Wednesday, March 16, 2011

SEKEJAP AJE ALLAH NAK MENGUBAH NASIB@TAKDIR MANUSIA...SEMALAM ADA KEMUDIAN TIADA...DULU ADA RUMAH SEKARANG TIADA...DULU BANDAR MAJU SEKARANG MUSNAH..








Awan radioaktif bergerak ke Tokyo


SEORANG kanak-kanak diimbas untuk diperiksa kadar radiasi padanya di sebuah pusat pemeriksaan di bandar Koriyama, negeri Fukushima semalam.

TOKYO - Igauan tragedi letupan loji nuklear Chernobyl di Ukarine yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa kembali menghantui rakyat Jepun selepas awan radioaktif kesan daripada siri letupan di stesen tenaga nuklear Fukushima dibimbangi akan sampai ke ibu negara Jepun, dalam tempoh beberapa jam, lapor sebuah akhbar semalam.
Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Jepun semalam membuat pengumuman bahawa radiasi dari loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) itu kini merupakan ancaman terhadap nyawa manusia.
Loji tersebut yang memiliki empat reaktor nuklear, terletak sekitar 245 kilometer dari Tokyo.
Tahap radiasi atau pencemaran radioaktif yang boleh menyebabkan kanser meningkat dengan mendadak di kawasan sekitar loji tersebut selepas reaktor No.4 terbakar semalam disyaki akibat satu letupan.
Sejak minggu lalu berlaku tiga letupan melibatkan beberapa reaktor di loji nuklear berkenaan.
Selepas kebakaran pada reaktor No. 4 berlaku, bacaan pencemaran radiasi di kawasan sekitarnya melonjak jauh melepas tahap selamat kepada 400 millisieverts sejam (mSv/j). Pendedahan radiasi yang selamat untuk manusia adalah cuma setakat 3mSv untuk setahun.
Tidak lama selepas itu, Kedutaan Perancis di sini pula memberi amaran bahawa awan radioaktif boleh sampai ke ibu negara Jepun itu dalam masa cuma beberapa jam.
Dalam nada serupa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), turut mendedahkan bahawa radiasi daripada reaktor nuklear itu telah dibebaskan ke udara.
Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan ketika berucap di televisyen tempatan, buat kali pertama mengakui bahawa radiasi telah tersebar dari loji nuklear Fukushima.
"Tahap radiasi itu amat tinggi dan risiko lebih banyak radiasi tersebar juga sangat tinggi," kata Kan.
"Kami sedang melakukan segala usaha untuk menghalang kebocoran radiasi itu daripada terus tersebar. Saya faham bahawa orang ramai kini bimbang tetapi saya merayu anda supaya bertenang," tambahnya.Radiasi boleh membunuh dan mengubah sel badan manusia yang menyebabkan penyakit barah. Setakat semalam, tahap radiasi yang tinggi dicatatkan di Ibaraki, sebuah bandar yang berada sekitar 128 kilometer dari sini.
Di bandar Saitama, dekat sini, tahap pencemaran radiasi yang direkodkan pula adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada normal.
Setakat ini, kerajaan Jepun telah mengkuarantin 150 orang kerana mereka dikhuatiri terdedah kepada pencemaran radiasi.
Pihak berkuasa turut mengambil langkah membersihkan pencemaran radiasi melibatkan 23 orang yang berada berhampiran loji nuklear di Fukushima.
Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.
Lebih 100,000 orang dipercayai berada dalam zon tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara luar bermula dengan China mula memindahkan rakyat mereka dari sini kerana bimbang tentang pencemaran radiasi. Setakat ini, beberapa negara asing termasuk Austria dan Perancis mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke bandar Osaka yang terletak 400 kilometer dari Tokyo.
Sementara itu, gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang melanda timur Jepun pada Jumaat lalu memusnahkan kawasan seluas sehingga berpuluh-puluh kilometer dan menyebabkan lebih 550,000 orang hilang tempat tinggal. - Agensi

2 mangsa ditemui selamat



TOKYO: Pasukan penyelamat semalam menarik keluar dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita dari timbunan kesan daripada gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu Jumaat lalu.
Seorang wanita, Sai Abe, 70 ditemui masih hidup di bawah runtuhan sebuah rumah yang dihanyutkan oleh tsunami.

