Wednesday, March 28, 2012

HANYA RM 25..SEDANG PERBUATANNYA MEMALUKAN KELUARGA...ISLAM SERTA MENGABAIKAN HUKUM ALLAH...ADAKAH DENGAN DENDA RM 25 BOLEH MENGHUKUM DAN MENDIDIK MEREKA...

Tiga penari tiang didenda RM25


Nooranishah (kiri) bersama Faiqah dan Nurul Huda ketika ditahan atas kesalahan mempamerkan tarian tiang dan berpakaian tidak sopan di sebuah pusat hiburan di Nilai pada Sabtu lalu.



SEREMBAN - Tiga wanita beragama Islam didenda RM25 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan kurang sopan dengan melakukan aksi tarian tiang di sebuah pusat hiburan di Nilai dekat sini Sabtu lalu.
Faiqah Azizan, 24, Nurul Huda Abdul Rahman, 23, dan Nooranishah Mohamad Isa, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga wanita tersebut yang berasal dari Kuala Lumpur didakwa mempamerkan tarian tiang di atas pentas dengan pakaian kurang sopan di tempat hiburan awam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari jika sabit kesalahan.
Mereka adalah tertuduh beragama Islam yang pertama di Negeri Sembilan disabitkan kesalahan melakukan tarian tiang di bawah akta tersebut.
Mohamad Izwan dalam penghakimanannya berharap kesemua tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu demi menjaga nama baik diri dan keluarga mereka.

Tekanan keluarga punca remaja lari dari rumah

KUALA LUMPUR - Tekanan keluarga serta pernah dihalau menjadi faktor pendorong bagi golongan remaja bertindak untuk melarikan diri dari rumah, menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan semalam oleh sebuah badan sosial.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof. Mohamed Fadzil Che Din berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2010 itu, didapati sebanyak 37.2 peratus daripada 379 remaja yang pernah melarikan diri dari rumah menyatakan mereka berbuat demikian kerana pernah dihalau keluar rumah selepas melakukan kesalahan.
"Kajian ini yang dijalankan ke atas remaja berusia 12 hingga 18 tahun, masing-masing 42.7 peratus lelaki dan 57.3 peratus perempuan, turut mendapati faktor lain berpunca daripada rasa ingin bebas daripada kongkongan, pernah bergaduh dengan anggota keluarga dan rakan selain daripada pengaruh ajakan rakan-rakan," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Katanya, daripada jumlah tersebut, remaja berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi kes lari rumah iaitu 67.8 peratus diikuti dengan 14 hingga 15 tahun (27.9 peratus) dan 12-13 tahun (4.3 peratus).
Katanya, bagi golongan remaja seperti ini mereka berpotensi bertindak secara berani untuk melarikan diri dari rumah secara berulang setelah sekali mereka berbuat demikian.

Pelakon drama bebas tuduhan curi


FARID


PUTRAJAYA - Pelakon drama bersiri popular Gerak Khas, Farid Amirul Hisham Wu Abdullah kini bebas selepas Mahkamah Rayuan di sini semalam mengekalkan keputusan yang membebaskannya daripada dakwaan mencuri dua buah buku dari kedai buku MPH Bookstore, tiga tahun lalu.
Tiga anggota panel hakim yang dipengerusikan Datuk Abdul Malik Ishak, Datuk K. N. Segara dan Datuk Aziah Ali sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepaskan dan membebaskan pelakon yang lebih dikenali sebagai Detektif Lim dalam drama Gerak Khas.
Hakim Abdul Malik berkata, tidak terdapat bukti bahawa aktor berumur 46 tahun itu dilihat mengambil dua buah buku dari rak buku di kedai buku tersebut.
Beliau juga berkata, identiti buku didakwa Farid curi juga diragui kerana pegawai penyiasat tidak menyimpan buku dalam sampul surat di stor di pejabat polis sebaliknya mengembalikan buku tersebut kepada penyelia kedai buku itu.
Selain itu, hakim itu berkata, identiti kedua-dua barang kes turut diragui kerana ia tidak ditanda sewaktu diterima daripada pengawal keselamatan MPH manakala beg sandang pelakon itu yang didakwa digunakan untuk menyembunyikan buku-buku, juga tidak dikemukakan ketika perbicaraan.
"Berdasarkan alasan-alasan itu, mahkamah sebulat suara menolak rayuan pendakwaan. Ini bermakna keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kamu, Farid Hisham Wu Abdullah dilepaskan dan dibebaskan," kata Hakim Abdul Malik kepada Farid yang ketika itu kelihatan menangis.

