Sunday, March 13, 2011

ALLAH NAK TUNJUK PERBUATAN YANG DILARANG..KEMALANGAN DENGAN KEKASIH...SUDAH TENTU BELUM KAHWIN...TUNANG PUN TAK BOLEH...LAIN KALI NIKAH CEPAT2...DULUKAN YANG WAJIB...

Pegawai wakil rakyat dicekup khalwat


MARANG – Sepasang kekasih ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dalam sebuah kereta di satu kawasan sunyi dan gelap di Kampung Alur Tuman, Pulau Kerengga, dekat sini, kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin.

Paling mengejutkan apabila lelaki itu yang merupakan pegawai kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Marang, Terengganu.

Malah dia juga sudah berkahwin dan sepatutnya berada bersama keluarga lebih-lebih lagi pada malam Jumaat.

Lelaki itu mengaku hanya bekerja sebagai buruh ketika keterangannya diambil pihak berkuasa manakala wanita warga Indonesia itu pula tidak mempunyai suami dan bekerja pembantu rumah di Kuala Terengganu.

Berdasarkan maklumat, anggota polis peronda yang melalui kawasan itu membuat pemeriksaan di lokasi kejadian kira-kira jam 1.30 pagi sebelum menahan seorang lelaki berusia 52 tahun bersama pasangannya berumur 34 tahun dalam kereta terbabit.

Pasangan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan dibebaskan dengan jaminan sebelum dihadapkan ke Makahmah Rendah Syariah Marang, petang kelmarin.

Bagaimanapun, perbicaraan secara tertutup diadakan kerana ia berlaku pada hari cuti umum iaitu Jumaat.

Difahamkan Hakim Syarie, Shamsudin Ngah terpaksa menangguhkan perbicaraan untuk rayuan dan keputusan dibuat pada hari bekerja.

Kedua-dua tertuduh terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2011 yang boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Persuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenainya.

Namun ketika diajukan soalan mengapa perbicaraan itu diadakan secara tertutup, beliau berkata, ia hanya prosedur biasa bagi membolehkan pihaknya menahan individu terbabit dalam masa lebih panjang.

Sehubungan itu, ADUN terbabit ketika dihubungi bagi mengesahkan status lelaki terbabit memberitahu, beliau belum dimaklumkan mengenai perkara itu dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

Tsunami Jepun perlu jadi iktibar

KOTA BHARU - Ujian Allah didatangkan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui kekayaan, kemiskinan, bencana, kesedihan dan kegembiraan, namun ada di antara kita yang mungkin tidak sedar dengan bentuk-bentuk ujian tersebut.

Bagaimanapun kejadian tsunami di Jepun kelmarin sepatutnya dijadikan iktibar bahawa ada sesuatu yang perlu kita fikirkan bersama kerana setiap kejadian pasti ada sebab dan akibatnya.

Orang ramai ditemui menyifatkan kejadian tsunami yang sangat ganas setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter itu bagaikan suatu peringatan buat semua bukan sahaja masyarakat di Jepun.

Seorang guru, Nur Azila Fadzlullah Suhaimi berkata, walaupun rakyat Malaysia tidak terlibat secara langsung dengan tsunami terkuat yang pernah dicatatkan Jepun itu, namun perlu diingat bahawa ia juga memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara ini.

“Walaupun kejadian itu berlaku di Jepun, namun sebagai umat Islam kita perlu bersyukur dan berfikir bahawa ia membawa pengajaran kepada kita semua.

“Kerana itu jangan terlalu alpa melakukan sesuatu perkara, sehingga mengabaikan larangan dan peringatan Allah kepada umatNya tanpa penyesalan,” katanya.

Nur Azila berkata, semua orang seharusnya berwaspada kerana mungkin hari ini ia berlaku di negara Jepun, dan tidak mustahil akan berlaku di negara lain yang kita tidak jangka.

Warga emas, Ismail Sulaiman, 70, berkata, bencana yang meragut beribu-ribu nyawa penduduk di negara Jepun itu sepatutnya menginsafkan semua.

"Kejadian tersebut pasti ada sebab yang kita sendiri tidak ketahuinya melainkan orang-orang yang dipilih oleh Allah," katanya.


Ibu bapa boleh didakwa subahat

KOTA BHARU - Padah kepada ibu bapa yang cuai dengan membenarkan anak-anak memandu tanpa lesen kerana mereka boleh disabitkan bersubahat.

Pengarah Jabatan Pengangkutan, Abd Ghani Che Kassim mengingatkan ibu bapa, penjaga dan pemilik kenderaan yang anak mereka disaman memandu tanpa lesen boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, berdasarkan akta tersebut pemandu, pemilik dan penjaga boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

“Jika kita menahan mereka di bawah umur memandu tanpa mengikuti peraturan ditetapkan, ibu bapa mahupun pemilik kenderaan itu boleh dipanggil dan dikenakan tindakan.

“Mereka ini seolah-olah menggalakkan anak-anak mereka memandu tanpa memiliki lesen sah, ini satu kesalahan,” katanya ketika ditemui sempena Ujian Kemahiran Menembak Siri 1/2011 JPJ Kelantan di Lapang Sasar Sultan Ismail Petra, Padan Tembak, di sini.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu pegawai dan anggotanya sentiasa mengadakan operasi dan juga rondaan dalam penguatkuasaan undang-undang APJ di negeri ini secara menyeluruh.

“Memanglah, memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan yang ketara dilakukan jadi selain tanggungjawab pihak berkuasa ibu bapa itu sendiri perlu sedar natijahnya membenarkan anak-anak menggunakan kenderaan tanpa mengikut undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga turut menegur gelagat remaja yang memandu secara berbahaya kerana ia boleh mengundang padah kepada pengguna jalan raya lain.

“Apabila ditahan dan disoal siasat mereka tidak mempunyai lesen, bagi saya sekarang ini tidak berbangkit soal susah untuk memohon membuat lesen memandu kerana institut latihan memandu sudah banyak diwujudkan di setiap daerah.

“Soalnya sekarang bukan sukar untuk mendapatkan lesen tetapi tiada kesedaran dan sudah terbiasa memandu tanpa lesen walaupun sudah lanjut usia,” katanya.


Pasangan kekasih parah

RHU KUBUR - Pemandu dan penumpang sebuah kereta cedera parah apabila kereta yang naiki bertembung sebuah kenderaan dari arah bertentangan kira-kira 10.30 pagi di Kilometer 58.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rhu Kubur di sini, semalam.

Mangsa ialah Mohd Amirul Akmal Che Aziz, 20, beralamat dari Jengka, Pahang yang memandu kereta jenis Perodua Viva, penumpang dipercayai teman wanitanya, Nurul Aqilah Aziz, 19, pula beralamat dari kampung Cerang Manir, Kuala Terengganu.

Mereka dikejarkan ke Hospital Dungun oleh ambulans sebaik dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat manakala pemandu sebuah lagi kenderaan, Gue Ah Peng, 49, bersama tiga lagi penumpang hanya cedera ringan.

Difahamkan ketika kejadian Mohd Amirul dan Nurul Aqilah dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu.

Kereta mangsa bertembung selepas dipercayai gagal masuk semula ke lorongnya apabila memotong dua buah kenderaan termasuk sebuah bas.

Manakala kereta Mitsubishi Pajero dipandu Ah Peng datang dari arah yang bertentangan.

Menurut Ah Peng, kejadian tersebut berlaku begitu pantas, dia tidak sempat mengelak apabila kereta dipandu Mohd Amirul sudah berada di hadapan kenderaannya dengan laju.

“Salah seorang penumpang kereta ini sempat melihat mereka keluar lorong tetapi saya gagal untuk mengelak kerana dia memandu dengan laju untuk masuk semula ke lorongnya selepas memotong,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ah Peng dan tiga penumpang kenderaan itu bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius walaupun kenderaan empat pacuan roda rosak teruk di bahagian hadapan akibat pertembungan dengan kereta tersebut.

Sementara itu, salah seorang penumpangnya yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka juga bernasib baik kerana bas yang berada di laluan bertentangan tidak merempuh kenderaan mereka selepas terlibat dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai keja-dian itu.



Maut rempuh lori minyak

KUALA TERENGGANU - Seorang ‘despatch’ maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh belakang sebuah lori tangki minyak dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Bukit Chendering, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam, mangsa, Syed Mohd Syaril Syed Ahmad, 23, dari kampung Raja Baran, Chendering maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kaki kanan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, kereta jenis Satria yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan apabila melanggar lopak air di selekoh ketika hujan lebat dan terus terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh belakang sebuah lori tangki minyak yang berada di bahu jalan.

“Kereta Satria milik mangsa remuk teruk di bahagian hadapan manakala mangsa yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Mangsa yang baru menamatkan pengajian pada November tahun lalu dalam Jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Ungku Omar, Ipoh selamat dikebumikan kira-kira jam 12 tengah hari semalam di Tanah Perkuburan Islam kampung Raja Baran, Chendering.

Sementara itu, menurut pemandu lori terbabit, Mohd Shamsuddin Abdullah, dia yang dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Kota Bharu, Kelantan memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan untuk berhenti minum di sebuah gerai berhampiran.

“Ketika dalam perjala-nan, hujan sangat lebat jadi saya berhenti minum sekejap dan ketika hendak meneruskan perjalanan semula, secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi dentuman yang begitu kuat.

“Saya sangka tayar lori belakang pancit namun begitu terkejut selepas mendapati ada sebuah kereta berada di bawah lori saya,” katanya.


Masa depan anak kelam

FELDA MAYAM - Seorang ibu tunggal di sini bimbang dengan masa depan anak-anaknya berikutan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Mahrani Nasrun, 37, merupakan warganegara Indonesia yang berkahwin dengan lelaki tempatan, Roslan Senan dan dikurniakan empat orang anak berumur antara 6 hingga 12 tahun.

Menurutnya, akibat menghadapi masalah dengan sijil nikah, anak-anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran dan kini berstatus menumpang di sekolah.

“Kami berkahwin secara sah di sini, bagaimanapun terdapat masalah dengan nombor pendaftaran sijil nikah menyebabkan prosesnya tergendala.

“Akibat masalah tersebut, setiap anak kami tidak dapat membuat surat beranak masing-masing menyebabkan mereka menumpang di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila suaminya meninggal dunia tahun lalu akibat barah hati menyebabkan dia bimbang anak-anaknya akan terus dihimpit masalah.

Mahrani berkata, tiga daripada anaknya boleh bersekolah seperti biasa tetapi tidak boleh mengikuti peperiksaan tertentu kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.

:“Anak-anak saya bersekolah seperti biasa, tetapi status mereka di sekolah adalah menumpang dan saya bimbang masa depan pelajaran mereka sekiranya tidak mengikuti peperiksaan.

“Anak sulung saya berumur 12 tahun dan saya menghadapi masalah untuk mendaftarkannya bagi peperiksaan UPSR kerana tidak mempunyai surat beranak, begitu juga dengan kad pengenalannya,” katanya.

Sementara itu, nasib Mahrani sekeluarga mendapat perhatian Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai.

ADUN Guai, Norol Azali Sulaiman berkata, pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bertindak bagi menyelesaikan masalah dokumen yang dihadapi keluarga malang itu.

“Kita akan kenal pasti masalah utama dan seterusnya berbincang dengan pihak-pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah keluarga ini,” katanya.

Norol Azali berkata, proses itu mungkin memakan masa kira-kira tiga bulan, namun beliau berharap kes berkenaan dijadikan kes istimewa yang mempunyai keutamaan untuk diselesaikan dalam masa singkat.


Bakal pengantin maut

KLANG - “Walaupun Ayoi tiada lagi, makcik tetap akan menyayangi tunangnya, Siti Aziah seperti anak makcik sendiri walaupun mereka belum disatukan..tambahan pula dia anak yatim piatu,” Demikian luahan Asiah Mahmud, 63, ibu kepada Ahmad Khairul Anwar Nan, 26, maut selepas kereta yang dipandu gagal dikawal lalu merempuh dua batang pokok di Batu 4, Jalan Kapar, di sini malam kelmarin.

Asiah berkata, anak bongsunya berhasrat untuk mendirikan rumah tangga bersama Siti Aziah dijangka penghujung tahun ini.

“Oleh itu, sebahagian gajinya disimpan sebagai persediaan perkahwinan dan untuk tujuan itu juga, dia sanggup bekerja sampai ke malam mencari duit lebih.

“Bagi menunaikan hasratnya, makcik sempat belikan dia barang-barang hantaran kahwin, pakaian yang bakal dipakai pada hari perkahwinannya, pakaian keluarga dan juga beberapa peralatan lain di Sarawak dan Brunei ketika berada di sana sebelum kejadian menimpa Ayoi,” katanya.

Menurutnya, impian mereka untuk disatukan tidak kesampaian kerana ajal dan maut telah memisahkan mereka.

“Kali terakhir makcik jumpa arwah pada 3 Mac lalu ketika dia hantar makcik ke lapangan terbang LCCT untuk ke Sarawak. Malah dia sempat menghubungi makcik dan asyik bercerita mengenai persiapan kahwinnya.

“Pada malam kejadian, makcik rasa tidak sedap hati hingga tak dapat lelapkan mata. Apatah lagi sebaik melihat berita bencana Tsunami Jepun di kaca televisyen. Pada saat itu perasaan gundah gulana semakin bermain-main dalam fikiran,” katanya.

Gadis ikut tomboi

JOHOR BAHRU – “Saya pakai dia punya telefon, saya di rumah kawan di Kuantan.”

Itu antara petikan khidmat pesanan ringkas (SMS) ditulis dalam tulisan Cina yang dihantar seorang gadis berusia 15 tahun, Joscelin Heng Shi Han yang dikatakan tidak pulang ke rumah dengan mengikut seorang tomboi sejak Selasa lalu.

SMS itu diterima ibu gadis, Cheah Saw Tin, 38, daripada seorang rakan anaknya yang menerima pesanan daripada Joscelin ketika menghadiri sidang media di Kelab Wartawan Cina Johor Selatan, di sini, semalam.

Justeru, Saw Tin, 38, dan suaminya, Heng Bock Liang, 41, anak gadisnya pulang ke pangkuan keluarga selepas bertindak mengikut rakan yang dikenali menerusi laman sosial.

Ibu bapa ini juga risau akan keselamatan anak perempuan tunggal mereka itu dan berjanji akan memaafkan perbuatan anaknya itu, asalkan dia pulang.

“Kita mahu panggil balik dan jika ada masalah cakap. Kita tidak tahu apa masalah kamu (anaknya)? Papa dan mama tidak akan marah, janji kamu balik dan teruskan persekolahan.

“Kami juga takut dia diapa-apakan seperti kegiatan yang tidak baik atau ditipu,” katanya.

Saw Tin menyedari kehilangan anaknya pada 8 Mac lalu, apabila Joscelin dikatakan gagal pulang dari sekolah sehingga jam 10 malam, panggilan telefon bimbit anak pertama daripada dua beradik itu juga gagal dihubungi.

Bimbangkan akan keselamatan anaknya itu, Saw Tin telah menghubungi rakan sekolah Joscelin dan diberitahu anaknya telah mengikut salah seorang rakan lain yang tidak bersekolah lagi.

Isteri kepada mekanik itu berkata, anaknya mula berubah sejak cuti persekolahan Disember lalu sekembalinya Joscelin dari rumah datuknya di Kuala Lumpur.

Hasil selidik ekoran perubahan itu, Saw Tin difahamkan anaknya telah berkawan dengan seorang kawan perempuan yang berpakaian tomboi dan difahamkan tomboi terbabit telah datang ke sekolah anaknya minggu lalu.

“Kami tidak pernah memukul dia, namun sebagai ibu bapa kami memang ada marah dan menasihatinya apabila mengetahui dia ponteng sekolah.

“Sebelum ini dia tidak ada masalah dan belajar juga sederhana, namun tidak menyangka dia sanggup meninggalkan keluarga,” katanya.

Bimbang atas keselamatan anaknya, Saw Tin telah membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Utara, Selasa lalu.

Jelasnya, cubaan menelefon anaknya juga gagal kerana Joscelin enggan menjawab panggilan dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepadanya.

“Khamis lepas dia ada hantar SMS kepada kami dan memberitahu supaya kami jangan risau. Dia dalam keadaan selamat dan beliau tahu jalan balik,” katanya.

Ketika sidang media diadakan, Saw Tin turut menerima SMS dari rakan anaknya yang memberitahu Joscelin kini di Kuantan hasil pesanan anaknya kepada rakannya di Johor Bahru.

Sementara itu, Pengerusi Wanita DAP Negeri, Ng Siam Luang akan membantu menwar-warkan berita kehilangan Joscelin itu kepada cawangan DAP di Kuantan, bagi mengesan gadis 15 tahun itu, dan dalam masa yang sama menasihatkan remaja khususnya wanita agar tidak mudah terperdaya dan mengikut orang yang tidak dikenali.

“Saya nasihatkan remaja, jangan bertindak mengikut perasaan apatah lagi mengikut rakan yang baru dikenali kerana kita takut ia membawa pengaruh negatif,” katanya di sini.

No comments:

Post a Comment