Wednesday, February 27, 2013

CUAI...DAH MATI BARU NAK SIASAT

Kejar kereta pulang RM37,500

Oleh Haidhar Hilmi
Batu Pahat: Usianya baru 13 tahun namun kejujuran dan kemurnian hati Amir Azizan Hashim mungkin jauh mengatasi orang dewasa apabila dia memulangkan semula beg tangan berisi RM37,500 (SG$15,000) milik seorang wanita warga Singapura yang tercicir.
“Saya mengayuh basikal selaju mungkin mengejar kereta dinaiki wanita itu bagi mengembalikan beg tangannya,” katanya mengimbas kejadian itu yang berlaku berhampiran sebuah pasar raya di Taman Soga, di sini, awal Januari lalu.
Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Esa, di sini, ditemui selepas menerima sijil penghargaan atas kelakuan terpujinya itu daripada pihak sekolah, semalam.

Sijil penghargaan itu disampaikan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Dato’ Syed Esa, Mohd Taat Kasran.
FotoAmir Azizan

Amir Azizan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi, awal Januari lalu ketika dia ke pasar raya berkenaan untuk membeli akhbar.

Terduduk atas arus elektrik

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque, Norul Awatif Romli dan Ahmad Isyafiq Mad Desa
Klang: Sikap individu tidak bertanggungjawab mencuri penutup kotak pembekal elektrik (link box) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah (SMKTIS), Kapar, di sini, membawa padah apabila seorang pelajar lelaki maut terkena renjatan elektrik.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari semalam, mangsa, Mohd Amirul Shafiq Halim, 15, dikatakan duduk di atas kotak pembekal elektrik berkuasa 33 kilovolt (kV) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama tujuh rakan yang lain.

Bagaimanapun, tiba-tiba dia terkena renjatan arus elektrik yang mengalir dari kotak itu sebelum terpelanting dan tidak sedarkan diri.

Saksi, M Ganisan, 55, yang berada tidak jauh dari tempat kejadian berkata, ketika kejadian dia sedang melakukan rondaan rutin di kawasan luar sekolah bagi memantau keadaan keselamatan pelajar.
FotoKAWASAN kejadian kini dilarang masuk untuk mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, tiba-tiba dia terdengar kekecohan di kalangan pelajar sebelum bergegas meninjau apa berlaku.

TNB tubuh jawatankuasa khas siasat kejadian

Klang: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat punca sebenar kejadian renjatan elektrik yang meragut nyawa, Mohd Amirul Syafiq Halim, 15, petang semalam.
Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Mohd Azim Yusof berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan ke Suruhanjaya Tenaga untuk tindakan susulan dan pihaknya sudah menghantar beberapa pegawai ke lokasi kejadian untuk mengumpul maklumat.

“Kami bersimpati dengan apa yang menimpa mangsa serta keluarganya dan tidak mahu kejadian sama berlaku terhadap orang awam terutama kalangan pelajar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
“Dalam kes ini, kami akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian itu secara terperinci,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas kejadian itu, beliau berkata, kotak pembekal elektrik di lokasi kejadian rosak akibat perbuatan vandalisme.

Katanya, sebelum kejadian, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai keadaan kotak yang tidak bertutup itu.
“Kami tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai keadaan kerosakan pada kotak pembekal elektrik itu,” katanya.

Menurutnya, sekiranya laporan kerosakan diterima lebih awal, pihak TNB akan menghantar pegawai ke lokasi dan membaikinya dengan serta merta berdasarkan tahap kerosakan.
Katanya, beliau amat berharap orang awam bekerjasama dengan TNB bagi membantu pihaknya menjalankan pemantauan, pemeriksaan dan pembaikan setiap fasiliti yang disediakan TNB.

Sementara itu, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPS) mencadangkan Sekolah Kebangsaan Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Idris Shah memohon kepada pihak berkuasa tempatan untuk membina dua pondok bas di kedua-dua arah berhadapan sekolah itu.

Pengarahnya, Mahmud Karim berkata, ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang kerana kawasan itu menjadi tumpuan pelajar sekolah yang menunggu bas selepas tamat sesi persekolahan.

