Filipina hantar kapal bawa pulang penceroboh
|
KUALA LUMPUR - Kerajaan Filipina telah menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
Kapal yang bernombor AT296 itu belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara rundingan dengan kumpulan itu berlangsung malam tadi.
Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina dalam satu kenyataan berkata, pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada Kedutaan Malaysia di Manila semalam.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert F. del Rosario dalam satu kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah serta keluarga mereka dan pada masa yang sama pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan.
"Sila lakukan ini demi keselamatan anda sendiri," katanya.
Mengenai kapal berkenaan, Rosario berkata: "Kami amat mengambil berat tentang kehadiran lima wanita dan beberapa orang awam dalam kumpulan itu dan kami menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah air."
Menurut kenyataan itu, di atas kapal berkenaan ialah pemimpin Islam-Filipino serta sukarelawan dan petugas perubatan.
Pada 12 Februari lalu, bot yang mengangkut lebih 100 lelaki bersenjata yang memakai pakaian celoreng tentera mendarat di pantai Lahad Datu.
Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai Askar Diraja Sulu dan tidak mahu warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke Filipina.
Askar itu telah bertahan di kampung itu sejak dua minggu lepas dan kerajaan Malaysia memberikan mereka masa hingga Jumaat lepas untuk meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun, tarikh penamat itu dilanjutkan selama 48 jam selepas kerajaan Filipina memohon lanjutan empat hari hingga Selasa atas alasan Manila sedang berusaha memujuk kumpulan itu supaya membatalkan pendirian mereka. - Bernama
Lagi amah Indonesia direman dera budak
|
KOTA BHARU – Seorang lagi amah warga Indonesia ditangkap polis kerana disyaki mendera anak majikannya yang berusia satu tahun tiga bulan dengan mencubit dan meliukkan tubuh budak itu ke belakang sebanyak dua kali di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini, malam kelmarin.
Perkara itu terbongkar akibat tindakan ibu bapa kanak-kanak perempuan itu yang meletakkan kamera video digital tersembunyi di bilik amah berusia 41 tahun itu setelah mengesyaki sesuatu berlaku pada anaknya yang sering dilihat lebam-lebam di badan sejak lima bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, wanita terbabit yang mula diambil bekerja melalui ejen yang sah sejak 2009 dan kontraknya disambung memandangkan sikapnya yang rajin melakukan kerja-kerja rumah.
“Majikannya hanya menyedari anaknya itu didera oleh pembantu rumah berkenaan selepas melihat kesan-kesan lebam pada badan anaknya, lalu bertanyakan hal itu kepada wanita terbabit, namun dia memberi alasan kanak-kanak itu terkena bucu meja ketika bermain.
“Curiga dengan pengakuan wanita itu, majikannya memasang kamera video digital yang diletakkan dalam bilik amah terbabit selepas melihat aksi rakaman bayi yang berusia empat bulan di Kuantan didera amah yang turut dipaparkan dalam televisyen,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Azham berkata, tindakan pasangan suami isteri berusia 29 dan 26 tahun itu, berjaya merakam aksi wanita terbabit yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan yang turut ditinggalkan bersama abangnya yang berusia dua tahun setengah apabila majikan terbabit keluar rumah kira-kira pukul 9.15 malam kelmarin untuk ke klinik berdekatan.
“Selepas pulang dari klinik kira-kira pukul 10.30 malam, pasangan itu masuk ke dalam bilik untuk mendapatkan kedua-dua anak mereka dan pada masa yang sama mengambil kamera video yang disorokkan dalam bilik amah terbabit.
“Pasangan terbabit terkejut melihat rakaman itu dengan aksi wanita terbabit yang meliukkan badan kanak-kanak itu ke belakang sebanyak dua kali.
“Dia kemudian meletakkan kanak-kanak itu dengan kasar ke atas kereta mainan. Disebabkan budak itu tidak berhenti merengek, dia pun meletakkannya ke atas tilam dengan kasar dan mencubit di bahagian paha.
“Abang kanak-kanak itu tidak diapa-apakan,” katanya.
Azham berkata, pasangan berkenaan membuat laporan di balai polis berhubung kejadian itu pada pukul 12.30 tengah malam dan 15 minit kemudian amah tersebut ditangkap polis.
“Amah tersebut ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) dan disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Nenek ditampar sebelum disamun
PARIT BUNTAR - Seorang penyamun yang menceroboh masuk rumah seorang warga emas yang hidup sebatang kara di Kampung Parit Tanjung Piandang Tengah dekat sini semalam menghulurkan wang tunai RM20 dan memohon dihalalkan barangan yang dicurinya sebelum melarikan diri.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, warga emas yang mahu dikenali sebagai Mek Ya, 75, kerugian RM3,000 apabila wang tunai dan rantai leher miliknya dilarikan seorang penjenayah yang masuk ke rumahnya.
Menceritakan kejadian tersebut, Mek Ya berkata, dia yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu bangun daripada tidur untuk mengambil wuduk di bilik air, tiba-tiba terasa bahunya ditepuk dari belakang.
"Sebaik menoleh ke belakang, muka saya ditampar berkali-kali manakala leher diacu parang. Selepas itu saya nampak seorang lelaki tanpa menutup muka mengugut untuk mencederakan saya jika saya menjerit," ceritanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurut warga emas itu lagi, dia kemudian dibawa ke ruang tamu rumah dan diminta duduk diam manakala penjenayah itu pula menggeledah rumahnya.
Mek Ya memberitahu, kira-kira setengah jam selepas menggeledah, suspek menjumpai wang tunai berjumlah RM2,000 yang disimpan di bawah tilam di bilik tidurnya.
Wang tersebut merupakan wang simpanannya yang menyara hidup dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mek Ya tiada zuriat dan hidup di rumah yang dibina di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Penjenayah itu kemudian merentap kasar rantai leher bernilai RM1,000 yang saya pakai.
"Sebelum penjenayah itu meninggalkan saya, saya merayu agar dipulangkan wang dan rantai leher saya kerana itu saja harta yang saya ada," katanya.
Dia memberitahu, penjenayah itu yang dipercayai warga tempatan mungkin tersentuh dengan rayuannya lalu memulangkan wang tunai RM20 sebelum meminta dia menghalalkan barangan yang dicurinya sebelum melarikan diri.
Mek Ya pasrah dengan ujian Allah tersebut bagaimanapun dia tidak akan memaafkan perbuatan penjenayah terbabit.
Warga emas itu memberitahu, dia percaya penyamun tersebut menceroboh rumahnya melalui tingkap bilik air berdasarkan dua rangka besi cermin tingkap yang patah.
Difahamkan, penjenayah yang menceroboh masuk rumah Mek Ya turut masuk ke sebuah rumah lain di kampung sama sebelum itu menyebabkan pemilik rumah terbabit hilang sebuah basikal, telefon bimbit dan wang tunai RM40.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kes tersebut.
Peluk cucu elak ditimpa pokok
SERIAN – Demi cucu kesayangan, seorang nenek sanggup meredah air lalu memeluk dua cucunya daripada ditimpa pokok Akasia yang tiba-tiba tumbang menghala ke kawasan air terjun di Taman Rekreasi Ranchan di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari, warga emas itu, Suhartilah M. Saleh, 71, retak tulang betis kiri serta luka di kepala manakala seorang cucunya, Jasmine Nurul Ain Tavip Widodo, 12, cedera di kepala dihempap dahan pokok yang sebesar satu pemeluk lelaki dewasa.
Anak Suhartilah, Winda Hernita Sulaiman, 40, yang berada di gigi air cedera di tangan kanan terkena dahan pokok. Seorang lagi cucu Suhartilah, Resty Audina Suriyanto, 9, menantunya, Suriyanto Muchsen, 47, dan empat lagi ahli keluarganya yang lain tidak cedera.
Sembilan ahli sekeluarga itu yang berasal dari Pontianak, Indonesia yang terletak 290 kilometer dari sini singgah di air terjun itu untuk bermain air selepas empat hari melancong di sini.
Suhartilah berkata, mereka singgah di air terjun itu pada pukul 11 pagi untuk mandi sebelum bercadang meneruskan perjalanan pulang ke Pontianak.
Semasa kejadian, kata wanita itu, dua orang cucu dan menantunya mandi di air terjun itu manakala dia serta dua anak perempuannya hanya bermain di gigi air. Tiga lagi ahli keluarga Suhartilah berada di sekitar air terjun itu.
“Ketika leka bermain air saya terdengar bunyi seperti guruh dan angin kuat menghala ke arah kami sebelum saya nampak ada sebatang pokok sedang tumbang ke arah dua orang cucu saya.
“Saya terus meredah air menarik dua cucu saya ke tebing kolam lalu memeluk mereka,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Serian di sini semalam.
Bagaimanapun, katanya, berikutan pokok itu yang rendang mereka empat sekeluarga cedera di beberapa bahagian badan terkena dahan-dahan pokok setinggi kira-kira 20 meter.
Taman Rekreasi Ranchan yang terletak enam kilometer dari bandar ini menjadi tumpuan bukan sahaja orang ramai sekitar Serian malah pelancong asing untuk beriadah.
Bas terbabas masuk kedai kasut
AMPANG JAYA - Sebuah bas persiaran yang didakwa penuh dengan warga Indonesia terbabas sebelum kenderaan itu menyeret enam buah kenderaan lalu merempuh sebuah kedai kasut dalam kejadian berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan 6/9, Kampung Tasik Tambahan berhampiran susur keluar Jalan Ampang-Hulu Langat di sini semalam.
Kemalangan yang berlaku pada pukul 6 pagi itu menyebabkan pintu kedai kasut dan rak-rak kasut di tingkat bawah rumah kedai itu musnah. Tiga buah kereta, sebuah van dan dua buah motosikal yang diletakkan di depan kedai itu rosak teruk. Tiga buah kereta yang terlibat ialah dua buah Proton Iswara dan sebuah kereta Proton Gen 2.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, tiada mangsa yang cedera.
Kemalangan itu didakwa berlaku kerana bas yang dalam perjalanan dari Johor menuju ke ibu negara itu mengalami masalah brek ketika menuruni jalan berbukit selepas keluar dari Jalan Ampang-Hulu Langat.
Bas yang hilang kawalan itu terus melepasi persimpangan lampu isyarat sebelum menyeret enam buah kenderaan sebelum berhenti selepas merempuh kedai kasut.
Seorang saksi, Normimi Shamsudin, 32, yang tinggal di tingkat tiga rumah kedai tersebut berkata, dia mengetahui mengetahui mengenai kejadian itu selepas berasa rumahnya bergegar dengan kuat.
"Apabila saya mengintai melalui tingkap saya nampak sebuah bas terperosok di pintu masuk sebuah kedai kasut," ceritanya semasa ditemui di tempat kejadian.
Dia yang tinggal di situ sejak tahun 2001 berkata, ekoran kejadian itu, ramai penduduk di kawasan itu cuba membantu penumpang bas tersebut namun ramai daripada mereka bertempiaran lari.
"Penduduk yang curiga dengan gelagat ramai penumpang bas itu lari terus menangkap pemandu bas dan menyerahkan lelaki itu kepada polis," kata wanita itu lagi.
Menurut Normimi, hanya beberapa penumpang bas yang tidak melarikan diri dan kebanyakan penumpang bas tersebut merupakan warga Indonesia.
Sementara itu, pengusaha kedai kasut itu pula, Tasha Zaharin, 35, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas menerima panggilan daripada salah seorang penduduk di situ.
"Bila sampai di tempat kejadian saya sangat terkejut kerana kedai saya rosak teruk," katanya sambil memberitahu ini merupakan kejadian pertama kedainya dirempuh kenderaan terbabas.
Cerita Tasha, kawasan itu memang kerap terjadi kemalangan tetapi ini merupakan kemalangan paling teruk berlaku melibatkan kenderaan berat.
"Setiap tahun pasti ada satu atau dua kemalangan di kawasan sama dengan bas terbabas itu. Saya yakin kejadian itu ada kaitan dengan jalan berbukit menyebabkan kenderaan mudah terbabas," katanya.
Berikutan itu, dia sebagai mewakili penduduk di sini merayu agar pihak bertanggungjawab membina tembok penghadang jalan bagi mengelak kejadian sama berulang dan mungkin meragut nyawa.
"Nasib baik kejadian ini berlaku pada sebelah pagi hari minggu, sekiranya berlaku pada hari persekolahan dikhuatiri ada nyawa yang terkorban," katanya.
Tasha yang menjual kasut-kasut terpakai pelbagai jenama menganggarkan kerugian yang dialaminya antara RM10,000 hingga RM15,000.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Mohd. Nazri Zawawi berkata, pemandu bas yang berumur 38 tahun sudah membuat laporan dan mendakwa kemalangan itu berlaku selepas bas tersebut mengalami masalah brek.
"Kita hanya mengetahui bas itu membawa 15 penumpang Indonesia dari Johor dan dalam perjalanan bekerja di ibu negara," kata beliau.
Menurut beliau, semua warga asing yang diperiksa termasuk bas itu memiliki dokumen yang sah.
Haram beli VCD cetak rompak
BERA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam proses menyediakan bukti-bukti termasuk daripada sudut agama Islam sebelum mengemukakan cadangan kepada Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan supaya mewartakan fatwa haram membeli cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syor itu difikirkannya selepas beliau melihat langkah tersebut dilaksanakan di Indonesia dan berjaya mengatasi gejala cetak rompak di republik tersebut.
“Kita akan mendapatkan secara terperinci tentang fatwa dan dalil dari segi ayat al-Quran dan hadis serta rasional fatwa berkenaan.
“Kementerian juga akan berbincang dengan Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia secara mendalam selepas selesai mengumpulkan bukti,” katanya selepas melancarkan Program Kids@Kepenggunaan 2013 Gerak Gempur Cetak Rompak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera, Bandar 32 di sini semalam.
Lebih 2,000 murid, ibu bapa, guru dan masyarakat setempat menghadiri majlis berkenaan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Saripuddin Kassim, Pegawai Pelajaran Daerah Bera, Bahari Mat, Pengetua SMK Bera, Bandar 32, Abdul Hadi Abdul Rahman dan Penolong Pengarang Berita Kosmo!, Radzuan Hassan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan fatwa haram di Indonesia itu diketahui oleh rakan sejawatannya di negara berkenaan baru-baru ini dan mendapati ia memberi kesan positif kepada umat Islam di republik berkenaan.
Katanya, masalah kewujudan VCD dan DVD cetak rompak tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya tanpa kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai keburukan membeli barangan tersebut.
“VCD dan DVD cetak rompak hanya dapat dimansuhkan sepenuhnya jika tiada pengguna mahu membeli barangan berkenaan kerana masalah tersebut bergantung kepada konsep permintaan.
“Selagi wujud permintaan selagi itulah masalah ini akan terus berlarutan meskipun pihak KPDNKK melakukan banyak serbuan dan kempen penerangan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berharap masyarakat Islam menyedari bahawa pembelian VCD dan DVD cetak rompak adalah salah kerana ia merampas dan mencuri hak orang lain.
Israel minta Palestin reda ketegangan
|
BAITULMUQADDIS - Israel semalam menyatakan pihaknya menghantar tuntutan kepada kepimpinan Palestin supaya mengekang kekacauan selepas beribu-ribu tahanan mengadakan mogok lapar di penjara-penjara Israel, manakala para penyokong mereka bertempur dengan pasukan keselamatan di Tebing Barat yang ditakluki rejim Zionis.
Menurut kenyataan Tel Aviv, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada masa yang sama mengarahkan pembayaran hasil cukai untuk bulan Januari yang dipungut oleh Israel bagi pihak Palestin dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Ia sebagai usaha untuk 'memujuk' PA campur tangan untuk meredakan ketegangan ekoran isu mogok lapar tersebut.
Protes di Tebing Barat semakin memuncak sebagai tanda sokongan kepada tahanan Palestin yang ditahan Israel dan bagi membantah perluasan penempatan haram Yahudi.
Seorang pegawai berkata, hampir semua tahanan Palestin di penjara-penjara Israel mengadakan mogok lapar semalam selama sehari bagi membantah kematian mengejut seorang tahanan yang didakwa pihak berkuasa penjara meninggal dunia akibat serangan jantung.
"Seramai 4,500 orang, sebenarnya hampir setiap tahanan (mengadakan mogok lapar)," kata jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel, Sivan Weizman.
Banduan itu, Arafat Jaradat, 30, meninggal dunia secara mengejut di Pusat Tahanan Megiddo, utara Israel.
Satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Palestin, Salam Fay- yad berkata, beliau mahukan penjelasan sebenar berhubung kematian bapa kepada dua orang anak itu.
Beberapa saksi dan sumber keselamatan berkata, berita kematian Jaradat mencetuskan pertempuran antara pemuda Palestin dan pasukan keselamatan Israel di Hebron.
Menurut perkhidmatan perisikan Israel, Shin Bet, Jaradat ditahan kerana terlibat dalam insiden baling batu sehingga menyebabkan seorang warga Israel cedera pada November 2012.
- Agensi
Bashar dikecam sebagai syaitan bisu
SHARJAH, Emiriah Arab Bersatu – Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam mengecam Presiden Syria, Bashar Al-Assad dengan memanggilnya sebagai ‘syaitan bisu’.Beliau berkata demikian kerana pemimpin Syria itu telah melakukan serangan terhadap rakyatnya sendiri dan tidak terhadap Israel yang menduduki beberapa wilayah di Syria secara haram.
Erdogan menghadiri forum komunikasi pemerintah di negara ini.
Beliau bersama para pemimpin rantau Teluk turut memberi sokongan kepada para penentang Bashar.
“Kami tidak akan berdiam diri ketika berdepan diktator yang zalim, syaitan bisu yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyatnya sendiri. Namun, beliau hanya membisu dan sepi terhadap pihak (Israel) yang menduduki wilayahnya sejak berdekad-dekad lalu,” kata Erdogan pada forum tersebut.
Lebih 60,000 orang terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan askar-askar Bashar sejak Mac 2011.
Para penentang itu mahu menggulingkan Bashar ekoran kejayaan kebangkitan penduduk di Libya, Mesir dan Tunisia. – Agensi
Tiga ditembak mati semasa tunjuk perasaan antiblogger
DHAKA - Seramai tiga orang penunjuk perasaan terbunuh manakala berbelas-belas yang lain cedera apabila anggota-anggota polis melepaskan tembakan rambang di Bangladesh semalam.Kejadian itu berlaku dalam tunjuk perasaan bagi menuntut beberapa blogger yang dituduh kufur dihukum mati.
Seramai 18 orang cedera selepas terkena peluru di Singair di daerah Manikganj.
Seorang pegawai perubatan di Hospital Singair, Khalilur Rahman berkata, tiga orang yang terbunuh itu mati selepas cedera terkena tembakan.
Timbalan Ketua Polis Manikganj, Mizanur Rahman berkata, pertempuran berlaku selepas 3,000 orang penunjuk perasaan termasuk pelajar dari sekolah-sekolah agama dan para penyokong sebuah parti pembangkang utama melakukan sekatan di sebuah lebuh raya.
"Mereka menyerang kami dengan parang, kayu, bata dan senjata api dari tiga arah semasa kami cuba meleraikan sekatan itu," katanya.
Keganasan itu berlaku selepas 12 parti kecil Islam yang disokong parti Islam terbesar, Jamaat-e-Islami dan Parti Nasionalis Bangladesh yang membangkang mendesak mogok diadakan di seluruh negara pada Jumaat lalu.
Mogok itu bertujuan untuk membantah tindakan polis ke atas para pengikut parti-parti tersebut.
Empat orang terbunuh dalam tunjuk perasaan yang diadakan pada Jumaat lalu itu.
Ketegangan memuncak di negara ini berhubung blog anti-Islam yang dikendalikan seorang blogger, Ahmed Rajib Haider.
Bagaimanapun, Haider mati selepas dibunuh dekat rumahnya di sini.
Dia dan rakan-rakan bloggernya menuntut parti Jamaat-e-Islami diharamkan dan para pemimpinnya dihukum mati kerana terlibat dalam jenayah perang semasa perjuangan kemerdekaan menentang Pakistan pada tahun 1971. - AFP
10 orang cedera di Selatan Thailand
PATTANI - Kumpulan gerila pemisah dipercayai meletupkan dua butir bom mengakibatkan 10 orang cedera, kata polis semalam.Menurut polis, kumpulan berkenaan juga melancarkan serangan kecil di 29 lokasi di selatan Thailand.
Seorang pegawai polis, Kolonel Tongsuk Jaranpong berkata, sejumlah gerila meletupkan sebutir bom yang diletakkan di dalam sebuah tong sampah di sini malam kelmarin.
Letupan itu menyebabkan tiga anggota polis mengalami cedera ringan.
Tongsuk berkata, tujuh anggota keselamatan awam cedera ringan dalam satu lagi kejadian letupan lain semasa mereka menaiki sebuah trak pikap di Pattani kelmarin.
Katanya, para anggota pemisah juga membakar tayar dan beberapa bangunan di 29 lokasi berbeza di seluruh wilayah Pattani.
Lebih 5,000 orang terbunuh wilayah selatan Thailand sejak gerakan pemisah melancarkan serangan pada tahun 2004. - AP
Samsung perkenal Galaxy Note 8.0
|
SEOUL - Syarikat Samsung semalam memperkenalkan komputer tablet Galaxy Note 8.0 berukuran 20.32 sentimeter (sm) dengan keupayaan panggilan telefon bagi menyaingi tablet iPad mini keluaran Apple selain untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran dengan menawarkan gajet yang pelbagai saiz.
Gajet baharu tersebut dijana perisian Android keluaran Google dan akan dipamerkan di Kongres Mobil Sedunia di Barcelona bermula hari ini.
Seperti gajet Galaxy Note sebelum ini, ia didatangkan dengan pen jejarum untuk membolehkan pengguna menulis dan melukis pada skrinnya.
Menurut Samsung, jualan global tablet tersebut akan bermula pada suku kedua tahun ini. - AFP
Kemalangan dahsyat di litar lumba AS
PANTAI DAYTONA, Florida - Satu kemalangan dahsyat menyebabkan kereta pelumba Kyle Larson melambung ke udara dengan serpihan mengenai tempat duduk penonton dan mencederakan berpuluh-puluh orang pada perlumbaan pembukaan kereta NASCAR di Litar Antarabangsa Kelajuan Daytona di sini kelmarin.
Presiden Litar Antarabangsa Daytona, Amerika Syarikat (AS), Joie Chitwood berkata, seramai 28 penonton cedera dalam insiden tersebut dengan 14 mangsa dibawa ke beberapa buah hospital tempatan.
Menurutnya, seramai 14 mangsa lain dirawat di sebuah kemudahan perubatan di litar tersebut.
Menurut Chitwood, beliau tidak dapat mengesahkan tentang laporan bahawa sekurang-kurangnya dua orang parah dalam kejadian itu.
"Adalah tidak wajar untuk saya mengulas tentang perkara tersebut," kata Chitwood pada satu sidang akhbar di litar itu tiga jam selepas kemalangan berlaku.
Pelbagai laporan media menyatakan angka kecederaan nahas tersebut melebihi 30 orang.
Stesen televisyen ESPN melaporkan seorang penonton dewasa mengalami trauma manakala seorang remaja berusia 14 tahun mengalami kecederaan kritikal tetapi tidak mengancam nyawanya.
Kemalangan berlaku apabila kereta Regan Smith dirempuh ketika beliau cuba menghalang pelumba-pelumba lain untuk memotongnya.
Perlanggaran tersebut menyebabkan kereta Larson melambung ke pagar yang memisahkan litar dengan tempat duduk penonton.
"Saya dilanggar dari belakang dan tidak sempat untuk berbuat apa-apa," kata Larson selepas keluar dari kereta lumbanya yang remuk.
Semua pelumba yang terlibat dalam kemalangan tersebut tidak cedera.
Seorang pelumba, Michael Annett dimasukkan ke hospital kerana dadanya hanya tercalar dalam kejadian itu. - AFP
No comments:
Post a Comment