Thursday, October 7, 2010

SEMUA KETENTUAN ALLAH..JANGAN KITA BERLAGAK KEPADA ALLAH

Ratusan Fail Lagi Diambil Dari Pejabat Suspek Kes Bunuh Sosilawati
BANTING: Polis mengambil ratusan fail dari firma guaman milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dantiga yang lain, di sini Khamis.
Firma guaman suspek utama itu terletak di Jalan Kemboja, Off Jalan Sultan Alam Shah, di sini.
Fail-fail itu dipunggah ke dalam sebuah lori dua tan oleh tiga pekerja termasuk pemandunya petang tadi dengan pengawasan beberapa pegawai dan anggota polis.
Para wartawan dan jurugambar melihat pemandu-pemandu lori itu kira-kira pukul 3.30 petang tadi semasa singgah minum di sebuah restoran yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat.
Kerja-kerja pemunggahan itu selesai kira-kira 4.50 petang tadi dan lori itu bergerak meninggalkan pejabat milik peguam yang merupakan suspek utama kes itu ke satu destinasi yang tidak diketahui.
Pemandu lori itu yang ditemui media juga keberatan menjawab soalan media mengenai ke mana fail-fail itu akan dibawa dan hanya menjawab beliau akan diberitahu kemudian.
Turut kelihatan beberapa wanita yang dipercayai pekerja firma guaman itu bergegas turun daripada pejabat itu sambil melindungi wajah mereka daripada dirakam para jurugambar yang sedia menunggu di hadapan pintu pejabat.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 September lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. - BERNAMA

Hadir serah diri bersama peguam

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/10/08

KUALA LUMPUR: Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak identitinya didedahkan Isnin lalu, wanita paling dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditahan polis sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, petang semalam.
ANGKAT...ratusan fail dari pejabat suspek utama diangkat masuk ke dalam lori, semalam.
ANGKAT...ratusan fail dari pejabat suspek utama diangkat masuk ke dalam lori, semalam.
Jesyntha, 27, yang alamat terakhirnya di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor, sebelum ini gagal dikesan dan bersembunyi selepas menjadi buruan polis.

Difahamkan, dia yang juga isteri kedua kepada seorang daripada suspek kes pembunuhan kejam itu dikehendaki kerana dipercayai mempunyai maklumat mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Jesyntha hadir menyerah diri bersama peguamnya kira-kira jam 5 petang dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.

Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam, melalui laman web facebook rasmi PDRM memaparkan maklumat terkini mengenai penahanan terbabit, namun beberapa pegawai PDRM yang dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya enggan memberi ulasan.

Difahamkan, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap wanita terbabit hari ini

Selasa lalu, wajah dan maklumat wanita itu tersebar kepada umum melalui media dan orang ramai diminta membantu polis untuk mengesannya.

Sementara itu, tiga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya ditahan semula semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang awal tahun ini

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini berkata, tempoh tahanan reman peguam dan adiknya serta seorang lagi suspek bergantung keperluan siasatan.

Namun, dipercayai polis akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman mereka bagi membantu kes kehilangan seorang kontraktor, Mohd Syafiq Abdullah, 37, yang dilapor hilang bersama rakan niaganya, April lalu.

Isteri Syafiq, Samson Nahar Mohamed Dali, 35 dilaporkan sudah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.

Kes itu dipindahkan ke Balai Polis Petaling kerana suaminya dipercayai hilang di kawasan itu dan difahamkan, ketiga-tiga suspek kini ditahan di lokap balai polis berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka direman hingga semalam berhubung kes kehilangan seorang ahli perniagaan warga India, A Muthuraja yang datang ke negara ini untuk membuka perniagaan.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam suspek, Ravi Neeko berkata dia dihubungi seorang pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memaklumkan penahanan semula anak guamnya.

“Pagi tadi (semalam) saya dihubungi seorang pegawai polis dan memaklumkan anak guam saya akan ditahan semula dan mereka kini berada di dalam lokap di sebuah balai polis di Kuala Lumpur sehingga esok.

“Dijangka kedua-dua mereka (suspek utama dan adiknya) akan disambung reman esok atau lusa bersama enam yang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek kini di bawah siasatan IPK Kuala Lumpur dan bukan lagi IPK Selangor bagi membantu siasatan kes kehilangan Syafiq dan rakannya memandangkan soal siasat mengenai kes Sosilawati dan Muthuraja selesai.

Muthuraja, 34, dilapor hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di negara ini 18 Januari lalu.

Sebelum berita kehilangan Muthuraja dan Syafiq dilaporkan, negara digemparkan dengan pembunuhan kejam seorang jutawan kosmetik dan tiga yang lain dipercayai dilakukan tiga suspek berkenaan dan lima yang lain.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.



Saya pasrah'

Oleh Roslen Fadzil dan Norhayati Nordin
am@hmetro.com.my
2010/10/08
KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan penyampai radio, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, menganggap perceraian yang berlaku dalam hidupnya suratan takdir walaupun situasi itu sangat berat untuk ditempuhi.
SAAT BAHAGIA...Kak Engku bersama Adzmin dan tiga anak mereka.
SAAT BAHAGIA...Kak Engku bersama Adzmin dan tiga anak mereka.
Sambil menyifatkan jodoh antara dia dan bekas suami, Adzmin Osman, 37, hanya sekadar ‘di sini’ (sembilan tahun), Raja Azura atau Kak Engku tetap pasrah malah bertawakal agar Tuhan memberikan kekuatan untuk meneruskan hidup.

“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu komen langsung mengenai perkara ini. Saya sedar kebenaran itu kadangkala sangat pahit untuk ditelan, tapi saya tetap pasrah menerima dugaan terhebat dalam hidup saya ketika ini.

“Cuma saya mohon, buat masa ini, berilah ruang privasi kepada saya untuk bertugas seperti biasa, menenangkan fikiran dan berdampingan dengan anak-anak,” katanya dalam nada sebak ketika dihubungi.

Raja Azura atau Kak Engku (KE) bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata, dia mungkin membuat sidang media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar agar situasi tidak menjadi keruh selain menghindari spekulasi.

Semalam, Harian Metro memaparkan laporan eksklusif perceraian Raja Azura dan Adzmin selepas rumah tangga yang dibina sejak 10 Mac 2001, gagal diselamatkan lagi
Sebelum ini, sumber mengesahkan, Raja Azura dan Adzmin bercerai talak satu di sebuah mahkamah syariah di Selangor, pada 28 September lalu dan ia dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan pasangan terbabit.

Pada 6 Ogos lalu, pengacara program Ewah-Ewah itu mengadakan sidang media tergempar untuk menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak, sekali gus memberitahu sebab kunjungannya bersama Adzmin ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu

Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke mahkamah berkenaan tiada kena mengena isu memfailkan permohonan cerai seperti dihebohkan, sebaliknya bagi mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelesaikan krisis rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, Raja Azura dan Adzmin yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, dikurniakan tiga anak, Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.

Sementara itu, Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said, ketika dihubungi semalam berkata, dia tiada hak memberi komen lanjut mengenai masalah rumah tangga membabitkan kakitangannya itu. Kata Rostam, ia masalah peribadi dan biarlah Raja Azura sendiri menjawabnya.

“Saya tidak mahu komen. Setakat ini, Raja Azura datang kerja seperti biasa dan mampu menjalankan tugasnya sebagai penyampai radio dengan baik. Selagi dia tidak membuka mulut memaklumkan kisah peribadinya, selagi itu saya takkan memberi apa-apa komen.

“Saya harap semua orang memahami perasaan Raja Azura. Saya menghormatinya sebagai penyampai yang sangat komited, rajin dan berdisplin,” katanya. Sementara itu, rakan baik Raja Azura yang juga pengacara popular, Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar berkata, biarpun persahabatan mereka erat, Raja Azura tidak pernah memberitahu secara mendalam mengenai masalah rumah tangganya apa lagi soal perceraian.

“Kalau bercerita pun, yang biasa-biasa saja, bukan secara keseluruhan sebab adat setiap pasangan berkahwin, mesti ada salah faham. Tapi, saya tak sangka mereka sampai bercerai-berai. Semua ini ketentuan Tuhan. Hari ini, dugaan untuk Raja Azura, esok lusa belum tentu siapa pula. Justeru, sebagai manusia saya sentiasa berdoa yang terbaik untuk diri, keluarga dan sahabat.

“Saya harap sekalipun sudah berpisah, Raja Azura dan Adzmin teruslah berbaik demi anak-anak. Mengenali Raja Azura, saya yakin dia seorang yang sangat tabah,” katanya.

Ditanya apakah dia tidak gusar jika Raja Azura tidak dapat hadir pada saat-saat akhir untuk mengacarakan majlis persandingan Datuk Wan Mohamad Sani Salleh dan pasangan, Fatimah Dalilah Omar di Ri-Yaz Heritage & Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Terengganu, Ahad ini, Sharifah Shahirah yakin Raja Azura pasti mengotakan janji.

“Kami sudah tempah tiket pesawat dan insya-Allah semua akan baik,” katanya.

Apabila tersiarnya berita perceraian itu semalam, beberapa wakil media terus memburu Raja Azura di Pusat Penyiaran Asia (ABC), Bukit Jalil sebaik saja dia selesai dari tugasan pagi di konti Sinar FM.

Namun, usaha mereka untuk mendapatkan komen dan pengesahan gagal kerana dia berjaya mengelakkan diri, dipercayai terlalu bersedih sekalipun tetap ceria tatkala ke udara di radio.



Berdentum lalu terbalik

Oleh Nurhayati Abllah dan Ainul Farahana Cik Lid
am@hmetro.com.my
2010/10/08
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SITIAWAN: “Ketika kejadian kami semua sedang tidur di dek bot apabila terdengar bunyi dentuman kuat menyebabkan bot terbalik dan terlangkup.
TERLANGKUP...bot nelayan  terbalik selepas berlanggar dengan kapal dagang, semalam.
TERLANGKUP...bot nelayan terbalik selepas berlanggar dengan kapal dagang, semalam.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu kami berusaha menyelamatkan diri dan berpaut pada bahagian bawah bot yang masih terapung di tengah laut selama sembilan jam sebelum diselamatkan,” kata Surasak, 38, seorang daripada 10 awak-awak yang terselamat dalam kejadian bot karam berlanggar dengan kapal dagang menyebabkan dia maut di perairan Selat Melaka berhampiran Sabak Bernam, awal pagi semalam.

Selain dua yang maut dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam itu, empat lagi awak-awak bot pukat jerut berkenaan masih hilang.

Ketika kejadian, bot pukat jerut itu dinaiki 16 nelayan terdiri daripada tujuh warga tempatan dan sembilan warga Thailand berusia antara 22 hingga 55 tahun.

Surasak yang juga warga Thailand berkata, sebaik berjaya menyelamatkan diri daripada terperangkap di dalam dek bot, dia bersama rakan lain berpaut pada bahagian bawah bot yang terapung itu selama hampir sembilan jam.

“Sepanjang tempoh itu, saya bersama rakan berdoa cepat diselamatkan. Kira-kira sembilan jam kemudian, kami diselamatkan sepasukan anggota dari Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang tiba di lokasi bot kami,” katanya ditemui di Markas Operasi PGM, Kampung Acheh selepas diselamatkan di sini semalam

Sementara itu, Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1, Batu Uban, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi dan mengarahkan sepasukan anggota dari Markas Operasi PGM, Kampung Acheh, di sini, melancarkan operasi menyelamat.

“Pasukan penyelamat terdiri daripada tiga pegawai, 22 anggota bersama tiga bot peronda serta dibantu pasukan Unit Selam dengan sebuah helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia tiba di tempat kejadian kira-kira jam 11 pagi.

“Setiba di tempat kejadian, kami berjaya menyelamatkan 10 nelayan terdiri dua warga tempatan dan lapan warga Thailand. Mereka dikenali sebagai Suber, 52; Surasak, 38; Samsudin, 42; Somcha, 33; Padri, 22; Ahmad, 34 dan Ahkom, 33,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, enam daripada mereka dibawa balik ke Markas Operasi PGM, Kampung Acheh, sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing manakala Ahkom yang cedera di kepala, dihantar ke Hospital Manjung dekat sini, untuk rawatan.

Tiga mangsa lain iaitu Ah Tek, 35; Kee Chua, 55 dan seorang warga Thailand yang belum dikenal pasti identitinya cedera dan masih dirawat di Hospital Sabak Bernam, Selangor.

Zainul berkata, mayat dua nelayan yang maut dipercayai lemas, dikenali sebagai Ahmad, 40, (warga Thailand) ditemui kira-kira jam 12 tengah hari manakala mangsa kedua, Akuang, 38, (warga tempatan) ditemui kira-kira jam 4.30 petang, tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat. Kita masih menjalankan gerakan mencari empat lagi nelayan. “Mereka yang dilaporkan masih hilang dikenali sebagai Ah Huat, 50, iaitu tekong bot; Ah Peng, 47; Lim Lian Sy, 30 dan Ah Cheng, 55,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dan maklumat daripada awak-awak bot berkenaan, kemalangan berlaku akibat pelanggaran dengan sebuah kapal dagang yang kemungkinan gagal melihat bot berkenaan kerana cuaca gelap.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti kapal dagang terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment