Wednesday, December 22, 2010

AJAIB KITA KENA RASAKAN....KEHEBATAN PENCIPTANYA IAITU ALLAH...TENTU LEBIH AJAIB LAGI ATAU LEBIH HEBAT LAGI...JIKA KITA RASA KAGUM BILA MELIHAT SESUATU KEINDAHAN.... ITU LAH CIPTAANNYA....LANDSKAP YANG KITA LIHAT BEGITU INDAH SERTA CANTIK DISATU2 KAWASAN...KITA AKAN RASA KAGUM AKAN PENCIPTA LANDSKAP ITU....TETAPI KENAPA LANDSKAP ALLAH YANG LAGI LUAS...IAITU DUNIA INI...BEGITU AJAIB...MENGKAGUMKAN...INDAH...KITA TIDAK KAGUMI....ATAU MUNGKIN TERLEPAS PANDANG....IANYA BEGITU INDAH DAN TERSUSUN RAPI...MAKA SUDAH PENCIPTANYA MEMANG TERLALU HEBAT...MAKA SEDARLAH DAN BERTAQWALAH....

RENCANA UTAMA


Keajaiban alam cakerawala





KERDIPAN bintang-bintang di alam cakerawala bagaikan menjadi teman setia kepekatan hitam gelap langit malam.
Gugusan bintang di langit yang membentuk pola dan corak tertentu menghiasi kegelapan malam seolah-olah ingin menyampaikan rahsia alam cakerawala untuk diteroka oleh penghuni bumi.
Keunikan alam cakerawala dipenuhi pelbagai misteri boleh dianggap sebagai khazanah dunia yang tiada tolok bandingnya. Namun, tidak ramai menyedarinya kerana mereka jarang sekali mendongak ke ruang angkasa untuk melihat keajaibannya.
Bagaimanapun, terdapat sekelompok individu yang sentiasa memburu bintang alam cakerawala untuk merakam imej pegun dan video khazanah itu.
Ia dilakukan bukan kerana minat mendalam terhadap seni fotografi astro semata-mata tetapi kerana ingin berkongsi pengalaman. Pada masa yang sama mahu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keindahan alam cakerawala.
Bahkan, hobi seni fotografi astro yang masih hijau dan asing di negara ini mempunyai komuniti tersendiri dalam menghasilkan karya-karya imej pegun untuk tatapan umum.
Fotografi astro merupakan seni fotografi yang merakam imej objek astronomi dan langit malam. Lazimnya, hobi tersebut diminati oleh penggemar astronomi tetapi ia mula mendapat sambutan daripada penggemar fotografi. Seorang penggiat seni fotografi astro, Chin Wei Loon, 29, berkata, kebanyakan orang tidak perasan apa yang ada di langit.
“Kalau diperhatikan dengan teliti pola bintang-bintang ataupun buruj di langit kelihatan begitu cantik dan mempesonakan. Ia tidak bertaburan di langit secara rawak tetapi mempunyai gubahan tersendiri.

LANDSKAP fotografi astro merupakan salah satu cabang seni.



“Bintang-bintang bukan sekadar kerdipan di langit tetapi mempunyai cerita tersendiri seperti buruj Pari, buruj Belantik, buruj Biduk, buruj Skorpio dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui di Planetarium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau yang berpengalaman hampir 13 tahun dalam bidang astronomi menambah, seni fotografi astro sering di salah erti bahawa ia merupakan hobi yang menuntut perbelanjaan besar.
Katanya, penggemar fotografi dan astronomi yang mempunyai kamera kompak digital ataupun kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) bersama tripod sudah memadai untuk merakam imej pegun fotografi astro yang menarik.
“Selain daripada itu, mereka juga perlu memahami dan memahirkan diri membaca peta langit untuk mengetahui subjek yang bakal dirakam dapat memberi makna kepada orang ramai.
“Dalam seni fotografi astro terdapat beberapa cabang seperti fotografi landskap astro, fotografi objek deep sky, gerakan planet, matahari dan banyak lagi,” ujarnya.
Sambil berseloroh, dia mengajukan soalan, pernahkah melihat cincin terbesar di dunia?
Tanpa berlengah dia menjawab kalau kita memerhatikan fenomena gerhana matahari ia seolah-olah seperti cincin besar di angkasa malah sungguh menakjubkan sehingga penggemar seni fotografi astro tidak mahu ketinggalan merakam imej berkenaan.
Ekspedisi gerhana
Dalam pada itu, pemilik laman web www.falak-online.net, Shahrin Ahmad, 36, yang meminati dunia astronomi sejak tahun 1984 memberitahu, dia sering menyertai ekspedisi menjejaki gerhana untuk merakam imej mengagumkan untuk dijadikan kenangan.
Pengarah Urusan syarikat Equatorial Sky Innovations itu pernah mengikuti ekspedisi gerhana di dalam dan luar negara termasuk Turki, Indonesia dan China untuk memburu dan merasai gerhana.


DARI kiri: Mohammad Redzuan, Mohd. Aziz, Wei Loon dan Shahrin memeriksa peralatan yang digunakan untuk merakam keindahan alam cakerawala.


“Pertama kali saya menyaksikan keindahan gerhana adalah ketika mengikuti ekspedisi gerhana di Turki pada tahun 2006. Ia sungguh menakjubkan sehingga membuatkan hati tertarik untuk menceburi hobi fotografi astro.
“Pada waktu itu, saya hanya melakukan cerapan sahaja tetapi terfikir pengalaman tersebut perlu dikongsi bersama orang ramai melalui imej pegun,” katanya.
Shahrin menambah, dia boleh menceritakan pengalaman melihat keajaiban tersebut tetapi merasakan ia lebih memberi impak apabila orang ramai dapat melihat sendiri kejadian tersebut.
Sejak itu, dia sentiasa berkongsi pengalaman bersama orang ramai melalui laman webnya dan jatuh cinta kepada hobi fotografi astro.
Bagi Mohd. Aziz Mahmood, 59, yang menceburi hobi fotografi astro sejak dua tahun lalu berkata, penggemar fotografi astro perlu memiliki kesabaran yang tinggi untuk menghasilkan imej pegun menarik.
“Kita perlu sentiasa bersabar untuk mendapat hasil yang cantik. Sebagai contoh, kalau hendak merakamkan meteor kita perlu sentiasa peka dan menanti dengan sabar untuk detik itu.
“Adakalanya kita bertuah kerana berpeluang merakam imej tersebut dan kadangkala kita pulang dengan tangan kosong tetapi tidak boleh berputus asa,” katanya.
Cabaran yang perlu dilalui oleh penggemar hobi itu kata Mohd. Aziz, mereka perlu memastikan langit sentiasa gelap dan bebas daripada pencemaran cahaya.
“Kriteria ini amat penting kerana pencemaran cahaya akan menyukarkan kita melihat keindahan yang ditawarkan alam cakerawala.
“Selain daripada itu, cuaca juga memainkan peranan kerana apabila keadaan langit berawan ia menyukarkan proses merakam imej pegun,” ujar bekas jurutera itu.
Mereka yang ingin merakam imej di kawasan pedalaman juga perlu sentiasa bersedia berdepan dengan serangga dan haiwan liar.
Kata lelaki peramah itu, semasa berada di kawasan pedalaman yang gelap gelita, penggemar fotografi astro perlu memastikan tiada cahaya. Mereka juga hanya menggunakan lampu suluh berwarna merah untuk memastikan penglihatan tidak terjejas ketika mendongak ke atas langit.
“Kita juga perlu mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kamera ketika keadaan gelap gelita,” katanya yang meminati merakam imej burung sebelum berkecimpung dalam hobi terbaru itu.
Seorang lagi penggemar hobi berkenaan, Mohammad Redzuan Tahar, 27, memberitahu, perkembangan teknologi banyak membantunya dalam bidang seni fotografi astro ini.


HASIL karya Redzuan yang dirakam di pantai Kelanang, Banting, Selangor.


Kamera digital
“Kalau dahulu kita terpaksa membaca peta langit menggunakan kertas tetapi sekarang terdapat pelbagai perisian peta langit yang digunakan oleh penggemar hobi ini.
“Kita juga sudah boleh memuat turun perisian seperti Sideralis untuk digunakan bersama telefon pintar yang semakin canggih,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (Angkasa).
Mohammad Redzuan menambah, perkembangan teknologi kamera digital juga memainkan peranan dalam seni fotografi astro ini.
“Pada waktu dahulu, mereka yang terlibat dalam fotografi astro terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk merakam imej menggunakan kamera analog.
“Kadangkala hanya enam keping gambar sahaja yang dapat dirakam dan belum tentu ia menjadi seperti diingini,” katanya.
Sementara itu Penolong Pegawai Penerangan, Planetarium Negara, Asmidar Zainol, berkata, sejak 1 Disember lalu penggemar fotografi dan astronomi boleh menyaksikan pameran Fotografi Landskap Astro - The World At Night (TWAN).
“Pameran ini menghimpunkan pelbagai karya menarik rakaman imej fotografi landskap astro daripada komuniti astronomi dalam dan luar negara untuk dijadikan tatapan umum.
“Kita berharap dengan pameran ini, orang ramai akan lebih berminat dan menghargai alam cakerawala yang merupakan khazanah dunia,” ujarnya.
Planetarium Negara juga dalam perancangan untuk menganjurkan bengkel fotografi landskap astro bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai hobi berkenaan.

No comments:

Post a Comment