Friday, January 20, 2012

YANG MEWAH@MAHAL TAK MESTI SELAMAT..ALLAH BOLEH MUSNAHKAN SEKELIP MATA...SEDAR2LAH DIRI...KITA MAKHLUK...AKAN MATI ...MORALNYA JANGAN BERLAGAK..EGO..SALAH GUNA KUASA DLL...TAK LAMA MANA...AKHIRNYA MATI JUGA...

Rita mahu jawab surat Zafuan

AIDIL ZAFUAN dan Rita Rudaini bersama dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.


SHAH ALAM - Isu surat tuntutan yang diterima pelakon, Rita Rudaini Mokhtar daripada suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak baru-baru ini sebenarnya bukanlah mengenai spekulasi perceraian mereka tetapi ia sebaliknya melibatkan isu anak-anak mereka
Peguam Syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang ditemui di Mahkamah Syariah di sini, semalam berkata, surat bertarikh 11 Januari lalu itu diterima Rita Rudaini, 36, kelmarin.
Bagaimanapun beliau berkata, surat tersebut hanya akan dijawab selepas perayaan Tahun Baru Cina nanti kerana ia memerlukan perbincangan lebih mendalam bersama anak guamnya.
"Saya perlu berbincang lagi bersama Rita, (surat itu) tidak timbul isu penceraian antara mereka, apa yang terbaik adalah sama-sama fikirkan kebajikan anak-anak," katanya selepas dilantik Rita Rudaini bagi menjawab tuntutan terhadap anak-anaknya oleh Mohd. Aidil Zafuan di sini semalam.
Mohd. Zaidi hadir bersama Rita Rudaini di Mahkamah Syariah di sini kira-kira pukul 3.15 petang untuk mendaftarkan kes mereka berhubung tuntutan tersebut.
Mohd. Zaidi bagaimanapun memberitahu, tuntutan yang dibuat Mohd. Aidil Zafuan tidak perlu didedahkan kerana ia lebih kepada perbincangan keluarga.
"Dalam hal ini, beberapa isu perlu diperbetulkan kerana lebih kepada persepsi akibat daripada unsur-unsur lain dan ia tidak boleh didedahkan buat masa ini bagi meredakan keadaan kedua-dua belah pihak," katanya.

Bukan sebab tersedak susu


PEGAWAI kesihatan dan anggotanya membuat pemeriksaan di sebuah rumah asuhan kanak-kanak untuk menyiasat punca kematian dua bayi di Hulu Klang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kematian dua bayi lelaki di sebuah rumah asuhan kanak-kanak di Taman Permata, Hulu Klang di sini masih menjadi misteri.
Ini kerana keputusan laporan bedah siasat yang dilakukan tidak menunjukkan bayi tersebut meninggal dunia disebabkan tersedak susu.
Dua bayi yang mati di rumah asuhan kanak-kanak itu ialah Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan dan Muzaffar Mohd. Faizal, tiga bulan setengah.
Bapa kepada Arif Amsyar, Ruhi Budiman Samsuri, 35, berkata, pihak hospital memberitahunya siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti sebenar kematian anak bongsu daripada tiga beradik itu.
"Saya dimaklumkan tidak ada unsur tersedak susu atau pun makanan pada bayi saya selepas jalani bedah siasat.
"Sehingga semalam (kelmarin), pihak hospital hanya memberitahu mereka akan jalankan siasatan terperinci punca kematian Arif Amsyar," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Cerita Ruhi Budiman, dalam perbualan ringkas dengan kakitangan rumah asuhan kanak-kanak itu kelmarin, bayinya, Arif Amsyar menyusu setengah jam sebelum disedari tidak bernyawa.
"Mereka kata, selepas beri susu setengah jam, anak saya elok bergerak dan tidak menunjukkan sebarang tanda sesak nafas, kemudian anak saya tidur, ketika tidur itulah mereka kata anak saya sudah tidak bernyawa," ujarnya menahan sebak.
Kosmo! semalam melaporkan dua bayi yang tinggal di sebuah rumah asuhan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia selepas tersedak susu.
Kejadian pertama berlaku pada pukul 2..40 petang yang membabitkan Muzaffar dan selang sepuluh minit kemudian, Arif Amsyar pula mengalami nasib yang sama.
Dalam pada itu, Mohd. Faizal Jaafar, 32, bapa kepada Muzaffar berkata, dia pasti akan merindui tangisan bayi kesayangannya itu.

Tragedi maut tiga beranak


ABDUL GAFFAR (kanan) melihat keadaan kereta Proton Perdana yang remuk hingga mengakibatkan tiga daripada enam sekeluarga maut di Kuala Kangsar, Perak semalam.


KUALA KANGSAR - Seorang anggota polis trafik yang selalu mengendalikan kes kemalangan maut semalam tergamam apabila mendapati tiga daripada enam ahli keluarganya mati serentak selepas kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler membawa muatan gelung plat besi semalam.
Kejadian pukul 1.15 pagi di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini mengakibatkan M. Letshumy, 77, anak perempuannya, A. Espury, 60, dan cucunya, R. Naren, 5, mati di tempat kejadian.
Pemandu kereta itu, Dr. S. Ambiggan, 26, dan dua penumpang lain, A. Maruthayee, 53, dan S. Veneswaran, 11, pula cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ambiggan dan Veneswaran merupakan cucu Letshumy manakala Maruthayee ialah anak wanita warga emas itu.
Difahamkan, sebelum kejadian enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Benggali, Butterworth, Pulau Pinang selepas menghadiri upacara perkahwinan A. Priyanayagi, 42, iaitu anak ketujuh Letchumy di Flat Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Kecoh terhidu cecair kimia


ANGGOTA bomba memeriksa sebuah bungkusan yang mengandungi bekas berisi sejenis cecair kimia di sebuah syarikat penghantaran di Malim Jaya, Melaka malam kelmarin.


MELAKA - Orang ramai di pusat bandar Malim Jaya di sini kecoh kelmarin apabila diliputi bau sejenis kimia yang kuat selepas sebuah bungkusan mengandungi bekas berisi cecair bahan itu di sebuah syarikat penghantaran pecah.
Penyelia operasi syarikat penghantaran itu, Bahaman Mijan berkata, bungkusan dari Shah Alam itu tiba di pusat berkenaan pada pukul 9.45 pagi kelmarin dan ia pecah ketika kakitangan syarikat berkenaan mahu memindahkan bungkusan itu untuk dihantar ke alamat penerima di Melaka.
"Ketika hendak memasukkan bungkusan itu ke dalam lori, tiba-tiba asap keluar dari dalam kotak menyebabkan kami mengambil keputusan meletakkan sementara kotak itu di tepi dinding kerana menyangka ia tidak berbahaya.
"Namun asap tersebut berterusan keluar sehingga malam dan beberapa pekerja mengadu sakit tekak sebelum menelefon bomba untuk bantuan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam kelmarin.
Bahaman berkata, cecair kimia sebenarnya bahan larangan dan tidak boleh dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran namun pihaknya tidak menyedari bungkusan itu mengandungi cecair kimia kerana dibungkus dalam kotak.


Sorok dadah dalam sari


ZULKIFLI (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM100,000 yang dirampas di Perai, Butterworth semalam.


PERAI - Seorang lelaki warga India yang baru tiba dari New Delhi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bersama bungkusan dadah yang disorokkan di dalam bagasi yang penuh berisi kain sari.
Pengarah Kastam Negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, ketika ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin, dia mendakwa diarah menghantar kain sari itu kepada seseorang di sini oleh rakannya dan tidak mengetahui bagasi tersebut mengandungi dadah.
Menurut beliau, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu kini direman selama 14 hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, siasatan mendapati lelaki itu tiba di LTAPP selepas penerbangan dari New Delhi dan sebelum itu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Hasil imbasan di LTAPP, kita mengesan objek meragukan di dalam bagasinya, apabila diperiksa ditemui sebungkus dadah jenis ketamin seberat 3.3 kilogram disorokkan dalam satu ruang khas di bawah bagasi tersebut.

Kubur untuk si mati yang amat miskin


SEBANYAK 30 buah keranda yang mengandungi mayat orang miskin dikebumikan dalam sebuah lubang kubur di kawasan perkuburan Homewood Memorial Gardens, Homewood pada Rabu lalu.


HOMEWOOD, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 30 mayat yang merupakan orang paling miskin kerana tidak mempunyai wang untuk membiayai kos pengebumian sendiri telah dikebumikan dalam sebuah lubang kubur di kawasan perkuburan Homewood Memorial Gardens pada Rabu lalu.
Tiada seorang pun rakan atau saudara si mati yang datang untuk menyaksikan pengebumian itu.
Situasi ekonomi yang sukar di AS menyebabkan terdapat peningkatan pengebumian orang yang amat miskin termasuk di Chicago dan di kawasan sekitarnya. - AFP

Monyet pupus ditemui semula di Borneo


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa ekor monyet Miller's Grizzled Langur yang disangka telah pupus di hutan Wehea, Borneo.


JAKARTA - Sekumpulan saintis yang bekerja di hutan tebal Indonesia menemui semula spesies monyet besar berwarna kelabu yang jarang dilihat dan dipercayai telah pupus.
Mereka keliru menemui monyet berkenaan yang dikenali dengan nama Miller's Grizzled Langur di luar kawasan yang menjadi habitat primat berkenaan.
Haiwan tersebut ditemui selepas kumpulan saintis tersebut memasang sejumlah kamera pada Jun tahun lalu dengan harapan dapat merakamkan imej harimau bintang, orang utan dan hidupan liar lain di beberapa kawasan di Hutan Wehea, timur Borneo.
"Kami semua sungguh gembira apabila mendapati monyet ini masih wujud dan juga ia ditemui di Wehea," kata seorang saintis berkenaan, Brent Loken.
Monyet yang memiliki mata sembap, hidung dan bibir merah jambu itu suatu ketika dahulu banyak terdapat di timur laut Pulau Borneo selain Pulau Sumatera dan Jawa serta Semenanjung Malaysia.
Namun spesies itu dipercayai pupus sejak beberapa tahun lalu selepas banyak kawasan hutan telah diteroka untuk tujuan pertanian dan perlombongan. - Agensi

Nasib kapal mewah tidak diketahui

DUA orang duduk berlatarbelakangkan kapal mewah Costa Concordia yang tenggelam di Pulau Giglio, Itali semalam.


ROM - Ketika operasi mencari mangsa terselamat atau lebih tepat, mayat mangsa tragedi kapal pesiaran mewah Costa Concordia diteruskan, tumpuan kini lebih kepada apa yang patut dilakukan keatas bangkai kapal persiaran mewah berkenaan.
Turut menjadi tanda tanya adalah siapa yang akan diberikan kontrak sama ada meleraikan atau memulihkan kapal Costa Concordia.
Walaupun tugas membaik pulih kapal itu dilihat sukar, ia dipercayai dapat dibaiki dan belayar semula di sekitar Laut Mediterranean dengan membawa lebih 3,000 penumpang, dalam tempoh beberapa bulan lagi.
"Saya percaya mereka (syarikat pemilik kapal Costa Concordia) akan cuba menyelamat kapal berkenaan," kata pegawai Persatuan Antarabangsa Kapal- Kapal Persiaran (CLIA), Ted Thompson.
"Jika anda melihat peristiwa Pelabuhan Harbor semasa Perang Dunia Kedua, kebanyakan kapal yang tenggelam dalam serangan tentera Jepun dibaik pulih dan tidak dileraikan," kata Thompson.
"Kapal-kapal berkenaan diapung, dibaik pulih dan dihantar ke medan perang. Justeru, perkara sama boleh dilakukan ke atas kapal Costa Concordia," tambahnya.
Kurang 48 jam selepas Costa Concordia terlanggar batu pada 13 Januari lalu, pakar-pakar dari Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti kaedah sesuai untuk mengapungkan kapal seberat 114,000 tan dan bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada kapal Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912.
Keputusan mengenainya akan dibuat bersama oleh pemilik kapal berkenaan, penanggung insurans dan pakar-pakar membaik pulih kapal.
Ketika ini, Costa Concordia tersadai dalam keadaan terbalik kira-kira 50 meter dari pantai Pulau Giglio, Itali.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam nahas berkenaan dengan 21 orang lagi masih hilang. - Agensi

No comments:

Post a Comment