Murid selamat al-Quran

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
Rantau Panjang: Ketika kanak-kanak lain seronok bermain air, lain pula dilakukan Nurul Natasha Mohd Yasin, 11, apabila dia menyelamatkan beberapa naskhah al-Quran di dalam bilik darjah yang ditenggelami banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, di sini, semalam.
Nurul Natasya yang juga murid tahun lima sekolah berkenaan berkata, dia keluar rumah untuk melihat keadaan sekolahnya yang ditenggelami banjir sebelum teringat ada beberapa naskhah al-Quran berada di dalam bilik darjah.
Katanya, meskipun terpaksa meredah air sehingga paras pinggang dalam kawasan sekolah berkenaan, dia memberanikan diri untuk melihat keadaan bilik darjah.

“Selepas masuk ke dalam bilik darjah saya memeriksa setiap meja murid dan mendapati ada al-Quran tertinggal sebelum segera menyelamatkannya daripada ditenggelami banjir.
FotoNURUL Natasha menyelamatkan beberapa naskhah Al-Quran di dalam bilik darjah daripada ditenggelami banjir.

“Meskipun terpaksa meredah banjir sehingga paras pinggang, saya tetap memberanikan diri untuk melihat keadaan bilik darjah, malah saya menganggap ia satu tanggungjawab sebagai umat Islam,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tak sempat jamah bekal ibu

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
Rembau: Hasrat seorang pelajar lelaki Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Alor Gajah, Melaka, bersarapan nasi lemak dibekalkan ibu bersama rakannya di asrama pusat kemahiran itu tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Seremban-Tampin dekat Kota, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, mangsa Mohamad Abdurrahman Azmi, 21, pelajar jurusan Diploma Teknologi Telekomunikasi menunggang motosikal Honda EX-5 dari arah Rembau ke Tampin itu meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta Honda Hybrid dari arah bertentangan.
Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bapa mangsa, Azmi Ahmad, 50, berkata, arwah pulang ke rumah mereka di Taman Seri Rembau, di sini, malam kelmarin kerana mahu mengambil duit belanja dan bergerak pulang ke kolej ADTEC pagi semalam.
FotoANGGOTA polis mengangkat mayat Mohamad Abdulrahman apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta, semalam.

“Saya bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Seremban. Kali terakhir saya jumpa dia jam 7 pagi sebelum saya ke sekolah, tetapi arwah tidak bersarapan bersama kerana mahu makan bersama rakannya di asrama.

Dua maut hidu asap

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Petaling Jaya: Dua pekerja sebuah restoran nasi kandar di Jalan 14/14 Seksyen 14, di sini, maut dipercayai akibat lemas terhidu asap tebal dalam kejadian kebakaran di asrama tingkat tiga restoran itu.
Dalam kejadian jam 7 malam tadi, kedua-dua mangsa warga India berusia 28 dan 37 tahun masing-masing ditemui dalam bilik dan tandas tingkat tiga asrama berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 Esa Aini berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 7.54 malam membabitkan kebakaran atas restoran nasi kandar Seksyen 14, di sini.

“Sebanyak tiga jentera dihantar ke lokasi kejadian dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Damansara dan Penchala membabitkan 27 pegawai dan anggota.
FotoANGGOTA polis mengusung mayat mangsa lemas.

“Jentera pertama tiba jam 8.01 malam. Seramai lapan pekerja restoran terperangkap di tingkat tiga asrama berkenaan ekoran api marak dan asap tebal,” katanya kepada pemberita, semalam.

Diculik rakan lama

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Ampang: Seorang pemandu teksi melalui azab dan penyeksaan selama lebih dua jam selepas diculik lapan lelaki, Ahad lalu.
Mangsa bukan saja disiram dengan air panas, malah turut dititis cecair lilin pada seluruh badan, dicucuh rokok selain dipukul dengan paip getah.

Kejadian awal pagi itu menyebabkan lelaki berusia 44 tahun terbabit cedera serius di badan selain patah tangan kanan sebelum diselamatkan polis hasil maklumat awam yang menyedari mangsa diculik.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Liong berkata, sebelum diculik, dia dan seorang rakan pergi ke sebuah kelab malam di Taman Maluri, di sini, untuk minum jam 1 pagi.

“Ketika minum, saya dihampiri sekumpulan lelaki yang menarik badan dan mencampak saya ke dalam sebuah kereta Toyota Vellfire.

“Saya dibawa ke sebuah kelab malam di Pandan Perdana dan dikurung dalam sebuah bilik. Ketika itu baru saya tahu dalang penculikan itu seorang daripada rakan lama saya yang dikenali sejak lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta, di Ampang, di sini, semalam.
FotoLIONG menunjukkan kesan kecederaan yang dialaminya.
Liong berkata, lelaki terbabit yang juga ahli perniagaan menculiknya kerana tidak berpuas hati selepas seorang rakan kongsi menipunya sehingga kerugian RM500,000 sebelum melarikan diri.

“Saya memperkenalkan rakan lama saya itu dengan rakan kongsinya lima tahun lalu. Mereka kemudian sepakat menjalankan perniagaan bersama. Selepas itu, saya tidak mencampuri urusan mereka dan kami terputus hubungan.
“Rakan menyangka saya terbabit penipuan itu dan menyuruh menggantikan wang berkenaan. Saya, menafikan dakwaan itu dan memberitahu tiada wang,” katanya.

Bagaimanapun, rakannya itu marah lalu mengikat kedua-dua tangan dan kaki sebelum memukul menggunakan paip getah dan menyiram punggungnya dengan air panas.

Mangsa berkata, dia meraung kesakitan merayu minta dilepaskan, namun rayuannya tidak diendahkan, malah diperlakukan lebih kejam apabila badannya dititis lilin dan dicucuh rokok oleh ahli kumpulan terbabit.

“Akibat pukulan kuat, tangan kanan saya patah. Seluruh badan dan punggung saya berasa pedih dan melecur. Saya terpaksa menempuh derita itu selama dua jam sebelum diselamatkan polis,” katanya.

Mujur ketika diculik, rakannya segera menghubungi keluarganya yang kemudian membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Md Nazri Zawawi berkata, pihaknya yang mendapat maklumat kejadian itu menahan lima lelaki.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 325, 363 dan 385 Kanun Keseksaan dan dituduh di Mahkamah Ampang, di sini, esok (hari ini).

‘Kuasa Allah’

Kuala Lumpur: “Apabila berlaku perkara sebegini kita perlu rasa terpegun dengan kekuasaan Allah bukan sebaliknya,” kata Penceramah bebas Zawiyah Hassan mengulas mengenai Muhd Syafiq Abdul Hamid, 10, yang mendapat julukan ‘Budak Superman’.
Ini berikutan Muhd Syafiq masih hidup dan mampu berjalan selepas digilis traktor mengangkut buah sawit seberat lebih tiga tan ketika dalam perjalanan menuju pusat pengumpulan sawit Changkat Lobak, Alor Pongsu, Bagan Serai 29 Januari lalu.

Menurutnya, bagi kebanyakan orang mungkin kejadian itu dirasakan pelik namun ia adalah urusan Allah, malah keajaiban boleh berlaku pada kehidupan manusia pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya.
“Kejadian seperti ini adalah bukti kekuasaan Allah dalam menentukan ajal dan maut setiap makhluk. Bagaimanapun, jangan sampai kita percaya perkara-perkara khurafat disebabkan keajaiban yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.

‘Tolong jangan tangkap saya’

Sik: “Tolong tuan, jangan tangkap saya. Ini semua wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ibu saya, bukan wang judi tuan,” demikian reaksi seorang lelaki lingkungan 20-an selepas sepasukan polis menyerbu lokasi ‘mini kasino’ berhampiran Kampung Chong, dekat sini, awal pagi semalam.
Sumber berkata, ketika diserbu kira-kira jam 9 malam, sepasukan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah diketuai Inspektor Mohd Nasrul Faiz mendapati 20 lelaki asyik membuat taruhan tanpa menyedari kegiatan mereka sedang dipantau.

Menurutnya, difahamkan, sekumpulan lelaki terbabit memilih lokasi ladang buah-buahan bertingkat itu berikutan ia dapat melindungi kegiatan mereka selain mudah untuk tahi judi mengesan kehadiran pihak berkuasa. “Pada mulanya, lelaki itu merayu kepada anggota polis supaya tidak menahannya kerana mendakwa membawa wang tunai RM150 selepas mengambil wang itu daripada JKM untuk bantuan ibunya yang sedang sakit.
“Pemerhatian yang dilakukan sebelum itu mendapati lelaki terbabit adalah antara 20 lelaki ‘tahi judi’ yang menjadi pelanggan setia di mini kasino itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus D7 IPK Kedah Asisten Superintendan Shaari Yaakob berkata, anggotanya menghadapi kesukaran melakukan serbuan di lokasi mini kasino terbabit kerana mempunyai empat ‘pos kawalan’ di sepanjang laluan sebelum tiba ke lokasi berkenaan.

Katanya, setiap pos kawalan itu dijaga oleh beberapa individu yang dilengkapi dengan ‘walkie-talkie’ bagi memaklumkan kepada setiap penjaga pos terbabit berhubung sebarang kenderaan yang masuk selain memaklumkan kepada penjaga mini kasino jika ada kenderaan yang mencurigakan melalui kawasan sekitar.
“Kami terpaksa masuk mengikut laluan alternatif memandangkan jalan berkenaan dijaga rapi oleh pengawal mini kasino itu. Selain itu, serbuan menghadapi kesukaran apabila kedudukan mini kasino itu terletak di bawah teres tanaman bertingkat.

“Ketika serbuan dilakukan di lokasi itu, ada antara tahi judi terbabit meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran walaupun kepungan sudah dilakukan di kawasan sekitar, namun sebahagian mereka berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

2 suspek culik diburu

Kuala Lumpur: Nasib seorang ahli perniagaan, K Gobala Guru, 48, yang dilaporkan hilang sejak 2 Februari lalu dipercayai diculik sekumpulan lelaki, masih belum diketahui dan polis sehingga kini sudah menahan lima suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, kelima-lima suspek berusia lewat 20-an hingga awal 30-an itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, suspek pertama ditahan di Kelana Jaya, sehari selepas mangsa dilaporkan hilang berikutan mangsa pernah membuat laporan ke atasnya pada tahun lalu kerana mengugut.
“Suspek kedua ditahan pada 16 Februari lalu di Jalan Tun Sambanthan, di sini untuk membantu siasatan, namun dilepaskan selepas dijamin, manakala tangkapan terakhir pula dibuat Jumaat lalu, seramai tiga orang ditahan dan mereka direman sehingga hari ini (semalam).

“Polis masih menjejaki dua lagi suspek berusia 20-an dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya.

Dibelasah kekasih panas baran

Gombak: Gara-gara memutuskan hubungan dengan teman lelakinya, seorang remaja perempuan bukan sahaja dimaki-hamun malah turut dibelasah kekasihnya itu yang datang ke rumahnya di Selayang Baru, dekat sini, kelmarin.
Malah, lelaki berusia 20-an itu turut mengugut memukul ibu mangsa yang cuba meleraikan pertengkaran antara mereka.

Mangsa berusia 15 tahun yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Selayang.
Sumber berkata, mangsa yang tidak tahan dengan sikap panas baran dan cemburu buta teman lelakinya itu bertindak mahu memutuskan hubungan mereka beberapa hari sebelum kejadian itu.

“Bagaimanapun, tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati teman lelakinya menyebabkan dia mencari mangsa di rumah,” katanya.

‘6 kali dilanda bah sejak Disember’

Kuala Berang: “Sepanjang musim tengkujuh yang melanda negeri ini sejak Disember tahun lalu sudah enam kali kawasan kampung dilimpahi banjir,” kata Melor Rani, 45, yang terpaksa menutup kedai runcitnya berikutan air memenuhi kawasan rumah.
Menurutnya, kawasan kampung terletak di tepi tebing Sungai Telemong, dekat sini, mengakibatkan air sungai melimpah sekiranya hujan lebat dalam tempoh melebihi 24 jam.

Katanya, setiap kali banjir dia terpaksa mengangkat barang dalam kedai ke bahagian lebih tinggi bagi mengelak kerosakan selain menutup kedai dalam tempoh tiga hingga empat hari.
“Sepanjang musim tengkujuh bermula Disember lalu sudah enam kali kawasan kampung ini dinaiki air dan fenomena terbabit jarang berlaku kerana sebelumnya hanya dua atau tiga kali kampung ini dilanda banjir.

“Akibat hujan tidak berhenti sejak dua hari lalu air mula memenuhi kawasan kampung sedalam 0.5 meter dan sebahagian jalan yang menghubungkan kampung ini ke kampung bersebelahan juga terputus,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Melor yang berasal dari Kampung Nibong, dekat sini, berkata, akibat banjir sebelum ini dia mengalami kerugian RM1,500 apabila tidak sempat mengalihkan barangan selepas kedainya dinaiki air.
Penduduk, Fatimah Mohd Diah, 58, berkata, pengalaman setiap tahun menghadapi musibah itu membolehkan penduduk melakukan persiapan awal seperti mengalihkan barangan ke bahagian rumah lebih tinggi.

Mahkamah tambah empat lagi sebatan

Oleh Sarah Zulkifli
Shah Alam: Seorang mekanik terpaksa akur selepas Mahkamah Tinggi semalam, menambah hukuman penjara dan sebatan terhadapnya yang didapati bersalah merogol seorang pelajar tingkatan satu yang kononnya mahu dihantar ke sekolah, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan Boh Chun Peng, 23, dipenjara 10 tahun dan enam kali sebatan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun lima bulan di sebuah rumah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, antara jam 12.20 tengah hari dan 6.30 petang, 18 Januari 2010.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Pada 29 Oktober 2011, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mensabitkan perayu bersalah atas tuduhan itu.

Ghazali dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira kekerapan kes rogol yang berlaku dan berharap hukuman diberikan dapat memberi pengajaran kepada orang ramai.
“Dalam kes ini, perayu mengambil kesempatan terhadap mangsa yang ingin ke sekolah pada hari kejadian,” katanya.

Penganggur liwat budak dijel 10 tahun

Kota Bharu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Azman Mustapa menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mokhtar Wan Sidek, 34, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan melampaui munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

“Selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah,” katanya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan.

Mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat tambahan jaminan RM7, 000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, Wan Mokhtar didakwa meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun berhampiran Jambatan Sungai Rasau, Pasir Puteh pada jam 2.30 petang, 29 Jun 2011.
Bagi kesalahan itu, Wan Mokhtar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela Rosmizan Sulaiman memohon tertuduh dijatuhi hukuman minimum.
pix_topright

Bahana minta kasut

London: Sebagai seorang daripada lima kumpulan muzik paling terkenal di dunia, Harry Styles sudah biasa dihujani limpahan hadiah.
Tetapi remaja itu mengalami kesakitan kelmarin apabila hasrat peminat untuk memberinya hadiah bertukar menjadi insiden buruk.

Selepas seorang peminat membaling kasut ke atas pentas ketika konsert di Glasgow, Scotland, Styles bertanya kepada penonton mengapa dia hanya mendapat sebelah kasut.
Pada waktu itu, peminat membaling sebelah lagi kasut ke pentas dan mengenai kelangkangnya. Penyanyi berusia 19 tahun itu dilihat memegang bahagian kemaluannya sebelum rebah di pentas dengan anggota One Direction (1D) yang lain iaitu Liam Payne dan Zayn Malik bergegas ke arahnya.

Namun, selepas melaungkan 'Man down!' setelah menyaksikan insiden itu, anggota kumpulan itu segera memastikan kepada penonton bahawa Styles dalam keadaan baik. Dan Styles berupaya bangun dan meneruskan persembahan. Penyanyi itu dilihat meluru dan menggeliat bagi memastikan semuanya baik sebelum dia meneruskan persembahan dengan anggota kumpulan yang lain ketika konsert jelajah Take Me Home mereka. Sementara kasut menjadi hadiah paling luar biasa dibaling ke pentas, ia adalah hadiah paling pelik yang diterima kumpulan itu setakat ini - Agensi

Perenang maut dibaham jerung

Auckland: Perenang Auckland dibaham hingga mati oleh seekor jerung berukuran 4.3 meter, dipercayai jenis Great White, semalam.
Adam Strange, 46, diserang dan ditarik ke dalam air 200 meter dari pantai Muriwai di Auckland pada jam 1.30 petang di depan beratus-ratus pengunjung pantai.

Lebih tiga lagi jerung dikatakan terbabit dalam serangan itu ketika anggota polis melepaskan 20 tembakan dari bot keselamatan dan helikopter dalam usaha menyelamatkan Strange.

Polis berkata, mereka tidak tahu sama ada tembakan mereka mengenai jerung itu, tetapi haiwan itu berundur dan menghilangkan diri.

Tubuh mangsa kemudian ditemui di laut. Polis berkata, keluarganya sangat kecewa. Mereka menyifatkan mangsa, penerbitan filem sebagai bapa, suami dan kawan yang hebat serta baik.

Pengawal pantai yang mengenali Strange mengambil masa setengah jam untuk menemui mayatnya yang di kelilingi dua jerung.

Menurut laman web stuff.co.nz, seorang nelayan, Pio Mosie yang menyaksikan serangan itu menyifatkan kejadian itu mimpi ngeri.

“Kami melihat jerung muncul dan seminit kemudian ia menyerang mangsa dan kelihatan darah dekat permukaan air.

“Mangsa bergelut dengan jerung itu sebelum ikan itu meninggalkan kawasan. Kemudian, beberapa lagi jerung datang menyerang mangsa.

“Kami hanya dapat melihat ikan itu menarik mayat mangsa ke kawasan lebih jauh,” katanya. - DM
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

No comments:

Post a Comment