Monday, January 10, 2011

ADAKAH DALAM KEADAAN AMAN DAMAI DIAKHIR ZAMAN NI....MASING2 TUNJUK KEHEBATAN DAN KUASA SERTA TAK MENGIRA SUMBER REZEKI HALAL ATAU HARAM MAIN BELASAH JE

Rompak RM300,000

Oleh Hadzlihady Hassan

SIASAT...anggota unit forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
SIASAT...anggota unit forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan tiga lelaki bertindak nekad melarikan sebuah van milik sebuah syarikat keselamatan sebelum mengambil semua wang RM300,000 dalam kejadian di Taman Segar, di sini, petang semalam.
Van itu pula ditinggalkan di belakang sebuah bangunan kedai di Lorong Manis 2, berhampiran tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, tiga lelaki terbabit termasuk seorang daripadanya bersenjatakan pistol meluru ke arah van berkenaan yang ketika itu mengambil wang dari sebuah syarikat telekomunikasi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah pengawal keselamatan sebelum mengarahnya keluar daripada van itu.

“Mereka melarikan van berkenaan ke sebuah lorong di belakang premis kira-kira 120 meter dari tempat kejadian dan mengambil semua karung berisi wang tunai yang dianggarkan RM300,000.

“Hasil siasatan awal mendapati tiga pekerja syarikat kawalan keselamatan itu baru selesai mengambil wang di beberapa premis sekitar kawasan berkenaan. Semua suspek dipercayai berusia 30-an,” katanya.

Harian Metro difahamkan kumpulan terbabit seolah-olah sudah merancang rompakan itu kerana mereka meletakkan kenderaan di lorong belakang premis itu sebagai persediaan untuk memindahkan wang dan melarikan diri.

Selain itu, kumpulan terbabit kemungkinan saki baki Geng Deva berdasarkan modus operandi mereka hampir sama dengan kejadian yang berlaku empat tahun lalu yang membabitkan kerugian kira-kira RM8 juta.
Berikutan kejadian itu, polis mengambil keterangan tiga pengawal keselamatan berkenaan untuk siasatan lanjut dan hasil siasatan awal mendapati ada satu kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pemilik premis di belakang kawasan itu, namun tidak diketahui sama ada ia berfungsi atau tidak.

Lelaki hutang tujuh bulan belasah penarik kereta



KUALA LUMPUR: Bukan saja tidak membayar ansuran bulanan kereta yang dipandunya selama tujuh bulan, malah seorang lelaki yang didakwa penjawat awam itu juga bertindak samseng selepas membelasah seorang ejen penarik kereta yang dilantik bank yang meluluskan pinjaman kenderaan itu.
Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an itu tidak berseorangan berikutan turut membawa sekumpulan enam hingga tujuh rakannya untuk membelasah mangsa, malah rantai emas yang dipakainya turut dilarikan seorang daripada mereka dalam kejadian di Jalan Padang Tembak, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, S Thiyagu, 21, bersama seorang lagi rakannya menunggu hampir sejam di lokasi berkenaan selepas menemui kereta lelaki terbabit diletakkan di kawasan itu.
“Rakan saya ingin keluar dari kenderaan, namun saya menghalang kerana percaya tidak ada masalah akan timbul berikutan lokasi kereta itu diletakkan di kawasan umum, malah berhampiran kompleks kerajaan.

“Saya menunggu pemilik kenderaan terbabit datang bagi memaklumkan kereta itu terpaksa ditarik berikutan kegagalan membayar ansuran bulanan,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa ketika kemudian seorang lelaki datang dan memperkenalkan dirinya pemilik kereta itu dan menanyakan mengapa dia berdiri bersebelahan keretanya.

Dia memperkenalkan diri sebagai penarik kereta dan menunjukkan kad kuasa termasuk surat arahan penarikan yang dikeluarkan bank kepada lelaki terbabit.

Namun, lelaki itu enggan memberi kerjasama dan menjelaskan mahu membawa kereta itu masuk ke dalam kawasan pejabatnya, namun dihalang selepas memaklumkan jumlah ansuran pembayaran yang tertunggak mencecah tujuh bulan.
“Lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya termasuk dua lelaki yang lengkap berpakaian seragam sebelum membelasah saya bertubi-tubi.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang daripada mereka sempat meragut rantai leher yang saya pakai bernilai kira-kira RM2,000 sebelum memecut kenderaan yang sepatutnya ditarik itu ke dalam kawasan pejabatnya,” katanya.



Isteri bawa lari 2 anak sejak 3 tahun

KUALA LUMPUR: “Hidup saya kini merana apabila isteri keluar dari rumah membawa bersama-sama dua anak saya tanpa khabar berita sejak tiga tahun lalu,” kata Sivarajan M Ganesan, 44, bapa kanak-kanak yang dilarikan isterinya, Puvaneswaran Sundaran, 35.
Beliau berkata, dia berkahwin dengan isterinya lapan tahun lalu itu atas pilihan keluarga selepas diperkenalkan seorang lelaki.

“Campur tangan pihak ketiga menyebabkan isteri meninggalkan saya,” katanya.
Katanya, dia kini buntu memikirkan nasib dua anak perempuannya, Tulasi, 7, dan Suria, 6, yang dibawa isterinya keluar dari rumah pada 14 September 2008 dan gagal dikesan sehingga kini.

“Anak pertama saya itu sepatutnya mendaftar tahun satu baru-baru ini, namun dia tidak hadir ke sekolah sedangkan saya sudah mendaftarkan namanya. Puas saya menjejaki mereka, namun gagal apabila keluarga terbabit sudah berpindah,” katanya.

Beliau juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Desa Jaya, di sini, Sabtu lalu, bagi meminta bantuan mencari anaknya.

Sesiapa yang mengenali atau pernah berjumpa dua anak perempuan Sivarajan boleh menghubunginya di talian 014-3635699.


10 lelaki mengamuk harga bercukur mahal

MELAKA: Hanya kerana perselisihan faham, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kayu yang tidak berpuas hati meluru masuk dalam sebuah kedai gunting sebelum membelasah tiga pekerjanya di Duyong, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kumpulan lelaki terbabit yang dipercayai menunggang lima motosikal muncul secara tiba-tiba lalu bertindak ganas apabila turut memecahkan cermin dan peralatan dalam premis berkenaan.

Berikutan kejadian itu, tiga tukang gunting berusia antara 20-an hingga 40-an mengalami kecederaan di badan serta kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka dengan ambulans untuk rawatan lanjut.
Pengurus rangkaian kedai gunting itu, M Senthil Kumar, 36, berkata, dia yang berada di Johor Bahru dimaklumkan pekerjanya bahawa sekumpulan 10 lelaki yang menaiki motosikal meluru masuk dalam premis berkenaan.

Menurutnya, ketika itu, empat pekerjanya mendakwa berada di luar sedang menunggu pelanggan sebelum kedai ditutup kira-kira jam 9.30 malam, manakala seorang lagi pekerja kebetulan pergi ke kedai membeli barang.

“Sebaik melihat kemunculan kumpulan lelaki berkenaan yang bersenjatakan parang dan kayu, tiga daripada empat pekerja masuk ke dalam kedai, manakala seorang lagi terus melarikan diri.

“Kumpulan lelaki berkenaan bertindak ganas memecahkan cermin pintu depan kedai dan cermin muka menggunakan peralatan dibawa mereka selain turut memukul pekerja yang tidak sempat berbuat apa-apa.

“Dalam tempoh kurang 10 minit, mereka beredar menyebabkan tiga pekerja berkenaan yang cedera meminta bantuan orang ramai untuk dihantar ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh.

Menurutnya, pergaduhan itu dipercayai tercetus apabila seorang daripada penyerang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran ketika bercukur di premis itu tiga hari lalu, namun siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar.



Lelaki ditahan ketika pecah masuk kediaman mewah

SERDANG: Seorang lelaki yang memiliki tiga rekod jenayah ditahan ketika memecah masuk sebuah kediaman mewah di Seri Kembangan, di sini selepas gerak-gerinya diperhatikan anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Jumaat lalu itu, sebuah kereta peronda polis melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan perumahan berkenaan kerana dimaklumkan ramai penghuninya keluar bekerja.

Anggota berkenaan kemudian ternampak kelibat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah rumah di situ sebelum menahannya.


Curi di Melaka, lerai kabel di Rawang

BUKIT BERUNTUNG: Sindiket mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) yang ditahan Sabtu lalu dipercayai mendapatkan bekalan kabel itu dari Alor Gajah, Melaka sebelum membawanya ke Bukit Sentosa, di sini, untuk dibakar bagi mendapatkan tembaga.
Malah, hasil risikan polis mendapati tiga daripada 10 suspek yang ditahan pernah bekerja di syarikat TM di daerah berkenaan sebelum diberhentikan kerja.

Lebih malang, akibat kecurian itu, penduduk di daerah itu terputus hubungan telekomunikasi selama beberapa hari selepas kejadian itu. Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, sindiket terbabit dikesan bergiat aktif sejak lebih setahun lalu dan bijak merancang kawasan sunyi sebagai sasaran mencuri kabel berkenaan.
Menurutnya, semua 13 suspek berusia 15 hingga 40 tahun yang ditahan itu kebanyakan tidak bekerja malah menjadikan ‘kerja haram’ itu sebagai mata pencarian utama mereka.

“Salah seorang daripada mereka yang berusia 25 tahun mempunyai satu rekod jenayah samun dan semua mereka kini direman selama empat hari sehingga 13 Januari ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi. Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan mengenai polis melumpuhkan satu sindiket mencuri dan menjual kabel milik TM dengan tertangkapnya sekumpulan lelaki yang menjalankan kegiatan itu di Sungai Gantung, Bukit Sentosa, di sini.

Dalam serbuan yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Mohd Yatim Osman kira-kira jam 9.30 pagi itu, 13 lelaki berusia 15 hingga 40 tahun ditahan ketika sibuk memotong kabel sebelum membakarnya bagi mendapatkan tembaga. Siasatan polis mendapati semua kabel seberat kira-kira satu tan yang diisi dalam lori muatan tiga tan dipercayai dicuri di Alor Gajah, beberapa hari lalu.

No comments:

Post a Comment