Monday, October 10, 2011

CEKIK DARAH...MENIPU...PEMBELIT...DAN SEANGKATANNYA....BIAKNYA SIFAT2 INI...MACAM SATU TREND DAN TAK TAKUT MELAKUKAN....MUNGKIN ADA MEREKA CONTOHI@DIIKUT....HANYA ORANG ARIF FAHAM MAKSUD KATA2 INI....

Restoran cekik darah pelanggan


ASHRAF menunjukkan resit bayaran minuman dan makanan yang didakwa mahal di Bukit Tunku, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini terkejut apabila dia mendakwa dikenakan bayaran sebanyak RM17.50 untuk segelas teh o ais dan sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal.
Menurut pelanggan itu yang cuma ingin dikenali sebagai Ashraf, dia singgah ke restoran tersebut untuk makan tengah hari semalam.
“Saya pertama kali pergi ke kedai makanan itu dan pada saya ia hanya kedai biasa sahaja cuma bahagian dalam mempunyai ruang khusus untuk pendingin hawa.
“Selepas ambil makanan, saya makan di bahagian luar restoran ini. Kemudian semasa saya ingin membayar makanan, saya diberitahu kena bayar RM4 untuk segelas teh o ais dan RM13.50 untuk makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Ashraf yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat pengurusan bangunan memberitahu, restoran itu tidak kelihatan seperti sebuah restoran bertaraf lima bintang atau terdapat di hotel.
“Walaupun saya pernah makan di tempat-tempat yang eksklusif dan membayar pada harga yang tinggi untuk perkhidmatan yang disediakan tetapi saya tidak rasa restoran ini bertaraf eksklusif dan pada pandangan saya biasa sahaja dan tiada yang istimewa,” ujarnya.
Harga segelas teh o ais di kebanyakan restoran ialah RM1 hingga RM1.70 manakala sepinggan nasi ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal pula RM5 hingga RM8.


Nyaris maut akibat kecuaian ahli farmasi


YEE LAN ketika terlantar di wad HKL pada 1 hingga 12 Oktober 2010 akibat mengambil ubat melebihi dos yang sepatutnya.



KUALA LUMPUR – Gara-gara kecuaian seorang ahli farmasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang warga emas berusia 64 tahun yang menghidap sejenis penyakit kulit terlantar di hospital selama 12 hari setelah dia mengambil sejenis ubat kanser dalam kuantiti yang berlebihan.
Mangsa, Wong Yee Lan yang menghidap penyakit psoriasis mendakwa, semuanya berpunca apabila ahli farmasi tersebut memberi arahan mengambil ubat tidak tepat selepas dia menerima rawatan sakit kulit pada 7 September tahun lalu di hospital berkenaan.
Menurut Yee Lan, ubat untuk merawat penyakit kulit tersebut sepatutnya dimakan enam kali seminggu tetapi dia telah diberi arahan supaya ubat itu dimakan sebanyak enam kali sehari.
“Saya disuruh makan ubat itu enam kali sehari dan saya menghabiskan dua paket ubat tersebut yang mengandungi 72 biji pil dalam masa 12 hari sahaja.
“Kesan ubat itu terlalu kuat sehingga menyebabkan saya mengalami kesukaran bernafas dan beberapa kali rebah ketika berjalan kerana pitam sehingga terpaksa dihantar ke klinik sebanyak empat kali.
“Selain itu, mata saya juga kerap berair dan sukar untuk membuka mata, bibir bengkak, rambut gugur dan sukar tidur,” dakwanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini semalam.
Bimbang dengan keadaan dirinya yang semakin teruk, dia kemudian mendapatkan rawatan susulan di hospital yang sama pada 1 Oktober 2010 bagi mencari punca kesakitan yang dialami.
“Saya terpaksa dimasukkan ke wad selama 12 hari kerana keadaan kesihatan saya menjadi semakin teruk.
“Saya begitu terperanjat apabila doktor yang merawat memaklumkan bahawa saya telah mengambil dos ubat secara berlebihan,” katanya.

Pengemis masuk pasar raya



BEBERAPA kanak-kanak Rohingya meminta sedekah di dalam sebuah kompleks beli-belah di Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU – Sebelum ini mereka berkeliaran di tepi-tepi jalan dan di luar premis di kawasan bandar bagi meraih simpati.
Kini, sekumpulan pengemis di sini mula berubah angin dengan menukar lokasi mereka ke beberapa kompleks beli-belah yang jauh lebih selesa.
Berhawa dingin dan pengunjung yang ramai mungkin salah satu faktor sekumpulan kanak-kanak Rohingya yang berusia di antara tujuh hingga 13 tahun itu menjalankan modus operandi mereka.
Tinjauan Kosmo! mendapati kegiatan mereka berpusat di pusat beli-belah seperti KB Mall, Kota Bharu Trade Centre dan Pasar Raya Billion itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengunjung.
Bergerak secara berkumpulan dengan jumlah di antara lima hingga lapan orang bukan sahaja mengemis tetapi turut membuat bising serta berlari-lari dan bermain kejar-kejar sesama mereka.
Berbekalkan senashkah Surah Yassin dan Al-Mathurat serta pelekat doa untuk mengaburi pihak berkuasa, sekumpulan kanak-kanak giat menagih simpati masyarakat yang lembut hati.
Modus operandinya, mendekati orang ramai dan kemudiannya menawarkan untuk menjual nashkah-nashkah tersebut dengan harga di antara RM3 hingga RM5 dan sekiranya tidak berminat mereka akan mula meminta derma.
Menurut sumber, kegiatan tersebut didalangi oleh golongan dewasa yang juga berketurunan Rohingya namun, mempunyai permit penduduk sementara di negara ini.
Mereka dipercayai tinggal di kawasan pinggir bandar ini dan menggunakan pengangkutan awam seperti bas untuk berulang-alik dari rumah ke bandar setiap hari untuk menjalankan kegiatan ini.

No comments:

Post a Comment