Monday, September 13, 2010

DARI BERITA METRO


Diseksa sampai mati



2010/09/13

KUALA LANGAT: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu hilang bersamanya melalui detik ngeri diseksa, dibelasah selain ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah hingga mati berlumuran darah.
SIDANG AKHBAR...Bakri(kiri) mengadakan sidang akhbar berhubung kehilangan Sosilawati bersama tiga rakannya, semalam.
SIDANG AKHBAR...Bakri(kiri) mengadakan sidang akhbar berhubung kehilangan Sosilawati bersama tiga rakannya, semalam.
CARI BUKTI...anggota polis memeriksa sisa tulang dan abu mayat di Banting, semalam. Gambar kecil, salah seorang suspek yang ditahan.
CARI BUKTI...anggota polis memeriksa sisa tulang dan abu mayat di Banting, semalam. Gambar kecil, salah seorang suspek yang ditahan.
Penjenayah yang seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

Penjenayah kemudian mengutip cebisan dan abu mayat semua mangsa yang dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau, di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dibunuh.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Sri Bakri Zinin, selepas anggotanya melakukan soal siasat lapan suspek ditahan selepas dipercayai ada hubung kait kes kehilangan jutawan berkenaan sejak 12 hari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan, polis memberkas seorang peguam berstatus Datuk berusia 41 tahun disyaki dalang utama merancang kes penculikan dan pembunuhan kejam selain adik suspek berusia 38 tahun.

“Polis mengesan lokasi mangsa dipercayai dibunuh berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, di sini, selepas menahan adik-beradik terbabit selain enam lagi suspek turut terbabit. 
 
“Lima suspek awal diberkas Jumaat lalu sebelum peguam berstatus Datuk dan adiknya diberkas kelmarin. Polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun turut dikaitkan kes pembunuhan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia 19 hingga 45 tahun berkenaan dikenal pasti pekerja kepada Datuk berkenaan termasuk ada antara mereka pekerja di ladang tempat mangsa dibunuh.
 
“Polis setakat ini tidak menolak kemungkinan mangsa dibawa ke ladang itu sebelum dibunuh dengan kejam, Ada kemungkinan mangsa dipukul sehingga mati menggunakan senjata sebelum sengaja dibakar hingga menjadi debu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini, petang semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa yang bertukar menjadi debu dicampak ke sungai berhampiran dan dihanyutkan ke laut berhampiran pantai Morib, di sini.

|”Polis percaya mangsa dibunuh dan dibakar di tempat sama di dalam ladang kelapa sawit terbabit berdasarkan bukti awal diperoleh. Suspek dipercayai turut membuang senjata digunakan untuk membunuh mangsa di dalam sungai sama.

“Setakat ini polis masih menjalankan gerakan memburu saki-baki dan rangkaian kumpulan penjenayah merbahaya terbabit. Polis percaya kumpulan terbabit turut bertanggungjawab dalam satu lagi kes sama awal tahun ini,” katanya.

Difahamkan empat individu turut mempunyai kaitan dan urusan perniagaan dengan peguam berkenaan dilaporkan hilang sebelum ini dipercayai dibunuh dengan kaedah sama.

“Ada kemungkinan kes pembunuhan ini bermotifkan saingan perniagaan, namun polis masih menyiasat motif sebenar mangsa dibunuh kejam. Semua suspek akan ditahan reman sehingga 19 September depan untuk tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan.

“Apa yang boleh saya katakan, andaian mangsa masih hidup amat tipis. Bagaimanapun polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik mengesahkan sepenuhnya perkara berkenaan termasuk DNA bagi mengesahkan identiti mangsa dibunuh,” katanya.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu semasa keempat-empat mangsa berada di Banting untuk bertemu peguam bergelar Datuk berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar mereka dibunuh, tetapi ia mungkin antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehingga semalam.

Mengenai keluarga mangsa, beliau memberitahu, keluarga mangsa sudah dimaklumkan berhubung kes terbabit dan polis menjelaskan kepada mereka pengesahan lanjut daripada forensik dan Jabatan Kimia diperlukan mengesahkan sepenuhnya kematian semua mangsa.

“Apa yang saya boleh sahkan sekarang, pengakuan suspek menjurus ke arah itu,” katanya.

Mengenai tahap siasatan, beliau berkata, pihaknya tidak dapat menyatakan daripada segi peratusan, namun semua perkara hanya dapat disahkan dan disempurnakan selepas polis menerima laporan forensik dan kimia.

“Laporan forensik dan kimia akan mengambil masa, dan keluarga mangsa dan media akan dimaklumkan sebaik saja kami menerima semua laporan mengenai perkara ini,” katanya.

Empat juga disembelih

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Ibrahim Isa, Hayati Ibrahim, Mohd Harzrul Aminuddin, Shamsul Munir Safini, Muhammad Apendy Issahak, Sarah Zulkifly, Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/09/14

BANTING: Pendedahan terbaru berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik terkenal, Sosilawati Lawiya, 47, lebih menyentap perasaan apabila hasil siasatan tidak menolak kemungkinan mangsa bersama tiga lelaki lain disembelih menggunakan senjata tajam.
CARI...anggota pasukan penyelam polis mencari bukti di Sungai Kanchong Laut, semalam.
CARI...anggota pasukan penyelam polis mencari bukti di Sungai Kanchong Laut, semalam.
Sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit berkata, berdasarkan siasatan dilakukan, mangsa dikelar di leher sebelum dibakar oleh kumpulan penjenayah terbabit hingga menjadi debu.

“Hasil maklumat dikumpul setakat ini, polis mendapati pembunuhan itu adalah tindakan jenayah sadis yang dirancang dengan begitu rapi. Lebih mengerikan apabila semua mangsa seolah-olah dilayan seperti binatang tanpa perikemanusiaan.

“Polis turut percaya, abu dan sisa tulang semua mangsa yang dibakar terbabit bukan hanya dibuang di dalam Sungai Panchau, malah turut dibuang ke dalam beberapa parit kecil berhampiran yang arusnya mengalir ke laut,” katanya.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Sosilawati bersama tiga mangsa lain disahkan dibunuh kejam di ladang persendirian milik suspek utama yang terletak di Sungai Gadung, Tanjung Sepat.

“Bagaimanapun, polis berjaya mengesan suspek utama bergelar Datuk berusia 41 terbabit dan adiknya berusia 38 tahun sebelum kedua-dua mereka ditahan di rumah mereka yang terletak di Taman Cempaka, kira-kira jam 5 petang Sabtu lalu

“Setakat ini, polis menemui pisau yang digunakan untuk tujuan pembunuhan terbabit selepas melakukan pemeriksaan rapi di kawasan sungai dan parit berhampiran tapak ladang berkenaan malam Ahad lalu,” kata sumber itu.

Berdasarkan maklumat dikumpul, pisau terbabit dibuang ke dalam sungai bersama abu mayat mangsa bagi menghilangkan bukti jenayah kejam dilakukan

“Pisau milik kumpulan pembunuh itu ditemui selepas salah seorang suspek yang ditahan memberikan maklumat kepada polis. Setakat ini, polis percaya, pisau itu digunakan untuk membunuh semua mangsa berkenaan” katanya.

Menurutnya, dalam operasi kelmarin, polis Unit Forensik Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur melakukan siasatan rapi terhadap lokasi kejadian manakala anggota polis dari Jabatan Kimia Bukit Aman melakukan pemeriksaan di kawasan Sungai Panchau di sini.

Difahamkan polis turut menemui sisa pembakaran antaranya tulang dan tisu tubuh yang boleh dikaitkan dengan identiti mangsa yang hilang.

Sementara itu, pasukan penyelam polis meneruskan usaha menyelam di dasar Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah bagi mencari objek yang boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan berkenaan, semalam.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin memberitahu empat mangsa berkenaan dipercayai diseksa, dibelasah, selain ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah hingga mati berlumuran darah.

Penjenayah yang seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

Penjenayah kemudian mengutip cebisan dan abu mayat semua mangsa yang dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau, di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dibunuh.

Susulan kes itu, polis memberkas lapan suspek termasuk dua wanita antara Jumaat hingga Ahad lalu membabitkan suspek berusia 19 hingga 45 tahun.



No comments:

Post a Comment