Wanita berkenaan kesejukan tetapi keadaannya itu tidak mengancam nyawa.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 20 tahun diselamatkan di Ishimaki di wilayah paling teruk terjejas, lapor NHK.

“Saya dihanyutkan oleh tsunami tetapi mujur saya dalam keadaan baik,” kata lelaki itu. - AFP

Bayi terselamat selepas tiga hari di bawah runtuhan


SEORANG anggota tentera mendukung bayi berusia empat bulan yang ditemui setelah berada di bawah runtuhan selama tiga hari.

SENDAI, Jepun - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan berjaya diselamatkan selepas tiga hari berada di bawah runtuhan akibat tsunami dan gempa bumi sekuat 9 skala Richter yang mengegar Jepun pada Jumaat lalu.
Pada awalnya, sekumpulan askar dari Pasukan Pertahanan Jepun yang sedang mencari mangsa terselamat di kampung Ishinomaki terdengar tangisan seorang bayi. Selepas mengalihkan kepingan kayu, batu dan lumpur tebal, mereka akhirnya menjumpai bayi tersebut.
Bayi itu ditemui dalam keadaan sejuk, basah dan menangis. Dia dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan. Persoalan kenapa dia tidak lemas, masih menjadi misteri.
Bayi tersebut dikatakan terlepas daripada pangkuan ibu bapanya apabila ombak besar memusnahkan kediaman mereka. Keluarga malang itu percaya bahawa mereka akan kehilangan bayi itu buat selama-lamanya. Dia kemudian dipertemukan semula dengan bapanya yang dilihat sangat gembira.
Sebelum dia dijumpai, pasukan penyelamat sudah menemui sekurang-kurangnya 2,000 mayat di sepanjang pantai di wilayah Miyagi yang paling teruk terjejas.
"Penemuan bayi ini memberi semangat baru kepada pasukan penyelamat. Kami akan mendengar, melihat dan menggali dengan lebih berhati-hati selepas ini," kata salah seorang pegawai tentera terbabit. - Agensi

Krisis nuklear makin buruk



MANGSA tsunami masak dan makan di depan kediaman mereka yang rosak di  Ishinomaki, Miyagi, semalam.
MANGSA tsunami masak dan makan di depan kediaman mereka yang rosak di Ishinomaki, Miyagi, semalam.
PAKAR kaji cuaca, Roman Chernov menggunakan alat untuk pengukur paras radiasi di sebuah stesen kaji cuaca di Vladivostok, timur jauh Russia, semalam.  Paras radiasi meningkat sedikit di wilayah itu semalam tetapi masih dalam lingkungan normal.
PAKAR kaji cuaca, Roman Chernov menggunakan alat untuk pengukur paras radiasi di sebuah stesen kaji cuaca di Vladivostok, timur jauh Russia, semalam. Paras radiasi meningkat sedikit di wilayah itu semalam tetapi masih dalam lingkungan normal.
SENDAI: Letupan dan kebakaran di loji nuklear Jepun berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu Jumaat lalu, semalam menghamburkan radiasi berbahaya.
Ia sekali gus menjejaskan pasaran saham dan mendorong orang ramai bergegas ke pasar raya untuk membeli stok makanan.

Di kebanyakan bandar, penduduk yang bimbang, menyerbu pasar raya untuk membeli bekalan makanan dan air, menyebabkan kerajaan memberi amaran tindakan mereka boleh menjejaskan usaha menghantar bantuan ke kawasan yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami.
Namun, penduduk Tokyo memenuhi kereta api untuk ke pasar raya bagi mendapatkan bekalan topeng muka dan bekalan kecemasan sebagai persiapan menghadapi kemungkinan radiasi merebak ke wilayah mereka.

Perdana Menteri, Naoto Kan berkata, tahap radiasi di sekitar loji Fukushima 1 meningkat agak tinggi sementara ketua jurucakapnya mengumumkan ia sudah mencapai paras yang membahayakan kesihatan.

Di Tokyo, kira-kira 250 kilometer ke barat daya Sendai, pihak berkuasa juga berkata, paras radiasi yang lebih tinggi daripada biasa dikesan di ibu negara itu tetapi belum mencapai tahap berbahaya.

Kan memberi amaran kepada mereka yang tinggal di sekitar 10 kilometer dari loji berkenaan supaya tidak keluar rumah.

“Saya menyeru semua rakyat supaya bertenang,” katanya.
Kebakaran pada reaktor keempat loji berkenaan semalam dipadamkan dengan bantuan tentera Amerika Syarikat.

Empat daripada enam reaktor di loji itu menghadapi masalah dan suhu di dua lagi semakin meningkat.

Di satu-satunya negara di dunia yang pernah mengalami serangan nuklear - dua bom atom digugurkan oleh Amerika Syarikat pada Perang Dunia Kedua menyebabkan kematian kira-kira 200,000 orang - penduduk Jepun begitu bimbang dalam menghadapi satu krisis nuklear.
“Apa yang amat membimbangkan kami ialah kebocoran radiasi dari loji nuklear,” kata Kaoru Hashimoto, 36, suri rumah yang tinggal di Fukushima, 80 kilometer ke barat laut loji terbabit.
Sementara itu, angka kematian akibat bencana yang menimpa negara itu meningkat kepada 2,414 orang. Pegawai sebelum ini berkata, sekurang-kurangnya 10,000 orang mungkin terbunuh. - AFP

Gabenor Tokyo mohon maaf



TOKYO: Gabenor bandar raya ini, Shintaro Ishihara yang terkenal kerana sikap konsevatifnya semalam memohon maaf kerana menyifatkan gempa bumi dan tsunami sebagai ‘balasan tuhan.’
“Ulasan saya mengenai bencana itu menghiris perasaan mangsa dan penduduk Tokyo.

“Saya memohon maaf,” kata Ishihara, 78 yang akan bertanding semula untuk mempertahankan jawatannya 10 April depan, pada satu sidang akhbar.
Kelmarin, gabenor itu berkata, rakyat Jepun semakin tamak dan kes penduduk negara itu yang mengambil wang pencen ibu bapa mereka dengan melengahkan laporan kepada pihak berkuasa mengenai kematian mereka.

“Adalah perlu untuk membersihkan jiwa yang tamak dengan tsunami,” kata Ishihara kepada wartawan Isnin lalu.

“Saya berpendapat ia adalah balasan tuhan.” Beliau menarik balik kenyataan itu ketika pihak berkuasa Jepun berusaha mengelak peleburan terhadap loji nukelar dan bertungkus lumus untuk menyelamatkan mangsa daripada bencana Jumaat lalu.

Ishihara yang pernah berkhidmat sebagai anggota Parlimen, Jumaat lalu mengumumkan pencalonannya untuk penggal keempat sebagai gabenor Tokyo.

Beliau terkenal kerana pandangannya yang bersifat kebangsaan, termasuk menafikan kekejaman Jepun sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua, seperti Pemerkosaan Nanking. - AFP


Kadar radioaktif terus meningkat

Pasukan perubatan memeriksa kesan radiasi ke atas seorahg bayi di Nihonmatsu, wilayah Fukushima di utara Jepun, semalam. - REUTERS


TOKYO 15 Mac - Keadaan panik menyelubungi bandar raya Tokyo hari ini selepas tahap radioaktif dari loji-loji tenaga nuklear di negara ini terus meningkat ekoran gempa bumi pada Jumaat lalu.
Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk mengambil tindakan meninggalkan bandar ini selain menyimpan pelbagai bekalan terutama makanan.
Beberapa kedutaan menasihati kakitangan dan warganegara mereka meninggalkan bandar raya ini, para pelancong memendekan percutian manakala syarikat multinasional menggesa kakitangan mereka bercuti atau menimbang beroperasi di luar bandar.
Sebuah pasar raya di daerah Roppongi, Tokyo, Don Quixote kehabisan stok termasuk radio, lampu suluh, lilin dan beg tidur, hari ini setelah penduduk 'menyerbu' pasar raya itu.
Wartawan asing yang membuat liputan berhubung gempa bumi dan tsunami di Sendai sejak Jumaat lalu, juga telah pulang ke negara masing-masing.
Syarikat mencari pekerjaan Britain, Michael Page International juga akan ditutup pada minggu ini.''Saya akan pergi ke Singapura esok dan bekerja di cawangan kami di sana,'' kata salah seorang daripada kakitangan syarikat itu.
Kyodo News berkata, tahap radiasi di Tokyo dan Saitama adalah 40 kali ganda daripada peringkat normal, masih belum berbahaya kepada manusia namun cukup menimbulkan panik di bandar yang dihuni oleh kira-kira 12 juta orang.
Pegawai Pejabat Kaji Cuaca berkata, angin kini bertiup perlahan ke arah barat daya termasuk Tokyo tetapi akan berubah ke arah barat pada lewat petang ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan memberi amaran tahap radioaktif tinggi di sekitar loji tenaga nuklear selepas berlaku letupan di dua buah reaktor.
Beliau berkata, risiko kebocoran lebih banyak radiokaktif semakin meningkat. - Reuters

