Friday, September 17, 2010

Forensik masih masuki lokasi pembunuhan

Kes bunuh Sosilawati: ‘Kami ada bukti kukuh’

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim, Shanty Nur Shaffizan Shafee, Muhammad Apendy Issahak, Suraya Roslan dan Shamsul Munir Safini
am@hmetro.com.my
2010/09/18
KUALA LUMPUR: “Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara berkemungkinan minggu depan. Polis yakin siasatan kami punya bukti kukuh,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berhubung perkembangan terkini pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.
Menurutnya, bukti kukuh itu yang dikumpul berdasarkan penemuan tulang, beberapa senjata, barangan peribadi dan pengakuan suspek diyakini mampu mengaitkan dan mengheret suspek utama dan tujuh yang lain ke mahkamah bagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Beliau berkata, sehingga kini polis menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, bermula semalam. Bagaimanapun, anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.
“Polis percaya kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya dapat diselesaikan berdasarkan tindakan diambil dan bahan bukti yang diperoleh,” katanya.

Mohd Bakri berkata, bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa, keputusan mengenainya hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya dalam empat hari lagi.

“Misi mencari bahan bukti dihentikan hari ini (semalam) dan jika selepas ini kami dapati ada keperluan atau masih ada lagi benda yang perlu dicari atau dilakukan, kami akan sambung operasi,” katanya.

Mohd Bakri berkata, dua pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan keempat-empat mangsa dan kes kehilangan tiga lagi individu serta seorang wanita yang mati dibunuh sebelum ini. Beliau berkata, bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, manakala bagi pasukan menyiasat individu hilang ia diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Datuk Hadi Ho Abdullah.

“Setakat ini, kami sudah kenal pasti suspek terbabit empat kes lain iaitu tiga kes individu hilang selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama. Kami tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain satu kes wanita mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lalu,” katanya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. Kes pembunuhan itu terbongkar selepas penahanan suspek utama yang juga seorang peguam berusia 41 tahun pada 11 September lalu diikuti beberapa tangkapan membabitkan tujuh individu lain. Semua suspek dipercayai pekerja suspek utama.

Sebelum itu, polis menemui kereta mewah milik Sosilawati ditinggalkan di sebuah pangsapuri di USJ1 dan kereta peguamnya di tempat letak kereta Hotel Dorset, Subang Jaya.

Peguam terbabit orang terakhir dilihat bersama semua mangsa. Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Sejak itu, kawasan Ladang Gadong dipercayai milik suspek utama menjadi tumpuan siasatan polis selain tiga sungai utama di kawasan berkenaan iaitu Sungai Kanchung Laut, Sungai Gelanggang Buaya dan Sungai Panchau yang dipercayai menjadi lokasi pembuangan tulang mangsa, senjata pembunuhan dan barangan peribadi mangsa termasuk jam tangan serta telefon bimbit. Semua sungai berkenaan terletak antara dua hingga lima kilometer dari ladang berkenaan. Wartawan Harian Metro yang ‘berkampung’ di lokasi kejadian sejak Ahad lalu juga mendapati orang ramai terutama penduduk sekitar keluar beramai-ramai untuk melihat lokasi kejadian tanpa menghiraukan kawasan berkenaan dikawal ketat.

Dalam tinjauan semalam selepas media dibenarkan mendekati kawasan pintu masuk ladang berkenaan mendapati kawasan ladang itu dipagar dengan tembok simen setinggi kira-kira dua meter manakala pintu masuk utama dikawal menggunakan pagar kawalan automatik serta terdapat satu lagi pagar kira-kira 100 meter dari pintu utama ladang. Pintu masuk utama ladang itu turut tertera dua tanda amaran iaitu ‘Dilarang Masuk’ dan ‘Awas Anjing Ganas’. Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan ialah beberapa bangunan menyerupai chalet, rumah pondok serta gazebo selain beberapa tapak semaian ditutupi jaring berwarna hitam dipercayai untuk tanaman sirih di sepanjang laluan pintu masuk hadapan.

Pembunuhan kejam Sosilawati: Dipukul guna kayu kriket


2010/09/18

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin (tengah), menunjukkan kertas kenyataan media polis pada sidang akhbar mengenai kes  pembunuhan jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, semalam. Hadir sama Timbalan Pengarah JSJ (Penyiasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah (kiri) ; Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman dan Datuk Hadi Ho Abdullah.
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin (tengah), menunjukkan kertas kenyataan media polis pada sidang akhbar mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, semalam. Hadir sama Timbalan Pengarah JSJ (Penyiasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah (kiri) ; Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman dan Datuk Hadi Ho Abdullah.
Polis sahkan suspek utama tidak pernah dikurnia Datuk

KUALA LUMPUR: Polis buat pertama kali semalam mendedahkan cara pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang diikat, sebelum dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat mereka dibakar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin pada sidang medianya, berkata abu mayat semua mangsa kemudian dibuang ke beberapa sungai sekitar Tanjung Sepat, Morib di Banting bersama barang peribadi mangsa untuk menghapuskan bukti.
Beliau berkata, pengakuan itu dibuat oleh empat pekerja ladang persendirian milik seorang peguam dan ahli perniagaan yang mendakwa dirinya ‘Datuk’ yang kini menjadi suspek utama pembunuhan kejam yang dirancang rapi itu.

Keempat-empat pekerja terbabit dikatakan terlalu taksub kepada suspek utama hingga sanggup membunuh pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages itu bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangan CIMB Bank, Noorhisham Mohamad, 38.

Mohd Bakri juga mengesahkan pemeriksaan polis mendapati suspek utama tidak pernah dikurniakan gelaran Datuk oleh mana-mana negeri.

Setakat ini katanya, polis sudah menemui bat (kayu pemukul) kriket dan sebilah pisau di beberapa lokasi berhampiran tempat kejadian, dipercayai digunakan untuk membunuh ahli perniagaan terbabit dan tiga rakannya.
“Berdasarkan pengakuan pekerja berkenaan, beberapa barangan peribadi milik mangsa turut ditemui di sekitar tempat kejadian.

“Ini termasuk barang kemas, jam tangan dan telefon yang boleh membantu siasatan kes. Penemuan dua kereta mewah jenis BMW, masing-masing milik Sosilawati dan peguamnya juga adalah petunjuk untuk mengheret suspek ke muka pengadilan. Kita yakin mempunyai bukti kukuh bagi mengaitkan suspek utama dengan kes ini,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Bakri menafikan keempat-empat mangsa disembelih, selain dakwaan suspek utama memelihara anjing pembunuh di ladang persendirian miliknya dan menganggap perkara itu boleh mengganggu kelancaran proses siasatan.

“Dakwaan kononnya mangsa disembelih, suspek sudah bunuh 17 mangsa, mangsa diumpan cek tertunda, sungai dipenuhi tulang (manusia), anjing pembunuh dan beberapa dakwaan lain menggunakan sumber adalah spekulasi semata-mata. Ini langsung tidak menggambarkan kejadian sebenar.

“Yang pasti, soal siasat yang dijalankan ke atas suspek, semua mangsa dibunuh dengan diikat sebelum dipukul dan ditikam hingga mati, kemudian dibakar dan abu mereka dibuang ke sungai. Jangan suka-suka buat andaian hingga mengganggu kelancaran proses siasatan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah JSJ (Penyiasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah; Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua JSJ Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas apabila ditanya sama ada mayat keempat-empat mangsa dikerat sebelum dibakar, selain terdapat senjata tertentu, termasuk parang digunakan untuk mengerat semua mayat berkenaan.

“Itu sedang kita siasat,” katanya.

Beliau turut mengesahkan hanya lapan suspek ditahan setakat ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jika ada suspek lain terbabit dalam kes itu.

“Aset suspek utama turut dibekukan untuk proses siasatan. Suspek juga disahkan tidak meminta apa-apa wang tebusan daripada keluarga mangsa sebelum ini," katanya.

Katanya, perintah reman tiga daripada lapan suspek akan tamat esok, manakala lima lagi termasuk peguam terbabit disambung sehingga 23 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah dalam bidang kuasa Peguam Negara dan menjatuhkan hukuman sama ada suspek bersalah atau tidak adalah kuasa mahkamah, bukannya polis,” katanya


Pembunuhan kejam Sosilawati: Kamaruddin sempat beli baju raya untuk anak


2010/09/18

  MAZNAH   (dua dari kanan) bersama   Mohd Hazmi   bertanya sesuatu kepada ibu Allahyarham Kamaruddin, Zainab Ahmad, 73, dan anaknya Irfan Aiman ketika berkunjung ke rumah mereka di Indera Mahkota, Kuantan kelmarin.
MAZNAH (dua dari kanan) bersama Mohd Hazmi bertanya sesuatu kepada ibu Allahyarham Kamaruddin, Zainab Ahmad, 73, dan anaknya Irfan Aiman ketika berkunjung ke rumah mereka di Indera Mahkota, Kuantan kelmarin.
KUANTAN: Pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shansuddin, sempat membelikan dua helai baju raya untuk anak bongsunya, Irfan Aiman, sebelum beliau pulang ke Kuala Lumpur pada pagi 30 Ogos dan kemudian terus dilaporkan hilang hingga akhirnya disahkan dibunuh bersama Sosilawati dan dua individu lain selepas menemui suspek utama seorang peguam.

Kakak Kamaruddin, Ramlah, 49, berkata bagaikan mengetahui tarikh 29 Ogos itu kali terakhir dia melihat anaknya, Kamaruddin meminta Irfan Aiman memakai dan menggayakan kedua-dua baju baru berkenaan di hadapannya

Beliau berkata, walaupun Irfan Aiman dijaganya sejak berusia dua hari, hubungan Kamaruddin dan anaknya itu sangat rapat dan mereka kerap bertemu, malah adiknya itu juga seorang bapa yang bertanggungjawab dan tidak pernah culas menyediakan keperluan anaknya itu.
“Kamaruddin pulang ke sini pada 27 Ogos (Jumaat) untuk menemui Irfan Aiman dan membawa anaknya membeli baju raya selama dua hari berturut-turut iaitu pada Sabtu dan Ahad.

"Pada malam Ahad (29 Ogos), Kamarudin meminta anaknya itu memakai kedua-dua baju itu kerana tidak sabar melihatnya bergaya di hari raya, sebelum dia bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada pagi Isnin (30 Ogos) dan selepas itu terus gagal dikesan hingga akhirnya dia disahkan dibunuh secara tragis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Mohd Hazmi Yusof dan Skuad Sayang Wanita UMNO Indera Mahkota di Indera Mahkota, kelmarin.

Maznah dan Mohd Hazmi bersama anggota Skuad Sayang meluangkan masa hampir satu jam bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada ahli keluarga Kamaruddin berhubung kejadian malang menimpanya itu.
Anggota rombongan juga turut mengadakan majlis tahlil secara ringkas bagi menghormati kematian Kamaruddin yang menjadi mangsa pembunuhan kejam bersama majikannya dan dua rakan di Banting, akhir bulan lalu.

Ramlah berkata, Kamaruddin sebelum ini kerap menyuarakan hasratnya mahu Irfan Aiman menjadi seorang ustaz apabila dewasa.

"Hasratnya itu umpama amanat untuk ditunaikan dan saya akan menghantar Irfan Aiman ke sekolah agama di sini, tahun depan,” katanya.

Dua lagi anak Kamaruddin, Balqis Dayana,12, dan Izran Akmal, 9, tinggal bersama bekas isterinya, Noorfazilah Ab Sani, 33, di Rembau, Negeri Sembilan selepas pasangan itu berpisah pada 2006.


Tahan suspek kes saudagar lesap


2010/09/18

Lelaki turut dikait dengan ugutan diterima isteri mangsa, minta RM1 juta


KUALA LUMPUR: Polis semalam menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes kehilangan saudagar permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dilaporkan hilang di Banting, lapan bulan lalu. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika mengesahkan penahanan lelaki berusia 34 tahun itu, berkata suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek ditahan petang semalam di Taman Wilayah, Selayang dekat sini tetapi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Dia kini ditahan di IPD Kuala Langat untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Difahamkan, lelaki terbabit dibawa ke IPD Kuala Langat kira-kira jam 8.40 malam tadi turut mempunyai kaitan dengan ugutan yang diterima isteri mangsa, S Usharani, 24, bagi meminta wang pendahuluan 10 peratus daripada RM1 juta bagi membebaskan suaminya.
Khalid bagaimanapun enggan mengulas sama ada penangkapan lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan seorang peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan dan bakar pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya yang lain.

Berita Harian sebelum ini melaporkan Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai mendakwa suaminya tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Bagaimanapun pada 19 Januari lalu, beliau gagal menelefon suaminya sebelum menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, namun tiada maklum balas sehingga sekarang.

Usharani mendakwa, pada 12 Februari lalu, beliau menerima panggilan misteri seorang lelaki yang mendakwa dirinya polis dan memaklumkan suaminya ditahan polis kerana kesalahan memiliki dadah dan meminta RM1 juta untuk membantu menyelesaikan kes itu tetapi tidak dipedulikan.

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia dan membuat laporan polis di Banting pada 8 September lalu dan turut memaklumkan suaminya pernah menyebut lama sebelum itu beliau dibawa ke ladang milik seorang peguam.


Kes bunuh jejas imej Banting


2010/09/18

BANTING: Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain menjadi kes pembunuhan pertama di sini selain memahatkan sejarah hitam dan kesan buruk kepada penduduk tempatan.

Penduduk, Idris Ahmad, 63, berkata kes pembunuhan itu memberi kesan kepada tahap keselamatan penduduk ekoran bimbang wujudnya serpihan penjenayah tidak berperikemanusiaan seperti suspek utama kes Sosilawati yang bergelar ‘Datuk

“Keluarga rasa terancam selepas berlakunya kes ini. Selama ini kami hidup aman damai dan tidak perlu bimbang tetapi hari ini semuanya berubah corak,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Mohd Muaz Mohd Johan, 19, berkata penduduk di sini tidak dapat menerima apa yang dilakukan penjenayah selain menyifatkan ia dilakukan oleh syaitan bertopengkan manusia.

“Semua kaum di sini hidup dalam keadaan harmoni, namun dengan berlakunya kes sebegini ia sedikit sebanyak boleh menjejaskan hubungan. Mujurlah setakat hari ini tiada sebarang pergolakan kaum dan kami masih mampu hidup seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Siti Mislijah Saratul, 53, berkata kes bunuh itu memadamkan nama baik Banting sebagai lokasi lahirnya jaguh badminton negara iaitu Datuk Jalani, Datuk Misbun dan Rashid Sidek.

“Sebelum ini Banting aman dan tiada kes pembunuhan, apatah lagi pembunuhan kejam seperti ini. Ia meninggalkan sejarah hitam kepada kawasan ini di mata masyarakat umum.
“Beberapa tahun lalu Banting menjadi tumpuan apabila ada mendakwa UFO mendarat di Tanjung Sepat tetapi kini menjadi tumpuan dengan kes bunuh pula. Ia boleh disifatkan memalukan dan mencemar nama,” katanya.

Sebelum ini, penduduk pernah membangkitkan insiden pembuangan bangkai babi dan najis babi di sini yang menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar.

Penduduk berharap polis menyiasat kemungkinan premis niaga dan ladang di sini sekadar ‘topeng’ pembersihan wang haram, termasuk hasil dada.


Pembunuhan kejam Sosilawati: Ladang seperti resort, terjaga rapi


2010/09/18

KEBUN sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat terdapat di ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
KEBUN sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat terdapat di ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
BANTING: Kebun sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat selain premis untuk berhibur seperti karaoke, bar dan spa adalah antara komponen memenuhi ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Tinjauan Berita Harian di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini semalam, mendapati ladang yang dikatakan lokasi kejadian bunuh dan bakar empat mangsa itu dikelilingi tembok konkrit setinggi kira-kira 1.5 meter dan pada pintu kayunya pula tertera pelekat ‘Dilarang Masuk’ dan ‘Awas anjing ganas.’

Difahamkan, ladang yang masih dikawal anggota polis itu, belum diserahkan kepada keluarga suspek.
Berbanding dengan ladang sawit di kiri dan kanannya, ladang yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu kelihatan seperti sebuah resort dan keadaannya bersih serta terjaga rapi.

Beberapa ekor lembu kelihatan dibiarkan merayau dalam kawasan ladang, manakala bunyi salakan anjing kedengaran apabila petugas media berkumpul di pintu masuk ke ladang itu. Kebun sirih juga kelihatan seperti baru ditanam, berdasarkan keadaan anak pokok yang baru memanjat batang pancang yang didirikan.

Selain pintu masuk tempat petugas media berkumpul, ada satu lagi pintu pagar kayu kelihatan di hujung ladang berkenaan. Kedudukan ladang yang terletak kira-kira 500 meter dari pintu masuk utama di jalan besar itu agak tersorok berikutan jauh daripada penempatan penduduk dan dihubungi dengan jalan batu kerikil.

Sementara itu, sepasukan anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengambil sampel tanah di tebing Sungai Arak, berhampiran Sungai Gelanggang Buaya, Kelanang, di sini pagi semalam, tetapi tidak diketahui tujuan sampel itu diambil.
Beberapa jam kemudian, dua kereta peronda polis jenis Mitsubishi Lancer Evo 10 dilihat memecut meninggalkan kawasan ladang persendirian milik suspek utama menghala ke arah Tanjung Sepat yang dipercayai membawa bahan bukti.


Pembunuhan kejam Sosilawati: Murugiah buat laporan polis dikait suspek utama


2010/09/18

Timbalan Menteri anggap SMS diterima sebagai fitnah

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh, Perak semalam mengenai satu SMS yang diterimanya malam kelmarin mengaitkan beliau dengan suspek utama pembunuhan kejam Datuk Sosilawati dan tiga individu lain

Murugiah berkata, SMS itu adalah satu perbuatan fitnah terhadap beliau yang sengaja mengaitkan dirinya dengan suspek bergelar ‘Datuk’ itu yang juga seorang peguam serta menyifatkan ia (SMS) tidak benar.
“SMS ini berbunyi... peguam yang didakwa dalam kes Sosilawati bercadang menyertai MIC kata Murugiah yang juga kawan baik beliau. Peguam ini juga adalah salah seorang penasihat Timbalan Menteri (Murugiah) terbabit dalam kes Pendaftar Pertubuhan (ROS). Murugiah adalah rakan kongsi peguam dalam perniagaan di mana Murugiah dapat RM3 juta dalam satu perjanjian.

“Saya dapat melihat SMS itu sengaja dihantar bagi menjejaskan imej dan kedudukan saya sebagai Timbalan Menteri dan juga dalam politik. Saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan peguam terbabit dan suspek itu bukan peguam yang mengendalikan kes ROS saya seperti dinyatakan dalam SMS berkenaan.

“Saya yakin SMS berkenaan kemungkinan dihantar oleh seorang yang mempunyai kepentingan politik dan mendapat manfaat sekiranya karier politik saya dibunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Murugiah berkata, dakwaan itu amat serius malah penyebaran SMS berkenaan boleh menjejaskan penyiasatan kes Sosilawati dan beliau amat berharap polis akan segera menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya.


Pembunuhan kejam Sosilawati: Operasi cari bahan bukti dihenti


2010/09/18

 WARTAWAN dan jurugambar berkumpul di depan pintu utama lokasi pembunuhan  jutawan kosmetik dan tiga rakannya.
WARTAWAN dan jurugambar berkumpul di depan pintu utama lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga rakannya.
Bukit Aman tumpu proses siasatan, tempat kejadian masih dikawal ketat

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menghentikan operasi mencari bahan bukti yang boleh dikaitkan dengan kes bunuh dan bakar jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya di sekitar tempat kejadian di Morib, Banting, semalam bagi menumpukan perhatian kepada proses siasatan dan pendakwaan kes itu.

Operasi itu bagaimanapun boleh dilakukan semula pada bila-bila masa, termasuk menghantar pakar forensik memeriksa tempat kejadian iaitu sebuah ladang persendirian di Tanjung Sepat, selain beberapa lokasi lain termasuk Kampung Kanchong Laut, Sungai Panchau dan Sungai Gelanggang Buaya sekiranya ada maklumat baru yang memerlukan bukti tambahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata semua tempat kejadian masih dikawal ketat kerana dipercayai masih terdapat bahan bukti dan spesimen tertentu di situ yang boleh membantu polis dalam merungkai misteri pembunuhan itu.

“Tempat itu masih ditutup kepada orang luar supaya tidak mengganggu proses siasatan. Ia akan ditutup sehingga siasatan selesai sepenuhnya minggu depan apabila kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti bagi tujuan pendakwaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini semalam.

Sosilawati, 47, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages; pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Morib sebelum abu mayat mereka dibuang ke Sungai Panchau, 30 Ogos lalu.

Semua mangsa dilaporkan hilang selepas bertemu suspek utama iaitu seorang peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk di Banting. Berikutan itu, suspek bersama adik lelakinya, juga peguam dan enam pekerja mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Bakri berkata, pihaknya akan menunggu laporan ujian DNA dari Jabatan Kimia dan Unit Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mungkin diserahkan selewat-lewatnya dalam tempoh empat hari sebelum polis boleh mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Tulang-tulang berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia dan difahamkan, sekurang-kurangnya empat hari diperlukan untuk proses analisis bagi menentukan dan mengenal pasti profil DNA serpihan tulang terbabit sama ada ia milik Sosilawati dan tiga yang lain.

“Kita yakin dapat menyelesaikan kes ini dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan untuk dinilai, seterusnya memulakan proses pendakwaan. Kita tidak boleh melakukan perkara ini terburu-buru, siasatan mesti rapi dan tertakluk kepada lunas undang-undang,” katanya.

Sementara menunggu siasatan selesai, beliau meminta orang ramai dan media tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu kerana polis perlu menjalankan siasatan sebaik mungkin untuk memberi keadilan kepada keluarga mangsa yang mungkin gusar dan takut berikutan laporan disiarkan di radio, TV dan akhbar.

Mengenai empat kes orang hilang dan bunuh di Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk jutawan berasal dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, Bakri tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan berdasarkan modus operandi.

“Buat masa ini, kita tidak akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa kerana laporan polis dibuat isteri lelaki itu di sini (Kuala Lumpur), tetapi sekiranya perlu, kerjasama itu akan dibuat untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Katanya, tempoh reman terhadap lima suspek termasuk peguam yang menjadi suspek utama disambung sehingga 23 September ini, manakala tempoh reman tiga lagi suspek tamat hari ini.

Forensik masih masuki lokasi pembunuhan Sosilawati
Sep 18, 10 3:49pm
Kenderaan anggota forensik polis masih kelihatan memasuki kawasan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong milik suspek utama kes itu di Kuala Langat.

Tinjauan Bernama berhampiran lokasi berkenaan melihat kenderaan forensik itu memasuki kawasan terbabit seawal pukul 8.30 pagi tadi dan keluar semula beberapa jam kemudian.

Sebuah kereta peronda MPV polis turut ditempatkan di laluan utama iaitu kira-kira 600 meter dari lokasi ladang milik suspek terbabit.

Kesemua kenderaan yang melalui laluan itu ditahan dan disoal sebelum diarahkan berpatah balik dan meninggalkan kawasan ladang.

Petugas media masih terus berkampung di sebuah kuil berhampiran bagi mengawasi dan memantau lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas sebelum didapati dibunuh dan dibakar di ladang berkenaan.

Selain petugas media, beberapa kenderaan yang melalui jalan utama turut memperlahankan kenderaan malah ada yang berhenti untuk melihat serta meninjau kawasan berhampiran.

Sementara itu, seorang lelaki yang merupakan pengusaha kantin di sekolah berhampiran dan hanya mahu dikenali sebagai Uncle berkata beliau masih sukar untuk mempercayai kejadian itu berlaku di lokasi berkenaan.

"Ketika hari awal kejadian saya nampak ramai orang saya ingat ada penggambaran filem, tetapi bila baca surat khabar dan tengok televisyen baru saya tahu ada kejadian bunuh," katanya.

--Bernama

Kes Sosilawati: Pekida berkabung, bakar kain rentang
Abdul Rahim Sabri
Sep 18, 10
12:59pm

Kira-kira 120 anggota Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) hadir ke rumah Noorhisham Mohamad yang mati dibunuh bersama Datuk Sosilawati Lawiya pada 30 Ogos lalu bagi menyertai bacaan Yaasin dan tahlil kepada arwah.

Majlis itu diadakan di rumah Noorhisham di Taman Seraya, Ampang pada jam 12.00 tengah hari diketuai oleh Pengerusi hal ehwal khas Pekida Shahril Abdul Aziz.

Noorhisham - seorang pegawai bank, Sosilawati, pemandu jutawan kosmetik itu Kamaruddin Shansuddin dan peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Shahril menyalahkan majlis peguam yang didakwanya "gagal membersihkan peguam-peguam yang bermasalah".

"Sepatutnya Majlis Peguam mengambil langkah-langkah yang lebih tepat dengan mengasingkan peguam-peguam bermasalah dengan membuat penyataan terbuka di dalam media ataupun memperkenalkan kad kuasa yang mesti diperbaharui setiap tahun sebelum peguam-peguam mahu menjalankan perniagaan mereka," katanya.

Justeru, Shahril mencadangkan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat majlis berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan seorang peguam merupakan suspek utama kes pembunuhan kejam itu.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Roslan Dahaman dan Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (PERWARIS) Rahimuddin Md Harun.

Sejurus selepas tamat sidang media itu, kelihatan beberapa orang yang hadir membakar (kiri) kain rentang bertulis "Presiden majlis peguam mesti letak jawatan" tanda tidak puas hati mereka.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kecekapan polis menyiasat kes itu dengan segera, Shahril juga mengingatkan supaya isu pembunuhan itu tidak dipolitikkan.

"Kami juga mengingatkan dan mempersetankan mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu ini serta merendah-rendahkan kewibawaaan serta martabat PDRM...," katanya.

Sebelum itu, pertubuhan itu juga membuat kutipan wang bagi membantu meringankan beban keluarga Noorhisham.

Kelihatan beberapa anggota keluarga pegawai bank itu agak tenang dan menyertai majlis bacaan tahlil di halaman rumah keluarga si mati.


No comments:

Post a Comment