Wednesday, August 8, 2012

KES UNISEL MUNGKIN TERKELUAR CERITA PERJANJIAN SEWA BANGUNAN YANG YANG TAK MUNASABAH ...MENGUNTUNGKAN PIHAK TERTENTU...NI CARI NAHAS.. RAKYAT AKAN TAHU APA YANG BERLAKU SEBENARNYA....

Balasan perkosa adik ipar

Posted on the August 8th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

KOTA BHARU: Seorang tukang kayu bernafsu binatang kerana merogol adik iparnya tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 24 tahun, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 29 Mei 2011.
Lelaki itu yang dituduh merogol mangsa yang kini berusia 17 tahun di rumahnya di Kampung Landak, Pengkalan Chepa di sini, pada jam 3 pagi, 27 Mei 2011, didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa bersama suaminya berada di rumah ibunya apabila tertuduh datang dan memukul serta mengheret mangsa keluar dari rumah disaksikan suaminya yang tidak dapat berbuat apa-apa kerana takutkan tertuduh.
Tertuduh membawa mangsa ke rumahnya dan mengheret mangsa masuk ke dalam bilik sebelum menanggalkan kain dipakai mangsa lalu merogolnya. Mangsa yang cuba melawan ditumbuk di mulut.
Harian Metro

Paderi gay anjur majlis resepsi kahwin

Posted on the August 7th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share
Ngeo Boon Lin bersama pasangannya dari New York, Phineas Newborn III menuangkan minuman keras pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Kuala Lumpur, kelmarin. – AGENSI
KUALA LUMPUR 6 Ogos – Paderi gay rakyat Malaysia yang ‘berkahwin’ dengan teman lelakinya di New York pada tahun lalu, mengadakan majlis resepsi di sini kelmarin.
Ngeo Boon Lin dan pasangannya, Phineas Newborn III dilaporkan memenuhi janji mereka untuk mengadakan majlis tersebut di tempat kelahirannya di sini.


Kira-kira 200 tetamu termasuk sekumpulan media berbahasa Cina menghadiri majlis tertutup itu yang diadakan di sebuah restoran makanan Cina di sini.
”Kami bersyukur boleh mencipta sejarah Malaysia di sini,” kata Newborn.
Boon Lin yang berketurunan Cina dan tinggal di Amerika Syarikat (AS) sejak 1998 dikritik pegawai dan pemimpin agama Malaysia apabila dia ‘mengahwini’ Newborn yang merupakan seorang produser muzikal Broadway pada Ogos tahun lalu.
Boon Lin berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan haknya untuk berkongsi kegembiraan dengan orang yang disayanginya di sini.
”Kerajaan dan pemimpin agama konservatif boleh membuat bising tetapi mereka tidak dijemput di sini.
”Saya sedar mengenai perkara sensitif di sini. Saya tidak mendesak perkahwinan gay dibenarkan di Malaysia,” katanya kepada Associated Press.
Para jemputan ke majlis resepsi tersebut dibawa ke sebuah restoran makanan Cina di Kuala Lumpur itu dan menerima bungkusan coklat serta nota dalam bahasa Cina bermaksud Tuhan sayang gay.
Dua tetamu majlis tersebut mendendangkan lagu popular Endless Love nyanyian Lionel Richie dan Diana Ross manakala seorang penghibur transgender memuji tindakan Boon Lin. – AGENSI

Rumah Adun Ajil musnah dalam kebakaran

Posted on the August 8th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan sisa-sisa kebakaran rumah milik Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid yang musnah terbakar di Kampung Batu 23.
HULU TERENGGANU – Rumah kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Datuk Rosol Wahid musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, di sini, malam tadi.
Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah berkenaan.


