka mencetuskan kekacauan di dalam mahkamah.
"Mereka mesti dikenakan hukuman yang berat," katanya.
Sementara itu, tertuduh ketiga, Phan Thanh Hai, 43, merupakan satu-satunya penulis blog yang mengaku bersalah dalam perbicaraan tersebut.
Dia dihukum penjara empat tahun selepas berjanji tidak akan mengulangi jenayah itu dan tidak akan berhubung lagi dengan pihak yang memusuhi negara.
Mereka didapati bersalah dalam kes berhubung beberapa artikel yang disiarkan dalam laman web Free Journalists Club dan beberapa artikel lain dalam web masing-masing.
Laman web itu diharamkan di Vietnam.
Ketiga-tiga penulis blog berkenaan mengecam rasuah dan ketidakadilan di negara berkenaan selain mengkritik dasar luar Hanoi.
Kesemua defendan perlu menjalani hukuman tahanan di dalam rumah antara tiga tahun hingga lima tahun selepas mereka selesai menjalani hukuman penjara.
- AFP

Virus seperti SARS dikesan di Asia Barat

LONDON - Pihak berkuasa Britain memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai sejenis virus sistem pernafasan yang menyerang seorang pesakit dari Qatar.
Lelaki berkenaan kini berada dalam keadaan tenat.
Dia jatuh sakit selepas diserang koronavirus yang menyebabkan demam selesema biasa selain penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Pada tahun 2003, beratus-ratus orang terutamanya di Asia maut akibat serangan wabak SARS.
Agensi Perlindungan Kesihatan Britain dalam satu kenyataan lewat kelmarin memberitahu bahawa pesakit berusia 49 tahun itu pernah berkunjung ke Arab Saudi baru-baru ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sampel virus daripada pesakit itu hampir menyerupai sampel kuman seorang warga Arab Saudi yang meninggal dunia pada awal tahun ini.
Pihak WHO memberitahu, pihaknya masih mengkaji kesan kedua-dua kes berkenaan terhadap kesihatan orang awam tetapi ia kini menasihatkan orang ramai supaya membataskan perjalanan mereka.
- AP

Lelaki menyamar doktor ditangkap

TOKYO - Polis Jepun semalam menangkap seorang lelaki yang menyamar sebagai seorang doktor untuk mendapatkan wang, kata polis dan pihak media.
Pihak berkuasa berkata, lelaki berkenaan, Miyabi Kuroki, ditahan setelah dia memeriksa kesihatan 2,300 orang.
Kuroki, 43, sebelum ini membaca buku-buku perubatan selama beberapa jam agar orang ramai tidak mengesyaki penipuannya.
Agensi berita tempatan, Jiji Press melaporkan Kuroki tidak memasuki mana-mana sekolah perubatan dan menyamar sebagai seorang doktor selepas menemui identiti pengamal perubatan bertauliah di internet.
Dia dihantar oleh sebuah agensi pekerjaan tempatan ke sebuah hospital di sini untuk melakukan temu bual kesihatan, memeriksa keputusan mesin ujian jantung dan memberi penerangan mengenai keputusan ujian perubatan kepada lebih 2,300 orang.
Penipuan Kuroki terbongkar apabila sebuah sekolah perubatan tempat dia dikatakan pernah mengajar sangsi dengan kredibilitinya dan menghubungi hospital berkenaan.
Polis di sini memberitahu semalam bahawa mereka telah menangkap Kuroki kerana mengesyakinya memalsukan lesen pengamal perubatan pada tahun 2009 dan menerima gaji 2.62 juta yen (RM104,414) setahun dengan bekerja separuh masa sebagai seorang doktor di sebuah hospital di sini pada tahun 2010 dan 2011.
Suspek dilaporkan mengaku melakukan kesalahan tersebut dengan alasan: "Saya perlukan wang untuk membayar nafkah anak saya dan sara hidup saya."
Dalam perkembangan berkaitan, pihak hospital tempat dia bekerja telah memohon maaf berhubung insiden itu.
Pihak hospital itu meminta semua pesakit yang pernah diperiksanya datang semula untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. - AFP

Askar Indonesia dihukum seludup manusia

MADIUN - Seorang sarjan menjadi askar Indonesia pertama dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana terlibat dalam jenayah penyeludupan manusia selepas Jakarta berusaha untuk mengekang kebanjiran pencari suaka pertama yang menggunakan negara berkenaan sebagai transit untuk ke Australia.
Hakim sebuah mahkamah memutuskan sarjan itu, Ilmun Abdul Said turut didenda AS$52,000 (RM159,752.86).
Perkhidmatan ketenteraannya turut ditamatkan.
Dalam kes berasingan, pihak pendakwa raya meminta empat pegawai tentera Indonesia dipenjarakan antara tujuh hingga lapan tahun jika mereka didapati bersalah dalam kes yang sama.
Parlimen Indonesia meluluskan rang undang-undang bagi mengharamkan penyeludupan manusia pada April tahun lalu.
- AFP

Jualan iPhone cecah lima juta unit

GAMBAR menunjukkan iPhone 5.


NEW YORK - Gergasi elektronik Amerika Syarikat (AS), menyatakan semalam bahawa jualan iPhone 5 mencecah lima juta unit selepas telefon pintar terbaharu itu dilancarkan pada hujung minggu lalu.
Apple dalam satu kenyataan berkata, sebahagian pelanggan terpaksa menunggu untuk memiliki gajet terbaharu tersebut ekoran jumlah permintaan kini melebihi bekalan.
"Permintaan untuk iPhone 5 menakjubkan dan kami sedang berusaha keras untuk membekalkan iPhone 5 kepada setiap pelanggan kami," kata Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook.
Menurutnya, iPhone 5 mula dijual di AS, Australia dan beberapa negara lain pada Jumaat lalu.
Gajet pintar itu akan dijual di 22 buah negara pada Jumaat ini.
iPhone 5 dijual pada harga bermula daripada AS$199 (RM611) untuk model berkapasiti 16 gigabit (GB) hingga AS$399 (RM1,225) bagi versi 64GB di AS. - Agensi

Pihak muzium tidak tahu urus kasut Imelda

AP
GAMBAR yang dirakamkan pada 19 September lalu menunjukkan sejumlah kasut yang pernah dipakai Imelda di Muzium Nasional Filipina.


MANILA - Beberapa pegawai muzium Filipina menyatakan, mereka tidak pasti apa yang hendak dilakukan dengan sejumlah besar pakaian dan kasut peninggalan bekas Wanita Pertama, Imelda Marcos (gambar) dan suaminya, Ferdinand Marcos yang pernah menjadi presiden.
Marcos digulingkan ekoran kebangkitan rakyat Filipina pada tahun 1986.
Menurut pegawai muzium, beberapa koleksi pakaian dan kasut itu berada dalam keadaan terbiar sejak lebih dua dekad lalu.
Muzium Nasional Filipina memberitahu, pihaknya menimbang untuk mempamerkan beberapa gaun Imelda tetapi tidak dapat membuat keputusan segera ekoran isu Marcos masih dianggap sensitif di negara berkenaan.
Pada masa yang sama, muzium tersebut mengesahkan laporan agensi berita AP bahawa sebahagian pakaian dan kasut milik Imelda rosak dalam hujan monsun pada bulan lalu.
Beberapa pegawai muzium berkata, sebahagian gaun dan kasut koleksi legenda Imelda rosak kerana berada dalam keadaan terbiar, hujan dan dimakan anai-anai. - AP

Penumpang monorel terkandas di Sydney

REUTERS
SEBUAH kren digunakan untuk menyelamatkan penumpang yang terkandas.


SYDNEY - Pekerja-pekerja penyelamat menggunakan beberapa buah kren untuk menyelamatkan para penumpang yang menaiki monorel di Pasar Paddy di sini ekoran gangguan bekalan elektrik, lapor media Australia semalam.
Menurut agensi berita Xinhua yang memetik laporan Perbadanan Penyiaran Australia, kira-kira 80 orang diselamatkan pada waktu tengah hari.
Para penumpang kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan ekoran masalah kehilangan air dalam badan dan trauma.
Namun, tiada laporan tentang kecederaan serius setakat ini.
Beberapa penumpang yang bimbang mula panik selepas mereka terpaksa menunggu semasa suhu panas selepas sistem penyaman udara tidak berfungsi.
Mengulas insiden tersebut, syarikat pembekal tenaga di sini, Ausgrid memberitahu, bekalan elektrik berjaya dipulihkan selepas kabel elektrik bawah tanah selesai dibaiki. - Bernama

Bergaduh dalam kilang keluar produk Apple



ATAS: Beberapa pekerja membersihkan bilik pengawal yang rosak semalam akibat pergaduhan melibatkan 2,000 orang pekerja di kilang Foxconn. - REUTERS
KANAN: Beberapa buah kereta polis diletakkan di depan pintu masuk ke kilang Foxconn di Taiyuan semalam. - REUTERS



BEIJING - Syarikat Foxconn yang mengeluarkan produk keluaran syarikat Apple dan beberapa firma elektronik lain menutup sebuah kilang di China semalam ekoran insiden pergaduhan melibatkan 2,000 orang pekerjanya, kata beberapa pegawai.
Sekitar 40 orang cedera dalam pergaduhan yang berlaku di kilang Foxconn, di Taiyuan pada pukul 11 malam kelmarin.
Syarikat induk Foxconn, Hon Hai memberitahu, pergaduhan tersebut berjaya dikawal oleh polis.
Beberapa gambar berkaitan insiden tersebut kemudian disiarkan di internet.
Imej-imej itu menunjukkan tingkap-tingkap sebuah bangunan pecah dan sebuah kereta polis berada dalam keadaan terbalik.
"Fasiliti ini akan dibuka semula esok," kata jurucakap Hon Hai, Simon Hsing.
Foxconn yang merupakan pengeluar komponen komputer terbesar di dunia, memasang produk untuk Apple, Sony dan Nokia selain beberapa firma lain.
Kenyataan yang sama memberitahu, pergaduhan itu bermula dengan pertikaian peribadi melibatkan beberapa pekerja di sebuah asrama kilang berkenaan yang terletak dalam wilayah Shanxi. - AFP

No comments:

Post a Comment