Friday, September 17, 2010

ZAMAN SEKARANG MANUSIA TAK PENDULI REZEKI@WANG DATANG DARI MANA...TAK KIRA HALAL ATAU HARAM...JANJI WANG MASUK DAN BOLEH BELANJA...

4 lelaki alim kucing pura-pura sesat jalan



2010/09/17

KUALA LUMPUR: Dengan berlagak seperti orang baru di sesuatu kawasan, sekumpulan empat pakar pukau didalangi seorang wanita berusia lewat 30-an dikesan bergerak aktif di sekitar pasar raya di ibu kota untuk memerangkap mangsa, sejak sebulan lalu.
Kumpulan terbabit hanya menggunakan sekeping kertas bagi memukau mangsa sebelum merampas barang berharga milik mangsa.
Bagi memudahkan mereka mendekati mangsa terutama wanita, seorang daripada ahli kumpulan terbabit akan berpakaian seperti orang alim lengkap memakai jubah sebelum berpura-pura bertanya jalan kononnya sesat. Pada masa sama, tiga lagi ahli kumpulannya bersiap sedia menunggu dalam kereta di kawasan berhampiran. Sebaik menghampiri mangsa, lelaki terbabit akan menunjukkan ‘kertas ‘ menyebabkan mangsa patuh semua arahannya. Mangsa dibawa menaiki kereta bersiar-siar sebelum semua barang kemas termasuk wang tunainya dirampas. Selepas menghantar mangsa ke tempat pertemuan terdahulu, kumpulan terbabit akan ‘menghadiahkan’ sekeping kertas mengandungi nombor ramalan sebagai sagu hati.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi di sebuah pasar raya di Wangsa Maju, di sini, baru-baru ini seorang warga emas menjadi mangsa kelicikan ilmu pukau kumpulan terbabit. Mangsa, Halimah Ramli, 63, berkata ketika kejadian, dia berseorangan sebelum dihampiri seorang lelaki berusia 20-an yang memakai jubah bertanyakan jalan. “Lelaki itu berpakaian seperti orang alim menyebabkan saya terpanggil untuk membantunya. Selepas itu, saya seperti dipukau sebaik melihat kertas yang ditunjukkan lelaki terbabit. “Saya seperti ‘orang bodoh’ dan dibawa menaiki sebuah kereta. Dalam kereta, saya melihat ada seorang wanita dan seorang lelaki sebelum dibawa bersiar-siar.

“Mereka mengambil barang kemas dan wang tunai saya satu persatu. “Saya dihantar semula ke pasar raya berkenaan. Ketika hendak keluar dari kereta itu, wanita itu memasukkan sehelai kertas dalam beg tangan selain mengarahkan supaya tidak membukanya sehingga esok,” katanya. Mangsa yang tersedar segera pergi ke rumah rakannya untuk mendapatkan pertolongan supaya membuka beg tangannya itu. “Hasil pemeriksaan dua rantai leher, satu gelang tangan termasuk wang tunai RM300 lesap,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini. Dalam beg tangannya, suspek memasukkan sekeping kertas mengandungi nombor ramalan. Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


TERKINI


Pecah rumah: Dua pelajar asing ditahan

17/09/2010 2:29pm

IPOH – Polis menahan dua pelajar lelaki warga asing yang menuntut di sebuah kolej swasta di Sunway Petaling Jaya kerana dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Panorama Perdana di sini Rabu lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt. Ibrahim Abu Bakar berkata, mereka diberkas pada pukul 10.30 pagi berhampiran rumah tersebut selepas menerima maklumat daripada penduduk di taman perumahan itu.
"Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua suspek berusia 30 dan 34 tahun merupakan pelajar di sebuah kolej di Sunway, Petaling Jaya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ibrahim berkata, polis turut menemui barang kemas, telefon bimbit, jam tangan dan juga wang tunai yang kesemuanya bernilai RM2,328 dipercayai dicuri di rumah itu selain senjata seperti batang besi dan pemutar skru.
Polis belum mengenal pasti suspek dari negara mana dan sedang menyiasat melalui pasport yang dirampas dari mereka.
Siasatan mendapati mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan melakukan jenayah pecah rumah di taman perumahan tersebut.
Katanya kedua-dua suspek direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut. – Bernama


TERKINI


6 lelaki terlibat kegiatan pecah rumah ditahan

17/09/2010 8:07pm

KLUANG - Polis menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah di sekitar bandar ini, dalam serbuan di sini mulai Isnin lepas hingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad berkata, kesemua lelaki berkenaan ditahan menerusi “Ops pintu Aidilfitri” selepas polis mendapat maklumat dari orang awam.
"Tangkapan pertama ke atas seorang lelaki berumur 33 tahun telah dibuat dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Delima pada Isnin.
"Bertindak atas maklumat lelaki tersebut, polis kemudiannya berjaya menahan seorang lagi lelaki berumur 39 tahun, pada hari yang sama, di Taman Desa serta menemui beberapa barangan yang dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamed Fawzi berkata, polis kemudian berjaya menahan dua lagi lelaki berumur 33 dan 38 tahun pada Rabu lepas di Taman Delima sebelum menahan dua lagi lelaki berumur 30an dan 45 tahun di sekitar bandar ini.
Beliau berkata, polis menemui pelbagai barangan yang dipercayai hasil pecah rumah dari kesemua lelaki tersebut termasuk tv plasma, peti ais, mesin basuh, komputer riba, barang kemas dan alat pemain DVD.
Katanya, lima daripada lelaki itu adalah penagih dadah.
"Kumpulan ini mensasarkan rumah yang ditinggalkan dan tidak berpenghuni.
"Mereka akan memerhatikan sesebuah rumah bagi memilih waktu rumah ditinggalkan oleh penghuni untuk keluar bekerja sebelum memasuki rumah dengan memecahkan pintu belakang,” katanya.
Beliau berkata, barangan seperti barang kemas akan dijual di kedai pajak gadai atau kedai emas di sekitar Kluang manakala barang lain dijual di kedai barangan lusuh atau kepada orang ramai. - Bernama

No comments:

Post a Comment