Detektif Lim menangis selepas menang kes

PUTRAJAYA - Selepas tiga tahun menanggung malu kerana menghadapi tuduhan mencuri dua buah buku, Detektif Lim semalam menangis gembira sebaik mendengar keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskannya daripada dakwaan itu.
Pelakon drama Gerak Khas atau nama sebenarnya Farid Amirul Hisham Wu Abdullah berkata, dengan keputusan itu, dia berharap orang ramai akan kembali yakin kepadanya.
"Paling penting, ibu bapa saya boleh tidur lena," katanya ketika ditemui di luar mahkamah semalam.
Menurut pelakon itu, pendapatan dan kredibilitinya terjejas berikutan kes itu sehingga dia terpaksa bekerja sebagai atendan pam di sebuah stesen minyak di Alor Gajah, Melaka selama setahun kerana tidak mendapat sebarang tawaran kerja.
Bagaimanapun kata Farid, dia bernasib baik kerana selepas itu diambil bekerja sebagai penolong pengarah bagi program televisyen 26 siri Titisan Darah Pahlawan yang dijangka disiarkan pada Hari Kebangsaan ini.
Sementara itu, penerbit dan pengarah drama bersiri Gerak Khas, Datuk Yusof Haslam berharap penerbit drama atau filem tempatan tidak menyisihkan Farid kerana dia terbukti tidak bersalah.
Beliau berkata, Farid perlu diberi ruang untuk kembali mewarnai dunia lakonan selepas ini.
"Saya harap penerbit drama dan filem tidak merekodkan perkara ini atau terus memberi tanggapan negatif kerana setiap yang berlaku mempunyai hikmah," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Yusof berkata, beliau sendiri memberi peluang kepada Farid dengan mengambilnya bekerja di belakang tabir selepas direhatkan daripada berlakon dalam drama Gerak Khas.

Mangkuk tandas meletup


Keadaan Sakereen yang cedera di paha dan belakang badan selepas mangkuk tandas di stesen LRT di Sri Rampai, Wangsa Maju meletup semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pemuda cedera di beberapa bahagian badan selepas mangkuk tandas di stesen transit aliran ringan (LRT) Sri Rampai di Wangsa Maju di sini meletup semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.20 petang, Muhd. Sakereen Basri, 22, seorang penganggur, baru duduk atas mangkuk tandas itu.
Akibat letupan yang menyebabkan sebahagian kecil mangkuk tandas itu pecah, mangsa mengalami calar di kedua-dua belah paha dan luka di belakang badan akibat terkena serpihan mangkuk tandas yang pecah. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pemeriksaan polis menemui kesan serpihan mangkuk tandas yang pecah serta cebisan kertas selain terdapat bau belerang di tempat kejadian.
"Cebisan kertas itu dipercayai digunakan untuk membalut bahan letupan yang disyaki mercun yang diletakkan di sekitar kawasan mangkuk tandas tersebut," kata beliau yang mengesyaki kejadian itu adalah perbuatan khianat.

Rebat elektrik dilanjut sehingga akhir tahun



FAH KUI (dua dari kanan) melihat enjin kereta elektrik selepas majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Putrajaya semalam.



PUTRAJAYA - Kerajaan melanjutkan tempoh bagi rebat elektrik RM20 dan ke bawah sehingga hujung tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Beliau berkata, seramai 1.08 juta pengguna domestik di seluruh negara yang menggunakan elektrik sebanyak RM20 dan ke bawah sebulan akan terus menikmati rebat itu.
"Ini merupakan salah satu usaha dan keprihatinan kerajaan dan kementerian ini untuk memberi tumpuan dalam meringankan beban kewangan rakyat dengan melanjutkan tempoh bagi rebat elektrik sehingga Disember tahun ini.
"Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM141 juta setahun bagi membiayai pemberian rebat ini," katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian itu bagi tahun 2011 di sini semalam.
Fah Kui berkata, kerajaan telah memperkenalkan program pengecualian daripada membayar bil elektrik bulanan sebanyak RM20 dan ke bawah bermula Oktober 2008 khusus kepada pengguna domestik daripada golongan berpendapatan rendah.

Mayat bayi lelaki dikerumuni anjing liar



KEDUDUKAN beg plastik (dalam bulatan) berisi mayat seorang bayi yang dijumpai di tempat pelupusan sampah di Chukai, Kemaman kelmarin.



KEMAMAN - Sekumpulan pekerja di Pusat Pelupusan Sampah Kampung Mak Chili, Chukai di sini kelmarin terkejut apabila menemui mayat seorang bayi lelaki masih bertali pusat di dalam plastik hitam yang dikerumuni sekumpulan anjing liar.
Mayat bayi itu pada mulanya ditemui oleh seorang pengangkut sampah yang hanya dikenali sebagai Umi Khaltom, 55, pada pukul 5.50 petang yang berasa curiga apabila melihat sebuah bungkusan plastik hitam yang dikerumuni anjing liar.
Panik dengan situasi itu, pekerja berkenaan yang pada mulanya menyangka ia adalah bangkai haiwan terkejut apabila mendapati ia merupakan mayat bayi lelaki cukup sifat berada dalam bungkusan surat khabar yang dimasukkan ke dalam plastik.
Difahamkan, mayat bayi malang itu baru sahaja dilahirkan berdasarkan keadaan tali pusatnya yang masih ada kesan darah ketika ditemui.

Pelajar sakit perut minum susu percuma



SEBAHAGIAN pelajar yang mengalami keracunan selepas didakwa meminum susu soya dirawat di Hospital Pulau Pinang semalam.



GEORGE TOWN - Sebanyak 66 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara Perdana, Bayan Lepas, di sini mengalami sakit perut dan muntah selepas didakwa meminum susu soya yang diedarkan secara percuma di sekolah itu semalam.
Mereka antara 481 pelajar tahun empat hingga enam yang terlibat dalam program edaran susu percuma anjuran sebuah syarikat pengeluar susu soya tempatan di dewan sekolah berkenaan, kira-kira pukul 9 pagi.
Ia merupakan program kedua bagi mempromosikan susu soya keluaran syarikat terbabit selepas SK Bandar Perda, Seberang Perai Tengah (SPT) kelmarin.
Kesemua pelajar terbabit dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) serta klinik kesihatan di Bayan Baru dan Bayan Lepas untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan, susu soya kotak itu diberikan bersama satu cenderamata berupa magnet kepada pelajar-pelajar terbabit dan kebanyakan pelajar terus meminumnya sebaik diedarkan.
Seorang pelajar, Qayyum Roslan, 12, berkata, dia mula berasa sakit perut selepas setengah jam meminum susu itu manakala dua rakannya muntah sebelum segera mengadu kepada guru kelas masing-masing.
"Saya ingatkan kami sahaja yang sakit tetapi ramai lagi rakan-rakan di kelas lain mengadu perkara yang sama.
"Malah, suasana di sekolah menjadi kecoh apabila ada pelajar perempuan dilihat menangis teresak-esak disebabkan tidak tahan sakit," katanya ketika ditemui Kosmo! di sekolah terbabit semalam.

Jerat cinta Internet meningkat

SHAH ALAM - Kes penipuan cinta di Internet di negeri Selangor meningkat dengan 239 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu berbanding 188 kes pada 2010 melibatkan nilai kerugian antara RM2,000 hingga RM60,000 setiap mangsa.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Selangor, Superintendan Ng Keok Chai berkata, kebanyakan mangsa merupakan wanita bujang dan janda berumur 35 tahun ke atas yang sedang mencari teman hidup.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, majoriti suspek melibatkan warga Afrika yang memperdaya mangsa dengan menggunakan kata-kata indah dan janji manis ketika berkenalan melalui Facebook atau Twitter bagi menawan hati.
"Setelah dapat meyakinkan mangsa, suspek berpura-pura mengirim hadiah bernilai jutaan ringgit kepada mangsa dan kemudian menyamar pula sebagai pegawai kastam dengan mendakwa barangan itu telah ditahan dan perlu dibayar cukai.

No comments:

Post a Comment