Letupan loji nuklear pada tahap bahaya

PARIS 15 Mac - Pihak berkuasa keselamatan nuklear Perancis (ASN) semalam berkata, insiden letupan ke atas sebuah loji nuklear di Jepun dikelaskan pada tahap 5 atau tahap 6 mengikut skala antarabangsa dan dianggap berada pada tahap bahaya.
Tahap keselamatan dalam insiden letupan di loji tenaga nuklear di Fukushima itu boleh disamakan dengan tahap keselamatan dalam kejadian kebocoran di loji tenaga nuklear di Three Mile Island di Amerika Syarikat pada 1979.
Tahap risiko keselamatan tenaga nuklear mengikut skala antarabangsa diukur pada tahap 1 hingga tahap 7.
Anggaran risiko dalam kemalangan di loji Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu, mengikut penilaian ASN berdasarkan data yang disediakan oleh agensi keselamatan nuklear Jepun menunjukkan ia berada pada tahap 4.
"Tahap 4 dianggap sebagai tahap yang serius.
"Pihak kami menjangkakan insiden tersebut berada pada tahap 5 atau tahap 6," kata Presiden ASN.... pada satu sidang media.
Semalam, seramai 11 orang dilaporkan cedera apabila berlaku letupan gas hidrogen berikutan letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu.
Kejadian itu memburukkan lagi krisis nuklear di negara matahari terbit itu ekoran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda negara itu disusuli dengan tsunami besar, pada Jumaat lalu. - Reuters

Krisis nuklear Jepun meruncing


Kombinasi imej satelit, (gambar kiri) merakamkan loji nuklear Daiichi di Fukushima pada 21 November, 2004 dan (gambar kanan) pada 14 Mac. Kelihatan kepulan asap menjulang ke udara setelah reaktor No.3 di loji itu meletup ekoran gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu. Dalam tempoh empat hari lalu selepas gempa itu, dua reaktor di kompleks nuklear terletak 240 kilometer ke utara Tokyo itu telah meletup mencetuskan krisis nuklear paling serius di Jepun sejak Perang Dunia Kedua. – REUTERS

FUKUSHIMA 15 Mac – Krisis nuklear Jepun yang disifatkan sebagai paling serius di dunia sejak malapetaka Chernobyl di Ukraine pada 1986, semakin meruncing hari ini apabila paras radiasi didapati meningkat ke tahap membahayakan kesihatan di sekitar sebuah loji nuklear setelah beberapa reaktornya meletup dalam tempoh empat hari lalu selepas berlaku gempa bumi Jumaat lepas.
Perdana Menteri, Naoto Kan menyeru penduduk yang tinggal sekitar 30 kilometer dari loji nuklear Fukushima, 240 kilometer ke utara Tokyo, supaya tidak keluar rumah dan menjimatkan elektrik.
Ketika bercakap mengenai paras radiasi di reaktor No. 4 yang meletup hari ini, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui terdapat kemungkinan jelas kesihatan penduduk boleh terjejas.
“Tidak syak lagi berlainan dengan situasi masa lalu, paras radiasi kini pada paras yang boleh membahayakan kesihatan manusia,” kata Edano.
Kedutaan Perancis dalam kenyataan pada 0100 GMT (9 pagi waktu Malaysia) memberi amaran, angin radioaktif paras rendah boleh sampai ke Tokyo dalam masa kira-kira 10 jam, tetapi pihak berkuasa mengesan paras radiasi melebihi normal lebih awal daripada itu di ibu negara Jepun itu.
Paras radiasi di bandar Maebashi, 100 kilometer ke utara Tokyo mencecah 10 kali paras normal, manakala hanya radiasi paras rendah dikesan di ibu negara matahari terbit itu, yang ‘tidak menjadi masalah’, kata pegawai bandar raya menurut agensi berita Kyodo.
“Berlaku kebakaran dan letupan di reaktor No. 4 dan paras radiasi di kawasan sekitar meningkat dengan ketara, kemungkinan berlaku lagi kebocoran bahan radioaktif bertambah meningkat,” kata Kan dengan wajah suram dalam ucapan ke seluruh negara.
Negara serantau juga semakin bimbang dengan risiko radiasi, termasuk China. Syarikat penerbangan Air China membatalkan penerbangan ke Tokyo sementara kerajaan Jepun mengumumkan zon larangan terbang sejauh 30 kilometer di sekitar reaktor di Fukushima.
Media Jepun mula mengkritik Kan berhubung tindakannya menangani bencana itu dan membidas kerajaan dan operator loji nuklear, TEPCO kerana gagal menyalurkan maklumat lengkap mengenai insiden tersebut, terutamanya risiko terhadap kesihatan.
“Keracunan radiasi yang sangat teruk, seperti yang berlaku di Chernobyl dan kepada pekerja Jepun di stesen tenaga nuklear itu, tidak mungkin menimpa penduduk awam,” kata pakar patologi kimia di Universiti Hong Kong, Lam Ching-wan.
Namun, letupan di reaktor itu boleh menyebabkan penduduk awam terdedah kepada radiasi jangka panjang, yang meningkatkan risiko kanser tiroid dan tulang serta leukemia terutamanya kepada kanak-kanak dan anak dalam kandungan, katanya.
Sejumlah empat letupan berlaku di loji Fukushima sejak kompleks itu mengalami kerosakan dalam gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lalu, dengan letupan terbaru di reaktor No. 2 dan No. 4, hari ini. – Reuters

Dua letupan tidak cetuskan radioaktif

SHAH ALAM – Dua letupan loji kuasa nuklear di Fukushima yang terletak sejauh 250 kilometer (KM) di Timur Laut Tokyo disahkan tidak mencetuskan penyebaran radioaktif berleluasa.

Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berpangkalan di Vienna, Austria, Yukiya Amano mengesahkan letupan itu berlaku disebabkan tindak balas gas hidrogen di kedua-dua loji tersebut.

“Tiga asas penting telah berlaku sebelum kejadian letupan itu. Semua operasi reaktor telah berhenti secara automatik, semua bahan nuklear terkawal serta sistem reaktor itu disejukkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kapal yang menempatkan bahan bakar nuklear dalam loji nuklear itu masih tegap menyebabkan tidak ada sebarang pelepasan bahan radioaktif di tahap berbahaya.
Beliau berkata, dalam keadaan yang berlaku kini, latar belakang sinaran sememangnya dijangka berada di tahap tinggi.

“Berdasarkan sistem pengesan yang digunakan, pada mulanya penyebaran radiasi mengalami sedikit peningkatan tetapi paras latar belakang sinar dikesan sudah menurun,” katanya.

Jumaat lalu, dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 8.9 skala Richter sehingga mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter di Tokyo, Jepun. Keadaan itu menyebabkan lima reaktor nuklear, loji minyak dan pelabuhan terpaksa ditutup. Bencana tersebut juga turut menjejaskan ekonomi negara matahari terbit.


Siap sedia hadapi ancaman nuklear


Penduduk bergegas beli barang keperluan, cara PM tangani krisis berganda dikecam

TOKYO: Walaupun digesa kekal tenang oleh Perdana Menteri Naoto Kan, penduduk tetap bergegas ke kedai untuk membeli barang keperluan bagi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana nuklear.
Di pusat beli-belah Don Quixote, sebuah kedai 24 jam yang menjual barangan keperluan di daerah Roppongi di Tokyo, produk seperti radio, lampu suluh, lilin dan beg tidur habis dijual.
Beberapa kedutaan menasihatkan kakitangan dan rakyat masing-masing untuk meninggalkan kawasan terjejas radiasi dan daerah yang musnah akibat gempa bumi magnitud 9 (dinaikkan daripada 8.9 semalam) dan tsunami Jumaat lalu yang mungkin mengorbankan sehingga 6,000 nyawa.

Pelancong juga didapati memendekkan cuti masing-masing dan syarikat antarabangsa menggesa kakitangan masing-masing untuk berpindah atau merancang memindahkan pejabat ke kawasan di luar Tokyo.

"Saya takut, saya terlalu takut dan berasa berada dalam puting beliung,” kata Lucy Niver,10 dari Egan, Minnesota, yang sedang bercuti bersama keluarganya di Tokyo ketika gempa bumi dan tsunami melanda.

"Saya mahu balik,” katanya lagi.
Media Jepun semakin kritikal terhadap cara Kan menangani krisis berganda ini dan mengecam Tokyo Electric Power Co (TEPCO) - pengendali loji nuklear Fukushima Daiichi - kerana gagal memberi maklumat yang memadai berhubung masalah di loji berkenaan yang lumpuh akibat gempa bumi.

Kan juga membidas TEPCO kerana mengambil masa terlalu lama untuk memaklumkan pejabat beliau berhubung letupan terbaru yang menyebabkan pengeluaran radiasi ke udara sehingga merebak sejauh 170 kilometer ke Tokyo semalam.

"Apa yang sebenarnya berlaku (di loji itu)?” agensi berita Kyodo memetik beliau sebagai berkata.

“Televisyen melaporkan letupan ketiga berlaku pagi semalam tetapi pejabat perdana menteri hanya dimaklumkan sejam kemudian,” kata Kan.

Sejak ia rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu, loji nuklear berusia 40 tahun itu mengalami empat letupan, dengan letupan terbaru berlaku terhadap reaktor dua dan empat.

Pihak berkuasa bimbang kebocoran akan berlaku menyebabkan bencana nuklear seperti Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyaksikan kawasan sekeliling dicemari radiasi. - Agensi

2 letupan baru di loji nuklear Fukushima


2011/03/16

Reaktor No. 3  di loji nuklear Fukushima Daiichi terbakar akibat gempa bumi Jumaat lalu.
Reaktor No. 3 di loji nuklear Fukushima Daiichi terbakar akibat gempa bumi Jumaat lalu.
TOKYO: Loji nuklear Fukushima Daiichi yang lumpuh berikutan gempa bumi mengalami kebocoran radiasi yang serius semalam berikutan dua letupan baru dan satu kebakaran ketika kakitangan di tapak berkenaan bertungkus lumus mengelak kebocoran.

Krisis nuklear terbesar negara itu semakin buruk setiap hari berikutan empat daripada enam reaktor di loji nuklear Fukushima mengalami letupan hidrogen sejak gempa bumi melanda wilayah Tohoku Jumaat lalu.
Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengarahkan 800 kakitangannya berpindah dari loji terbabit tetapi meninggalkan 50 yang lain untuk mengepam air laut ke reaktor dalam usaha yang disifatkan terdesak untuk menyejukkan tiga daripada empat reaktor dan berusaha untuk mengelak pembocoran teras.
Dalam satu taklimat malam kelmarin, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui adanya risiko tiga daripada empat reaktor terjejas itu boleh mengalami kebocoran. Namun Kazuhiko Maekawa, profesor madya di Universiti Tokyo semalam berkata walaupun senario ini mungkin berlaku, sekurang-kurangnya pada masa sekarang, ia adalah berbeza dengan kebocoran teras di Chernobyl pada 1986 di Ukraine yang membabitkan letupan nuklear berskala besar.

Walaupun kebocoran berlaku, ia masih dalam keadaan cecair, kata Maekawa. Jika reaktor utama tidak musnah secara keseluruhan, bahan radioaktif membawa maut masih kekal dalam kawasan reaktor, katanya.

“Dalam insiden di Chernobyl, letupan merebak bahan nuklear yang mengandungi debuan maut dan mencemarkan kebanyakan penduduk,” kata Maekawa, seorang kaunselor Persatuan Penyelidikan Keselamatan Nuklear, menolak satu letupan seumpama itu di Fukushima.

“Jika anda berjaya menghalang kebocoran, kemungkinan pencemaran radioaktif berskala besar adalah rendah. Penduduk tempatan perlu terus tenang dan tidak panik,” katanya. – Agensi

Peristiwa perang dunia berulang


2011/03/16

ANGGOTA penyelamat Korea Selatan bersama polis Jepun membawa keluar mayat mangsa tsunami yang ditemui di  Sendai, semalam.
ANGGOTA penyelamat Korea Selatan bersama polis Jepun membawa keluar mayat mangsa tsunami yang ditemui di Sendai, semalam.
Warga tua Jepun bimbang pencemaran, kesan radiasi

NATORI: Hirosato Wako hanya mampu merenung kemusnahan penempatan kecil nelayan yang dipenuhi runtuhan bangunan, besi dan mayat dengan tangan yang kelihatan terkeluar. Hanya sekali beliau pernah melihat keadaan seperti itu, iaitu ketika Perang Dunia Kedua.
“Saya tinggal ketika Sendai pernah dilanda serangan udara, tetapi kali ini ia lebih teruk,” kata Wako, 75, merujuk kepada pengeboman di bandar raya terbesar di timur laut berkenaan.
Bagi orang tua yang tinggal di perkampungan di pinggir pantai timur laut Jepun itu, ia bagaikan kembali kepada masa silam yang mana anak-anaknya tidak pernah mengetahuinya.

Generasi tua yang terus tinggal berhadapan dengan kemusnahan dan kemungkinan pencemaran radiasi – satu cabaran dihadapi semula generasi itu selepas negara Matahari Terbit itu terpaksa dibangunkan semula berikutan tewas pada Perang Dunia Kedua pada 1945.

Di perkampungan Yuriage, operasi mencari mangsa bertukar menjadi pencarian mayat. Kebanyakan mayat terbabit membabitkan golongan tua yang tidak bermaya untuk lari dari tsunami.

Yuta Saga, 21, mengutip beberapa cawan yang pecah akibat gempa bumi apabila beliau terdengar bunyi siren dan jeritan ‘tsunami!’.
Beliau sempat menyambar tangan ibunya dan berlari ke sekolah tinggi, bangunan tertinggi di kawasan terbabit.

Apabila tiba di sekolah, Saga dan ibunya mendapati tangga untuk naik ke bumbung dipenuhi orang tua yang tidak lagi berdaya untuk memanjatnya. Ada yang sekadar duduk atau berbaring di atas tangga terbabit.

Dalam keadaan panik, penduduk muda mula menolak sesama sendiri dan memanjat mereka yang tidak bergerak atau menepis mereka untuk menuju ke atas.

“Saya seperti tidak percaya. Mereka sekadar menolak orang tua. Orang tua terbabit langsung tidak dapat menyelamatkan diri,” kata Saga.

Saga masih ingat, seorang wanita menyerahkan bayinya kepada beliau. “Tolong sekurang-kurangnya selamatkan bayi ini,” rayu beliau ketika air sudah mencecah bahagian dadanya. – Agensi


Kebakaran Terbaru Di Reaktor Nuklear Jepun
TOKYO: Kebakaran terbaru meletus di loji nuklear Jepun awal hari in sekali gus memburukkan lagi krisis berkenaan.
Kebakaran di reaktor nombor empat di loji No 1 Fukushima dilaporkan berlaku dengan sendiri, kata agensi keselamatan atom negara berkenaan.
"Kami terima maklumat dari TEPCO (operator loji Tokyo Electric Power Co) bahawa kebakaran dan asap boleh dilihat dan ia berlaku secara sendiri," kata jurucakap, Minoru Ogoda kepada AFP.
Seorang pekerja terdahulu melaporkan asap merebak keluar dari tingkat empat bangunan reaktor berkenaan, kata jurucakap TEPCO.
Tidak dapat dipastikan tempoh masa kebakaran itu berlaku tetapi berjaya dipadamkan 30 minit selepas dikesan.
Tiada laporan mengenai kecederaan dan kesan kerosakan belum dapat disahkan. - AFP

Gempa Sekuat 6.0 Landa Pantai Timur Honshu, Jepun
KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter berlaku berhampiran Pantai Timur Honshu, Jepun pada pukul 9.31 malam Selasa.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata, gempa bumi itu berpusat di 3,911 kilometer dari Timur Laut, Kudat di Sabah.
Jumaat lepas, Jepun digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 9.0 pada skala Richter dan mencetuskan tsunami besar yang mengorbankan beribu nyawa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment