Tuesday, March 15, 2011

PERKARA YANG BERLAKU BERTENTANG SYARIAT..BIASANYA ADA HUBUNGAN DENGAN SYAITAN...JELAS SALAH....BAHAYA YANG JAHIL AGAMA....SEGALA YANG BERLAKU ADA HIKMAH...BERHATI2 SERTA MOHONLAH PERLINDUNGAN DARI ALLAH...KERANA ALLAH LAH SEBAIK2 PERLINDUNG...

Baca Yasin mengundur



BIMBANG...Siti mendedahkan ajaran bomoh yang digelar Tok Belagak.
BIMBANG...Siti mendedahkan ajaran bomoh yang digelar Tok Belagak.
SHAH ALAM: Mampu mengimbas siapa yang bakal masuk syurga atau ke neraka, mampu menghantar roh orang sudah mati ke Makkah untuk beribadat hingga kiamat dan memulihkan mangsa santau dengan bacaan Yassin secara mengundur - itu antara kebolehan luar biasa Tok Belagak.
Namun, semua itu dakyah songsang satu kumpulan dipercayai ajaran sesat yang kini bergiat aktif di pinggir bandar raya ini untuk mencari pengikut. Ia diketuai seorang bomoh lelaki berusia 50-an yang digelar Tok Belagak.

Mendedahkan perbuatan bertentangan akidah itu, seorang ibu tunggal yang mendakwa dua anak lelakinya berusia 30-an terpengaruh ajaran terbabit berkata, dia amat bimbang akidah anaknya akan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Wanita berumur 56 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, pada mulanya kedua-dua anak lelakinya itu menemui lelaki terbabit untuk mendapatkan penawar penyakit dialaminya yang tidak sembuh sejak sekian lama.


“Pada mulanya anak-anak saya ingin mencarikan penawar untuk sakit saya dan tidak kebah sejak dulu. Namun, selepas diberikan air kononnya boleh menyembuhkan penyakit saya, anak tertarik untuk mengikuti ajaran kumpulan digelar Darul Saka itu.

“Mereka tertarik menyertai kumpulan itu selepas melihat penampilan ahli dan ketua ajaran terbabit. Dari luar mereka kelihatan alim dan warak serta selalu membaca kitab dan berzikir. Sebab itu saya tidak membantah pelawaan anak untuk menyertai kumpulan mereka pada mulanya sejak dua tahun lalu.

“Tok Belagak pula tak kedekut menurunkan ilmu kepada anak saya untuk mengubati mereka yang terkena saka dan mereka seperti teruja kerana mempunyai ilmu itu,” katanya.

Namun, Siti pelik apabila anaknya membaca surah Yasin secara mengundur ketika mengubati orang yang mengalami sakit buatan orang atau dirasuk.

“Lebih menghairankan apabila Tok Belagak mendakwa boleh tahu berapa banyak amalan arwah suami saya ketika hidup. Arwah meninggal dunia lima tahun lalu dan Tok Belagak mendakwa mampu menghantar roh suami saya ke Makkah untuk beribadat sehingga kiamat untuk menampung dosa ketika masih hidup.

“Saya rasa itu dah cukup melampau kerana saya sentiasa mendoakan untuk arwah suami. Tok Belagak mendakwa dia tahu sejauh mana amalan arwah. Bagi saya itu semua kerja Allah dan dia tidak patut mengeluarkan kenyataan begitu,” katanya.

Siti berkata, dia mula mencurigai amalan kumpulan diketuai bomoh terbabit sejak Ramadan tahun lalu, apabila melihat anaknya yang rajin ke masjid atau surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat sunat tarawih tidak lagi berbuat demikian, malah tidak sekali pun melakukan ibadah itu.

“Bagai nak gugur jantung apabila mereka menyatakan tak perlu menunaikan solat tarawih di masjid atau surau kerana mereka bersolat dengan Rasullulah s.a.w di langit. Saya mempersoalkan kenyataan mereka, tetapi sedih betul anak-anak yang saya sayangi memarahi dan meminta saya tidak masuk campur urusan ibadah mereka,” katanya.

Menurutnya, dia kini buntu memikirkan cara untuk memulihkan akidah kedua-dua anak itu, namun pada pada sama tidak berani mendedahkan kegiatan songsang bomoh terbabit kerana bimbang keselamatan diri.

Katanya, sebelum ini dia pernah mengikuti anaknya ke tempat bomoh itu beroperasi untuk ikhtiar mengubati penyakitnya, tetapi selepas menghidu ajaran songsang bomoh terbabit, dia tidak lagi mengikut anaknya ke sana.

“Tok Belagak yang mempunyai isteri dan lima anak turut mendakwa menjalankan aktiviti membuang saka dari jarak jauh. Malah, dia mendakwa mempunyai kawasan jajahan di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Saya difahamkan di kawasan Lembah Klang saja, lebih 300 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sudah terpengaruh dengan mengikuti dan menyebarkan ajaran Tok Belagak menerusi blognya di Internet,” katanya.


Tangan tergilis mesin tebu

Oleh Ibrahim Isa dan Mohd Nur Hafidz Nordin
am@hmetro.com.my

BANTU...anggota bomba cuba mengeluarkan tangan Nurul yang tersangkut pada gigi mesin perahan tebu.
BANTU...anggota bomba cuba mengeluarkan tangan Nurul yang tersangkut pada gigi mesin perahan tebu.
KULAIJAYA: “Mak, tolong mak, sakit!” jerit Nurul Aminah Murjini, 15, apabila tangan kirinya tersepit pada gigi mesin perahan tebu di sebuah gerai menjual air tebu di Taman Kulai Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, tangan kiri Nurul separas siku hampir hancur akibat tersangkut pada gigi mesin perahan tebu ketika membantu ibunya menjual air tebu di gerai berhampiran rumah kedai di Batu 21, Jalan Kulai-Johor Bahru.

Kejadian berlaku apabila tudung pelajar tingkatan tiga itu tiba-tiba tersangkut pada gigi mesin berkenaan yang sedang ligat berputar.

Menurut saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hamid, 30-an, mangsa gagal menarik keluar tudungnya yang tersangkut ketika mesin berputar.


“Mungkin Nurul panik hingga menyebabkan dia gagal mematikan suis elektrik mesin berkenaan. Akibatnya, tangan kirinya separas siku turut termasuk ke bahagian berkenaan.

“Mesin itu akhirnya terhenti dan kami cuba membantu mengeluarkan tangan Nurul, tetapi gagal lalu menghubungi bomba untuk membantu mangsa,” katanya.

Hamid berada di situ untuk membeli makanan di gerai bersebelahan.

Sementara itu, bapa mangsa, Murjini Sunarto, 46, berkata, dia sedang membersihkan kebun di Kampung Sri Paya, dekat sini, sebelum dihubungi isteri yang memaklumkan kejadian itu.

“Kebiasaannya, pembantu mengendalikan mesin perahan tebu, tetapi hari ini (semalam), dia mengambil cuti kerana ada urusan.

“Nurul menggantikannya buat sementara saja, sejurus tiba di lokasi, saya terkejut mendapati tangan kirinya tersepit di gigi mesin berkenaan,” katanya.

Menurut Murjini, dia bimbang dengan masa depan anak bongsunya itu yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelapa Sawit.

Nurul terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira 15 minit sebelum tangannya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulaijaya.

Dia dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk rawatan.


Bergegas balik ke Jepun

Oleh Yusri Abd Malek

pix_middle
TOKYO: “Kami terpaksa pulang segera ke Tokyo bagi mengetahui nasib yang melanda keluarga masing-masing selepas gempa bumi dan tsunami, Jumaat lalu,” kata Pengerusi Brtitish Telekom Jepun, Koshiro Kutazato, 60.
Beliau bersama 59 warga senegara datang ke Melaka sehari sebelum bencana bagi mengikuti seminar Kelab Kiwanis dari seluruh dunia.

Katanya, enam daripada ahli kelabnya itu berasal dari negeri paling teruk terjejas dalam bencana berkenaan iaitu Sendai di timur laut Jepun dan hingga kini masih belum mengetahui nasib ahli keluarga masing-masing.

“Kami hanya mengetahui kejadian itu selepas melihatnya dalam televisyen sebelum berkemas dan mengambil penerbangan kelmarin untuk pulang. Tidak banyak maklumat yang diperoleh kerana komunikasi terjejas. Baru hari ini (semalam) saya mengetahui nasib isteri, anak dan cucu saya selamat selepas berhubung menggunakan Internet,” katanya ketika ditemui di lapangan terbang Narita sebaik tiba dari Kuala Lumpur, malam kelmarin.


Beliau berkata, keluarganya di Tokyo selamat tetapi isterinya cedera di kepala akibat terkena barangan yang jatuh ketika gempa berlaku.

“Saya bersimpati dengan enam rakan saya itu kerana mereka masih terkandas di Tokyo kerana pengangkutan awam keluar dan masuk Tokyo masih digantung. Hendak menaiki bas pula mengambil masa lama manakala tiada khidmat pesawat ke Sendai kerana lapangan terbangnya rosak teruk.

“Apa yang boleh kami lakukan hanya berdoa supaya semua selamat. Ini adalah bencana terburuk sepanjang yang saya tahu,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan 40 rakyat Malaysia yang mengikuti lawatan ke Jepun merasai pengalaman gempa bumi.

Ketika kejadian, mereka berada di Taman Tema Disneyland tiba-tiba berasa terhoyong-hayang.

“Saya ingatkan ada permainan baru di Disneyland tetapi sebaik melihat orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri, baru saya sedar gempa bumi,” kata Pengurus Perniagaan, Dennis Yap, 35, berasal dari Sabah.

Katanya, gegaran kuat itu hanya mengingatkan saya kepada isteri dan anak di Kota Kinabalu, Sabah dan terfikir adakah dia sempat melihat mereka.

“Akibat kelam-kabut ada yang kehilangan pasport menyebabkan kami terpaksa membuat laporan ke Kedutaan Besar Malaysia di sini,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada di kalangan ahli rombongannya yang trauma tetapi, mereka tetap meneruskan lawatan ke Osaka selepas ini sebelum pulang ke tanah air hari ini.

No comments:

Post a Comment