Tuesday, August 7, 2012

BILA HUKUM ALLAH SEDANG BERJALAN....MANUSIA MERANCANG ALLAH JUGA MERANCANG...MANUSIA TAK KAN BERKUASA MELAWAN KEKUASAAN ALLAH...SATU PERSATU AKAN MENERIMA HUKUMAN ALLAH SWT

Myanmar diberi amaran keras


AFP
BEBERAPA anggota bomba memadamkan kebakaran di beberapa rumah yang terbakar semasa keganasan terhadap penduduk Rohingya
di Sittwe, Myanmar pada 15 Jun lalu.


RIYADH - Arab Saudi mendakwa pemerintah Myanmar melakukan pembersihan etnik terhadap penduduk minoriti Rohingya di barat negara berkenaan, lapor media Arab Saudi semalam.
Majoriti rakyat Myanmar menganut agama Buddha.
Agensi berita rasmi SPA melaporkan, Kabinet Arab Saudi mengutuk kempen penghapusan etnik dan serangan kejam ke atas warga Rohingya di Myanmar selain perbuatan memaksa mereka meninggalkan kampung halaman yang disifatkan bertentangan dengan hak asasi manusia.
Dipengerusikan oleh ketua kerajaan Arab Saudi, Raja Abdullah (gambar kecil), Kabinet negara ini kelmarin menggesa agar masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab menyediakan perlindungan dan kualiti hidup yang diperlukan penduduk Islam Myanmar serta menghalang mereka daripada terus menjadi mangsa kekejaman.
Seorang pegawai pemerintah di Yangon berkata, seramai 80 orang terbunuh dalam pergaduhan melibatkan penganut Buddha dan orang Islam Rohingnya di ibu negeri Rakhine, Sittwe, barat Myanmar sejak Jun lalu manakala tiga lagi orang maut pada Ahad lalu.
Keganasan itu tercetus selepas insiden seorang wanita Rakhine dirogol dan dibunuh.
Penduduk etnik Rakhine menuduh penduduk Royingya melakukan kejadian tersebut.
Ekoran itu, penduduk Rakhine membalas dendam dengan membunuh 10 etnik Rohingya.
Pertumpahan darah yang berlanjutan mencetuskan kesangsian berhubung usaha reformasi oleh Presiden Thein Sein yang menerima pujian Barat.

Wanita derita selepas buang bulu kemaluan

KUALA LUMPUR - Seorang wanita terpaksa menanggung kesakitan teruk selepas kemaluannya melecur selepas menjalani proses pembuangan bulu kekal di sebuah pusat kecantikan terkemuka di ibu negara pada 22 Julai lalu.
Lebih malang, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 39, terpaksa menghabiskan kira-kira RM35,000 hingga RM55,000 untuk mengubati kecederaan melecur di bahagian alat sulitnya itu.
Bukan itu sahaja, dia juga mungkin berhadapan dengan risiko mengalami parut kekal walaupun telah menjalani rawatan tersebut.
Mengimbau kembali kejadian tersebut, Lee berkata, dia telah menjalani proses pembuangan bulu kemaluan yang dikenali sebagai Nano Light sejak enam bulan lalu dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM3,500.
"Dalam tempoh enam bulan, tiada sebarang masalah yang berlaku dan segalanya berjalan lancar.
"Kejadian ini hanya berlaku selepas ahli terapi yang selama ini menjalani proses pembuangan bulu untuk saya diganti dengan orang lain," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Jalan Ampang di sini semalam.

Kematian mangsa dipercayai ada kaitan ajaran karut

INILAH rumah di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam tempat seorang budak mati ditindih oleh ahli keluarganya dalam upacara pemujaan.


