Sunday, August 5, 2012

JANGAN PANDU TERLALU LAJU...MEMANDU DALAM KEADAAN SOMBONG@EGO...MENGANTUK@LETIH REHAT ATAU TIDOR...MASA TAK BOLEH KITA KEJAR...DOA MOHON PERLINDUNGAN DARI ALLAH SWT

Kempunan ganjaran RM4 juta


CHONG WEI ditenangkan oleh Ketua Jurulatih perseorangan lelaki Malaysia, Rashid Sidek selepas tewas kepada Lin Dan di Arena
Wembley, London malam tadi.



KUALA LUMPUR - Harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membawa pulang pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik sekali lagi hampa selepas beliau tumpas kepada musuh tradisinya, Lin Dan dari China pada acara final perseorangan lelaki badminton Sukan Olimpik 2012 di Arena Wembley, London malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Chong Wei menang set pertama 21-15 tetapi tewas 10-21 dan 19-21 pada set kedua dan ketiga dalam perlawanan yang cukup mendebarkan.
Kekalahan itu juga bermakna Chong Wei terlepas peluang memperoleh ganjaran RM4 juta yang dijanjikan jika beliau meraih pingat emas acara itu.
Jika beliau muncul juara semalam, Chong akan mendapat wang tunai RM2 juta sumbangan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada setiap pemenang pingat emas Olimpik serta RM1 juta yang dijanjikan oleh sebuah syarikat perabot, 3V Holdings Sdn. Bhd.

Staf dakwa nampak hantu dalam pesawat AirAsia



CHONG kini masih dirawat di Hospital Miri.



MIRI - Lelaki yang terjun dari pesawat AirAsia malam Jumaat lalu mendakwa dia terlihat kelibat bayangan 'hantu' dalam pesawat tersebut sebelum nekad meninggalkan teman wanitanya dan terjun ke atas landasan Lapangan Terbang Miri di sini.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Chong, 24, mendakwa, kehadiran bayangan 'hantu' yang mengganggunya itu menyebabkan dia ketakutan dan mengambil keputusan bertindak keluar dari pesawat berkenaan.
Menurut lelaki itu, tanpa mempedulikan keselamatan dirinya, dia terus membuka pintu kecemasan disebabkan permintaannya untuk turun daripada penerbangan itu tidak dibenarkan oleh anak kapal bertugas.
"Semasa pesawat bersedia untuk berlepas, tiba-tiba saya ternampak kelibat makhluk aneh seakan-akan hantu hadir mengambil tempat penumpang.
"Disebabkan bimbang sesuatu tidak diingini berlaku semasa penerbangan memandangkan permintaan saya tidak dipedulikan pramugari bertugas, saya tiada pilihan lain melainkan terjun dari pesawat," katanya ketika ditemui di Hospital Miri di sini semalam.
Menceritakan lebih lanjut, Chong yang merupakan seorang staf AirAsia memberitahu, ketika mula memasuki pesawat, keadaan adalah tenang sebelum dia mengambil tempat duduk bersama teman wanitanya.
Bagaimanapun, ketika sedang melalui lorong untuk mencari tempat duduknya, tiba-tiba dia berasa sesuatu yang tidak menyenangkan lalu menoleh ke belakang pesawat sebelum melihat suatu kelibat hitam yang menakutkan di situ.

Tiga perompak mati ditembak



ANGGOTA polis membungkus tiga mayat perompak Indonesia yang mati ditembak ketika cuba menyamun rumah mewah di George Town semalam.



GEORGE TOWN – Tiga perompak bergelar Geng Rimba bukan sahaja terpaksa berputih mata akibat gagal menyamun rumah mewah malah, bertambah malang apabila kesemuanya mati ditembak polis dalam kejadian di Taman Jesselton dekat Taman Perbandaran Pulau Pinang di sini semalam.
Suspek-suspek berusia lingkungan 30-an yang telah terlibat dalam 18 kes pecah rumah di Jalan Waterfall, Tanjong Tokong, Taman Jesselton dan Jelutong membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM572,000 sejak awal tahun ini itu ditembak selepas cuba menyerang polis.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika trio perompak warga Indonesia tersebut diarahkan untuk menyerah diri ketika cuba memecah masuk sebuah rumah mewah di situ.
Difahamkan, niat jahat mereka terbongkar selepas penduduk ternampak kelibat mereka dalam keadaan mencurigakan ketika terhendap-hendap di belakang rumah yang disasarkan sebelum menghubungi polis.
Polis yang bergegas ke tempat kejadian kemudian terserempak dengan suspek berhampiran kawasan hutan iaitu kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan tersebut.
Suspek kemudian bertindak agresif apabila cuba menyerang polis dengan menggunakan parang sebaik anggota keselamatan itu memperkenalkan diri sebelum dibalas dengan lebih kurang 20 das tembakan ke arah mereka.
Modus operandi mereka ialah menetap seketika di kawasan hutan dan berbukit berhampiran kediaman mewah di daerah Timur Laut negeri ini untuk mengenal pasti rumah yang ingin dirompak antara pukul 3 pagi hingga 6 pagi.

Bot karam, tujuh warga Indonesia terselamat



TUJUH kru sebuah bot tunda yang karam berjaya diselamatkan pasukan Maritim Malaysia di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, Johor semalam.



JOHOR BAHRU - Tujuh kru warga Indonesia sebuah bot tunda berdepan detik cemas lebih dua jam apabila bot yang mereka naiki karam selepas berlanggar dengan sebuah kapal kargo yang bersauh di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi itu, kesemua mangsa yang menaiki bot tunda Sun Fat 3 dan berasal dari Medan, Indonesia itu berjaya diselamatkan oleh pasukan Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 8 pagi.
Mereka yang terselamat dikenali sebagai Lalu Hermayadi, 42; Suherman, 34; Fabri Supand Ji, 23; Moktar, 54; Bambang Sumantri, 24; Muhd. Arip, 22; dan Teuku Mohamad Fauzi Rizka, 25.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah dimaklumkan oleh Pasukan Khas Keselamatan Maritim Singapura yang menerima maklumat mengenai kejadian daripada anak kapal Motor Vessel (MV) Infinite Hope.
"Maklumat yang diperoleh menyatakan bahawa kapal mereka telah dilanggar di bahagian kanan oleh sebuah bot tunda semasa bersauh di perairan Pengerang.
"Akibat dari perlanggaran itu, bot tunda Sun Fat 3 telah dimasuki air dan karam di tempat kejadian sementara tujuh kru yang dibantu oleh sebuah kapal MV Infinite Hope dengan memberikan bantuan rakit serta boya keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tabah hidup walaupun 21 skru dalam kepala



AZNI ROKHAIL tetap tabah menjalani kehidupan di rumahnya
di Kampung Sungai Nanong, Kuala Kedah semalam.



KUALA KEDAH - Biarpun kepala 'ditanam' dengan 21 biji skru akibat kemalangan dua tahun lalu, seorang gadis, Azni Rokhail Shamsuddin tetap tabah meneruskan kehidupan dan masih menaruh harapan untuk bekerja bagi mencari pendapatan sendiri.
Selain skru tersebut, dalam kepala Azni Rokhail, 27, dari Kampung Sungai Nonang, Tebengau di sini juga tertanam platinum bagi menggantikan tempurung kepalanya yang cedera parah akibat kemalangan motosikal pada 14 Mac 2010.
Berikutan kemalangan tersebut, anak kedua daripada tiga beradik itu yang menjadi harapan untuk menanggung keluarga kini tidak berupaya lagi untuk menggalas amanah itu kerana pergerakannya tidak stabil.
Dia yang sebelum ini bekerja kilang di Bakar Arang, Sungai Petani, kini hanya mampu duduk di rumah dan bergantung harapan kepada bapa, Shamsuddin Morad, 62, yang bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu manakala ibu, Napisah Hashim, 61, menjahit baju kurung secara kecil-kecilan.

30 warga Filipina terdampar di Pulau Balambangan selepas bot dipukul Taufan Nesat
Nyaris mati kebuluran di pulau



PETA menunjukkan arah laluan 30 warga Filipina sebelum bot yang mereka naiki dipukul Taufan Nesat.



KUDAT – Kecekalan sepasukan polis yang sanggup mengharungi keganasan ombak dalam cuaca buruk dapat menyelamatkan sekumpulan 30 warga Filipina termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun yang terdampar di Pulau Balambangan dekat sini sejak tujuh hari lalu daripada mati kebuluran kelmarin.
Bukan itu sahaja, anggota keselamatan tersebut terpaksa berjalan kaki selama satu jam untuk merentasi Bukit Lok Simpul untuk tiba ke pulau berkenaan sebelum menemui kesemua warga asing itu dalam keadaan lemah dan hampir kehabisan bekalan makanan.
Difahamkan, kesemua mereka terdampar di pulau itu sejak 28 Julai lalu apabila bot yang dinaiki bocor dan rosak akibat dipukul ombak besar sebelum kesemuanya yang masih berada di dalam perut kenderaan laut itu dihanyutkan di pulau berkenaan.
Bot mereka dipercayai dipukul saki-baki Taufan Nesat yang melanda Filipina sekarang.
Siasatan mendapati kesemua mereka yang berusia antara 1 hingga 55 tahun bukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen memberitahu, siasatan mendapati mereka dalam perjalanan ke Pulau Balabac dari Pulau Siminul, Tawi-Tawi, Filipina tetapi di pertengahan jalan, sebahagian bot itu pecah sebelum dihanyutkan ke Pantai Panbatu, Pulau Balambangan.
Katanya, kejadian itu berlaku ekoran bot berkenaan mengalami masalah enjin selain berdepan dengan ombak setinggi lima meter.
“Sekumpulan pasukan penyelamat dikerahkan ke pulau berkenaan sebaik kami menerima maklumat pada pukul 4.30 petang Jumaat lalu dengan menaiki dua buah bot.
“Bagaimanapun, mereka terpaksa berpatah semula akibat cuaca terlalu buruk di sepanjang perjalanan menuju ke pulau tersebut,” katanya.

Sambut raya tanpa anak bongsu



BEGINILAH keadaan kereta Perodua Kelisa dan Proton Gen 2 yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan Muhammad Farhan dan Mohamad Azrul maut di Kota Tinggi kelmarin.



KOTA TINGGI - Remuk hati seorang ibu apabila terpaksa menerima hakikat yang raya tahun ini bakal disambut tanpa anak bongsu lelaki di sisinya apabila kanak-kanak berusia dua tahun itu maut dalam kemalangan di Kilometer 36.5 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran simpang Pasar Borong Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) di sini kelmarin.
Kejadian pukul 2.15 petang itu menyebabkan Muhammad Farhan Effendy yang parah di kepala maut ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini.
Sebelum kejadian, kanak-kanak itu bersama kakaknya, Nur Farhani, 6, menaiki kereta jenis Perodua Kelisa dipandu bapanya, Effendy Juma'at, 34, untuk menghantar tempahan kuih raya ke Johor Bahru.
Turut maut dalam kejadian itu ialah, seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Pelepas, Mohamad Azrul Baharun, 28, yang memandu kereta Proton Gen 2.
Kejadian berlaku apabila kedua-dua kereta yang datang dari arah bertentangan bertembung sebaik tiba di tempat kemalangan.
Effendy dan Nur Farhani cedera parah dan kini dirawat di HKT.
MUHAMMAD FARHAN (kanan) maut manakala kakaknya, Nur Farhani parah dalam kejadian itu.


Ibu mangsa, Norzathi Akbarillah, 31, memberitahu, dia tidak menyangka tindakan anak bongsunya yang kurang bercakap sejak akhir-akhir ini menjadi petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya.
"Saya reda dengan kejadian ini dan menganggap ia sebagai dugaan Tuhan buat saya menjelang 1 Syawal. Tuhan lebih menyayangi anak saya," ceritanya sambil menahan sebak.
Sementara itu, ibu Mohamad Azrul, Zaini Said, 53, memberitahu, arwah dalam perjalanan untuk mengambilnya untuk pergi ke satu majlis berbuka puasa di dewan serbaguna Felda Linggi di sini.

Dua beranak maut langgar lembu



ANGGOTA polis memeriksa kereta Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan dua beranak maut di Alor Gajah semalam.



ALOR GAJAH – Kegembiraan sebuah keluarga meraikan kepulangan seorang ahli keluarga mereka dari Jepun bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut selepas kereta jenis Perodua Kancil yang mereka naiki merempuh seekor lembu semalam.
Kejadian pukul 1.20 pagi di Kilometer 213 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat itu mengorbankan guru Sekolah Kebangsaan Sungai Linau, Johor, Ngatina Semin (gambar kecil), 47, dan anak bongsunya, Muhamad Habib Firdaus Mokhtar, 10.
Suami Ngatina, Mokhtar Abu Bakar, 50, yang juga anggota polis dari Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam dan seorang lagi anak mereka, Siti Nasuha, 21, kecederaan parah.
Difahamkan, Mokhtar patah tulang rusuk manakala Siti Nasuha cedera di mata kanan dan dirawat di Hospital Melaka.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Simpang Renggam selepas menjemput Siti Nasuha di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
Pelajar jurusan kejuruteraan itu pulang untuk menghabiskan cuti semestar selama dua bulan.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, seekor lembu tiba-tiba melintas menyebabkan Mokhtar hilang kawalan. Ekoran itu, kereta yang mereka naiki terbalik di atas penghadang jalan menyebabkan Ngatina dan Muhamad Firdaus maut,” katanya di sini semalam.

Pemberontak Syria mengaku culik



IMEJ daripada YouTube semalam menunjukkan sejumlah warga Iran (barisan belakang) yang ditangkap anggota-anggota Tentera Pembebasan Syria di Damsyik.



DUBAI - Para pemberontak Syria semalam menyiarkan video yang menunjukkan 48 militia dari Iran yang diculik mereka di Damsyik.
Kelmarin, Konsulat Iran di Damsyik menyatakan seramai 47 warganya diculik dari sebuah bas di Damsyik semasa mereka menuju ke sebuah lapangan terbang.
Menurut kumpulan pemberontak, Briged Al-Baraa daripada Tentera Pembebasan Syria (FSA), sebahagian militia itu merupakan anggota Pengawal Revolusi yang merupakan unit tentera elit negara mereka.
Seorang anggota FSA dalam video tersebut berkata, kumpulan warga Iran tersebut melakukan misi peninjauan di Damsyik.
"Kami mendapati sebahagian mereka merupakan pegawai pasukan Pengawal Revolusi (Iran)," katanya yang menunjukkan dokumen yang telah dirampas.
Menurut pegawai tersebut, pihaknya memberi amaran bahawa semua kemudahan Iran di Syria dan pekerjanya akan menerima nasib yang sama atau kemungkinan dibunuh.
"Tuhan Maha Besar," kata lelaki tersebut sebelum dia menamatkan kenyataannya.
Stesen televisyen Al-Arabiya menyiarkan temu ramah dengan lelaki tersebut yang dikenali sebagai Komander Abdel Nasser Shmeir.
Menurutnya, salah seorang yang ditahan itu ialah penterjemah Afghanistan.
Bagaimanapun, satu sumber sebuah lagi kumpulan pembangkang, Jundallah menganggap video tersebut sebenarnya palsu.
Menurut sumber berkenaan, video itu dihasilkan bagi menjadikan Iran yang berfahaman Syiah sebagai sasaran.
Sebelum ini Iran menafikan bahawa unit tenteranya telah dihantar ke Syria.
Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi kelmarin menyatakan, pasukan tentera negaranya tidak ada di Syria.
Menurutnya, pentadbiran Iran tidak membuat sebarang permintaan untuk mendapatkan khidmat pasukan tentera Syria.
Pergolakan di Syria bermula sejak Mac tahun lalu apabila penduduk bangkit menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.
Lebih 19,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak yang menentang kepimpinan Bashar.
Kepimpinan Bashar dianggap gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan demokrasi oleh kumpulan pemberontak.
Syria sebelum ini menuduh Turki, Qatar dan Arab Saudi menyokong kumpulan pemberontak dan meningkatkan keganasan di negara ini.
Iran pernah menyatakan sokongannya terhadap usaha Bashar untuk menamatkan kebangkitan penduduk di negaranya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, tentera Syria melancarkan serangan bom di daerah Salaheddin semalam.
Pertempuran turut berlaku di daerah Sukkari, Hamdaniyeh dan Ansari di utara Syria sejak 20 Julai lalu.
Menurut pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi, 13 orang terbunuh di Syria semalam. - Agensi

Kolej di Filipina larang pelajar pakai hijab

ZAMBOANGA, Filipina - Sebuah kolej di selatan Filipina telah mencetuskan kontroversi kerana pihak pengurusannya melarang pemakaian hijab dalam kalangan pelajar Islam.
Ketua Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina, Mehol Sadain semalam berkata, beliau telah menulis sepucuk surat kepada Kolej Pilar di sini bagi menuntut dasar tersebut dipinda.
Kolej itu dikendalikan oleh sebuah pertubuhan agama Kristian Katolik. - AFP

Penduduk Palestin maut di Genting Gaza

BANDAR GAZA - Seorang penduduk Palestin mati dan seorang lagi cedera dalam satu serangan pesawat Israel tanpa juruterbang di Rafah, Genting Gaza semalam, kata beberapa saksi dan anggota perubatan.
Ketika kejadian, lelaki tersebut menunggang sebuah motosikal.
Sumber-sumber Palestin menyatakan, mangsa yang terbunuh itu ialah Eid Hijazi yang merupakan anggota pertubuhan Jawatankuasa Penentang Popular. - AFP

Bot solar terbesar di dunia tiba di Malta



BOT solar terbesar di dunia memasuki pelabuhan Grand Harbour, Malta kelmarin.



VALLETTA, Malta - Bot solar terbesar dunia, Turanor PlanetSolar tiba di pelabuhan Grand Harbour di sini kelmarin.
Menurut media tempatan, bot tersebut berada di sini selama seminggu bagi tujuan promosi.
Bot itu sebelum ini telah mencipta rekod kerana bejaya mengelilingi dunia dengan menggunakan kuasa solar.
Ia memperoleh kuasa dengan menggunakan sel solar yang disediakan oleh syarikat Sunpower Corporation.
Bot yang sepanjang 31 meter itu akan berada di Malta sehingga 10 Ogos depan.
Namun, orang ramai tidak dibenarkan untuk memasuki bot tersebut.
Pembinaan bot itu dibiayai oleh seorang ahli perniagaan Jerman dengan kos sebanyak 12.5 juta euro (RM47.97 juta).
Bot itu berlepas dari Monaco pada 27 September 2010 untuk mengelilingi dunia.
Ia tiba semula di Monaco pada 4 Mei 2012.
Terdapat enam kru dalam bot tersebut. - Agensi

45 maut serangan berani mati di Yemen



SEJUMLAH orang semalam menyaksikan lokasi serangan seorang pengebom berani mati di bandar Jaar, Yemen semalam.



ADEN - Satu kejadian serangan pengebom berani mati di bandar selatan Yemen telah menyebabkan 45 orang terbunuh dan 37 lagi cedera, kata sumber hospital dan pentadbiran negara ini semalam.
Pengeboman itu berlaku kelmarin di bandar Jaar di wilayah Abyan yang telah ditawan semula tentera Yemen pada Jun lalu selepas jatuh ke tangan kumpulan Al-Qaeda.
"Seorang pengebom berani mati Al-Qaeda meletupkan tali pinggangnya pada satu majlis berkabung yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penentang Popular," kata Gabenor Abyan, Jamal al-Aqal.
Seorang pegawai di Hospital Razi di Jaar berkata, pihaknya telah menerima 24 mayat manakala pasukan perubatan berkata, 12 orang maut akibat cedera parah selepas menerima rawatan di tiga buah hospital.
Kesemua 37 orang mangsa yang cedera kini dirawat di hospital yang terletak di Jaar dan Aden.
Pengebom itu kelihatan menjadikan ketua sebuah kumpulan penduduk suku kaum sebagai sasaran kerana dia menyebelahi tentera Yemen.
Menurut Jamal, tindakan pengebom itu sebagai satu serangan pengganas dan pengecut. - Agensi

Curi makanan di kawah gunung berapi



BEBERAPA orang cuba untuk menangkap daging ayam
di Gunung Bromo, Jawa Timur kelmarin.



JAKARTA - Ratusan penduduk Indonesia sanggup memanjat gunung berapi Bromo setinggi 2328.98 meter untuk mencuri makanan yang dilemparkan oleh penganut agama Hindu ke kawah gunung itu di Jawa Timur kelmarin.
Sebahagian mereka membawa batang kayu yang mempunyai jaring bagi menangkap daging ayam, sayur-sayuran, beras dan buah-buahan yang dibaling oleh para penganut agama tersebut.
Turut dicampak oleh para penganut itu ialah wang.
Para penganut itu melakukan perbuatan tersebut dalam Festival Yadnya Kasada.
Mereka berharap akan memperoleh tuah yang baik untuk diri dan keluarga selepas melakukan perbuatan tersebut.
Para penganut Hindu menganggap perbuatan itu adalah sebagai pengorbanan untuk tuhan. - Agensi

No comments:

Post a Comment