Tuesday, December 21, 2010

TIDAK HAIRAN KERANA YANG MELAYARI BUKAN BERTUJUAN UNTUK TAKWA ATAU DAKWAH...DAN BUKAN DIGUNAKAN UNTUK MENGENAL ALLAH SEBAGAI PENCIPTA SELURUH ALAM...MALAH DIGUNAKAN UNTUK MEROSAKKAN MANUSIA....BUKAN MENDIDIK MANUSIA JADI BAIK...

Internet punca jenayah meningkat 7,000 peratus di Britain



LONDON: Siasatan sebuah akhbar tabloid Britain mendapati, kadar jenayah berkaitan rangkaian laman sesawang meningkat sehingga 7,000 peratus di sesetengah kawasan berbanding tiga tahun lalu.
Antara kes yang menunjukkan peningkatan ketara adalah bunuh, rogol, pedofilia, buli dan rompak.

Kata kajian itu, kemahiran pengguna komputer tidak banyak meningkat berbanding apa yang diketahui penjenayah.
Facebook terus menjadi antara punca utama pelbagai jenayah berlaku apabila penggunanya sering mengemas kini status masing-masing di situ tanpa menyedari maklumat berkenaan boleh dimanipulasi penjenayah. - Agensi

Demi diburu gosip liar lagi

HOLLYWOOD: Penyanyi dan aktres muda, Demi Lovata kerap dihujani pelbagai gosip liar dan baru-baru ini dia dikhabarkan terbabit dengan isu video lucah pula.
Bagaimanapun, bekas kekasih Joe Jonas itu menganggap gosip yang dilemparkan kepadanya itu sangat menjijikkan.

Bapa saudara Demi, Francisco Lovata mendakwa anak saudaranya sering ‘bercinta’ ketika membuat konsert jelajah di Amerika Syarikat. Disebabkan terlalu asyik bercinta Francisco memberitahu dia terpaksa menghalang orang lain dalam rombongan konsert jelajah itu supaya tidak mengganggu Demi.
Namun, pelakon filem ‘Camp Rock’ itu membantah sama sekali semua dakwaan bapa saudaranya. Menurut Demi, Francisco tidak pernah langsung mengikuti rombongan konsert jelajahnya. Jurucakap Demi pula menjelaskan isu itu muncul ketika Demi sedang menjalani beberapa siri terapi di pusat pemulihan. Penyanyi itu dikatakan menghadapi tekanan emosi dan fizikal kerana sering dibuli di sekolah, selain didakwa pernah menderita penyakit anoreksia.

“Gosip itu tidak berasas sama sekali. Demi ketika ini menghadapi masalah fizikal dan emosi yang agak serius. Isu mengenai video lucah itu benar-benar menjijikkan,” ujar jurucakap Demi. - Agensi.


Telan 1,280 pil ecstasy



DENPASAR: Seorang wanita Thailand didakwa menelan lebih 1,200 biji pil ecstasy yang dibungkus dengan plastik dalam cubaannya menyeludup dadah itu ke Pulau Bali, kata pegawai keselamatan, semalam.
Menurut Ketua Kastam Bali, I Made Wijaya, wanita berusia 24 tahun itu, Shopawat Ueamduean , kelihatan gementar ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Khamis lalu.

Menurutnya, pegawai kastam kemudian menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas wanita yang baru tiba menaiki pesawat dari Bangkok itu.
“Ketika itu didapati perut wanita terbabit lebih keras daripada biasa,” katanya.

Shopawat, katanya, kemudian dibawa ke hospital dan pemeriksaan membolehkan kastam mengesan 1,280 pil ecstasy di dalam perutnya.

“Semua pil itu dibungkus dalam 90 bungkusan,” katanya.


Benigno hairan bekas jeneral terlepas hukuman berat



MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino, semalam berkata dia bingung apabila seorang bekas jeneral yang dituduh menggelapkan hampir RM22 juta berjaya mengelak dihukum penjara seumur hidup.
Benigno berkata, dia mengarahkan penasihatnya mencari jalan bagi mengelak Carlos Garcia terlepas daripada hukuman sepatutnya.

“Jika kita gagal mendapatkan hukuman sepadan dengan kesalahannya, ia akan mencemarkan kempen kerajaan memerangi rasuah,” katanya.
Menurut Benigno, kerajaan akan menyiasat bagaimaan Garcia boleh terlepas daripada hukuman penjara seumur hidup. Garcia membayar ikat jamin selepas mengaku bersalah atas tuduhan lebih ringan dikenakan ke atasnya minggu lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan lebih ringan, iaitu rasuah dan pembersihan wang haram berbanding dakwaan pecah amanah dalam jumlah besar.

Dia juga setuju memulangkan sebahagian daripada wang yang digelapkan dulu.
Jika mahkamah bersetuju, Garcia yang dipenjara sejak enam tahun lalu mungkin dibebaskan selepas ini. Garcia dan keluarganya didakwa menggelapkan RM21.4 juta ketika berkhidmat dalam tentera.

Perbuatannya terdedah pada 2003 selepas dua anaknya ditahan di Amerika Syarikat kerana cuba menyeludup RM314,600 ke negara itu. - AFP


Isu kahwin budak terus diperdebat



RIYADH: Perdebatan antara pihak tertentu di Arab Saudi mengenai isu perkahwinan gadis di bawah umur yang kerap dilaporkan akhbar tempatan sejak akhir-akhir ini, semakin mendapat perhatian.
Sejak beberapa bulan lalu, akhbar tempatan sering mendedahkan berita mengenai beberapa gadis bawah umur yang dikahwinkan dengan lelaki seusia bapa ataupun datuk mereka.

Pada awal Oktober lalu, pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan mendesak kumpulan sivil dan pihak media membantah perkahwinan sedemikian. Perkahwinan antara gadis bawah umur dengan lelaki yang jauh lebih berusia dikatakan melanggar hak kanak-kanak yang tercatat dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak di negara itu.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Sosial, Badan Kebajikan dan Perpaduan Sosial Wood, Naeema Al-Zamil, dalam tempoh empat tahun pihaknya menemui lima kes perkahwinan gadis bawah umur yang berusia antara 10 hingga 12 tahun. Dalam sesetengah kes pula, terdapat ibu semuda usia 14 tahun yang sudah mempunyai anak.

“Kami tidak boleh campur tangan dalam perkahwinan sebegini kerana pihak mahkamah tidak mengharamkannya walaupun akhbar mendedahkan pihak terbabit sudah berjanji untuk menegah perkahwinan sedemikian secepat mungkin,” kata Naeema. - Agensi


79 jemaah tinggal lebih tempoh ditahan



MAKKAH: Pegawai jabatan imigresen menahan 79 jemaah yang tinggal melebihi tempoh di beberapa kawasan kejiranan di Makkah, semalam.
Majoriti mereka yang ditangkap cuba bersembunyi di bangunan lama dan ladang di daerah Jarwal, Al-Hafaiz, Abu Maragh dan Al-Buhairat di sini, kata Pengarah Jabatan Imigresen Makkah, Mejar Nasser Al-Qahtani.

Menurutnya kebanyakan mereka ialah rakyat dari negara Afrika dan wanita Indonesia.
Beliau berkata, serbuan dilakukan lebih awal dari tarikh 21 Disember iaitu hari terakhir jemaah haji perlu meninggalkan Arab Saudi. Kebanyakan jemaah Indonesia gemar tinggal melebihi tempoh di Arab Saudi untuk bekerja sebagai pembantu rumah berikutan kesukaran mengambil pembantu rumah melalu agensi mencari kerja. - Agensi

No comments:

Post a Comment