Wednesday, December 22, 2010

NI LAH KETENTUAN ALLAH...NI KUASA ALLAH YANG KITA TAK BOLEH GANGGU GUGAT...ALLAH MAHA BESAR...MAKA TUNDUKLAH KITA KEPADANYA....MOHONLAH PERLINDUNGANNYA KERANA IA SEBAIK2 PERLINDUNG...

Pengantin baru mati tukar mentol

Oleh Junita Mat Rasid

MUAR: Seorang guru lelaki hanya sempat mengecap nikmat perkahwinan empat hari sebelum meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika menukar mentol di rumah keluarganya di Parit Pinang Seribu di sini, malam kelmarin.
Keluarganya cuba membantu, tetapi Shahrizal Salleh, 30, gagal diselamatkan. Polis yang datang menyiasat menghantar mangsa ke ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), tetapi dia disahkan meninggal dunia.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, mangsa baru melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu.

Menurutnya, keluarga Shahrizal dijadualkan mengadakan majlis menyambut menantu, Sabtu ini.


Katanya, persiapan untuk majlis di rumah keluarga Shahrizal sudah hampir siap sepenuhnya.

“Difahamkan, mangsa cuba menukar mentol lampu tanpa menyedari terdapat aliran elektrik menyebabkan dia terkena renjatan, terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Keluarganya cuba membantu, tetapi mendapati mangsa sudah tidak bernafas dan menghubungi polis. Mangsa dibawa ke HPSF oleh polis tetapi disahkan sudah meninggal dunia,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan renjatan elektrik itu berlaku.

Shahrizal yang mengajar di sekolah berhampiran kampungnya berkahwin dengan pasangannya yang juga mendiami daerah ini.

Ahli keluarga mangsa ketika ditemui enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya menerima laporan kes berkenaan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kami percaya mangsa terkena renjatan elektrik. Keluarga mangsa menuntut jenazahnya di HPSF selepas bedah siasat,” katanya.



Wanita terselamat kereta remuk dihempap pokok



TERSELAMAT...Zuraidah dibawa ke HTI.
TERSELAMAT...Zuraidah dibawa ke HTI.
TELUK INTAN: Berpantang maut sebelum ajal. Begitu nasib seorang wanita yang terselamat selepas Perodua Kancil dipandunya remuk dihempap sebatang pokok besar berusia lebih 120 tahun yang tiba-tiba tumbang di Jalan Pasar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Zuraidah Satri, 39, dari Batu 11 1/2, Kampung Belt, Labu Kubong, Chenderong Balai, dekat sini, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang membuat pakaian dalam wanita di Jalan Pasar.

Ketua Polis Hilir Daerah Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, sebatang pokok besar di tepi jalan tiba-tiba tumbang lalu menghempap bumbung kereta mangsa hingga ranap.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Dia berjaya dikeluarkan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Mangsa yang ditemui di Wad Kecemasan HTI bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih trauma dengan kejadian itu.



Hilang ibu, isteri, anak

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

OPERASI...anggota bomba melakukan kerja dalam kedai yang terbakar, semalam.
OPERASI...anggota bomba melakukan kerja dalam kedai yang terbakar, semalam.
GEORGETOWN: “Saya jadi kaku sehingga tidak berdaya menyelamatkan isteri dan anak kerana api marak,” kata Neoh Hooi Poh, 57, yang kehilangan ibu, isteri dan dua anak selepas rumah kedai dua tingkat miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Perak, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, Hooi Poh terselamat walaupun kebakaran meragut nyawa ibu, isteri dan dua anaknya, masing-masing lelaki serta perempuan berusia 18 dan 17 tahun.



Walaupun dapat menyelamatkan ibunya, Lim Chye Hwa, 73, wanita itu maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat sesak nafas.

Mangsa lain yang terkorban ialah isterinya, Geoh Siew Keow, 56, serta dua anak mereka, Neoh Li Hong dan Neoh Soo Aik.

Hooi Poh berkata, ketika kejadian dia berada di tingkat atas manakala anaknya, Soo Aik menonton televisyen di tingkat bawah sebelum dikejutkan selepas melihat api di tingkat bawah.

Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut, dia membuka pintu belakang dibantu anggota bomba untuk mengeluarkan ibunya sebelum api marak.

Bagaimanapun, katanya, ketika hendak naik semula ke tingkat atas untuk menyelamatkan isteri dan dua anaknya, api terlalu marak menyebabkan anggota bomba melarangnya berbuat demikian.

“Saya tidak tahu hendak buat apa lagi kerana terlalu sedih hilang insan tersayang sekelip mata dan tidak tahu punca kebakaran ini. Namun, saya serah kepada pihak berkuasa melakukan siasatan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.50 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, bomba menemui dua mangsa di tingkat bawah manakala tiga yang lain di tingkat atas.

Katanya, bomba berjaya menyelamatkan Hooi Poh dan Chye Hwa yang berada di tingkat bawah, tetapi Chye Hwa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HPP.

“Pemeriksaan lanjut menemui Siew Keow, Li Hong dan Soo Aik dalam tandas di tingkat atas dan ketiga-tiga mereka meninggal dunia dipercayai akibat lemas,” katanya.

Menurutnya, lima jentera bersama 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Bagan Jermal, Lebuh Pantai dan Paya Terubong dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya mengawal kebakaran dalam 15 minit, namun kebakaran cepat merebak berikutan terdapat bahan mudah terbakar dalam kedai itu.

“Sehingga kini, Unit Forensik Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh memberitahu kerajaan negeri menghulurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa.

Beliau berkata, sumbangan RM5,000 diberikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kepada mangsa untuk urusan pengebumian dan hal lain yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment