Wednesday, December 22, 2010

BILA AGAMA DIABAIKAN...TIDAK DIAMAL DAN LAGI TERUK TAK MEMPELAJARINYA...DITAMBAH MELAKUKAN MAKSIAT DAN KEMUNGKARAN...JIWA JADI KACAU...SYAITAN MUDAH MASUK...MEREKA TIDAK TAHU...MEREKA DISEKSA DIAKHIRAT NANTI..SAMA BAGAIMANA MEREKA MELAKUKAN DERAAN DI DUNIA...

RENCANA UTAMA


Bersuara untuk akhiri derita




HAIKAL dibesarkan oleh mak cik dan pak ciknya sejak lahir sehingga dia berusia enam tahun. Sepanjang tempoh itu, dia diberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya sebelum penjagaannya berpindah semula ke tangan ibu dan bapa kandungnya.
Sepanjang bersama ibu dan bapanya itu sehingga mencapai usia sembilan tahun, tiada sebarang kegembiraan dapat Haikal kecapi.
“Sejak lahir, ibunya meninggalkan Haikal kepada keluarga saya di Terengganu. Sesekali mereka datang melawat, lama-kelamaan, akibat tuntutan kerja di ibu kota, mereka hanya singgah sekali dalam masa satu atau dua bulan.
“Ibu Haikal pernah cuba menggugurkan Haikal semasa Haikal dalam kandungan. Mungkin kebencian telah bermula pada saat itu, lalu anak beranak itu sehingga kini tidak bersatu,” demikian kata abang sepupu Haikal, Adrian, yang percaya anak buahnya itu lebih selamat di sisi keluarganya.
Haikal kini berusia 12 tahun. Sudah lebih dua tahun dia bersama keluarga saudara yang menyayanginya. Namun, ada sesuatu yang buruk telah terjadi sepanjang tiga tahun Haikal dikembalikan dalam jagaan kedua-dua ibu bapanya.
Ibu kandung Haikal bekerja sebagai pegawai pemasaran yang berjaya di Kuala Lumpur. Tuntutan kerjayanya itu terlalu diutamakan hinggakan perhatian buat Haikal dikemudiankan. Akibatnya kedua-dua ibu dan anak tidak mempunyai ikatan kasih dan sayang yang sepatutnya.
Ketidakserasian tinggal di tempat yang langsung tiada kasih sayang menyebabkan Haikal sering menjadi mangsa kemarahan ibunya. Lebih daripada itu, Haikal dijadikan tempat melepaskan geram lantas dia sewenang-wenangnya diherdik, dipukul dan dicederakan. Bapa Haikal pula langsung tidak mempedulikan perlakuan tersebut.
“Saya tidak menyalahkan ibunya pada awal pertemuan mereka kerana waktu itu saya percaya keadaan akan bertambah baik selepas mereka menemui titik keserasian,” ujar Adrian yang suatu hari terkejut apabila menerima panggilan daripada Haikal.

ANTARA mesej tentang hak kanak-kanak oleh SUKA.


Gangguan emosi
Panggilan itu, kata Adrian, adalah mengenai kecederaan dan penderaan yang dialami Haikal akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan ibunya.
“Dia menangis dan meminta saya berjumpa dengannya pada kadar segera. Ketika itu, kebetulan saya berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja dan saya berjumpa Haikal di sekolahnya kerana ibu bapanya enggan membenarkan kami berjumpa Haikal selepas mereka mengambilnya,” terang Adrian.
Terkejut melihat kesan lebam dan parut luka serta gangguan emosi pada diri Haikal sejak dia tinggal bersama keluarga kandung, Adrian tidak sedap hati. Dia yang pada mulanya tidak mahu campur tangan terpaksa berbuat demikian demi menyelamatkan anak buahnya itu.
“Dia seperti adik kandung saya. Kami sekeluarga amat rapat dan sangat menyayanginya. Emosinya amat tertekan. Bukan sahaja dia kelihatan pucat dan lesu, dia juga bukan seperti dulu. Bayangkan kalau seorang anak sanggup lari dari rumahnya!” kata Adrian yang akhirnya merujuk kes tersebut ke pihak berkuasa seterusnya mengambil langkah undang-undang bagi membela nasib Haikal.
Hampir enam bulan ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak, Haikal akhirnya dibenarkan oleh mahkamah untuk tinggal semula dengan keluarga Adrian di Terengganu. Haikal yang turut menemani Adrian dalam temu bual Kosmo! kelihatan riang.
“Abang sangat hebat. Dia belikan saya apa saja yang saya mahukan. Saya mahu terus tinggal bersama mereka,” kata kanak-kanak itu yang enggan bercakap walau sepatah katapun tentang ibunya.

KANAK-KANAK yang menjadi mangsa dera wajib diselamatkan.


“Kami tetap menasihatinya tentang kasih sayang seorang ibu, mungkin jika suatu hari nanti jika ibunya insaf dan mahukan Haikal kembali, kami reda,” kata Adrian.
“Abang, saya tak mahu pergi pada mak. Saya nak tinggal dengan abang, mak cik dan pak cik,” balas Haikal.
Mujur bagi kanak-kanak seperti Haikal, dia bukan sahaja berani mendedahkan masalahnya kepada pihak yang boleh dipercayai, malah dia mempunyai keluarga sokongan yang sedia menerima dan menjaganya. Bagaimanakah pula nasib ratusan lagi kanak-kanak mangsa dera di negara ini yang tidak mampu berbuat apa-apa?
Tanyakan dahulu pada diri tentang soalan-soalan ini: Adakah kes-kes penderaan bertambah disebabkan sifat manusia yang semakin tidak berperikemanusiaan? Atau adakah ia disebabkan faktor persekitaran yang memberi tekanan sepanjang masa?
Walau apapun jawapannya, kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan mangsa seseorang untuk melepaskan geram. Lebih-lebih lagi jika insan yang tidak bersalah itu didera secara emosi dan seksual.
Kanak-kanak didefinasikan sebagai individu di bawah 18 tahun menurut akta kanak-kanak Malaysia 2001. Memandangkan mereka adalah golongan yang mudah dipengaruhi dan lemah, undang-undang amat peka terhadap sebarang kes salah laku terhadap golongan tersebut.
Kajian juga mendapati pemangsa kanak-kanak tidak semestinya terdiri daripada mereka yang jahil dan berpendidikan rendah. Jangan terkejut jika kesalahan itu turut membabitkan mereka yang berprofil tinggi dan berstatus dalam komuniti.
“Bukan semua orang sedar apa itu penderaan sehingga kanak-kanak itu mendapat kesan yang tidak dapat diubati sepanjang hayat. Bagi kanak-kanak yang terseksa secara emosi, mereka memerlukan seseorang untuk bergantung, bercakap, berkongsi atau berkomunikasi,” kata Pengerusi Childline Malaysia, Sabri Abdul Rahman.
Childline ialah saluran yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada talian Nur (15999) khas bagi kanak-kanak untuk berkongsi sebarang masalah atau sokongan yang diperlukan oleh mereka.
Sama seperti Haikal yang dapat menghubungi abang sepupunya, Adrian untuk mendapatkan bantuan, talian, Childline juga mempunyai fungsi yang sama. Bezanya cuma kanak-kanak itu memanggil seseorang yang asing yang boleh membantu mereka.
“Sejak dilancarkan 13 November lalu, kami telah menerima antara 20 hingga 30 panggilan telefon. Walaupun bukan semua telefon itu membabitkan isu serius mengenai kes penderaan tetapi saya gembira apabila kanak-kanak itu cuba bermesra atau berkenalan dengan operator kami melalui panggilan percubaan.
“Mereka mahu mengetahui sama ada publisiti mengenai Childline benar atau sebaliknya dan ia adalah satu percubaan yang sihat,” kata Sabri.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pernah memperkenalkan talian Teledera yang bagaimanapun ia kurang mendapat sambutan dan diganti dengan Talian Nur.

PENDERAAN meninggalkan kesan pada fizikal dan emosi.


Khidmat bantuan
Talian Nur (15999) pula terbuka bukan sahaja untuk kes penderaan, malah kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain. Kini, sebagai memberi pemerhatian khusus kepada kanak-kanak, Childline diperkenal di bawah talian yang sama.
“Child Helpline di peringkat global yang telah diperkenalkan pada awal tahun 80-an adalah usaha yang dijayakan selepas hampir setahun setengah perancangannya di negara ini.
“Kami berjanji untuk menawarkan semua jenis khidmat bantuan kepada pemanggil yang tidak semestinya kanak-kanak tetapi sesiapa sahaja yang peka terhadap isu kanak-kanak di sekitar mereka,” katanya yang menambah, pengenalan talian itu tidak akan berjaya jika orang ramai tidak memainkan peranan.
Sempat berkongsi kisah lucu mengenai talian itu di Amerika Syarikat (AS), Sabri memberitahu, pihak talian bantuan kanak-kanak negara itu pernah menerima panggilan daripada seorang kanak-kanak yang meminta bantuan untuk membuat kerja sekolah.
“Itu menunjukkan betapa kanak-kanak itu selesa berhubung dengan petugas talian sekali gus mendapat respons yang baik dan meyakinkan. Childline di Malaysia seharusnya disenangi oleh kanak-kanak seperti itu,” ujarnya yang mahu rangka promosi Childline diperluas dan berterusan.
Antara kempen yang sedang dan akan dilangsungkan adalah penganjuran acara pameran, siri jelajah di pusat-pusat beli-belah, promosi di rangkaian sosial, pusat komuniti, laman web dan di tempat-tempat yang mudah diakses kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment