Rozita Che Wan Jawab Mengenai Persiapan Kahwin
SHAH ALAM: Aktres jelita, Rozita Che Wan (gambar) menafikan telah bercuti selama sebulan sejak akhir Ramadan lalu kerana sibuk untuk menguruskan persiapan perkahwinan.
Rozita berkata dia berehat dari sebarang aktiviti seni kerana mahu memberi semangat kepada anak keduanya Aniq Ezzra,12, yang menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada minggu lepas.
"Selepas Ramadan saya rehat untuk tumpukan perhatian kepada anak saya yang baru sahaja selesai peperiksaan UPSR dan kini dia sibuk dengan peperiksaan sekolah agama pula.
"Saya mahu beri semangat kepada dia sepanjang menjalani peperiksaan tersebut. Saya mahu dia lulus cemerlang dan dapat mengikut jejak langkah abangnya, Ammar Affendi yang sekarang belajar di tingkatan dua, sekolah berasrama penuh," katanya yang bakal memulakan penggambaran drama Kempink pada minggu hadapan.
Jelas Rozita, keutamaan persekolahan anak-anaknya menjadi sebab utama untuk dia mengundurkan diri dari dunia lakonan ini.
Malah dia juga menafikan desas-desus bahawa dia sedang membuat persiapan perkahwinan ketika ini.
"Ke mana-mana sahaja orang akan tanya tentang perkahwinan saya. Ada juga yang cakap saya cuti sebulan ini sebab sibuk uruskan persiapan perkahwinan.
"Saya memang sedang berkawan dengan seseorang tetapi bukan bermakna akan berkahwin dalam masa terdekat ini seperti yang dikhabarkan oleh media," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka mStar, Selasa.
Dalam pada itu, Rozita memberitahu keputusannya untuk berhenti dari bidang ini merupakan satu berita kegembiraan bagi anak-anaknya.
"Sejak saya mula berlakon lagi mereka banyak kali merungut dan suruh agar saya berhenti atau kerja semula di pejabat. Bila dapat tahu saya mahu berhenti berlakon merekalah yang paling gembira sekali.
"Namun saya bersyukur selama ini anak-anak memahami situasi saya sebagai seorang pelakon dan tidak mempersoalkan berita-berita tentang saya yang keluar di akhbar," ujarnya.
Haiza Tidak Gaduh Dengan Pengurus, Usaha Dapat Anak
SHAH ALAM: Penyanyi dangdut Haiza menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan dia telah bergaduh dengan pengurusnya iaitu Zureen sejak beberapa bulan lalu.
Ini kerana dalam majlis-majlis tertentu Haiza tidak lagi menggunakan khidmat Zureen sebagai pengurus sebaliknya segala aktiviti seni dilakukannya sendiri.
Kata Haiza, Zureen mengambil keputusan untuk tidak bekerja dengannya lagi kerana mempunyai masalah peribadi selain ingin memberi tumpuan kepada keluarganya.
"Saya menghormati keputusan Zureen untuk tidak menguruskan saya lagi kerana mahu memberi fokus kepada keluarganya kerana ayahnya sedang sakit dan memerlukan perhatian.
"Tiada sebarang pergaduhan atau perselisihan faham antara kami. Kami sudah bekerja selama lapan tahun dan hubungan itu bagaikan adik beradik. Saya menghormati keputusan dia untuk memilih haluan sendiri," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Shah Alam Convention Centre (SACC) dan mStar di sini, Selasa.
Penyanyi itu menjawab desas-desus kononnya dia sudah tidak sehaluan lagi dengan pengurusnya seperti di laporkan sebuah akhbar Ahad lalu.
Jelas Haiza, dia kini menguruskan sendiri jadualnya sejak bulan Ramadan lalu sebelum mendapat pengganti Zureen.
"Sepanjang Ramadan lalu saya sibuk dengan persembahan di Hotel Dorsett Kuala Lumpur tanpa ditemani pengurus. Buat masa ini saya masih belum cari pengurus, Insya-Allah setakat ini saya boleh uruskan jadual saya sendiri," katanya.
Berusaha mahu dapat anak
Dalam pada itu, Haiza yang sudah hampir empat tahun mendirikan rumah tangga bersama suami Norhanafpe Omar mengakui sentiasa berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.
"Ramai yang tanya tentang anak, kadang-kadang saya tidak tahu bagaimana nak jawab sebab saya sudah berusaha tapi belum ada rezeki.
"Ramai di kalangan rakan-rakan yang saya jumpa bagi bermacam-macam petua dan nasihat untuk mudah hamil, tapi belum ada apa-apa tanda lagi setakat ini," katanya.
Jelas Haiza, dia dan suaminya tidak terlalu berharap namun sentiasa berusaha dan berdoa agar dianugerahkan cahaya mata bagi melengkapkan kehidupan keluarga mereka
No comments:
Post a Comment