BUKIT MERTAJAM – Kematian kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didakwa menjadi korban upacara pemujaan keluarganya di Taman Bukit Minyak di sini pada Ahad lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran karut yang diamalkan oleh keluarga mangsa.
Satu sumber berkata, polis mengesyaki lapan individu yang ditahan termasuk ibu bapa kanak-kanak itu terpengaruh dengan ajaran karut yang dipercayai sedang berkembang di negeri ini dan mempunyai ramai pengikut.
Kesemua yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula didakwa kerap berkelakuan aneh seperti mereka sering bercakap sendirian dan mulut berkumat-kumit seperti membacakan sesuatu.
Lapan yang direman termasuk seorang amah Indonesia ditahan di dua buah lokap.
Sumber itu memberitahu, ibu kanak-kanak malang itu yang sarat mengandung anak kedua dan bapanya seolah-olah tiada perasaan sedih selepas mengetahui kematian anaknya.
Difahamkan upacara pemujaan itu dilakukan ekoran ibu mangsa didakwa hidup tertekan selepas kematian bapanya sejak beberapa bulan lalu selepas mendakwa dia kerap diganggu makhluk asing.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab. Lah berkata, polis masih meneruskan siasatan dan sedang mengambil kenyataan kelapan-lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian Chuah Wan Xuan (gambar kecil).
Menurut beliau, siasatan setakat ini menjurus kepada mangsa disyaki menjadi korban pemujaan ajaran sesat yang diamalkan oleh kelapan-lapan suspek.
“Mangsa anak sulung pasangan berkenaan mati akibat kelemasan selepas dipercayai ditindih secara beramai-ramai,” kata beliau.
Katanya, mayat Wan Xuan dituntut bapa saudaranya di Hospital Seberang Jaya semalam selepas polis mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu bapanya yang membenarkan abang kandung si bapa menguruskan pengebumian kanak-kanak itu.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang budak mati selepas ditindih lapan ahli keluarganya termasuk seorang pembantu rumah Indonesia ketika melakukan upacara pemujaan di dalam sebuah bilik di rumah dua tingkat di Taman Bukit Minyak.
Selain ibu bapa, pembantu rumah mangsa, turut terlibat dalam upacara itu ialah nenek, pak cik, mak cik dan dua orang sepupu mangsa.

Pelajar lama Unisel terkandas


SEBAHAGIAN daripada pelajar yang gagal mendaftar masuk ke asrama menunggu di Dewan Biru Unisel, Kuala Selangor semalam.


KUALA SELANGOR – Lebih 1,000 pelajar lama Universiti Selangor (Unisel) tidak dapat mendaftar masuk ke asrama masing-masing semalam apabila pejabat pengurusan kolej kediaman itu di sini masih tidak beroperasi.
Tinjauan Kosmo! di universiti itu semalam turut menemui beberapa kumpulan pelajar yang masih duduk menanti di hadapan Dewan Biru institusi tersebut.
Beberapa pelajar wanita juga ada yang dilihat melepaskan penat di surau asrama berhampiran apabila mereka tidak mendapat kunci kediaman dan mengakui terpaksa menumpangkan barang-barang di rumah rakan yang terletak di kawasan berhampiran.
Dua beradik dari Sabah, Nurini Anwar, 20, dan Nurhaya, 18, yang baru tiba dari Sabah berkata, mereka terkejut apabila hanya mengetahui keadaan itu sebaik sampai di situ kira-kira pukul 9 pagi semalam.
Mereka yang masing-masing merupakan pelajar semester dua bagi program Diploma Pendidikan Awal turut mengakui tidak tahu ke mana hala tuju mereka selepas itu kerana tidak ada pihak yang tampil untuk menjelaskan masalah sebenar.
“Kami tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang kira-kira pukul 1 pagi dan tidur di sana sebelum menyewa teksi dengan bayaran RM115 untuk sampai ke Unisel.
“Bila sampai di sini, kami ingatkan sudah boleh kemaskan barang-barang di asrama dan pergi kuliah seperti biasa tetapi lain pula yang berlaku,” kata Nurini ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel, Mohd. Jeffri Abu Hassan memberitahu, pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan Bahagian Unit Kebajikan Unisel dan mereka berjanji akan menyelesaikan masalah itu segera.

Aidil disuruh fokus hal kahwin


KERATAN Kosmo! 19 Jun 2012.


PETALING JAYA – Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam meminta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak supaya memberi keutamaan kepada hal-hal perkahwinan berbanding dengan karier bola sepak.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, kes mahkamah ini melibatkan hubungan suami isteri dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main.
“Saya minta peguam nasihat plaintif (Mohd. Aidil) kena ambil kira mana lebih penting sama ada kes mahkamah atau main bola, kena korban salah satu, ini tentang hidup mati, pahala dosa, kalau tidak main bola tidak berdosa,” tegur Wan Mahyuddin dengan tegas.
Wan Mahyuddin berkata demikian semasa sebutan kes permohonan kembali taat yang difailkan Mohd. Aidil terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar supaya dia dan dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan di USJ1 di sini.
Perkara itu terbangkit susulan permintaan peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita supaya Mohd. Aidil mengemukakan dokumen berhubung ketidakhadiran plaintif dalam prosiding kes pasangan itu semalam.
Mohd. Aidil gagal menghadiri prosiding semalam kerana menjalani latihan bola sepak di Austria.
“Alasan yang diberi munasabah tapi perlu ada dokumen bertulis bukan secara lisan dan sambil lewa,” kata beliau.
Terdahulu peguam syarie Noor Azlina Che Hassan yang mewakili Mohd. Aidil memaklumkan plaintif kini berada di Austria selama dua minggu mulai 4 Ogos hingga 17 Ogos kerana latihan bola sepak.
Sehubungan itu, beliau yang hadir bagi pihak peguam syarie Ahmad Nazib Johari iaitu peguam kepada Mohd. Aidil bersetuju mengemukakan salinan surat pengesahan bertulis daripada plaintif sekiranya dia gagal hadir ke mahkamah kelak.
Noor Azlina berkata, dia juga telah memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.
Merujuk arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berunding bagi mencari jalan penyelesaian, peguam memberitahu setakat ini tiada rundingan dibuat secara rasmi antara kedua-duanya.
Wan Mahyuddin menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.
Permohonan kembali taat difailkan Mohd. Aidil pada 15 Mei lalu iaitu hari yang sama dia menarik balik permohonan cerai terhadap Rita walaupun mereka tidak lagi tinggal sebumbung selepas Mohd. Aidil bertindak meninggalkan rumah kelamin di Damansara.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Mohd. Aidil.

Kembali sedar


DANIALL kembali sedar selepas koma lebih sebulan akibat pendarahan otak kesan dari hentakan kuat ketika dalam jagaan pengasuh.


ALOR SETAR – Tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang ibu apabila mendapati bayinya yang sebelum ini koma selepas mengalami pendarahan dalam otak dipercayai akibat hentakan kuat ketika dalam jagaan pengasuhnya kembali sedar dan memberi reaksi positif.
Bayi berusia lima bulan, Muhammad Taufiq Daniall Amriizwan yang sebelum ini koma lebih sebulan lalu mula sedar pada 23 Julai lepas selepas menjalani rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Ibunya, Rosmira Ramli (gambar kecil), 28, memberitahu, dia bersyukur kerana doanya agar Daniall (panggilan manja Muhammad Taufiq Daniall) sedar dan sembuh seperti bayi sihat lain dimakbulkan Tuhan.
Katanya, khabar itu seakan memberi kegembiraan berganda kepadanya kerana anaknya sedar ketika umat Islam sedang bersiap-siap untuk meraikan Aidilfitri yang bakal menjelang.
“Saya terkejut dan air mata saya terus mengalir apabila melihat anak tunggal saya sedar daripada koma dan mulai sembuh sedangkan pada awalnya harapannya untuk sedar adalah tipis,” cerita pekerja pasar raya itu ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Gadis anggota kumpulan samun


HAMDAN (dua dari kiri) dan pegawainya menunjukkan senjata dan barangan yang dirampas daripada tiga penjenayah pada sidang akhbar di Seremban semalam.


SEREMBAN – Kegiatan sekumpulan tiga penjenayah termasuk seorang gadis berusia 15 tahun yang menyamun empat mangsa dalam tempoh lapan hari di negeri ini akhirnya berkubur apabila kesemuanya diberkas polis baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, berdasarkan laporan, jenayah pertama yang dilakukan kumpulan itu ialah menyamun sebuah kereta milik seorang wanita di Mantin, Nilai dekat sini pada 24 Julai lalu.
Katanya, selepas itu, suspek-suspek berusia 15 hingga 24 tahun tersebut menyamun lagi di Kuala Pilah dan Bahau pada 26 dan 27 Julai lalu.
“Polis yang sedang memerhatikan kumpulan berkenaan kemudiannya dapat menahan salah seorang daripada suspek ketika dia hendak menyamun kereta seorang wanita di sini pada pukul 12.45 tengah hari, 31 Julai lalu.
“Ketika kejadian, mangsa yang berusia 24 tahun baru menghantar anaknya ke sebuah sekolah di Jalan Lee Sam di sini sebelum seorang lelaki menerpa masuk ke dalam keretanya dan terus mengacukan sebilah pisau ke arahnya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ramai sakit buah pinggang kronik


SUBRAMANIAM melihat seorang pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di Klang semalam.


KLANG - Pesakit buah pinggang kronik membabitkan golongan pekerja menunjukkan peningkatan antara 18 dan 20 peratus setiap tahun, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Beliau berkata, peningkatan itu berdasarkan pembiayaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang membelanjakan RM92.5 juta bagi kemudahan bantuan rawatan dialisis kepada orang berinsurans Perkeso pada tahun lepas berbanding RM77.2 juta pada 2010.
"Jumlah ini meningkat 18.8 peratus. Sehingga Jun tahun ini sahaja, Perkeso mengeluarkan RM43.5 juta untuk membiayai kos rawatan dialisis," katanya selepas menyampaikan cek bantuan rawatan dialisis untuk orang berinsurans Perkeso dan mengadakan lawatan kerja ke Pusat Hemodialisis St. John Ambulans Klang di sini semalam.
Turut hadir, pemerintah negeri St. John Ambulans Malaysia (SJAM)-Selangor, Datuk Yeo Kim Thong merangkap Ketua Pegawai Operasi SJAM-Kawasan Pantai Selangor (KPS) dan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.
Justeru, Subramaniam berkata, semua pihak terlibat perlu mencari kaedah terbaik bagi mengurangkan jumlah pekerja menghidap penyakit buah pinggang dan mengelakkan mereka daripada sampai ke tahap kronik.
Katanya, penyakit kencing manis jika dikawal lebih rapi sejak awal boleh mengelakkannya daripada menjangkiti buah pinggang walaupun pesakit sudah menghidap penyakit itu selama 20 tahun.
"Kalau tidak dikawal, dalam tempoh antara tiga ke enam tahun, lama-lama pesakit kencing manis boleh mengalami kerosakan buah pinggang.

Masjid di AS dibakar, mungkin kerana khianat

AP
SEORANG anggota bomba memadamkan api di bangunan masjid di Joplin yang terbakar kelmarin.


JOPLIN, Missouri - Sebuah masjid di barat daya negeri Missouri, Amerika Syarikat terbakar kelmarin dalam kebakaran kedua di pusat Islam tersebut dalam tempoh kurang sebulan.
Pihak berkuasa menyelongkar timbunan runtuhan masjid tersebut seharian kelmarin untuk mencari bukti kemungkinan kebakaran disebabkan oleh perbuatan khianat.
Pejabat Syerif Daerah Jasper memberitahu, tiada kecederaan dilaporkan tetapi bangunan masjid Persatuan Islam Joplin ranap dalam kebakaran yang mula dilaporkan sekitar pukul 3.30 pagi.
Beberapa penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Biro Alkohol, Tembakau Dan Senjata Api serta Jabatan Syerif Daerah Joplin berada di lokasi kejadian seharian kelmarin.
Mereka memindahkan timbunan runtuhan dengan sebuah jentolak dan beberapa peralatan lain.
Turut berada di lokasi berkenaan adalah sekumpulan penduduk Islam yang berkumpul untuk melakukan solat Maghrib dan berbuka puasa di laman masjid itu.
Ia merupakan kali kedua pihak berkuasa dipanggil ke masjid itu sepanjang musim panas tahun ini.
Masjid berkenaan terletak di dalam sebuah bangunan bekas gereja di pinggir bandar ini.
Satu kebakaran dilaporkan sekitar waktu yang sama pada berlaku pada 4 Julai lalu dan didapati berpunca daripada perbuatan khianat tetapi tiada dakwaan dibuat setakat ini.
FBI turut menyiarkan rakaman sistem kamera litar tertutup suspek dan menawarkan ganjaran AS$15,000 (RM47,797) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek tersebut. - AP

Bank Standard Chartered sembunyi transaksi dengan Iran

SEORANG lelaki mengayuh basikal di ibu pejabat Standard Chartered di London semalam.


NEW YORK - Pihak berkuasa perbankan di sini mengancam akan membatalkan lesen operasi Bank Standard Chartered di negeri New York, Amerika Syarikat (AS).
Dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Kewangan Negeri New York (DFS), pihak berkuasa berkenaan menuduh bank Britain itu sebuah 'institusi penyangak' kerana menyembunyikan AS$250 bilion (RM796.6 bilion) hasil transaksinya dengan Iran yang melanggar undang-undang AS.
Pihak DFS menyatakan, Standard Chartered berkomplot dengan pemerintah Iran dan menyembunyikan sekitar 60,000 transaksi rahsia untuk menjana yuran perkhidmatan mencecah jutaan dolar sejak hampir 10 tahun lalu.
Perbuatan Standard Chartered itu turut didakwa mendedahkan sistem perbankan AS kepada pengganas, penyeludup dadah dan negara yang mengamalkan rasuah.
Kehilangan lesen perbankan New York mendatangkan kerugian besar ke atas sebuah bank asing kerana ia menyekat akses ke dalam pasaran bank AS.
Menurut DFS, Standard Chartered memproses transaksi berjumlah AS$190 bilion (RM605.4 juta) pada setiap hari untuk pelanggan global.
Standard Chartered merupakan bank Britain ketiga yang disiasat pada musim panas tahun ini.
Pada Jun lepas bank Barclays Plc bersetuju membayar AS$453 juta (RM1.4 bilion) untuk menyelesaikan siasatan AS dan Britain berhubung perbuatan memalsukan penanda aras faedah pinjaman pada Jun lalu.
Sebulan kemudian, sebuah panel Senat AS mengeluarkan laporan yang mengkritik usaha bank HSBC untuk mengawasi transaksi meragukan termasuk daripada penyeludup dadah Mexico. - Reuters

Ikhwanul Muslimin dakwa Mossad jadi dalang

KAHERAH - Pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan di laman webnya bahawa serangan ke atas sebuah balai polis di Sinai pada Ahad lalu dipercayai didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.
Menurut Ikhwanul Muslimin, serangan yang meragut nyawa 16 anggota polis itu merupakan percubaan untuk menggugat kedudukan Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Kenyataan tersebut memberitahu, Mossad cuba meredakan kebangkitan rakyat Mesir yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak pada tahun lalu.
Bagi mencapai matlamat tersebut Tel Aviv perlu menimbulkan keadaan untuk menyemak semula syarat perjanjian damai antara Mesir dan Israel.
"Jenayah ini didalangi oleh Mossad yang cuba menggagalkan revolusi rakyat Mesir dan buktinya adalah rejim Zionis memberi arahan kepada rakyatnya di Sinai supaya segera beredar dari kawasan itu beberapa hari lalu," kata kumpulan tersebut di laman webnya pada Isnin lalu.
"Jenayah tersebut lebih mudah dilakukan kerana pasukan keselamatan kita di Sinai tidak mencukupi untuk melindungi rantau itu dan sempadan negara ini. Justeru, syarat perjanjian antara kita dengan Israel terpaksa disemak semula," tambah kenyataan berkenaan.
Mesir melabelkan lelaki-lelaki bersenjata Islam yang melakukan serangan tersebut sebagai 'kafir' dan berjanji akan melancarkan operasi memburu mereka.
Insiden serangan tersebut menyebabkan hubungan antara Kaherah dan kedua-dua Israel serta Palestin menjadi tegang. - Reuters

Gunung berapi New Zealand meletus


BEBERAPA buah rumah di sebuah ladang dilitupi debu yang dihamburkan daripada gunung berapi Tongariro, New Zealand semalam.


WELLINGTON - Gunung Tongariro di sebuah taman negara New Zealand semalam meletus buat kali kedua dalam tempoh lebih sedekad lalu.
Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan selepas gunung tersebut menghamburkan debu tebal.
Kelmarin, gunung tersebut hanya menghamburkan batu dan debu selama 30 minit.
Sejumlah penduduk meninggalkan rumah bagi menyelamatkan diri.
Jabatan Pemuliharaan semalam menyatakan tiga pendaki yang tinggal di sebuah pondok berjaya menyelamatkan diri keluar dari kawasan gunung tersebut dengan selamat. - Agensi

Manila dilanda banjir


SEORANG bapa mendukung anak di belakang badannya semasa dia menggunakan tali untuk menyelamatkan diri ketika banjir melanda di Kampung Tumana, pinggir Manila semalam.


MANILA - Separuh bandar raya Manila ditengelami air semalam, kata beberapa pegawai ketika hujan lebat melumpuhkan ibu kota Filipina itu.
Puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka manakala sejumlah penduduk terperangkap di atas bumbung.

REUTERS
SEBUAH kereta terperangkap di sebatang jalan raya di Manila.


Sebuah kawasan setinggan dilanda tanah runtuh menyebabkan 15 orang mati dekat bandar raya ini.
Jumlah itu mengakibatkan 68 orang maut sejak minggu lalu kerana cuaca buruk di negara ini.
Seorang peramal kaji cuaca, Gine Nievarez memberitahu: "Jika kami meletakkan peratusan, sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk Manila dilanda banjir." - AFP

Televisyen Syria siar imej Bashar


STESEN televisyen Syria menunjukkan Bashar menemui Saeed di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Presiden Bashar Al-Assad muncul di televisyen Syria buat kali pertama dalam tempoh lebih dua minggu semalam apabila beliau melayan kunjungan utusan dari Iran ketika tenteranya menggempur pemberontak di bandar Aleppo.
Dalam imej itu, Saeed Jalili yang merupakan penasihat kanan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menemui Bashar selepas beliau tiba dari Lebanon, sehari selepas Perdana Menteri, Riad Hijab berpaling tadah memihak kepada pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
"Bashar dan Saeed membincangkan hubungan dua hala antara Syria dan Iran selain situasi di rantau berkenaan," lapor stesen televisyen Syria.
Kali terakhir rakaman Bashar disiarkan adalah ketika beliau menerima kunjungan ketua tentera yang baharu, Jeneral Ali Ayyub pada 22 Julai lalu, empat hari selepas serangan bom meragut empat nyawa ketua kanan keselamatan negara berkenaan.
Media Iran memetik Saeed sebagai memberitahu Teheran percaya satu dialog kebangsaan antara semua pihak terbabit merupakan jalan penyelesaian kepada krisis di Syria dan bukannya campur tangan asing.
"Kami berharap dapat mengambil langkah efektif berhubung hala tuju baharu ini," kata Saeed.
Di Beirut kelmarin, beliau mengeluarkan amaran kepada negara-negara yang menyokong pemberontak.
"Mereka yang percaya bahawa dengan mencetuskan kekacauan di negara-negara rantau ini menerusi penghantaran senjata dan mendalangi keganasan, mereka dapat menjamin keselamatan tetapi mereka sebenarnya silap," katanya kepada Menteri Luar Lebanon Adnan Mansour.
Di Aleppo, pertempuran antara tentera dan pemberontak menggegarkan beberapa kawasan di pusat bandar raya berkenaan awal semalam.
Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam pertempuran di Aleppo dengan angka kematian di seluruh Syria setakat semalam berjumlah 57 orang. - AFP

Perogol guna Facebook berdepan hukuman penjara

SINGAPURA - Seorang perogol bersiri yang menemui mangsa-mangsanya dengan menggunakan aplikasi temu janji Facebook berdepan dengan hukuman penjara selama 45 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Perogol itu, Azuar Ahamad, 41, mengaku bersalah kelmarin kerana merogol tiga wanita dan melakukan serangan seksual terhadap seorang lagi mangsa.
Pihak pendakwa raya meminta bekas eksekutif di sebuah syarikat logistik itu dihukum penjara selama 45 tahun.
Dia juga boleh disebat atau didenda bagi setiap kesalahan tersebut.
Azuar dihadapkan ke mahkamah selepas polis mendapati dia merakamkan perbuatannya dengan menggunakan telefon bimbit. - AFP

Simpan enam juta tulang manusia


GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan seorang pengkaji
terowong itu berjalan di barisan tulang dan tengkorak manusia.


PARIS - Bandar raya ini mempunyai daya tarikan pelancong di bawah tanah iaitu sebuah tempat simpanan tinggalan enam juta tulang manusia.
Menurut akhbar dalam talian MailOnline kelmarin, terowong bawah tanah itu dikenali sebagai Empayar Kematian Paris.
Terowong bawah tanah itu dijadikan tempat menyimpan rangka manusia sejak abad ke-18 bagi menyelesaikan masalah kawasan kubur yang terhad di Paris.
Menurut laman web CNN, pada 1786, kawasan perkuburan di Paris didapati tidak lagi mempunyai ruang untuk menanam mayat.
Ketika itu, mayat-mayat tersebut terpaksa dikebumikan dekat dengan kediaman manusia.
Terowong bawah tanah itu terdapat di Place Denfert-Rochereau dekat daerah Montparnasse di sini.
Sesiapa yang didapati menceroboh masuk ke dalam terowong sejauh 249.44 kilometer itu akan dikenakan denda sebanyak 60 euro (RM230.88).
Beberapa anggota polis mengawal terowong itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment