Hon khas untuk kereta Audi di India
|
NEW DELHI, India - Pembuat kereta Jerman, Audi membuat hon khas untuk kenderaan jenama berkenaan yang dijual di India.
Ia dicipta kerana pemandu tempatan kerap membunyikan hon itu semasa mereka menempuh kesesakan lalu lintas pada setiap hari.
"Jelas di India, hon kereta perlu berada dalam kategori tersendiri," kata Pengarah Audi India, Michael Perschke kepada akhbar Mint semalam.
"Jika anda menggunakan hon kereta Eropah ia akan rosak dalam tempoh seminggu atau dua minggu. Di India, pemandu membunyikan hon pada setiap hari sama seperti kegunaan hon selama setahun di Jerman," tambahnya.
Menurutnya, hon berkenaan dibuat khusus untuk pemanduan di India yang merupakan pasaran memberangsangkan buat Audi dan jenama kereta Barat lain.
"Hon ini diuji dengan ia dibunyikan berterusan selama dua minggu," ujarnya.
Pemandu di negara berkenaan kerap menempuh kesesakan lalu lintas ekoran jalan raya yang kerap rosak selain gangguan daripada kereta lembu, lembu dan beca. - AFP
Penunjuk perasaan Tibet bakar diri
|
|
NEW DELHI - Seorang penduduk Tibet, Janphel Yeshi yang membakar dirinya berlari ke sebatang jalan di New Delhi semalam.
Dia melakukan perbuatan itu bagi menyatakan bantahan terhadap Presiden China, Hu Jintao yang akan melawat India.
Penduduk Tibet tersebut, Janphel Yeshi, 27, melakukan perbuatan itu di Jantar Mantar yang merupakan tempat perhimpunan awam dan demonstrasi.
Beberapa saksi berkata, dia yang memakai baju dan seluar panjang menjerit semasa api membakar tubuhnya.
Menurut seorang ahli perniagaan Tibet, Nyima Tashi, Yeshi kemudian terjatuh selepas dia berlari.
"Kami semua terkejut," katanya yang berusia 39 tahun.
"Salah seorang penyokong kami membaling sehelai kot ke arahnya sebagai usaha untuk memadamkan kebakaran.
"Polis kemudian menghantarnya ke hospital," tambahnya.
Tashi berkata, dia pernah melihat Yeshi menghadiri perhimpunan bagi menuntut kebebasan Tibet.
"Kami menentang penguasaan China ke atas Tibet, kekurangan kebebasan agama dan hak asasi," jelasnya.
Seorang pegawai polis berkata, 85 peratus tubuhnya melecur.
Menurut Dr, R.K. Doshi di Unit Kecemasan Hospital Ram Manohar Lohia, beberapa kakitangan perubatan berusaha untuk menyelamatkan nyawa Yeshi.
"Keadaan dirinya amat kritikal. Peluang untuknya hidup amat tipis," katanya.
Sebilangan aktivis Tibet berkata, Yeshi merupakan penganggur yang telah merancang untuk melakukan perbuatan tersebut sejak beberapa hari lalu.
Menurut mereka, lelaki itu tiba di lokasi penunjuk perasaan dengan membawa botol mengandungi minyak tanah yang digunakan untuk membakar dirinya.
Dia melarikan diri dari Tibet pada tahun 2006 dan tinggal di sini sejak dua tahun lalu. - Agensi
Kes culik Nazatul hanya drama
|
SHAH ALAM – Remaja perempuan, Nazatul Fardiana Mohd. Norizwan (gambar kecil) yang didakwa diculik ke Thailand sebenarnya merupakan perancang utama ‘kes penculikannya’ dengan mereka-reka situasi tersebut bagi membebaskan dirinya bersama lima lagi remaja warga Myanmar ketika ditahan oleh negara itu di Bangkok, 11 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, maklumat itu diperolehi berdasarkan keterangan konsisten daripada lima warga Myanmar tersebut yang dibawa ke negara ini untuk diambil keterangan sejak Khamis minggu lalu.
Menurut Zahedi, lima warga Myanmar tersebut iaitu Muhd. Yunus Abdul Rahim, 17; Muhd. Nur Abdul Rahim, 14; Abdul Aziz Normal Hakim, 14; Ramzabi Hussin, 14, dan Janetbi Hussin, 14, memberitahu, Nazatul mencetuskan idea mengatakan mereka diculik ketika itu kerana tidak mahu dimarah oleh ibu mereka.
“Berdasarkan keterangan, kita dapati hubungan mereka akrab dan saya tidak nafikan mereka terlibat dalam kegiatan meminta sedekah di kawasan itu secara tidak sah dan hasil kegiatan itu digunakan untuk diri mereka sendiri.
“Walaupun berdasarkan keterangan mereka yang mendakwa, misi adalah untuk melarikan diri daripada lelaki bernama Shah dan Sadiq, kita percaya kegiatan mengutip sedekah itu didalangi oleh mereka sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.
Zahedi turut menghuraikan kronologi perjalanan semua remaja itu dalam tempoh mereka ‘hilang’ ketika mereka ditemui merayau-rayau di Terminal 1, Seremban sebelum dibawa ke IPD Seremban, 31 Januari lalu dan ketika itu, Nazatul turut mengaku dirinya adalah warga Myanmar.
Mawi diikat, Ekin diacu pisau
BANGI – Penyanyi terkenal Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi kerugian RM10,000 apabila banglonya dipecah masuk empat perompak Indonesia bersenjatakan parang serta pisau dalam kejadian yang mengambil masa selama 20 minit di Bangi Golf Resort di sini semalam.
Kejadian mencemaskan itu berlaku pada pukul 4 pagi ketika Mawi, isterinya, Nora’asikin Rahmat atau lebih dikenali sebagai Ekin; ibu mertuanya, Fatimah Saad, 55; neneknya, Salmah Sehan, 77; anak mereka, Cahaya Malaika dan seorang pembantu rumah sedang tidur di dalam banglo tersebut. Bagaimanapun, kesemua mereka tidak cedera.
Banglo tersebut mempunyai lima bilik.
Difahamkan, dua jam sebelum kejadian, Mawi baru tiba dari Johor Bahru untuk mempromosikan majlis Anugerah Bintang Popular yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Mengimbau semula kejadian itu, Mawi memberitahu, dia terjaga selepas pintu biliknya diketuk kuat oleh perompak tersebut sebelum Ekin bangun untuk membuka pintu kerana menyangka Salmah yang berbuat demikian.
Katanya, apabila pintu dibuka, tiga daripada empat perompak yang memakai serba hitam dan bertopeng itu terus mengacukan pisau ke leher isterinya dan meminta barang kemas.
“Suspek kemudian menolak Ekin ke atas katil sebelum mengikat tangan dia dan ibu mertua saya menggunakan wayar pengecas telefon bimbit. Salah seorang suspek pula mengikat kaki dan tangan saya sebelum menutup muka saya dengan baju.
“Mereka kemudian mula menggeledah bilik sebelum melarikan rantai nenek, wang, serta empat buah telefon bimbit jenis BlackBerry dan Nokia yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000,” cerita juara Akademi Fantasia musim ketiga itu.
Muidin dituduh bunuh Dirang
|
|
JOHOR BAHRU – Kematian tragis Nurul Nadirah Abdullah atau lebih mesra dipanggil Dirang yang dicekik sebelum mayatnya dibakar penjenayah pada awal bulan ini memasuki episod baharu apabila seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh.
Buruh binaan, Muidin Maidin, 24, dituduh membunuh Nurul Nadirah, 5, di ladang kelapa sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di sini antara pukul 11 pagi dan 7 malam 1 Mac lalu iaitu pada hari yang sama Dirang dilaporkan hilang ketika pergi membeli mi segera dan telur.
Muidin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan dia hanya mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Isa Mohamed.
Mohd. Isa menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Dirang hilang dipercayai diculik pada 1 Mac lalu ketika keluar ke sebuah kedai runcit di kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Polis kemudian menahan empat individu termasuk bapa Dirang dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes tersebut. Bagaimanapun, bapa kanak-kanak itu, Hendry Yondot, 30-an, dibebaskan selepas siasatan mendapati dia tidak terlibat.
Panjat dinding hotel ugut terjun
KLANG – Ketua kumpulan pencuri kereta mewah bergelar Geng Robert Tee yang mengugut hendak terjun dari dinding Hotel Crystal Crown, Pandamaran di sini bagi mengelakkannya dari ditangkap Sabtu lalu dapat dicekup selepas dipujuk selama setengah jam.
Kejadian pukul 5.20 petang itu berlaku selepas suspek berusia 34 tahun yang memandu sebuah kereta curi jenis BMW tersebut tidak dapat melarikan diri sebaik tiba di tempat letak kereta tingkat empat hotel berkenaan. Mereka bergiat sejak 2008.
Suspek kemudian terus memanjat tembok dinding bangunan sebelum berpaut pada plat nama hotel sebelum berdiri pada huruf C dan mengugut hendak terjun. Bagaimanapun, selepas dipujuk oleh polis dan anggota keluarganya, suspek kemudian menyerah diri.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, sebelum itu, pihaknya telah menahan dua ahli kumpulan tersebut yang berusia 33 dan 34 tahun di tingkat dua hotel yang sama.
Mati kena tetak, telinga hampir putus dihiris
KULIM - Seorang lelaki Myanmar menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila dia bukan sahaja ditetak di tengkuk malah, telinganya hampir putus dihiris di sebuah rumah di Taman Kemuning di sini semalam.
Kejadian pukul 2.30 petang itu menyebabkan Teo Naing, 22, mati di dalam rumah sewa tersebut selepas dia dipercayai dibunuh oleh rakan serumahnya yang kini telah melarikan diri.
Difahamkan, Teo Naing yang bekerja sebagai buruh binaan tinggal di rumah tersebut bersama empat rakan senegaranya. Salah seorang merupakan abang mangsa.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mayat mangsa ditemui berlumuran darah oleh anggotanya sebaik bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada penyelia Teo.
"Sebelum mayat Teo ditemui, jiran mangsa ada terdengar pertengkaran di dalam rumah tersebut. Dia kemudian memaklumkan kepada penyelia mangsa.
"Penyelianya yang datang kemudian terkejut apabila menemui mayat mangsa berlumuran darah di dalam rumah itu manakala rakan-rakannya telah melarikan diri," katanya ketika ditemui semalam.
Lelaki guna wang palsu bayar tol
|
|
BATU PAHAT - Orang ramai khususnya peniaga diminta berhati-hati dengan penipuan melibatkan penggunaan wang kertas RM100 palsu yang dikesan diguna untuk membayar tol lebuh raya baru-baru ini.
Bahagian hadapan wang yang digunakan itu berjaya melepasi mesin pengimbas tetapi selepas imbasan dilakukan bahagian belakang wang itu disahkan palsu.
Difahamkan, wang itu dicetak menggunakan pencetak beresolusi tinggi sehingga sukar dibezakan dengan wang tulen.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, penipuan itu dilaporkan seorang petugas di Plaza Tol Yong Peng di sini selepas kejadian pada pukul 5 petang, 15 Mac lalu.
"Pada hari kejadian, petugas terbabit menerima wang RM100 daripada seorang lelaki yang memandu kereta Proton Waja untuk membayar tol.
"Apabila mangsa menggunakan mesin pengimbas, bahagian hadapan wang berkenaan tiada masalah tetapi imbasan pada bahagian belakang mendapati ia adalah palsu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ibu gadai nyawa selamatkan anak
JITRA - Seorang ibu nekad menggadai nyawa bagi menyelamatkan anak perempuannya berusia empat tahun dalam kejadian ribut yang menyebabkan dinding rumah yang didiaminya runtuh di Kampung Kemunting Lama di sini petang kelmarin.
Mangsa, Rosmawati Abdullah, 38, memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, anaknya, Nor Shahirah Nazaruddin ketika itu dilihat berlari untuk menutup pintu hadapan rumah, namun dia dengan pantas memeluk dan membawanya ke dalam rumah kerana bimbang dengan keadaan ribut yang agak luar biasa itu.
"Nasib baik saya sempat melarikan Nor Shahirah yang mahu menutup pintu hadapan sebelum tiba-tiba sebatang pokok mempelam tumbang menimpa atap menyebabkan dinding dan bahagian hadapan rumah ranap," katanya.
Ceritanya, turut berada di rumah ketika kejadian ialah lima anggota keluarga yang lain termasuk ibu dan bapanya.
"Semasa mendukung Nor Shahirah berlari ke arah bilik, kami turut terjatuh akibat gegaran yang kuat itu, mujur kami sekeluarga tidak cedera," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum di sini semalam.
No comments:
Post a Comment