Friday, January 29, 2010

Teman sembang ugut siar gambar bogel


KUALA LUMPUR 29 Jan. - Annie, 31, adalah antara jutaan peminat laman sembang di Internet yang menjadi kegilaan wanita muda.

Setiap hari eksekutif muda itu akan melayari laman tersebut untuk berhubung dengan rakan-rakan di seluruh dunia.

Ini termasuk seorang teman lelaki berasal dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai William Bobby Madoff.

William mendakwa dirinya adalah doktor tentera Amerika Syarikat yang sedang berkhidmat di Afghanistan.

Hampir sebulan menjalin hubungan iaitu sejak Mac lalu, Annie mula jatuh hati dengan kata-kata manis William.

Perasaan itu juga mendorong Annie untuk melakukan kesilapan yang mengundang padah kepada dirinya - berbogel di hadapan kamera web.

"Dalam tempoh sebulan, saya telah membiarkan seluruh tubuh badan ditonton William sebanyak empat kali," kata Annie dalam pengakuannya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Namun tanpa disangka, William hanyalah imaginasi dan dipercayai warga Afrika yang menyamar.

Lebih malang, William juga adalah daripada satu sindiket penipuan.

"Pada awal April 2009, dia dengan tiba-tiba ingin menghadiahkan satu bungkusan mewah yang mengandungi komputer riba, IPhone, kamera digital, beg tangan kulit, tiga set barang kemas, satu album foto dan sejambak bunga. Bungkusan itu sepatutnya dihantar ke alamat pejabat saya di Kuala Lumpur tetapi terkandas di Sabah.

"Berikutan itu, saya diminta oleh seorang wanita yang mendakwa petugas syarikat kurier, untuk membayar sejumlah RM3,880 bagi mendapatkan bungkusan itu.

"Tetapi mujurlah saya tidak berbuat demikian kerana rakan sempat menghalang saya dan memberitahu bahawa banyak penipuan sebegini dilaporkan media," katanya.

Tambah Annie, sejak itu, dia telah menukar nombor telefon dan tidak lagi memasuki laman sembang bagi mengelak dihubungi lelaki itu.

Dia juga membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Menyangka segalanya telah berakhir tetapi mangsa tersilap. Pada 20 Januari lalu, mangsa dikejutkan semula dengan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) William.

"William mengugut saya tidak akan dapat terlepas daripada cengkamannya. Yang menakutkan, dia seolah-olah mengetahui gerak-geri saya termasuk tempat tinggal baru saya.

"Kini, saya lebih gusar dengan ugutannya yang ingin menyiarkan gambar bogel saya dalam Internet kerana cuba melarikan diri daripadanya," jelas mangsa.

Ekoran ugutan terbaru itu, Annie sekali lagi membuat laporan polis atas keselamatan dirinya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam, Datuk Michael Chong yang mengendalikan kes Annie berkata, beliau percaya lebih ramai mangsa mengalami nasib seperti Annie dan meminta mereka tampil membuat aduan kepada pihaknya.

No comments:

Post a Comment