Remaja Lari Rumah Sudah Jadi Trend?
SEKIRANYA remaja sampai ke tahap mengibaratkan rumah mereka seperti ‘neraka’ dan bukan lagi tempat paling selesa untuk didiami, tidak hairanlah tangan cepat mencapai dua-tiga helai baju lalu dimasukkan ke dalam beg lantas kaki pantas melangkah keluar dari rumah tanpa memikirkan musibah yang bakal mereka terima.
Menghadapi kemelut dengan ahli keluarga dan pada masa yang sama fikiran ‘diusik’ dek pengaruh luar atau rakan yang membayangkan nikmat kebebasan serta keriangan dunia luar menjadi penyebab kebanyakan remaja tidak teragak-agak meninggalkan keluarga.
Lebih mengecewakan apabila terdapat gadis tergamak meninggalkan rumah semata-mata mahu mengikut teman lelaki sebagaimana yang berlaku pada pasangan kembar berusia 14 tahun dari Kampar, Perak, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin pada Aidilfitri baru-baru ini. Setelah seminggu meninggalkan rumah, pasangan kembar itu ditemui di Ayer Itam, Pulau Pinang.
Keluarga Pijah atau nama sebenarnya Norlaili Afizah pula menjadi antara keluarga yang cukup bernasib baik kerana gadis berusia 19 tahun yang dilaporkan hilang Februari lalu tiba-tiba tersedar dari dunia khayalan ciptaan teman lelakinya, Sarjo, lantas dia kembali ke pangkuan keluarga.
Kes remaja lari rumah seperti di atas menunjukkan betapa kuatnya tarikan insan bernama rakan dan teman lelaki dalam hidup seorang anak gadis hari ini.
Bagaikan mempunyai kuasa hebat, rakan dan teman lelaki mampu merungkai ikatan kasih-sayang yang terjalin sejak kecil antara gadis dan ahli keluarga mereka.
Kisah 1: Lari gara-gara merajuk
Kathy (bukan nama sebenar) meninggalkan keluarganya selama setahun gara-gara terasa hati dengan ibu dan neneknya. Seperti mereka yang lain, sebelum ini Kathy hidup bahagia bersama keluarganya. Kemelut timbul apabila perniagaan dobi keluarganya menghadapi masalah sehingga memaksa mereka sekeluarga menumpang rumah neneknya.
“Saya merajuk dengan nenek. Dia tak suka kami tinggal dengannya. Dulu bila keluarga kami senang nenek tak macam tu. Bila kami susah, dia hina dan fitnah kami.
“Emak pula asyik menangkan nenek padahal orang sekeliling dah buat cerita macam-macam pasal emak. Sebab itulah saya buat keputusan keluar rumah. Saya betul-betul tak tahan,” katanya kepada Mingguan mStar ketika ditemui di Rumah Kebajikan Wanita Dan Remaja (Kewaja) di Gombak.
Berbekalkan wang sebanyak RM300, Kathy yang pada ketika itu berusia 18 tahun nekad lari dari rumah. Bagi melepaskan diri, dia memberi alasan untuk ke Pahang kerana mahu bertemu dengan nenek di sebelah ibunya.
“Disebabkan tak mahu emak risau, saya ke Pahang seperti yang dimaklumkan. Dari Pahang saya melarikan diri ke Kuala Lumpur pula,” Kathy mengimbas kisah silamnya.
Ketika tiba di ibu kota, Kathy menumpang di rumah seorang rakan yang terletak di Kajang. Tidak menafikan perasaan takut, serba-salah dan rasa berdosa sering menghantui fikirannya kerana bertindak begitu, Kathy tetap mengikut kata hati dan tidak terfikir untuk kembali ke pangkuan keluarga. Membuatkan dia lebih cemas apabila poketnya hampir ‘kering’.
“Mujurlah saya dapat kerja di sebuah restoran makanan segera. Dalam tempoh setahun itu juga saya pernah jadi jurutol,” katanya.
Sebagai anak sulung dalam lima adik-beradik, Kathy tidak terlepas daripada merindui keluarganya sepanjang setahun dia meninggalkan rumah.
“Setahun saya tak telefon atau hantar pesanan ringkas (SMS) kepada orang tua saya. Rindu memanglah rindu tapi saya pendamkan saja.
Kadang-kadang rasa teringin juga nak balik rumah, tapi bila kenangkan perangai nenek dan emak saya batalkan saja hasrat itu,” jelasnya.
Menurut Kathy, sebagai anak mana mungkin dia terlepas daripada perasaan bimbang terhadap nasib dan keadaan keluarganya. Justeru, dia menjadikan emak saudara yang rapat dengan ibunya sebagai pengantara untuk mendapatkan khabar tentang keluarganya.
“Selalu juga saya fikir kalau-kalau berlaku perkara buruk dan tak diingini. Pada masa yang sama saya beritahu juga tentang perkembangan diri melalui makcik saya supaya ibu dan ayah tak risau,” katanya.
Selepas setahun berjauhan dengan keluarga, Kathy pulang ke pangkuan keluarganya. Dia bersyukur kerana keluarga sudi menerimanya, malah sanggup menghantarnya menyambung pengajian di kolej swasta.
Kathy yang sememangnya mendambakan kebebasan pada ketika itu melonjak gembira kerana dia tidak perlu diawasi keluarga tetapi kegembiraan itu tidak lama.
“Saya mengaku terpengaruh dengan rakan-rakan dan terkena kejutan budaya sehingga akhirnya saya terlanjur dengan teman lelaki dan hamil,” katanya.
Kini Kathy berusia 21 tahun dan insaf dengan perbuatan lalu. Dia ingin menebus dosanya dengan taat kepada ibu bapanya dan membesarkan anaknya itu dengan didikan agama serta penuh kasih sayang walaupun tanpa bapa.
Kisah 2: Terabai punca Liana hanyut
Bagi Liana (bukan nama sebenar) kesibukan ibu dan ayahnya bekerja mencari rezeki menyebabkan dia mencari keseronokan di luar bersama rakan-rakannya.
“Mak dan ayah saya sibuk bekerja tak ada masa untuk bersama saya dan adik. Saya pernah tak pulang rumah hampir tiga bulan sebab seronok dapat melepak di rumah sewa kawan.
“Ketika saya lari dari rumah pun mak ayah tak cari sebab mereka tak kisah saya pergi mana. Sejak itu saya sering tidak pulang ke rumah,” kata gadis yang berasal dari Kuala Lumpur ini.
Sikap si ayah yang sibuk bermain judi dan si ibu yang melebihkan kasih sayang terhadap adiknya yang juga kanak-kanak kurang upaya menyebabkan dia lebih senang untuk bersama-sama teman sebaya yang nakal di kawasan perumahannya.
“Duduk dekat rumah pun bukan ada apa-apa. Saya bosan, tak ada apa nak di buat. Lebih baik saya melepak dengan kawan-kawan. Bila lepak dengan mereka macam-macam benda kami cuba,” katanya.
Bukan sekadar lari dari rumah dan melepak dengan rakan sebaya, Liana yang ketika itu baru berusia 14 tahun sudah pandai menghisap dadah semuanya dek kerana termakan pujukan teman-teman.
“Saya ambil dadah itu pun sekadar suka-suka sahaja. Itupun sebab kawan yang ajak,” katanya.
Ditanya dari mana dia memperoleh wang untuk mendapatkan bekalan dadah tersebut, dengan nada bersahaja remaja ini berkata: “Mana ada duit nak beli, saya sekolah lagi. Sebagai pertukaran saya bagi tubuh saya kepada mereka.”
Tergamam penulis mendengar pengakuan jujur pelajar Tingkatan Dua yang pernah memegang jawatan pengawas di sebuah sekolah di ibu kota ini.
Lebih menyedihkan Liana yang juga anak sulung daripada dua beradik ini telah mengandung anak luar nikah dan selamat melahirkan seorang bayi sebulan yang lalu.
“Selepas tidur dengan lebih daripada sepuluh lelaki, saya akhirnya mengandung. Saya tak tahu anak siapa yang saya kandungkan. Selepas itu saya tak fikir panjang dan hendak lari terus dari rumah.
“Pada ketika ini mak ayah dapat tahu saya terlibat dengan dadah dan keluarga hantar saya ke pusat pemulihan, Ar-Raudah di Pulau Pinang,” katanya yang pernah melarikan diri dari pusat pemulihan berkenaan kerana ketagih ganja.
Hancur luluh hati si ibu, apabila susu yang diberi dibalas tuba oleh si anak, namun apakan daya nasi sudah menjadi bubur.
Bagi Liana, penyesalan sudah tidak berguna lagi, namun dia akur dengan keputusan ibu dan bapanya untuk menghantar dia ke pusat pemulihan.
“Masa mak dapat tahu saya terlibat dengan dadah, mak menangis teresak-esak, ayah pula marah sangat kepada saya. Ketika saya dimasukkan di pusat
itu, baru saya tahu yang saya mengandung dua bulan,” kata Liana yang masih dalam tempoh berpantang.
Selepas percubaan pertamanya untuk melarikan diri dari Ar-Raudah gagal, Liana berjaya pada percubaan kali kedua, di mana dia melarikan diri ke rumah pakciknya di Pulau Mutiara itu.
“Saya tak tahan duduk di pusat pemulihan itu kerana saya asyik ketagihkan ganja. Masa inilah mak menyuruh pakcik bawa saya pulang ke Kuala Lumpur.
Kerana mak malu saya mengandung anak luar nikah, dia minta pakcik hantar saya ke rumah Kewaja sejak Julai lalu,” kata ibu kepada seorang bayi perempuan ini.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan tiada apa yang mampu diubah, namun bagi Liana apa yang telah berlaku merupakan pengajaran yang pahit kepadanya.
“Saya telah insaf dan sedih atas apa yang berlaku. Apa yang penting selepas habis tempoh pantang ini saya hendak pulang ke pangkuan keluarga.
Saya nak sambung pengajian yang telah saya tinggalkan,” katanya yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini
Kakak Gembira Pijah Insaf
Sebelum ini, kes Pijah meninggalkan rumah dan mengikut teman lelaki berasal dari Indonesia Februari lalu mendapat liputan luas oleh pihak media.
Pijah bagaimanapun pulang ke rumah dengan rela hati selepas dipujuk ahli keluarga dan pihak polis.
Menurut Nurlaila, selepas peristiwa itu adiknya yang berusia 19 tahun itu benar-benar menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama.
“Sesekali pernah juga saya bertanya tentang bekas teman lelakinya itu tetapi Pijah kata dia sudah putuskan hubungan dengan lelaki itu dan tak mahu ingat kisah itu lagi,” katanya.
Nurlaila berkata, adiknya merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah menimbulkan kemarahan dalam keluarga.
“Dia rapat dengan kami semua. Kalau mahu keluar dengan kawan, dia akan minta izin. Punca dia meninggalkan keluarga tempoh hari tak lain tak bukan disebabkan lelaki.
“Tapi kami sekeluarga tak salahkan dia. Dia masih muda dan tak terlepas dari melakukan kesilapan. Asalkan dia sedar perbuatannya salah, kami sudah cukup gembira,” katanya.
Berbicara tentang perancangan masa depan Pijah, Nurlaila berkata Pijah sedang dalam proses mengikuti kelas vokal dengan bantuan abangnya.
Sebagai kakak, Nurlaila percaya Pijah mampu mencapai impian menjadi penyanyi suatu hari nanti.
“Kami sekeluarga sentiasa menyokong Pijah. Pijah perlukan semangat dan dorongan keluarga dalam usaha mencapai impiannya,” katanya
MEMAKANKAN BAGAIMANA MENDAPATKAN SUAMI EX ATAU KEMAHIRAN EKAT? RAHARI LEBIH LANJUT DI SINI ADALAH PELUANG ANDA ANDA EMAIL YAKAYATEMPLE@GMAIL.COM ATAU PANGGIL +2347050270227 Saya GOT MINYAK DENGAN SPELL LOVE SANGAT KUASA.
ReplyDelete