Rosol berkata ketika kejadian, kesemua anggota keluarganya tiada di rumah kerana berbuka puasa dan bertarawih di luar.
Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya Toh Puan Halipah Ahmad yang pulang daripada berbuka puasa di rumah kakaknya di Kampung Baung, di sini.
“Sebaik dia membuka pintu rumah isteri melihat kepulan asap dan api marak dari bahagian dapur rumah lantas menelefon saya memaklumkan insiden itu,” katanya ketika ditemui malam tadi.
“Ketika kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yayasan Pembangunan Usahawan di Kuala Terengganu. Saya minta isteri supaya tenang dan jangan masuk ke dalam rumah, bimbang kejadian lebih buruk akan berlaku,” katanya.
Menurutnya, beliau reda dengan kejadian yang berlaku namun terkilan kerana lebih 2,000 buah buku yang dikumpulkan sejak 10 tahun lalu turut hangus dijilat api.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zazuli Badru berkata ketika pasukan bomba tiba di lokasi, api sedang marak dan mereka mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran.
Dua jentera bomba dari Balai Bomba Kuala Berang dan Balai Bomba Wakaf Tapai dihantar ke tempat kejadian bersama 14 anggota dan pegawai.
Turut ke lokasi kejadian selepas mendapat berita kebakaran itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam. – Bernama

Kenapa dolak-dalih dalam royalti – Ku Li

Posted on the August 8th, 2012 under Politik by admin

  • Share

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian dengan Menteri Besar Kelantan mengenai royalti Petroleum, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) menempelak sikap pihak yang suka berdolak dalih dalam itu royalti minyak untuk Kelantan.
Dalam posting terbaru melalui Facebook beliau, anggota Parlimen Gua Musang itu mempersoalkan “Mengapa kita masih suka berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?”
Beliau menghubungkan komen beliau itu dengan muka depan Akta 144 – Akta Kemajuan Petroleum 1974 (gambar bawah) yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan lain-lain negeri.

Tengku Razaleigh dipercayai mempertikaikan penubuhan Jawatankuasa untuk mengkaji pemberian bayaran tunai/royalti Petroleum yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Najib telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan meminta beliau menghantar nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Hamid Mohamad itu.
Sebelum ini, Tengku Razaleigh dalam kenyataannya meminta kerajaan Pusat agar menyelesaikan isu pembayaran royalti ini menjelang pilihan raya umum akan datang.
Ini kerana, kata beliau, isu ini akan menyusahkan BN jika ia tidak diselesaikan sebelum itu.
Harakahdaily.net

Dirogol lima lelaki menyamar jadi pegawai cegah maksiat

Posted on the August 8th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share
KOTA BHARU- Seorang wanita dipercayai dirogol bergilir-gilir lima lelaki di sebuah rumah kosong di Tanjung Mas di sini selepas didatangi dua individu tidak dikenali menyamar sebagai anggota pencegah maksiat, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, sebelum kejadian, dipercayai mangsa keluar berjumpa dengan teman lelakinya jam 2 pagi di bawah Jambatan Tanjung Mas.
Lai berkata, semasa pasangan terbabit sedang berbual, tiba-tiba terdapat dua lelaki tidak dikenali menghampiri pasangan itu dan menyamar sebagai anggota pencegah maksiat.
“Dua suspek ini memberitahu mereka dari jabatan kerajaan sambil menunjukkan kad. Salah seorang suspek tersebut memberitahu mahu membawa mangsa dan teman lelakinya ke balai polis dan jabatan pencegah maksiat.


“Tetapi mangsa ada bagi tahu kepada dua suspek ini, mereka (pasangan terbabit) hanya berbual dan tidak melakukan apa-apa,” katanya, semalam.
Lai berkata, dua suspek itu kemudian berunding untuk melepaskan pasangan tersebut tetapi dengan syarat dua suspek itu menghantar mangsa pulang, manakala teman lelakinya perlu balik sendiri.
“Oleh sebab percaya dua lelaki ini merupakan pegawai pejabat agama, teman lelaki mangsa terus balik ke rumah seperti diarahkan manakala mangsa akan dibawa ke balai polis.
“Kemudian mangsa dibawa naik motosikal suspek dan dibawa ke sebuah rumah kosong dan dirogol bergilir-gilir,” katanya.
Sinar

Murid 10 tahun bantah timbalan menteri isu telefon

Posted on the August 8th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

Cadangan pelajar dibenar membawa telefon bimbit ke sekolah masih pada peringkat perbincangan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.
Katanya banyak perkara harus diteliti sebelum kementerian itu dapat membuat keputusan yang memuaskan semua pihak.
“Setakat ini pelbagai pandangan telah diterima termasuk daripada pelajar. Malah saya ada menerima surat daripada murid berusia 10 tahun yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.


“Ini adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan apabila murid tahun empat ini sendiri memberi pandangan sebegitu dan menyatakan sebab mengapa dia tidak bersetuju,” katanya kepada pemberita, di Seremban hari ini.
Beliau sebelum itu menyerahkan cek bantuan kewangan kepada sekolah bantuan kerajaan di Negeri Sembilan. Sebanyak RM6.43 juta diperuntuk kepada 41 sekolah jenis kebangsaan bantuan kerajaan tahun ini.
Bulan lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun depan.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar.
- Bernama

Kematian mangsa dipercayai ada kaitan ajaran karut

Posted on the August 8th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

INILAH rumah di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam tempat seorang budak mati ditindih oleh ahli keluarganya dalam upacara pemujaan.
BUKIT MERTAJAM – Kematian kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didakwa menjadi korban upacara pemujaan keluarganya di Taman Bukit Minyak di sini pada Ahad lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran karut yang diamalkan oleh keluarga mangsa.
Satu sumber berkata, polis mengesyaki lapan individu yang ditahan termasuk ibu bapa kanak-kanak itu terpengaruh dengan ajaran karut yang dipercayai sedang berkembang di negeri ini dan mempunyai ramai pengikut.


Kesemua yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula didakwa kerap berkelakuan aneh seperti mereka sering bercakap sendirian dan mulut berkumat-kumit seperti membacakan sesuatu.
Lapan yang direman termasuk seorang amah Indonesia ditahan di dua buah lokap.
Sumber itu memberitahu, ibu kanak-kanak malang itu yang sarat mengandung anak kedua dan bapanya seolah-olah tiada perasaan sedih selepas mengetahui kematian anaknya.
Difahamkan upacara pemujaan itu dilakukan ekoran ibu mangsa didakwa hidup tertekan selepas kematian bapanya sejak beberapa bulan lalu selepas mendakwa dia kerap diganggu makhluk asing.
[Berita berkaitan: 7 ahli keluarga tindih anak sehingga mati]
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab. Lah berkata, polis masih meneruskan siasatan dan sedang mengambil kenyataan kelapan-lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian Chuah Wan Xuan (gambar kecil).
Menurut beliau, siasatan setakat ini menjurus kepada mangsa disyaki menjadi korban pemujaan ajaran sesat yang diamalkan oleh kelapan-lapan suspek.
“Mangsa anak sulung pasangan berkenaan mati akibat kelemasan selepas dipercayai ditindih secara beramai-ramai,” kata beliau.
Katanya, mayat Wan Xuan dituntut bapa saudaranya di Hospital Seberang Jaya semalam selepas polis mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu bapanya yang membenarkan abang kandung si bapa menguruskan pengebumian kanak-kanak itu.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang budak mati selepas ditindih lapan ahli keluarganya termasuk seorang pembantu rumah Indonesia ketika melakukan upacara pemujaan di dalam sebuah bilik di rumah dua tingkat di Taman Bukit Minyak.
Selain ibu bapa, pembantu rumah mangsa, turut terlibat dalam upacara itu ialah nenek, pak cik, mak cik dan dua orang sepupu mangsa.
Kosmo

Aidil disuruh fokus hal kahwin

Posted on the August 8th, 2012 under Artis by admin

  • Share

KERATAN Kosmo! 19 Jun 2012.
PETALING JAYA – Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam meminta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak supaya memberi keutamaan kepada hal-hal perkahwinan berbanding dengan karier bola sepak.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, kes mahkamah ini melibatkan hubungan suami isteri dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main.
“Saya minta peguam nasihat plaintif (Mohd. Aidil) kena ambil kira mana lebih penting sama ada kes mahkamah atau main bola, kena korban salah satu, ini tentang hidup mati, pahala dosa, kalau tidak main bola tidak berdosa,” tegur Wan Mahyuddin dengan tegas.


Wan Mahyuddin berkata demikian semasa sebutan kes permohonan kembali taat yang difailkan Mohd. Aidil terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar supaya dia dan dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan di USJ1 di sini.
Perkara itu terbangkit susulan permintaan peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita supaya Mohd. Aidil mengemukakan dokumen berhubung ketidakhadiran plaintif dalam prosiding kes pasangan itu semalam.
Mohd. Aidil gagal menghadiri prosiding semalam kerana menjalani latihan bola sepak di Austria.
“Alasan yang diberi munasabah tapi perlu ada dokumen bertulis bukan secara lisan dan sambil lewa,” kata beliau.
Terdahulu peguam syarie Noor Azlina Che Hassan yang mewakili Mohd. Aidil memaklumkan plaintif kini berada di Austria selama dua minggu mulai 4 Ogos hingga 17 Ogos kerana latihan bola sepak.
Sehubungan itu, beliau yang hadir bagi pihak peguam syarie Ahmad Nazib Johari iaitu peguam kepada Mohd. Aidil bersetuju mengemukakan salinan surat pengesahan bertulis daripada plaintif sekiranya dia gagal hadir ke mahkamah kelak.
Noor Azlina berkata, dia juga telah memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.
Merujuk arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berunding bagi mencari jalan penyelesaian, peguam memberitahu setakat ini tiada rundingan dibuat secara rasmi antara kedua-duanya.
Wan Mahyuddin menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.
Permohonan kembali taat difailkan Mohd. Aidil pada 15 Mei lalu iaitu hari yang sama dia menarik balik permohonan cerai terhadap Rita walaupun mereka tidak lagi tinggal sebumbung selepas Mohd. Aidil bertindak meninggalkan rumah kelamin di Damansara.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Mohd. Aidil.
Kosmo

Remaja patah lima jari kanan akibat mercun

Posted on the August 8th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

Mohd Firdaus dirawat di Hospital Lati, Pasir Mas akibat kecederaan di tangan kirinya akibat bermain mercun.
KOTA BHARU – “Saya sudah serik bermain mercun,” kata mangsa mercun, Mohd Firdaus Ismail, 15, dari Kampung Tok Pelanduk, Rantau Panjang apabila kesemua lima jari kirinya patah akibat kejadian tersebut.
Dia yang merupakan bekas pelajar pondok berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10 malam pada Ahad lalu selepas dia menunaikan solat sunat Tarawih di Kampung Batu Karang yang terletak 500 meter dari rumahnya.


“Semasa kejadian, seorang kanak-kanak menyuruh saya menyalakan mercun botol dan tanpa berfikir panjang saya terus membakar mercun tersebut.
“Tiba-tiba ia meletup sebaik sahaja dibakar dan terkena tangan kiri saya,” katanya yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), hari ini.
Mohd Firdaus berkata, pada awalnya dia tidak merasa apa-apa tetapi apabila melihat darah mula mengalir keluar di jari tangannya dia terus membonceng motosikal pulang ke rumah.
Menurutnya, sebaik sampai di rumah, abangnya, Afendi, 25, terus membawanya ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa ke HUSM.
“Apa yang berlaku cukup menginsafkan dan saya sudah fobia untuk bermain mercun lagi.
“Saya berharap dapat keluar dari hospital sebelum Aidilfitri ini kerana saya tidak sanggup beraya di sini tanpa keluarga,” katanya.
Sinar

Pelajar Unisel dihalang masuk kolej kediaman

Posted on the August 8th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

KUALA SELANGOR – Lebih 1,000 penuntut Universiti Selangor (Unisel) berhadapan masalah mendapatkan tempat tinggal berikutan pengurusan kolej kediaman institusi itu didakwa enggan membenarkan mereka menduduki asrama masing-masing selepas mereka mendaftar masuk hari ini.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel, Mohd Jeffri Abu Hassan berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu secara rasmi oleh pengurusan Unisel dan hanya mendapat tahu secara lisan daripada beberapa pihak berkaitan.
“Perkara ini tidak diisytiharkan, apa yang kami tahu asrama tidak dibuka kerana pekerja (yang mengendalikan urusan asrama) tidak mendapat gaji oleh sebab itu mereka tidak datang bekerja… ketua mereka turut bercuti sejak Jumaat lalu tanpa meninggalkan apa-apa notis pemberitahuan berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini.


Beliau berkata, penuntut yang tidak dapat memasuki kolej kediaman terdiri daripada pelajar semester kedua hingga tahun akhir.
“Penuntut tahun satu dan penuntut baru telah mendapat kunci dan boleh tinggal di asrama masing-masing kerana mereka telah mendaftar awal iaitu pada seminggu yang lepas…pada waktu itu pejabat operasi asrama masih lagi dibuka,” katanya.
Beliau berkata, bagi menangani masalah itu pihak MPP dengan kerjasama Badan Kebajikan Hal Ehwal Pelajar telah menyediakan asrama sementara bagi membantu penuntut yang tidak mempunyai tempat tinggal.
Dua beradik Nurini Anwar, 20, dan Nurhaya, 18, menyifatkan masalah itu sebagai satu beban kepada penuntut.
“Saya dan adik datang dari kampung untuk menyambung pengajian di sini dan apabila perkara ini berlaku, kami kecewa… pagi tadi apabila sampai dari kampung kami diberitahu oleh pihak (pengurusan) kolej tidak boleh masuk ke asrama sebab tidak ada kunci… itu sahaja alasan yang diberikan,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam laporan akhbar sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
Hutang itu termasuk tunggakan bayaran melibatkan kos penyelenggaran di kampus induk dan operasi asrama universiti milik penuh kerajaan negeri Selangor itu.
Selain berhadapan dengan masalah penginapan, penuntut juga terpaksa menanggung beban kewangan apabila Unisel didakwa membuat potongan wang dari Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka, melebihi dari jumlah yang sepatutnya.
Mengulas lanjut mengenainya, Mohd Jeffri mendakwa pelajar mengadu bahawa baki wang pinjaman PTPTN yang diterima mereka pada Sabtu lepas jauh berkurangan.
“Bagi penuntut yang mengambil Ijazah Sarjana Muda, mereka akan memperolehi wang pinjaman dari PTPTN minimum sebanyak RM8,000 untuk setiap semester manakala bagi pelajar diploma, mereka akan menerima RM4,000…separuh daripada jumlah itu pula akan ditolak untuk membayar yuran pengajian…namun apa yang menyedihkan ada penuntut mengadu kepada saya yang mereka menerima baki wang pinjaman hanya berjumlah kira-kira RM1,000.
“Kami sebagai penuntut ingin tahu ke mana perginya wang kami…dan kenapa kami tidak diberitahu mengenainya dan apa sebab Unisel melakukan tindakan sedemikian,” kata Mohd Jeffri. – Bernama

MAINPP siasat cubaan pelancong murtad orang Islam

Posted on the August 7th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

Dua lelaki asing ini dirakam sedang menyampaikan fahaman agama mereka.
BUTTERWORTH – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang akan menyiasat dakwaan berhubung dua pelancong asing yang dikatakan cuba memurtadkan orang Islam di Pulau Pinang, kata Yang Dipertuanya Datuk Mohd Salleh Man.
Beliau juga berharap bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam dapat bersama-sama dengan MAINPP untuk menangani perkara itu.
“Dalam hal ini Jabatan Agama Islam juga harus berperanan, bukan sekadar berharap pada MAINPP sahaja.


“MAINPP juga akan berjumpa dengan pengadu dan akan menyiasat perkara ini secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di majlis penyampaian bantuan Aidilfitri anjuran Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Dewan Perkeso di sini, hari ini.
[Berita berkaitan: Dihasut murtad ketika berbuka]
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menggesa pihak MAINPP bertindak sewajarnya dengan segera ke atas pelancong asing yang dikatakan cuba memurtadkan umat Islam di negeri ini.
Khamis lepas, sebuah akhbar melaporkan cubaan dua lelaki Eropah yang dikatakan menyampaikan ajaran agama mereka kepada orang ramai di sekitar Pulau Pinang ketika umat Islam bersiap sedia untuk berbuka puasa.
Sementara itu, Mohd Salleh berkata aduan berhubung perkara yang bertentangan dengan Islam perlulah mengikut saluran yang betul dengan terlebih dahulu dilapor di mana-mana pejabat agama Islam yang berhampiran.
“Diharapkan pihak yang cuba melakukan perkara ini dapat menghentikannya segera kerana ia bertentangan dengan peruntukan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Mohd Salleh menyerahkan replika cek bernilai RM3.443 juta kepada Pengerusi ZPP Ellias Zakaria. Daripada jumlah itu, RM2.7juta akan diagihkan kepada 9,125 fakir miskin di Pulau Pinang.
Katanya pada tahun ini ZPP MAINPP menjangkakan mampu mengutip RM4.1 juta berbanding RM4 juta tahun lepas daripada lebih 500,000 penduduk Islam di negeri ini. – Bernama

No comments:

Post a Comment