Sunday, March 13, 2011

BERTAUBAT SERTA BERTAQWA...JANGAN BUAT MAKSIAT...SERTA MUNGKAR...LAWAN ALLAH...MACAM KITA MENGUNDANG BALA DARI ALLAH SWT

10 gempa bumi susulan direkodkan



PUTRAJAYA: Jabatan Meteorologi merekodkan 10 gempa bumi susulan dalam tempoh kurang 24 jam daripada kejadian gempa terkuat 8.9 skala Richter pada jam 1.46 petang, berhampiran perairan timur Honshu, Jepun kelmarin.
Kejadian gempa susulan yang direkodkan itu adalah pada kadar kuat dan sederhana iaitu dari 5.4 hingga 7.4 skala Richter, tidak termasuk gegaran kecil yang dirasai penduduk.


Jumaat:



  • 2.15 petang, gempa 7.4 skala Richter direkodkan di kawasan perairan sama iaitu 131 kilometer (km) dari timur laut Tokyo (4,078 km timur laut Kudat, Sabah)




  • 7.36 malam, gempa 6.5 skala Richter, berhampiran perairan sama timur Honshu, 439 km timur laut Sapporo (4,420 km timur laut Kudat)




  • 8.15 malam, gempa 6.2 skala Richter, berhampiran perairan timur Honshu, 251 km timur laut Tokyo




  • 11.13 malam, gempa 6.3 skala Richter, berhampiran perairan timur Honshu, 173 km timur laut Tokyo (4,101 km timur laut Kudat)


    Sabtu:




  • 2:59 pagi gempa 6.2 skala Richter, berhampiran perairan barat Honshu, 191 km barat laut Tokyo (3,998 km timur laut Kudat)




  • 3.02 pagi gempa 6.1 skala Richter, berhampiran perairan timur Honshu, 419 km tenggara Sapporo (4,457 km timur laut Kudat)




  • 3.26 pagi gempa 5.4 skala Richter di kepulauan Ryukyu, 418 km tenggara Kobe (2,889 km timur laut Kudat)




  • 3.47 pagi gempa 6.3 skala Richter di timur laut Jepun, 393 km barat daya Sapporo (4,288 km timur laut Kudat)




  • 4.11 pagi gempa 6.3 skala Richter berhampiran perairan timur Honshu, 443 km timur laut Tokyo (4,406 km timur laut Kudat)




  • 9.47 pagi, gempa 6.5 skala Richter berhampiran perairan timur Honshu, 292 km timur laut Tokyo (4,243 km timur laut Kudat) 





  • Hanya berdoa

    Oleh HADZLAN HASSAN dan SHAMRAN SARAHAN
    metahad@hmetro.com.my

    LONGGOK... kesan tsunami di Miyagi, Jepun utara.
    LONGGOK... kesan tsunami di Miyagi, Jepun utara.
    KUALA LUMPUR: “Saya hanya mampu berdoa... kemudian mencapai helmet (topi keselamatan) dan bersembunyi di bawah meja (di pejabat),” kata Muhammad Zulfahmi Samsudin, 28, menceritakan detik cemas ketika berdepan gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda Jepun, kelmarin.
    Ketika bencana alam itu berlaku, Zulfahmi melakukan rutin sebagai jurutera di syarikat gergasi, Kumpulan Fuji Elektrik yang terletak di Kawasaki, Jepun, iaitu kira-kira 400 kilometer dari lokasi terjejas teruk.

    “Mulanya, saya ingatkan ia hanya gempa bumi biasa. Di Jepun, gempa bumi biasa hanya berlaku dalam tempoh kurang 20 saat, namun gegaran yang berlaku lebih daripada satu minit ketika gempa berlaku kelmarin dan (gegaran) terus berlanjutan membuatkan kami (rakan sekerja) panik.
    “Fail di rak meja dan komputer jatuh akibat gegaran itu. Saya hilang punca seketika dan mula teringat keluarga di Malaysia, terutama isteri (Wan Hakimah Wan Ibrahim, 27) dan anak (Nurhannah, 5 bulan), di bibir saya tidak habis-habis berdoa untuk keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi semalam.

    Zulfahmi tidak menafikan ketika gempa berlaku dia sangat takut kerana ketika itu di berada di tingkat enam pejabat.

    “Sukar membayangkan perasaan ketika itu, gegaran sungguh kuat. Saya sangat berharap gegaran itu berhenti secepat mungkin,” katanya.

    Selepas kejadian, Zulfahmi berkata, bandar Kawasaki menjadi sesak berikutan orang ramai berduyun-duyun pulang ke kediaman masing-masing.

    “Perkhidmatan kereta api dihentikan, bas menjadi tumpuan membuatkan orang ramai beratur sehingga dua kilometer menanti giliran menaiki bas.
    “Saya bersama 12 rakan sekerja (warga Jepun) berjalan kaki sejauh 12 kilometer untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

    Menurut Zulfahmi, walaupun dirinya dalam keadaan tidak menentu, dia bersyukur kerana anak dan isteri pulang ke Malaysia sejak Januari lalu.

    “Lebih baik saya hadapi kejadian ini sendiri daripada membabitkan isteri dan anak yang masih kecil. “Saya akan pulang ke Malaysia 24 Mac ini dan berharap semuanya berjalan lancar nanti,” katanya.

    Kedutaan Besar Malaysia di Jepun melaporkan, pihaknya masih dalam usaha menghubungi semua warga Malaysia, termasuk pelajar di kawasan yang terjejas teruk, terutamanya di Miyagi, Iwate dan Aomori.

    Sehingga jam 6 pagi tadi (5 pagi waktu Malaysia), kedutaan menghubungi 289 warga Malaysia yang berada di wilayah itu.


    Tokyo lumpuh



    TERSADAI... sebuah kapal diheret arus kuat  dan  tersadai di kawasan bandar Miyagi.
    TERSADAI... sebuah kapal diheret arus kuat dan tersadai di kawasan bandar Miyagi.
    KEMUSNAHAN BESAR... tsunami menenggelami kawasan Sendai, timur laut Jepun.
    KEMUSNAHAN BESAR... tsunami menenggelami kawasan Sendai, timur laut Jepun.
    TOKYO: Gempa bumi paling kuat dalam sejarah yang melanda Jepun kelmarin bukan saja membawa kemusnahan besar, malah melumpuhkan bandar moden dunia ini.
    Kesan daripada gempa bumi sekuat 8.9 skala Richter itu mengakibatkan sistem pengangkutan kereta api elektrik dan komuter yang membawa jutaan penumpang setiap hari lumpuh, talian komunikasi terputus manakala ratusan penduduk terperangkap dalam lif.

    Penduduk sebelum ini bangga dengan teknologi moden yang melengkapi Tokyo dan bergantung kepada kecekapan sistem pengangkutan awam dalam melakukan pekerjaan harian, namun disebabkan kerosakan teruk, pihak berkuasa terpaksa membatalkan hampir semua perkhidmatan itu.
    Pekerja restoran, Akira Tanaka, 54, berkata gempa bumi sekuat itu tidak pernah dialaminya dan dipercayai melanda setiap 100 tahun.

    “Disebabkan sistem pengangkutan terhenti, buat pertama kali dalam hidup, saya terpaksa berjalan kaki sejauh 20 kilometer untuk pulang ke rumah,” katanya.

    Penduduk, Tomoko Suzuki berkata, dia dan ibunya tidak dapat pulang ke kediaman mereka yang terletak di tingkat 29 kondominium kerana kerosakan lif.

    “Kami juga tidak dapat mencari teksi untuk pergi ke rumah saudara atau menempah bilik hotel berdekatan. Suhu sangat sejuk dan kami tidak lagi tahu hendak buat apa,” katanya.

    Walaupun pusat bandar itu tidak terputus bekalan elektrik, kebanyakan lif gagal berfungsi akibat kerosakan atau dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga manakala di kawasan pinggir ibu negara Jepun itu, jutaan kediaman dan bangunan bergelap akibat ketiadaan elektrik.
    Menurut laporan Kementerian Pengangkutan Jepun, 163 penduduk terperangkap dalam lif dengan 75 masih belum dikeluarkan sehingga pagi semalam.

    Puluhan ribu penduduk yang terperangkap di stesen kereta api pula terpaksa berteduh di kafe, hotel dan pejabat kerajaan yang menawarkan tempat berlindung.

    Talian telefon bimbit yang terputus menyebabkan orang ramai terpaksa beratur di pondok telefon sekitar bandar Tokyo.

    Syarikat komunikasi Jepun, Nippon Telegraph and Telephone Corp (NTT) turut menyediakan talian kecemasan dan Internet khas bagi memudahkan orang ramai menghantar mesej kepada keluarga dan rakan.

    Jurucakap NTT, Mai Kariya bagaimanapun berkata, hampir 90 peratus panggilan yang dibuat terpaksa disekat akibat sistem telekomunikasi melebihi bebanan.

    “Pihak kami kini melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kerosakan menara dan kabel,” katanya.

    Sehingga semalam, beberapa perkhidmatan kereta api bawah tanah beroperasi semula selepas terputus selama enam jam dan diteruskan walaupun melebihi waktu biasa.

    Langkah itu kebiasaannya diambil jika perkhidmatan terbabit berdepan masalah, namun apabila pengendali sistem pengangkutan itu mengumumkan penangguhan operasi hampir semua kereta api, orang ramai membanjiri jalan raya.

    Pihak berkuasa tempatan menawarkan lebih 60 pejabat kerajaan, kampus universiti dan beberapa tempat lain sebagai penempatan sementara kepada orang ramai untuk bermalam.

    No comments:

    Post a Comment