Monday, October 10, 2011

SUSAH NAK DIFAHAMI...BELAJARLAH...DI FACEBOOK TAK BOLEH BELAJAR...PI SURAU@MASJID....APA BEZA KEHENDAK ALLAH DENGAN KEHENDAK KITA...KITA NAK MENEMBAK RUSA...MAKA YANG KENA TEMBAK AYAM HUTAN...MAKA TERTEMBAK AYAM HUTAN ITU KEHENDAK ALLAH....KITA TAK BOLEH MENGATASI KEHENDAK ALLAH SWT....

Bidik tupai kena mentua

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

RANAU: Rasa tidak tenteram dan curiga seorang lelaki apabila melihat kesan luka di pipi mayat sepupu berusia 50 tahun yang dimandikannya, membongkar kisah saudaranya itu yang dipercayai maut selepas ditembak secara tidak sengaja ketika memburu tupai sebelum dikebumikan menantunya pada 24 September lalu.
Walaupun jenazah Wahimin Usat, 50, sudah dikebumikan di Kampung Lobau Lama, di sini, ia menimbulkan pelbagai persoalan di benak sepupunya yang kemudian nekad membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Khamis lalu. Menurut sumber, mangsa dipercayai keluar memburu bersama menantunya berusia 36 tahun di sekitar hutan di Kampung Lobau Lama, di sini, sebelum lelaki terbabit melepaskan satu das tembakan sebaik melihat tupai.

“Suspek yang menyangka tupai terbabit sudah berjaya ditembak kemudian cuba mengambilnya, tetapi terkejut apabila melihat tubuh bapa mentuanya berlumuran darah dan terbaring tidak bernyawa,” katanya.
Malah, katanya, suspek yang panik kemudian membawa jasad bapa mentuanya berlumuran darah itu pulang ke rumah sebelum menyiapkan keperluan dan terus mengebumikan lelaki terbabit.

Menurutnya, suspek dipercayai enggan membuat laporan polis kerana bimbang dikenakan hukuman manakala ahli keluarga yang bergantung harap kepada suspek juga bimbang untuk membuat laporan.

“Bagaimanapun, rahsia perbuatan suspek terbongkar apabila sepupu mangsa menemui kesan luka di pipi ketika memandikan mayat mangsa sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sahriff Abd Wahid, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyatakan polis masih menjalankan siasatan.

“Polis menerima laporan jam 10.40 pagi pada 6 Oktober lalu dan bergegas ke tempat kejadian, sebelum menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.
“Buat masa ini, kita masih menunggu arahan mahkamah bagi menggali semula kubur mangsa untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sahriff berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai secara tidak sengaja tertembak mangsa yang juga bapa mentuanya ketika memburu di kawasan hutan di Kampung Lobau Lama.

Menurutnya, suspek dipercayai melepaskan tembakan sebaik melihat seekor tupai dan terkejut melihat bapa mentuanya terbaring dengan kesan darah di badan ketika mahu mengambil haiwan itu.

“Suspek kemudian dikatakan membawa pulang mayat mangsa dan mengebumikannya,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, suspek masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Merajuk bawa mati



KODIANG: Seorang warga emas merajuk hingga mati apabila mayatnya dijumpai di Kampung Kubang Lintah, Padang Perahu, dekat sini, semalam, selepas dia meninggalkan rumah sejak enam hari lalu kerana merajuk dengan seorang anaknya yang menjual lembu miliknya.
Mat Zain Mahmud, 80, dikatakan keluar dari rumahnya di kampung berkenaan Selasa lalu selepas kecewa dengan tindakan seorang daripada lima anaknya menjual sebahagian daripada tujuh lembu yang dipelihara tanpa pengetahuannya.

Mangsa keluar berjalan kaki ke ladang getah dan hutan berhampiran rumahnya sebelum mayatnya yang lengkap berpakaian dijumpai kira-kira jam 11 pagi semalam, 500 meter dari rumahnya.

Harian Metro yang turut menyertai operasi mencari bersama polis dengan bantuan anjing pengesan menemui mayat Mat Zain dalam keadaan mengiring di dalam hutan berkenaan.


Operasi mencari oleh 15 anggota polis diketuai Asisten Superintendan Mohd Khairi Kamil menjumpai mayat Mat Zain yang masih berpakaian lengkap iaitu berkemeja-T putih dan berseluar biru gelap serta memakai but getah. Namun terdapat kesan kecederaan di tangan kirinya dipercayai akibat digigit haiwan.

2 beradik, rakan melambung dirempuh kereta



KUALA LUMPUR: Tersalah masuk simpang dipercayai menjadi punca dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng maut akibat menunggang menentang arus di Kilometer 2.7 Lebuhraya Damansara-Puchong arah Petaling Jaya, awal pagi semalam.
Mereka bertindak berani mati selepas menyedari tersalah memasuki simpang sebelum bertindak memecut di laluan paling kanan lebuh raya berkenaan yang ketika itu lengang.

Malangnya, tindakan itu mengundang padah apabila mereka merempuh sebuah kereta yang berada di lorong sama kira-kira 300 meter dari plaza tol.
Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, mangsa, Mazlan anak Relup, 34, membonceng adiknya, Ngah anak Relup, 30, serta rakan mereka, Bah Juli anak Bah Muning, 29, maut di tempat kejadian.

Difahamkan, akibat rempuhan kuat itu, ketiga-tiga mangsa melambung dan tercampak di atas jalan raya manakala motosikal yang ditunggang remuk.

Jurucakap polis trafik Petaling Jaya berkata, mangsa dikatakan baru selesai menghadiri satu majlis perkahwinan seorang rakan di Bukit Lanjan, namun gara-gara tidak mahir dengan laluan di situ mereka tersilap memasuki simpang dan menentang arus.

“Mangsa dipercayai menunggang dengan laju dengan harapan mereka dapat mencari jalan keluar dari lebuh raya berkenaan, namun tidak sempat berbuat demikian apabila merempuh sebuah kereta di laluan sama.

Katanya, kereta Honda City itu dipandu seorang remaja berusia 17 tahun yang baru empat bulan memiliki lesen memandu.
“Remaja berkenaan bersama dua rakannya yang lain dalam perjalanan dari Bandar Sri Damansara menuju ke Damansara dan baru saja melepasi plaza tol.

“Berdasarkan alamat pada kad pengenalan, pasangan adik-beradik yang bekerja sebagai pekerja bengkel berasal dari Kampung Pos Titom, Kuala Lipis, Pahang manakala rakan mereka dari Sungkai, Perak,” katanya.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Hilang punca rezeki

Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my

PEKAN: “Saya kini hilang punca pendapatan menyara keluarga selepas bot sebelum ini digunakan menangkap ikan kini musnah selepas terbakar malam kelmarin.
“Selain bot, pelbagai peralatan lain seperti joran, mesin mengesan ikan, peralatan perhubungan dan sistem pengesan global (GPS) digunakan mencari rezeki turut musnah sekelip mata,” kata, Syed Mohd Khusairi Syed Abd Rahman, 46, mangsa bot terbakar di jeti Kampung Marhum, dekat sini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, empat bot nelayan tempatan kelas A ditempatkan di jeti berkenaan musnah terbakar dipercayai dipanah petir menyebabkan kerugian lebih RM140,000. Menurutnya, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah di Kuala Pahang selepas menyediakan persiapan seperti minyak diesel, umpan memancing dan air batu sebelum ke laut.
“Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya apabila dimaklumkan bot saya terbakar.

“Tiba sahaja di tempat kejadian, hancur luluh hati saya apabila melihat hampir keseluruhan bot saya musnah sementara tiga bot lain sedang marak terbakar dan usaha memadam kebakaran sukar dilakukan disebabkan angin kencang.

“Malah, minyak diesel dalam tong simpanan di setiap bot menyebabkan api mudah merebak selain sukar untuk dipadam,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM50,000.

Syed Mohd Khusairi berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari satu bot berkenaan yang dipanah petir dan api kemudian cepat merebak menyambar bot berhampiran.

“Saya kini hilang pendapatan dan buntu memikirkan sumber kewangan menyara keluarga.
“Saya merayu kepada pihak yang prihatin dapat menghulurkan bantuan untuk kami memulakan semula hidup sebagai nelayan yang dilakukan sejak turun temurun,” katanya yang sebelum ini meraih pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan.

Rakannya, Abdul Ghafar Ismail, 52, berkata kejadian berlaku begitu pantas dan tidak sempat menyelamatkan botnya.

Maut cuba lari dari polis

Oleh Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my

KLANG: Kerana mahu mengelak daripada ditahan, seorang suspek kes dadah, mati selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel di sini, pagi semalam, manakala tiga lagi suspek kes sama ditahan polis dalam satu serbuan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di hotel itu.
Lelaki berusia 39 tahun itu terjatuh selepas dipercayai tergelincir ketika memanjat keluar dari tingkap pengudaraan bilik air di bilik didiaminya sewaktu cuba mengelak daripada diberkas anggota polis yang melakukan serbuan.

Turut ditemui pada mayat lelaki tempatan yang hanya memakai seluar jeans itu adalah beberapa peket dadah.

Siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan curi motosikal.


Bilik yang didiami lelaki itu sejak kelmarin adalah bilik kedua diserbu selepas anggota polis menyiasat di sebuah bilik berdekatan dengan bilik berkenaan dan menahan dua lelaki tempatan berusia antara 30 dan 50 tahun bersama sejumlah peket dadah.

Disamun ketika keluar kereta



KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah berdepan detik menakutkan apabila disamun sebaik keluar dari keretanya di depan rumah rakan di Bandar Baru Sri Petaling, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun itu mahu berjumpa dengan rakannya dan meletakkan kenderaannya di tepi jalan.

Menurut sumber, beberapa saat selepas mangsa membuka pintu kenderaannya, dua lelaki dipercayai warga Indonesia menghampiri kenderaannya sebelum seorang daripadanya membuka pintu penumpang hadapan dan cuba merampas telefon bimbit mangsa.
“Suspek gagal merampas telefon bimbit mangsa kerana wanita terbabit melawan, namun suspek sempat melarikan beg tangan milik mangsa sebelum lari dengan menunggang motosikal,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kerugian RM17,000 dan mengalami bengkak di tangan dan bahunya berikutan tindakannya melawan suspek terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid (gambar) ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (Kk) kerana kesalahan samun berkawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment